Bahan Kimia Yang Dibuang Di Dalam Sungai Kim Kim

568

Dalam rencana saya hari ini, saya akan membicarakan mengenai jenis-jenis bahan kimia yang dibuang secara haram yang menyebabkan salah satu tragedi yang paling buruk di Malaysia melibatkan murid sekolah dan orang dewasa. Sungai Kim Kim menjadi sasaran sebagai cara untuk melupuskan sisa toksik, yang pada akhirnya menyebabkan pelbagai masalah kesihatan pada mangsa.

Malangnya, buat masa ini, kita tidak mengetahui apakah kesan jangka masa panjang bagi penduduk yang tinggal di sekitar kawasan tersebut, daripada segi perubatan. Saya tidak akan mengulas lanjut mengenai kronologi kisah ini dengan mendalam, sebaliknya saya akan menumpukan jenis-jenis bahan kimia yang dibuang serta apakah kesannya kepada masyarakat setempat.

Sedikit penceritaan peristiwa ini untuk anda semua ya. Pada 7 Mac 2019, beberapa orang murid sekolah beserta dengan pekerja di kantin daripada 2 buah sekolah yang terletak berhampiran Sungai Kim Kim tidak semena-mena jatuh sakit. Antara gejala yang mereka alami adalah sesak nafas, muntah-muntah, keradangan pada saluran pernafasan iaitu pada hidung dan tekak serta kulit mereka.

Setelah menerima laporan berkenaan, kedua-dua buah sekolah diarahkan untuk tutup. 21 mangsa yang terlibat, dan beberapa daripada mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Sultan Ismail. Laporan daripada pesakit menyatakan mereka terhidu bau yang pelik, dan tidak semena-mena, merasakan diri mereka sakit. Ada beberapa mangsa pengsan selepas terhidu bau tersebut. Sehingga 9 Mac, terdapat lebih 76 orang dimasukkan ke hospital dan angka ini semakin meningkat.

Pada 11 Mac, sekali lagi penduduk sekitar Sungai Kim Kim terhidu bau yang pelik. 207 orang mangsa dikejarkan ke hospital pada awalnya, dan kemudiannya, angka mangsa meningkat kepada lebih daripada 1000 orang mangsa, dan daripada itu, 8 orang daripadanya memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Mengikut pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohammad Hamdan Wahid, beliau mengatakan bahawa kombinasi cuaca panas dan angin yang bertiup kencang menyebabkan ramai lagi mangsa terlibat dan terdedah dengan sis toksik berkenaan. Beliau juga mengkritik tindakan pihak berkuasa yang tidak membuang segala sisa toksik berkenaan selepas mereka membiarkan sahaja sisa tersebut setelah mendapati bahawa ianya tidak lagi reaktif. Hal ini adalah kerana mungkin mereka tidak mendapat bantuan kewangan yang mencukupi untuk mengalihkan segala sisa toksik berkenaan.

Jumlah mangsa selepas itu semakin meningkat, dan akhirnya, insiden ini menyebabkan 6,000 orang mangsa terdedah kepada pencemaran tersebut manakala 2,775 mangsa dimasukkan ke hospital dan 110 buah sekolah ditutup serta-merta bagi memberi laluan untuk pembersihan sisa toksik ini.

Pencemaran gabungan pencemaran udara dan air ini juga membawa kesan buruk kepada hidupan akuatik seperti ketam, udang dan ikan mati. Habitat mereka juga musnah. Pencemaran ini kemudiannya memberi kesan kepada penduduk di beberapa kampung yang menggunakan air daripada Sungai Daing dan Kopok, iaitu salah satu sungai kecil yang bersambung dengan Sungai Kim Kim.

Jadi, apakah dia sisa toksik ini? Mengapakah ia begitu cepat menyebabkan pelbagai penyakit kepada penduduk di Sg Kim Kim? Sebelum itu, sedikit informasi tambahan untuk anda memahami petunjuk gambar ini, yang menjadi sebagai salah satu label untuk menunjukkan sifat bahan kimia tersebut. Perkara ini kita namakan sebagai Globally Harmonized System of Classification and Labelling of Chemicals atau lebih dikenali sebagai GHS Pictograms.

