Bagaimanakah Sesebuah Bahasa Itu Terbentuk?

383

Pusat Penyelidikan Leipzig bagi Pembangunan Awal Kanak-Kanak di Universiti Leipzig (Research Center for Early Childhood Development in University of Leipzig) dan Institusi Max Planck bagi Perkembangan Antropologi (Max Planck Institute for Evolutionary Anthropology) cuba membuat simulasi tentang proses perkembangan sesebuah sistem komunikasi baru menerusi sebuah eksperimen.

Hasil yang diperoleh sangat mengejutkan, di mana kanak-kanak pra-sekolah juga boleh membangun dan mengembangkan suatu sistem komunikasi yang menjadi teras kepada sesebuah bahasa asli secara spontan.

KEMISTERIAN BAHASA

Bagaimanakah bahasa-bahasa yang wujud di dunia ini muncul dan berkembang? Hal ini sehingga kini menjadi suatu misteri yang besar. Memandangkan perkembangan bahasa ini berkemungkinan mengambil masa ribuan tahun, agak menarik juga untuk melihat bagaimana individu pekak mencipta bahasa-bahasa isyarat yang baru secara spontan.

Pemerhatian-pemerhatian yang dilakukan menunjukkan bahawa apabila individu-individu pekak yang saling tidak mengenali dikumpulkan di dalam sebuah komuniti, mereka berupaya menghasilkan suatu bahasa isyarat yang tersendiri dalam tempoh masa yang cukup singkat. Antara contoh yang paling masyhur bagi kes ini adalah Bahasa Isyarat Nicaragua yang dicipta pada 1980an.

Bahasa Isyarat Nicaragua dibangun dan dikembangkan secara spontan oleh kanak-kanak pekak di sejumlah sekolah di Nicaragua barat


Tambah menarik, kanak-kanak memainkan peranan penting dalam mencipta bahasa-bahasa baru. Walau bagaimanapun, bagaimana proses tersebut dilakukan tidak didokumentasikan oleh para penyelidik, sebagaimana yang diperincikan oleh Manual Bohn, “Kami hanya tahu serba-sedikit sahaja tentang bagaimana interaksi sosial dapat membentuk sesebuah bahasa. Di (titik persoalan) sinilah penyelidikan kami yang baru dimulakan.”

PENYELIDIKAN TENTANG BAHASA

Dalam sebuah siri penyelidikan yang dijalankan, para penyelidik dari Institusi Penyelidikan bagi Pembangunan Awal Kanak-Kanak Leipzig dan Institusi Max Planck bagi Perkembangan Antropologi cuba untuk menghasilkan semula proses tersebut (proses pembentukan sesebuah bahasa).

Menurut Gregor Kachel, idea untuk melaksanakan penyelidikan ini sudah timbul agak lama. Namun, terdapat suatu masalah yang menghalang mereka daripada menjalankannya, iaitu, bagaimanakah caranya untuk membuatkan sepasang kanak-kanak itu berkomunikasi antara satu sama lain tanpa mereka dapat bertutur?

Penyelesaian bagi permasalahan ini diperoleh menerusi perbualan Skype antara dua orang penyelidik dari Jerman dan Michael Tomasello di Amerika Syarikat. Bagi tujuan penyelidikan tesebut, dua orang kanak-kanak dijemput untuk menetap di dua buah bilik yang berbeza. Bilik-bilik tersebut disambungkan dengan aplikasi Skype.

Setelah menyesuaikan kanak-kanak tersebut dengan alatan-alatan yang ada, para penyelidik secara senyap-senyap mematikan suara (aplikasi Skype) untuk melihat bagaimana kanak-kanak tersebut menemukan cara komunikasi baharu yang melangkaui bahasa pertuturan.

Dalam penyelidikan tersebut, kanak-kanak itu diberikan tugas untuk memerincikan sebuah imej pada lukisan-lukisan yang berbeza. Dengan imej barangan konkrit seperti tukul ataupun garpu, kanak-kanak itu dengan pantas berjaya menemukan cara untuk memerincikannya, iaitu dengan melakonkan aksi berkaitan (misalnya seperti makan).

Dua orang kanak-kanak perempuan sedang berkomunikasi melalui bahasa yang tidak dituturkan

“Pada mulanya, kanak-kanak (yang memainkan peranan sebagai) penghantar pesanan mencuba segala macam lakonan. Namun, temannya memaklumkan bahawa beliau tidak dapat meneka apa yang sedang cuba disampaikan.

