Bagaimana Untuk Memilih Dan Menambah Bahan Bacaan Peribadi?

2641
views

Pernah tak rasa nak membaca tapi tak tahu bahan apa yang hendak dibaca? Tidak faham apa yang dibaca? Atau bosan dengan buku yang tebal dan tiada gambar? Di sini dikongsikan tips-tips yang mudah untuk mula mencari bahan bacaan. Semoga bermanfaat.

1. Tentukan genre yang diminati dan maklumat yang ingin di ketahui – biasanya saya akan memilih ketegori- kategori bacaan yang memuaskan nafsu ingin tahu saya, seperti bacaan berbentuk sejarah, biografi, pengetahuan umum, agama, dan macam-macam lagi.

2. Baca buku yang digunakan dibahagian nota kaki serta bahagian rujukan – apabila kita membaca sesetengah buku, ada disertakan nota kaki. Jadi saya jadikan buku rujukan nota kaki itu sebagai bacaan tambahan saya untuk menambahkan lagi pengetahuan saya berkenaan topik yang dibincangkan. Kadangkala, dalam buku yang sedang kita baca, penulis ada juga menyebutkan buku yang dibaca atau jadikan rujukan. Jadi, tinggal cari sahaja buku yang disyorkan oleh penulis.

3. Sentiasa mempunyai keinginan terhadap sesuatu perkara yang baharu – sebenarnya dunia ini sangat banyak perkara yang tidak kita ketahui. Oleh itu semakin besar ingin rasa tahu kita, maka dengan itu semakin banyaklah kita akan menambahkan bahan bacaan kita.Pilih apa sahaja jenis bacaan. Puaskan rasa ingin tahu kita dengan membaca walaupun sehelai artikel yang dicetak dalam saiz A4.

4. Sentiasa peka dengan isu semasa dan berusaha memahami isu yg dibincangkan dengan menambah pengetahuan dengan membaca – isu semasa juga boleh dijadikan penyumbang terhadap bahan bacaan kita. Lebih banyak kita ambil tahu dengan isu semasa, maka lebih banyak kita akan mencari bahan bacaan untuk mengetahui sesuatu isu semasa itu. Contohnya seperti isu politik, geopolitik, adat dan budaya luar, sejarah, agama dan pelbagai lagi.

5. Apabila membeli buku yang tidak difahami, simpan dahulu dan kemudian baca buku lain yang lebih mudah dalam kategori yang sama. Lama kelamaan, kita akan faham buku yang tidak di fahami tadi, hasil dari bacaan buku lain yang mudah penyampaiannya. Boleh jadi pengetahuan kita belum sampai ke tahap bahasa atau penyampaian buku yang susah difahami tadi. Tidak salah bertatih-tatih dalam memahami sesuatu perkara.

6. Rajinkan diri mengunjungi kedai buku terdekat. Sekurang-kurangnya kita akan membawa pulang sebuah buku, walaupun buku picisan. Percayalah, kadang- kadang niat kita hanya nak tengok-tengok saja, tapi kadangkala keluar dari kedai buku dengan membeli dua atau tiga buah buku.

7. ‘Like’ halaman-halaman media sosial yang menjual buku dan yang mengulas buku atau apa-apa halaman yang berkaitan dengan buku. Jadi dari situ kita dapat tahu dan info berkenaan mana-mana buku yang menarik. Banyak halaman media sosial yang menyediakan jualan buku atas talian termasuk buku-buku yang tidak dijual di kedai buku, termasuklah buku luar negara. Buku terpakai pun ada juga.

8. Berkawan dengan orang yang suka membaca buku. Bertukar-tukar pendapat dan pandangan berkenaan buku dapat menambahkan lagi koleksi bacaan kita.Kalau macam saya, tuan Anwar Nursi sering mengusulkan buku yang menarik buat saya. Kawan yang baik akan mencadangkan buku yang baik untuk kita. Boleh juga pinjam buku-buku yang menarik dari kawan-kawan. Jangan liat pula nak pulangkan.

9. Buat perpustakaan peribadi dan bilik atau ruang bacaan. Bila ada perpustakaan peribadi dan ruang bacaan, maka kita akan sentiasa mencari buku yang baru untuk dimasukkan dalam koleksi kita, walaupun buku tu tak habis dibaca.

10. Baca buku yang dibaca oleh tokoh-tokoh ulama terdahulu, serta baca juga tulisan-tulisan mereka kerana tulisan dan ilmu mereka kekal berkurun lamanya untuk memberi bakti kepada yang membacanya.

11. Tetapkan matlamat , dalam tempoh tertentu, kita nak jadi apa dengan hasil bacaan kita. Kita adalah apa yang kita baca. Jika kita ada matlamat, sudah tentu kita akan mencari bahan bacaan berkenaan matlamat kita. Kalau kita nak jadi penulis novel dalam masa lima tahun, maka dalam masa lima tahun itu, banyakkan membaca novel terkenal bagi mendapatkan ‘feel’ sebelum menulis novel. Begitu juga pada matlamat-matlamat yang lain

12. Jangan hanya ‘terlekat’ dengan satu genre – lazimkan diri dengan membaca pelbagai jenis genre buku. Kalau selalu baca buku agama, cubalah bertukar genre kepada genre yang lain seperti psikologi atau sejarah. Dengan membaca buku yang berlainan genre secara tidak langsung akan memperluaskan sudut pandangan kita terhadap sesuatu perkara.

13.Baca apa yang orang hebat baca. Orang yang hebat biasanya orang yang membaca. Kebiasaan orang/tokoh yang hebat ini mereka menghabiskan masa membaca dan menelaah ilmu-ilmu yang mereka inginkan. Jadi, tak salah untuk kita sama- sama mengambil manfaat ke atas bahan bacaan mareka.

14. Baca biografi orang-orang hebat. Kisah mereka boleh dijadikan sumber inspirasi dan panduan. Banyak buku-buku biografi dijual di kedai buku terkemuka, dari biografi orang perseorangan hinggalah orang kenamaan. Ambil manfaat dan pengajaran dari kisah mereka dan jadikan pedoman jika baik.

15. Download e-book percuma atau buku bebentuk pdf percuma di internet. Terdapat banyak e-book percuma di internet. Ini memberikan kemudahan kepada mereka yang mempunyai gadjet untuk membaca di masa-masa lapang mereka.

16. Baca artikel di ruangan akhbar – kebanyakan akhbar-akhbar tak kira arus perdana atau sebaliknya tentu mempunyai ruangan kolum artikel dari kolumnis mereka. Tulisan mereka juga boleh dijadikan bahan bacaan dan boleh diambil manfaat jika membawa kebaikan.

Ini adalah serba sedikit tips yang boleh saya kongsikan. Boleh jadi ada di luar sana yang lebih baik tips nya. Sama – sama kita berkongsi benda yang memberi manfaat.

Semoga budaya membaca subur dalam hidup kita.

Beruk ketawa mendapat bunga,
Malas baca nanti terpinga-pinga.