Moving Forward As One

Bahasa Hokkien: Taiwan VS Pulau Pinang

10,269
Bahasa Hokkien adalah sebuah bahasa yang dituturkan oleh 40 juta orang di sekitar China, Taiwan, Hong Kong, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina. Dalam bidang linguistik, bahasa Min Selatan ini adalah salah satu daripada Bahasa Sino-Tibetan di bawah cabang Sinitik (Cina).
Sebagaimana bahasa lain, Hokkien juga mempunyai variasinya. Boleh dikatakan, setiap tempat yang mereka jejaki pasti akan melahirkan variasi baharu bahasa berkenaan. Antara variasi tersebut adalah Bahasa Hokkien Taiwan (BHT) dan Bahasa Hokkien Pulau Pinang (BHPP).
Bahasa Hokkien Taiwan ataupun nama asalnya, “Tâi-oân-oē (臺灣話)” dituturkan di Republik Cina (Taiwan). Bahasa tersebut dijadikan sebagai bahasa ibunda dalam kalangan tujuh puluh peratus (70%) penduduk negara berkenaan. Taiwan mempunyai lebih dua puluh tiga (23) juta orang penduduk.
Bahasa Hokkien Pulau Pinang ataupun nama asalnya, “Pin-siânn Hok-kiàn-uā (檳城福建話)” dituturkan di Persekutuan Malaysia. Bahasa ini dituturkan di sekitar negeri Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak. Terdapat komuniti India dan Melayu yang bertutur dalam bahasa berkenaan.
NAMA ASAL
Di Taiwan, bahasa ini dikenali sebagai “Tâi-oân-oē (臺灣話)”. Tulisan itu terdiri daripada perkataan “tâi-oân (臺灣)” dan “oē (話)” yang masing-masing bermaksud “Taiwan” dan “Ucapan”. Nama “tâi-oân (臺灣)” dipercayai berasal daripada Bahasa Siraya iaitu “tayw” dan “an” yang masing-masing bermaksud “orang” dan “tempat”.
Di Malaysia, bahasa ini dikenali sebagai “Pin-siânn Hok-kiàn-uā (檳城福建話)”. Tulisan itu terdiri daripada perkataan “Pin-siânn (檳城)” dan “Hok-kiàn-uā (福建話)” yang masing-masing bermaksud “Pulau Pinang” dan “Bahasa Hokkien”. Nama “Pin-siânn (檳城)” dipercayai berasal daripada Bahasa Melayu, “pinang” ataupun Bahasa Inggeris, “penang”.
PERBANDINGAN BUNYI VOKAL
Bahasa Hokkien Taiwan mengandungi dua belas vokal. Bahasa ini mempunyai bunyi vokal dengung. Sebagai contoh, bunyi [ã] adalah versi dengung untuk bunyi [a]. Perkataan “saⁿ (衫)” yang bermaksud “baju” mengandungi bunyi dengung.
Bahasa Hokkien Pulau Pinang mengandungi sebelas vokal. Bahasa ini juga mempunyai bunyi vokal dengung. Sebagai contoh, bunyi [ɛ̃] adalah versi dengung untuk bunyi [ɛ]. Perkataan “ēe (下)” yang bermaksud “bawah” tiada dengung manakala “enn (嬰)” yang bermaksud “bayi” mengandungi dengung.
DIFTONG DAN TRIFTONG
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “diftong” ditakrifkan sebagai “gabungan dua bunyi vokal dalam satu suku kata” manakala “triftong” pula bermaksud “gabungan tiga bunyi vokal dalam satu suku kata”. Bahasa Hokkien Taiwan tidak mengandungi diftong mahupun triftongn.
Bahasa Hokkien Pulau Pinang mengandungi diftong dan triftong. Bahasa ini mengandungi sepuluh diftong dan dua triftong. Perkataan “ài (愛)” yang bermaksud “cinta” mengandungi diftong manakala perkataan “uai (歪)” yang bermaksud “condong” pula mengandungi triftong.
KATA PINJAMAN
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “kata pinjaman” ditakrifkan sebagai “kata yang telah di­gunakan dalam sesuatu bahasa tetapi berasal daripada bahasa lain”. Bergantung kepada geografi dan sejarah bahasa berkenaan, kedua-dua bahasa tersebut mempunyai sumber kata pinjaman yang berbeza.