Namun, para penyelidik mencabar kanak-kanak itu dengan imej yang lebih abstrak, seperti sehelai kertas putih yang kosong. Elemen ‘ketiadaan’ seperti ini sukar untuk diterangkan dalam bentuk lakonan. Dalam kertas penyelidikannya, Kachel menerangkan bagaimana dua orang kanak-kanak tersebut menyelesaikan tugasan itu:

Kemudian, kanak-kanak penghantar pesanan menarik baju-T yang sedang dipakainya ke sisi dan menudingkan jari ke arah titik putih yang ada baju tersebut. Dengan demikian, kedua kanak-kanak itu berjaya melepasi cabaran tersebut! Putih! Sama seperti kertas putih!”

Kemudian apabila peranan yang dimainkan oleh kedua kanak-kanak itu ditukar, kanak-kanak yang kini menjadi penghantar pesanan tidak mempunyai tompok putih pada baju yang dipakainya. Namun, beliau tetap menggunakan pendekatan yang sama.

Promosi Buku DTT

Beliau menarik bajunya ke sisi dan menuding ke arahnya. Dengan pantas temannya itu dapat mengetahui apa yang cuba disampaikan. Dalam tempoh masa yang singkat, mereka berdua mencipta satu bahasa isyarat bagi menerangkan suatu konsep yang abstrak (iaitu putih).

Sepanjang tempoh penyelidikan ini berlangsung, imej-imej yang diberikan semakin lama menjadi semakin kompleks. Begitu juga dengan gerak isyarat yang dihasilkan oleh mereka berdua.

Misalnya, untuk berkomunikasi seperti dua haiwan, kanak-kanak itu mencipta gerak isyarat yang terpisah untuk membezakan antara pelakon (jenis haiwan) dan tindakan (sifat haiwan itu), sebelum menggabungkannya. Dengan demikian, mereka berupaya mencipta suatu tatabahasa ringkas.

Kembali kepada persoalan yang menjadi tajuk artikel ini, bagaimana sesebuah bahasa itu dapat wujud?

Berdasarkan penyelidikan terkini, jawapan berikut mungkin merupakan jawapan yang cukup munasabah: Pertama, manusia menghasilkan rujukan terhadap tindakan dan objek mewakili isyarat-isyarat yang dapat mewakili kedua subjek tersebut.

Prasyarat bagi hal ini adalah pasangan interaksi yang terlibat perlu berkongsi pengalaman yang sama. Dengan demikian, pasangan interaksi ini dapat menyelaraskan diri dengan saling meniru/melakonkan isyarat yang sama untuk menyampaikan mesej tentang subjek yang sama.

Kemudian secara bertahap, isyarat tersebut meraih permaknaan interpersonal dan seterusnya permaknaan konvensional. Seiring peredaran masa, hubungan di antara gerak-isyarat dan subjek yang cuba diterangkan menjadi semakin abstrak dan permaknaannya menjadi semakin spesifik. Lalu, struktur tatabahasa pun diperkenalkan secara bertahap apabila timbul keperluan untuk berkomunikasi dengan lebih kompleks.

Namun, apa yang lebih mengagumkan dalam penyelidikan terkini yang dilakukan adalah proses tersebut (proses perkembangan bahasa) dapat disaksikan dalam suatu situasi yang terkawal dan dalam tempoh masa yang singkat, iaitu hanya selama 30 minit.

Mural di Teotihuacan, Mexico menggambarkan seorang individu mengeluarkan selembar gulungan pertuturan dari mulutnya, sebagai simbol bahasa pertuturan

Penyelidikan-penyelidikan sebegini menunjukkan bahawa komunikasi tidak hanya terhad pada penggunaan perkataan sahaja. Apabila tiada lagi cara untuk menggunakan bahasa pertuturan konvensional, manusia akan mencari jalan lain untuk menyampaikan mesej. Fenomasi inilah yang menjadi asas kepada pembentukan sesebuah bahasa baru.

Penyelidikan yang dilakukan oleh Manuel Bohn, Gregor Kachel dan Michael Tomasello ini memberikan gambaran kepada kita tentang langkah awal perkembangan sesebuah bahasa baru.

Namun menurut Bohn, beberapa persoalan mula timbul pada peringkat ini, “Menarik bagi kami untuk melihat bagaimana sistem komunikasi yang baru ini mengalami perubahan seiring peredaran masa, misalnya apabila ia diperturunkan (diwariskan) kepada generasi baru. Terdapat bukti bahawa sesebuah bahasa akan menjadi semakin sistematik apabila ia diperturunkan.”

TERJEMAHAN:

Ruangan komen telah ditutup.