Capture

Setiap bahan kimia mempunyai petunjuk ini, yang dilabelkan di luar bekas yang menyimpan bahan kimia ini. Jadi, mengikut laporan yang dikeluarkan, terdapat 8 jenis bahan kimia yang mencemari Sungai Kim Kim, dan seterusnya menyebabkan ribuan masyarakat terdedah kepadanya iaitu:

  • Acrolein
1

Sebenarnya, bahan kimia ini terkandung di dalam asap rokok juga. Untuk perokok, kandungan acrolein berkurangan kerana terdapat penapis dalam rokok tersebut. Malangnya, asap yang terbebas ini mendedahkan kepada perokok pasif yang terhidunya. Kandungan acrolein ini merupakan satu kandungan yang tertinggi di dalam asap rokok, lebih kurang 40 kali lebih tinggi daripada hydrogen cyanide.

Bahan ini menyebabkan sistem imuniti yang mempertahankan seseorang daripada jangkitan kuman rendah, serta secara tidak langsung meninggikan risiko pembentukkan kanser terhadap seseorang,

  • Acrylonitrile
2

Bahan ini merupakan sejenis bahan organik, dan dalam proses penggunaan bahan ini di kilang, penghasilan sejenis bahan kimia berbahaya iaitu hydrogen cyanide boleh menyebabkan kematian pada seseorang yang terhidunya kerana hydrogen cyanide menghalang sel di dalam tubuh badan kita untuk menggunakan oksigen. Pendedahan pada ibu mengandung menyebabkan sel yang terdapat pada tali pusat yang menghubungkan uri kepada kandungan mati melalui proses yang dinamakan sebagai apoptosis.

Bahan ini meruap pada suhu 20 darjah celcius dan kajian terhadap haiwan mendapati bahawa pendedahan kepada bahan ini sendiri meningkatkan risiko untuk terjadinya kanser paru-paru. Walaupun bahan ini masih dikelaskan sebagai Class 2B Carcinogen oleh International Agency of Research in Cancer (IARC) yang bermaksud bahan ini ada kemungkinan mempunyai tendensi untuk menyebabkan kanser.

Namun, hal yang sedemikian adalah kerana tiada kajian yang boleh membuktikan bahawa bahan ini menyebabkan kanser kepada manusia. Yang ada hanyalah beberapa laporan kes terhadap pendedahan ini, yang menjadi satu bukti klinikal yang tidak kuat untuk mengubah keputusannya paad rating IARC itu sendiri.

  • Limonene
3

Walaupun bahan in sebenarnya bersifat semulajadi, namun, kesannya terhadap alam sekitar perlu diambil kira. Limonene boleh menyebabkan hidupan akuatik yang berasal daripada pelbagai spesis mati. Kematian haiwan-haiwan ini akan meningkatkan lagi pembentukkan alga yang secara tidak langsung akan mengurangkan kandungan oksigen di dalam air.

Bahan ini merupakan satu sebab mengapa sesetengah orang mempunyai alahan kepada beberapa jenis sabun pencuci pinggan dan menyebabkan keradangan kepada kulit yang tersentuh dengan bahan ini, iaitu Allergic Dermatitis.   

  • Toluena
4

Walaupun bahan ini mempunyai kadar toksik yang lebih rendah berbanding dengan benzene, namun terdapat beberapa kes kematian akibat terhidu gas yang mempunyai kandungan toluena yang tinggi sama ada secara tidak sengaja atau sengaja.

Hal ini adalah kerana pada peringkat yang tinggi, bahan ini akan mempunyai kesan kepada sistem saraf utama kita, iaitu pada bahagian otak. Antara kesan-kesannya termasuk kehilangan memori, mabuk dan akhirnya membawa kepada tidak sedarkan diri.

Hal ini adalah kerana bahan ini mengurangkan aktiviti sistem saraf utama, dan kebanyakkan mangsa yang maut akibat terhidu bahan ini adalah kerana kadar pernafasan mereka menjadi terlalu rendah, dan akhirnya bahagian badan akan mengalami hipoksia, yang menyebabkan kerosakan pada otak dan jantung manusia.

  • Hidrogen Klorida
5

Bahan ini merupakan sejenis asid yang dikeluarkan oleh sejenis sel pada bahagian perut kita. Fungsinya adalah untuk mengaktifkan beberapa jenis enzim untuk tujuan penghadaman kepada protein, dan pada masa yang sama untuk membunuh mikroorganisma yang terdapat pada makanan yang kita makan.

