Bahasa-Bahasa Yang Dah Pupus

491

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “kepupusan” ditakrifkan sebagai “hilang lenyapnya ataupun hapusnya sama sekali”. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, “bahasa” bermaksud “sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran”. Dalam dunia Linguistik, kepupusan bahasa berlaku apabila bahasa berkenaan tidak ada lagi penuturnya. Artikel ini membincangkan tentang bahasa-bahasa yang telah pupus di seluruh dunia.

Antara bahasa yang telah pupus adalah Bahasa Dalmatia. Bahasa yang dikenali sebagai Langa Dalmata adalah bahasa Romanik Italo-Dalmatia di bawah cabang Indo-Eropah yang pernah dituturkan di Croatia dan Montenegro. Seorang lelaki bernama Tuone Udaina (1823-1898) adalah orang terakhir yang mempunyai pengetahuan dalam bahasa berkenaan.

Pada 10 Jun 1898, beliau telah terbunuh akibat letupan semasa kerja-kerja di jalan raya. Kematian beliau telah menyebabkan bahasa ini mengalami kepupusan. Contoh ayat dalam bahasa ini adalah “Sant kauk certioin ko potuo favular in langa Inglesa?” yang bermaksud “Adakah ada sesiapa di sini yang tahu berbahasa Inggeris?”.

Selain itu, Bahasa Tambora adalah antara bahasa yang telah pupus. Bahasa ini merupakan bahasa Papua yang pernah dituturkan di Indonesia. Letusan Gunung Tambora pada tahun 1815 telah membunuh kesemua penghuni di kawasan berkenaan. Bencana alam tersebut telah menyebabkan bahasa ini mengalami kepupusan. Hitungan 1-10 dalam bahasa ini adalah seena, kálae, nih, kudein, kutélin, bátain, kúmba, koného, láli, saróne.

Di samping itu, Bahasa Nicoleño adalah antara bahasa yang telah pupus. Bahasa ini merupakan bahasa Uto-Aztecan yang pernah dituturkan oleh orang asli Amerika yang tinggal di Pulau San Nicolas di California. Juana Maria (1811-1853) adalah penutur terakhir dalam bahasa ini.

Tabiatnya yang suka memakan jagung, sayur dan buah mentah selepas bertahun-tahun tidak memakan makanan berkhasiat telah menyebabkan wanita tersebut menemui ajalnya. Kematian beliau pada 19 Oktober 1853 telah menyebabkan bahasa ini mengalami kepupusan. Hanya empat (4) perkataan dalam bahasa itu yang sempat diterjemahkan iaitu tocah, nache, toygwah dan puoochay yang masing-masing bermaksud haiwan meyorok, manusia, langit dan badan.

Kemudian, Bahasa Gothik adalah antara bahasa yang telah pupus. Bahasa ini merupakan bahasa Jermanik Timur di bawah cabang Indo-Eropah yang pernah dituturkan di Crimea. Bahasa ini kemudiannya pupus pada penghujung abad ke-18. Punca kepupusan bahasa ini adalah disebabkan oleh asimiliasi penduduk Gothik di kawasan berkenaan. Antara perkataan dalam bahasa ini adalah apel, handa, schuuester, hus, reghen, singhen dan geen yang masing-masing bermaksud epal, tangan, kakak, rumah, hujan, menyanyi dan pergi.

Bahasa Kamassian adalah antara bahasa yang telah pupus. Bahasa yang merupakan bahasa Samoyedik di bawah cabang Uralik itu pernah dituturkan di Rusia. Klavdiya Plotnikova (1893-1989) merupakan penutur terakhir bahasa ini. Walaupun fasih dalam bahasa itu, sayangnya beliau tidak berpeluang untuk berbual kerana tiada sesiapa selainnya yang tahu bahasa berkenaan selepas tahun 1950.

Ini diburukkan dengan pengaruh Bahasa Rusia yang memberi kesan kepada sebutan, struktur ayat dan perbendaharaan katanya. Contoh perkataan dalam bahasa ini adalah aavillo (аавийо), delim (ӓӓдэлим), aader (аадэр), aye (аайэ) dan aalam (аалам) yang masing-masing bermaksud kakak kepada ayah, melepak, setelah, pintu dan menyalahkan.

Kesimpulannya, itu adalah antara bahasa yang telah pupus di seluruh dunia. Kesan yang akan berlaku sekiranya sesuatu bahasa itu pupus adalah kita kan kehilangan memori tentang banyak budaya dan sejarah dunia. Bagi pendapat penulis, bahasa adalah benteng terakhir ketamadunan manusia. Jika bahasa itu pupus, segala isi yang berkaitan akan turut pupus bersamanya.

Sumber:

Four Things Happen When Language Dies And One Thing You Can Do Help. Retrieved April 8, 2019 from https://www.smithsonianmag.com/smart-news/four-things-happen-when-language-dies-and-one-thing-you-can-do-help-180962188/

Камасинско-русский словарь. Retrieved April 8, 2019 from http://kamass.efenstor.net/

D. Abondolo (1998). The Uralic Languages. Routledge; 1 edition. ISBN 0-415-08198-X. ISBN 978-0-415-08198-6.

Why Did The Gothic Language Disappear? Retrieved April 9, 2019 from https://www.quora.com/Why-did-the-Gothic-language-disappear

Todd B. Krause and Jonathan Slocum. “The Corpus of Crimean Gothic”. University of Texas at Austin.

Nidever, G.; Ellison, W. H., eds. (1984). The life and adventures of George Nidever, 1802–1883. Santa Barbara, CA: Mcnally & Loftin. ISBN 0-87461-058-3.

Donohue, Mark (2008-01-03). “The Papuan Language of Tambora”. Oceanic Linguistics. 46 (2): 520–537. doi:10.1353/ol.2008.0014. ISSN 1527-9421

Dalmatian Phrasebook. Retrieved April 8, 2019 from https://wikitravel.org/en/Dalmatian_phrasebook

Vuletić, Nikola (2013). “Le dalmate : panorama des idées sur un mythe de la linguistique romane”. Histoire Epistémologie Langage. 35: 45.

Muljačić, Žarko (2006). “Noterelle dalmatoromanze”. Estudis romànics. 28: 219.

Lenore A. Grenoble, Lindsay J. Whaley, Saving Languages: An Introduction to Language Revitalization, Cambridge University Press (2006) p.18

Carian Umum Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP). Retrieved April 8, 2019 from http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=bahasa

Carian Umum Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP). Retrieved April 8, 2019 from http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kepupusan

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.