Sebagai antara kuasa badminton yang disegani satu masa dahulu, pencapaian Malaysia di peringkat antarabangsa banyak dibantu oleh legenda-legenda seperti Tan Aik Huang, Datuk Punch Gunalan dan Sidek bersaudara. Dalam kes Piala Thomas 1967, Aik Huang dan legenda regu Ng Boon Bee dan Tan Yee Khan menjadi arkitek kejayaan negara menjulang piala keramat itu di sebalik provokasi yang dimainkan penyokong Indonesia!

Sebelum negara mencapai kemerdekaan, Malaysia atau Persekutuan Tanah Melayu ketika itu menjulang Kejuaraan Berpasukan Lelaki Sedunia sebanyak tiga kali dari 1949 hingga 1955. Namun sejak itu, hajat negara meraih kejuaraan yang ditukar nama kepada Piala Thomas sentiasa tidak kesampaian. Justeru, pasukan Piala Thomas 1967 berhasrat mahu melakar nama demi Malaysia.

Selain Aik Huang, Boon Bee dan Yee Khan, pasukan negara turut dianggotai oleh Omar Manaf, Billie Ng, Yew Cheng Hoe dan kapten pasukan Teh Kew Sin. Bagi Kew Sin, ini merupakan penampilan keempat dan terakhir dalam kejohanan berprestij itu. Justeru, rakan-rakan sepasukan pasti mahukan kenangan terakhir Kew Sin bersama pasukan kebangsaan ialah menjulang Piala Thomas.

Nama-nama ini dianggap asing bagi generasi hari ini tetapi pada ketika itu, mereka dianggap pemain elit dan digeruni pihak lawan. Bagi mana-mana pemain perseorangan, jika mereka melihat nama Aik Huang, sudah pasti rasa gentar akan timbul. Pada tahun sebelumnya, Aik Huang telah menggondol lima kejuaraan perseorangan lelaki.

Lawan mereka sudah pasti negara jiran Indonesia. Walaupun pernah bergelar juara sebanyak tiga kali untuk tiga edisi sebelumnya, Boon Bee kini berusia 82 tahun melihat Indonesia bukan lawan setaraf mereka. Jika ada sekalipun, ia dalam bentuk bakal pemain legenda Rudy Hartono.

Perjalanan ke final untuk kedua-dua pasukan tampak mudah. Malaysia mudah mengatasi Denmark, Pakistan dan India sebelum menewaskan Jepun 6-3 sekaligus mempertemukan mereka dengan Indonesia. Walaupun negara jiran itu bukan lawan setaraf mereka, pasukan negara perlu berhadapan dengan provokasi penyokong memandangkan Indonesia beraksi di laman sendiri.

Cheng Hoe memulakan rentak kemenangan dengan menewaskan Ferry Sonneville disusuli dengan kejayaan dua regu negara pada malam pertama. Namun begitu, pada malam kedua kejohanan, Aik Huang tewas mengejut di tangan Rudy yang sedang membina reputasinya sebagai pemain perseorangan terkemuka. Di sebalik itu, Malaysia masih mendahului 3-1.

Apabila permainan kembali bersambung, Indonesia berjaya menyamakan kedudukan sebelum Aik Huang bangkit dan menewaskan Sonneville. Justeru, tugas akhir untuk menamatkan tentangan tuan rumah jatuh ke tangan Boon Bee dan Yee Khan. Harapan untuk tuan rumah bangkit semula disandarkan kepada regu Muljadi dan Agus Susanto.

Bagi Yee Khan, perlawanan tersebut sememangnya tidak dapat dilupakan tetapi bukan atas sebab yang baik. Bagi peminat sejarah sukan, pertarungan Boon Bee-Yee Khan dengan Muljadi-Susanto sebagai perlawanan badminton paling kontroversi dalam sejarah sukan berkenaan.

Pada awalnya, regu Boon Bee-Yee Khan berjaya memenangi set pertama 15-2. Kedua-dua pemain menjadi duri dalam daging kepada Muljadi-Susanto dengan setiap hantaran dan servis berjaya ditangkis mereka. Namun pada set kedua, regu Indonesia berjaya memenangi set kedua dengan bantuan gangguan dan provokasi penyokong tuan rumah.

Berang dengan gangguan mereka terutama suluhan lampu suluh, pasukan Malaysia membuat bantahan kepada pengadil. Pengadil pertandingan Herbert Scheele meminta pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan penyokong yang berbuat demikian dari stadium tetapi tidak dilayan. Bimbangkan keselamatan pemain negara ditambah cercaan penyokong yang tidak berpuas hati, Scheele memutuskan perlawanan tersebut dibatalkan.

Bila diminta mengimbas semula insiden tersebut, Yee Khan berkata, “Mereka meng4ncam kami dengan teruk. Kami semua merasa amat takut, kami tak boleh tidur. Penyokong Indonesia menjerit di luar hotel tanpa sebarang halangan.” Pasukan negara dibawa ke hotel penginapan diiringi pasukan keselamatan Indonesia.

Pada pukul 3.00 pagi, mereka tidak menyangka apa yang berlaku seterusnya. Yee Khan menambah, “Mereka memberitahu kami untuk bersiap sedia. Kami sangka kami akan kembali untuk meneruskan permainan tetapi mereka meletakkan kami dalam penerbangan balik.” Pada malam itu, tiada pasukan ditabalkan sebagai juara.

Tidak lama selepas itu, kedua-dua pasukan diberi peluang menyambung permainan di gelanggang berkecuali. Indonesia yang marah dengan pemilihan New Zealand sebagai gelanggang berkecuali memilih menolak sementara Malaysia bersetuju. Keputusan Indonesia membolehkan Malaysia bergelar juara Piala Thomas buat kali pertama sejak tahun 1955.

Menurut Yee Khan dan Boon Bee, ia merupakan satu detik membanggakan. Bagi Boon Bee, ini kerana mereka ketika itu masih bergelar pemain amatur dan hanya berpeluang berlatih dua hingga tiga minggu sebelum sesebuah kejohanan besar bermula memandangkan semua mempunyai pekerjaan masing-masing.

Bila ditanya sekiranya pasukan 1967 boleh mengatasi lawan hari ini, beliau merasakan mereka berpeluang. Tambah Boon Bee, “Mereka hanya mempunyai seorang atau dua pemain yang kuat, selebihnya bukan pemain terbaik dunia seperti kami ketika itu.”

RUJUKAN:

Ariff, Imran. (2020). How Thomas Cup champs escaped Indonesian supporters’ wrath. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/…/how-thomas-cup-champs-…/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.