Walau bagaimanapun, pendedahan terhadap asid ini daripada luar boleh menyebabkan mangsa mengalami pelbagai jenis gejala penyakit kerana sifatnya yang menghakis. Sekiranya seseorang itu terhidu wap yang mengandungi kandungan asid ini, bahagian paru-paru mereka akan terhakis dan mengeluarkan cecair sebagai satu cara untuk melindungi alveolus daripada rosak.

Penghasilan cecair ini menyebabkan pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida tidak berlaku, dalam satu jenis kondisi perubatan yang kita panggil sebagai pulmonary oedema. Hal ini boleh menyebabkan kegagalan pada sistem badan yang lain kerana kekurangan oksigen, dan akhirnya boleh menyebabkan kematian.

  • Benzena
6

Benzena merupakan satu bahan yang telah diklasifikasikan sebagai carcinogen, iaitu bahan yang menyebabkan kanser. Sistem utama yang akan terkesan dengan bahan ini adalah sistem darah, yang mana bahan ini diketahui akan menyebabkan kegagalan sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah merah, putih dan platelet dan kesan akhirnya adalah aplastik anaemia.

Benzena akan merosakkan kromosom darah, yang mana menyebabkan peningkatan risiko untuk seseorang itu menghidapi kanser darah seperti Acute Myeloid Leukaemia (AML), Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL) dan Chronic Myeloid Leukaemia (CML).

  • Xylenes
7

Xylene hadir dalam bentuk 1,2-dimethylbenzene (ortho-xylene), 1,3-dimethylbenzene (meta-xylene) dan 1,4-dimethylbenzene (para-xylene). Bahan ini mempunyai kadar toksik yang sederhana kepada manusia dan biasanya, kesannya kepada sistem saraf tunjang manusia berlaku dalam satu jangka masa yang panjang.

Antara gejala yang biasanya berlaku akibat pendedahan ini adalah seperti kehilangan pendengaran, gangguan fokus dan juga kehilangan memori jangka-masa pendek. Hal ini amat berbahaya sekiranya penyakit ini, iaitu chronic solvent-induced encephalopathy berlaku pada kanak-kanak pada usia yang muda di mana sistem saraf mereka masih sedang dalam pertumbuhan.

  • Metana
8

Kebanyakkan daripada kita pasti pernah mendengar gas metana ini yang seringkali digunakan sebagai satu bahan bakar semulajadi. Hal ini adalah kerana pembakaran metana ini membebaskan karbon dioksida yang tidaklah setinggi pembakaran gas lain. Walaupun gas ini tidak begitu toksik kepada manusia, di mana pada kandungan yang amat tinggi barulah gas ini akan meninggalkan kesan kepada sistem pernafasan dan pengambilan oksigen, tetapi, gas ini yang terbebas di atmosfera mempunyai kesan rumah hijau yang amat tinggi.

Hal ini amat membimbangkan kerana terdapat satu kawasan di dunia ini yang mempunyai gas metana yang membeku di bawah lapisan ais, dan peningkatan suhu global ini akan membebaskannya, dan bakal merosakkan lagi lapisan ozon bumi kita.

Secara kesimpulannya, untuk kilang-kilang yang berada di Malaysia ini, mereka seharusnya mempunyai sifat perikemanusiaan dan peka dalam menguruskan pembuangan sisa toksik ini. Hal ini bukan sahaja akan menyebabkan pelbagai jenis penyakit dihidapi oleh mangsa-mangsa yang tidak bersalah.

Malah, perbuatan itu juga akan merosakkan alam sekitar. Sistem undang-undang juga perlu diperketatkan dengan mengenakan hukuman yang tinggi kepada pesalah, serta cara pelupusan bahan ini perlu diperkuatkuasakan dan dipantau dengan begitu kerap bagi mengelakkan hal ini daripada terus berlaku daripada masa ke semasa. 

RUJUKAN:

  1. Laporan Harian Metro bertajuk “Sah Punca Bahan Kimia Sungai Kim Kim”, Jun 2019 oleh Siti A’isyah Sukaimi
  2. Berita Harian Online, “Isu Sungai Kim Kim tuntut Tindakan Berkesan:, April 2019 oleh Abdul Qaiyum Musa
  3. Hazard Communication Standard Program, Occupational Safety and Health Administration on OSHA Quick Card Pictograms
  4. National Institute for Occupational Safety and Health (NIOSH) – NIOSH Pocket Guide to Chemical Hazard
  5. Pubchem Data Sheet on Chemicals Listed Above at pubchem.ncbi.nlm.noh.gov

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.