Bahasa Hokkien Taiwan mengandungi kata pinjaman daripada Bahasa Jepun dan Bahasa Belanda. Perkataan “lisan” yang bermaksud “lelaki umur pertengahan” itu berasal daripada Bahasa Jepun iaitu “Ojiisan”. Perkataan “khokpuq” yang bermaksud “cawan” itu berasal daripada Bahasa Belanda iaitu “kop”.
Bahasa Hokkien Pulau Pinang mengandungi kata pinjaman daripada Bahasa Melayu, Thai dan bahasa-bahasa Cina yang lain. Perkataan “mata” yang bermaksud “polis” berasal daripada Bahasa Melayu iaitu “mata-mata”. Perkataan “Phuát (鏺)” yang bermaksud “10 sen” berasal daripada Bahasa Thai iaitu “chit-phuát”.
Perkataan “tāi-lôu (大佬)” yang bermaksud “bos” dalam Hokkien Pulau Pinang berasal daripada Bahasa Kantonis iaitu “tāi-lôu (大佬)”. Kenapa sama sebutan? Sebab, penutur Bahasa Hokkien Pulau Pinang menggunakan sebutan Kantonis untuk perkataan berkenaan.
KEBOLEHFAHAMAN BERSAMA
“Saya nak tanya, boleh tak orang Hokkien Taiwan dengan Pulau Pinang faham satu sama lain kalau dia orang cakap dalam bahasa masing-masing”.
Sebenarnya, jawapan untuk persoalan tersebut tidak ada pada diri penulis. Penulis menyerahkan sepenuhnya kepada mereka yang berkenaan. Harap para sahabat dapat menjawab soalan tersebut.
CONTOH AYAT DALAM BAHASA HOKKIEN
Pautan “https://m.youtube.com/watch?v=TyFJ8wxjo1E” ini adalah contoh ayat dalam Bahasa Hokkien Taiwan. Pautan berkenaan diambil daripada saluran “I Love Languages!”
Pautan “https://m.youtube.com/watch?v=3SgDIXlzFA4” ini adalah contoh ayat dalam Bahasa Hokkien Pulau Pinang. Pautan berkenaan diambil daripada saluran “I Love Languages!”
Untuk mereka yang mempunyai segala kelapangan, boleh melihat kedua-dua video tersebut dan bandingkan apa yang dapat diketahui.sepintas lalu.
AKHIR KALAM
Kesimpulannya, itu adalah perbandingan ringkas antara Bahasa Hokkien Taiwan dengan Bahasa Hokkien Pulau Pinang. Bergantung kepada banyak faktor, setiap bahasa akan mencapah ke pelbagai arah. Capahan Bahasa Hokkien telah melahirkan banyak variasi iaitu Bahasa Hokkien Taiwan dan Bahasa Hokkien Pulau Pinang.
RUJUKAN:
Ethnologue: Taiwan. Dicapai pada 26hb Mac 2020 dari https://www.ethnologue.com/country/TW
Britannica: Taiwan. Dicapai pada 26hb Mac 2020 dari https://www.britannica.com/place/Taiwan
Saving the Penang Hokkien language, one word at a time. Dicapai pada 26hb Mac 2020 dari https://web.archive.org/web/20190410093053/https://www.malaymail.com/news/life/2015/07/14/saving-the-penang-hokkien-language-one-word-at-a-time/932943&
Dewan Bahasa Dan Pustaka: Diftong. Dicapai pada 26hb Mac 2020 dari http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=diftong
Dewan Bahasa Dan Pustaka: Triftong. Dicapai pada 26hb Mac 2020 dari http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=triftong
Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kata Pinjaman. Dicapai pada 26hb Mac 2020 dari http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kata+pinjaman
Japanese Taiwanese. Dicapai pada 26hb Mac 2020 dari http://www.indiana.edu/~lingdept/faculty/davis/Tu_Davis_Japanese_Taiwanese_2009.pdf
Dutch Loanwords in Taiwanese Hokkien. Dicapai pada 26hb Mac 2020 dari http://historyofdutch.blogspot.com/2019/08/dutch-loanwords-in-taiwanese-hokkien.html?m=1
26 Malay Words Penang Hokkien Lang Cannot Live Without. Dicapai pada 26hb Mac 2020 dari https://says.com/my/fun/malay-words-penang-hokkien-lang-cannot-live-without-because-it-s-literally-the-vocab

Ruangan komen telah ditutup.