Malaysia telah wujud sebagai sebuah negara berdaulat dan negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu selama lebih 60 tahun. Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 pernah diduduki oleh British selama 171 tahun, bermula dengan Pulau Pinang pada tahun 1786, Pulau Singapura pada tahun 1819 dan Melaka pada tahun 1824.

Negeri-negeri Melayu Bersekutu dijadikan negeri lindungan British pada tahun 1895. Seterusnya Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu bernaung di bawah Empayar British dengan Johor menjadi negeri terakhir dicengkam British pada tahun 1914.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, British mempersiapkan Tanah Melayu untuk berkerajaan sendiri menerusi Gagasan Malayan Union. Akibat daripada hakisan dahsyat terhadap kuasa-kuasa raja-raja Melayu dan ancaman kepada kedudukan orang-orang Melayu menerusi kerakyatan jus soli, gagasan Malayan Union gagal pada tahun 1946 dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Kerakyatan

Menerusi Persekutuan Tanah Melayu, kerakyatan terhadap imigrant pada ketika itu seperti orang-orang Cina dan India diperketatkan, tidak seperti Malayan Union. Ketua Menteri Tanah Melayu pada ketika itu, Tunku Abdul Rahman pula menginginkan kemerdekaan untuk negara ‘Persekutuan Tanah Melayu’.

Pihak British memberikan syarat bahawa kemerdekaan akan diberikan sekiranya orang-orang Cina dan India diberikan kerakyatan. British telah membelanjakan banyak wang sewaktu Perang Dunia Kedua dan tidak mahu membayar jumlah peruntukan menghantar imigran-imigran ini pulang.

Akhirnya, Bapa Kemerdekaan kita, Tunku Abdul Rahman bersetuju dengan pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India menerusi Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) dan Kongres India Tanah Melayu (MIC) bahawa kerakyatan diberikan dengan syarat hak-hak istimewa orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu, taraf bahasa Melayu dan agama Islam dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi persetujuan inilah, jutaan imigran Cina dan India pada waktu itu beroleh kerakyatan, sesuatu yang mustahil untuk berlaku di banyak negara-negara lain seperti Myanmar, Brunei, dan Republik Dominica.

Selain kaum Rohingya yang masih lagi tidak diiktiraf sebagai warganegara di Myanmar, terdapat sebilangan besar orang-orang Cina tidak bernegara di Brunei serta penduduk berketurunan Haiti yang dianggap sebagai pendatang haram di Republik Dominica walaupun mereka telah bergenerasi lahir dan membesar di negara-negara tersebut.

Terdapat juga sebilangan individu tidak berwarganegara di Kanada, Amerika Syarikat, Turki, United Kingdom dan Qatar.

Apa Akan Jadi Sekiranya Tanah Melayu Tidak Merdeka Pada Tahun 1957?

Katakanlah Tunku Abdul Rahman tidak mengejar kemerdekaan dan memilih untuk tunggu dan lihat seperti Brunei (yang hanya mencapai kemerdekaan pada tahun 1984), apa agaknya yang akan berlaku di Tanah Melayu?

Jutaan orang-orang Cina dan India mungkin gagal mendapatkan kerakyatan.

Selaku anggota utama pihak Berikat, British telahpun membuat pengisytiharan menerusi Piagam Atlantik pada tahun 1941 bahawa sekiranya pihak Berikat menang dalam Perang Dunia Kedua, negara-negara jajahan atau naungan akan diberikan kemerdekaan sewajarnya.

Sebagai contoh, Negara Brunei Darussalam hanya memperoleh kemerdekaan pada tahun 1984. Tidak seperti konsep jus soli, Brunei mengamalkan kerakyatan jus sanguinis, di mana kerakyatan hanya diberikan menerusi pertalian darah atau kerakyatan ibu-bapa.

Kerakyatan Brunei juga, menurut Akta Kerakyatan Brunei 1961, hanya boleh didapatkan sekiranya pemohon lulus ujian Bahasa Melayu yang sangat ketat penilaiannya. Oleh kerana itu, sebahagian besar penduduk etnik Cina di Brunei bukan warganegara tetapi cuma bertaraf penduduk Tetap.

Disebabkan itu juga, tulisan Jawi dan bahasa Melayu sangat dihormati oleh semua warganegara dan penduduk tetap di Kesultanan ini kerana mereka mengerti kedudukan tinggi lambang-lambang negara tersebut.

Sekiranya Persekutuan Tanah Melayu memilih cara seperti Brunei menuntut kemerdekaan, besar kemungkinan Persekutuan Tanah Melayu akan memperoleh kemerdekaan dengan tidak terlalu cepat dan kemerdekaan boleh dicapai tanpa apa-apa syarat.

Akibat daripada itu, mungkin sehingga ke saat ini jutaan orang-orang Cina dan India tidak akan berupaya mendapatkan kerakyatan dan hanya sekadar menjadi penduduk tetap Persekutuan Tanah Melayu atau terpaksa pulang ke negara leluhur mereka sekiranya diterima kembali.

Ternyata, sejarah Persekutuan Tanah Melayu tidak seperti Brunei. Persekutuan Tanah Melayu merdeka awal pada tahun 1957 dengan kerakyatan diberikan kepada semua individu tak kira Bumiputra ataupun imigran yang berada di Tanah Melayu pada ketika itu menerusi kompromi kedua-dua komuniti. Sabah dan Sarawak kemudian bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963.

Sebagai kompromi kepada pemberian kerakyatan, semua rakyat Malaysia perlulah menghormati hak-hak Bumiputra yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak mempersoalkan taraf kerakyatan kaum Bukan Bumiputra. Toleransi inilah yang telah membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang aman, harmoni dan stabil sepanjang 6 dekad bernegara.  

Kesimpulan

Setelah 62 tahun merdeka, perkara seperti mempersoalkan hak-hak istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputra, melabelkan sesetengah kaum sebagai pendatang dan menghina warisan budaya Melayu seperti tulisan Jawi yang disamakan dengan baja tahi lembu perlulah dielakkan.

Seperti Negara Brunei Darussalam dan Indonesia yang mengangkat martabat bahasa kebangsaan mereka, rakyat Malaysia juga perlu menjulang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. Apa bezanya seseorang warganegara Malaysia dengan warganegara asing sekiranya tidak dapat berbahasa Melayu dengan baik?

Terdapat jutaan manusia di luar sana yang menderita tidak bernegara.

Janganlah kita sia-siakan anugerah kemerdekaan ini dan terlupa nikmatnya bernegara.

Artikel kiriman Hazmi Rusli untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.