Bagaimana Theranos Jatuh Ke Kancah Nista?

619

Theranos bunyinya lebih kurang macam Thanos. Jangankan bunyi – ditukarkan menjadi abu pun pada tahun sama iaitu 2018. Tapi bukan nak cerita pasal Thanos lah. Syarikat bernama Theranos asalnya dimulakan sekitar tahun 2003 dengan matlamat mampu menjalankan ujian darah hanya dengan sampel yang sangat sedikit.

Pengasasnya pula hanya 19 tahun ketika itu. Elizabeth Holmes siap keluar daripada Universiti Stanford untuk membangunkan syarikat yang disebut-sebut media sebagai “revolutionary”. Sekitar tahun 2015, Holmes dipetik Forbes sebagai billionaire wanita paling muda di Amerika Syarikat dengan nilai syarikatnya mencecah US$9 bilion.

Syarikat ini mula menapak dengan sebuah idea sahaja. Holmes ingin menggunakan kemajuan teknologi mikro semasa untuk mereka sebuah alat ujian darah. Menggabungkan perkataan “therapy” dan “diagnosis”, Theranos dilahirkan secara rasmi dengan persepakatan bersama beberapa pemodal teroka yang melabur sebanyak US$700 juta.

Setapak demi setapak, Theranos mula mendapat perhatian sampai Cleveland Clinic pun berminat membuat jalinan kerjasama juga. Cleveland Clinic makan modal Holmes bahawa Theranos mempunyai teknologi yang boleh membuat ujian makmal pada kos yang jauh lebih rendah.

Dan pada Julai 2015, iaitu kemuncak zaman kegemilangannya, Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (FDA) meluluskan alat ujian darah Theranos yang dikatakan terbukti mampu mengesan virus herpes (HSV-1).

Holmes dan Alat Ujian Darah “Fingerstick”

Kejatuhan Theranos bermula sekitar Oktober 2015 apabila wartawan John Carreyrou daripada Wall Street Journal telah menyiasat semua teknologi Theranos. Selepas beberapa ujian dibuat sebelum itu, apa yang didapati Carreyrou boleh disimpulkan dengan satu perkataan. Overclaim. Dalam satu artikel, Carreyrou mempersoalkan 240 jenis ujian Theranos daripada kolesterol ke kanser yang dikhabarkan boleh diketahui dengan hanya setitis dua darah.

Semua pihak yang terlibat dengan Theranos dikatakan telah ditipu Holmes (dan teman lelakinya Ramesh Balwani). Menurut Carreyrou, beribu-ribu saintis cuba membuat teknologi yang dijaja Holmes sejak 1990-an lagi. Mereka gagal, dan kejayaan Holmes/Theranos pun tidak jauh daripada apa yang dicapai mereka.

Carreyrou juga mengatakan Holmes dan Balwani mencetuskan sebuah persekitaran negatif dengan menakut-nakutkan pekerja jika bercakap benar. Jadi pekerja-pekerjanya hanya keluar dengan diam serta tidak berani untuk bersuara. Malah Carreyrou pun diancam juga semasa berusaha untuk membuka maklumat sulit tentang Theranos.

Promosi Buku DTT

Tidak mengendahkan ancaman ini, artikel Oktober 2015 tetap diterbitkan Carreyrou: keputusan Theranos dikatakan tidak tepat. Mesin ujian Theranos dikatakan sama dengan mesin lain. Inilah kritikan pertama Theranos terima di media yang mana Holmes sekadar menafikan saja sambil berjanji menerbitkan data ketepatan.

Holmes juga menggunakan dakyah politik dan kata-kata falasi bahawa: “inilah apa mereka akan buat kalau kita cuba ubah keadaan. Mula mereka kata kita gila. Kemudian mereka cuba lawan. Kemudian kita berjaya ubah dunia.”

Namun pada Januari 2016, Theranos pula semakin dasyat dilawan. Agensi Persekutuan Perkhidmatan Medicare dan Medicaid (CMS) Amerika Syarikat menghantar surat amaran kepada Theranos selepas mendapati banyak keralatan pekerja, prosedur dan peralatan.

Atas kegagalan membetulkan masalah di makmalnya di California, Holmes kemudian diharamkan daripada menggunakan mana-mana makmal rasmi. Pada Julai 2016, CMS melanjutkan sekatan terhadap Holmes sampai tidak membenarkan pemilikan, operasi dan arahan perkhidmatan ujian darah. Sekatan ini menamatkan kerjasama Theranos bersama Walgreens.

Pada tahun 2017, Theranos menerima saman daripada Arizona yang mendakwa 1.5 juta ujian darah negeri itu tidak tepat. Theranos yang dulunya mempunyai 800 pekerja. Kini hanya 305 orang sahaja yang tinggal sebelum cuba menamatkan perkhidmatan 105 orang lagi. Setahun kemudian, didapati hanya 24 orang sahaja bekerja dengan Theranos. Dan pada 5 September 2018, syarikat ini dibubarkan selepas Holmes dan Balwani mula berdepan dengan tuduhan penipuan dan konspirasi.

RUJUKAN:

Seth Fiegerman, Sara A. O’Brien ( 2019) Theranos employees struggle to put scandal behind them, CNN Bussiness. https://edition.cnn.com/2019/03/14/tech/theranos-employees/index.html

Ruangan komen telah ditutup.