Jalan raya adalah penghubung yang sangat penting. Tanpa jalan raya, sebuah ekonomi takkan boleh berfungsi. Bagaikan badan mempunyai jantung, hati, perut dan otak segala bagai… tetapi tiada arteri dan urat untuk menggerakkan darah.

Nescaya badan akan mati. Itulah kiasan kalau masih samar-samar pasal jalan raya. Tidak mungkin ada yang samar-samar. Kerana semua pernah menggunakan jalan raya untuk ke sana sini.

Jalan raya sudah lama memainkan peranan dalam kehidupan seharian, sejak pertama kali dibina semasa tamadun yang tidak dapat dikenal pasti. Antara dapatan popular adalah Tamadun Mesir Purba menghala ke Giza, yakni antara 2600 hingga 2200 S.M. (Speight, 2015).

Namun itu bukan jalan paling tua di dunia, kerana pakar arkeologi menemui jalan 6,000 tahun dalam bandar Ur di Timur Tengah (O’Flaherty, 2018). Malah manusia juga dikenal pasti sudah menggunakan jalan sejak 10000 S.M., iaitu 12,000 tahun dahulu.

Namun definisi “jalan raya” merujuk pada jalan utama yang menghubung antara dua kawasan. Senang kata, jalan yang sering digunakan.

Antara jalan raya dalam lembaran sejarah yang wajar menjadi contoh adalah Via Appia yang dibina antara 312 S.M. hingga 264 S.M., menghubungkan Rom dan Brindisi.

Pada masa itu, Rom dipimpin Si Buta Appius Claudius dalam sebuah sistem republik. Via Appia dinamakan sempena Appius.

Saban abad, Rom menggapai status kedaulatan yang hebat. Sempadannya terbentang luas, meskipun semasa dipimpin sebagai republik… apatah lagi selepas menjadi sebuah empayar dibawah Augustus Caesar.

Rom bukan empayar yang lemah-lembut. Sementara pihak lain melanggan diplomasi sebagai tali, Rom menggunakannya bagaikan api. Pihak lain melihat perang sebagai pilihan terakhir. Rom menunggangnya untuk berkembang.

Dan semua kejayaan Rom berpunca daripada infrastruktur perhubungannya yang serba maju.

Cara Pembinaan Yang Maju

Walaupun Rom serba maju, Pembina mereka selalunya guna apa-apa bahan yang ada. Kalau bagi batu, maka batulah. Kalau bagi cangkul, hanya tanah saja.

Setelah sekian lama, jalan raya tanah pun hilang diganti dengan infrastruktur lebih moden. Sebenarnya jalan raya tanah tidak boleh dipandang enteng. Ia lebih serbaguna (versatile) kerana boleh bina apa-apa bangunan baru. Jadi jalan raya tanah memang ada kegunaannya.

Jalan raya batu pula adalah untuk kekal lama. Mereka akan mula dengan menggali parit terlebih dahulu. Panjang dan lebar parit ini tertakluk pada keluasan jalan. Selalunya cetek saja dengan lebar satu meter untuk kemudian dituang batu-batu kerikil.

Benteng kecil di kedua-dua sisi adalah untuk memastikan batu kerikil ini tidak keluar daripada parit ini. Kemudian mereka akan menuang batu hancur dengan simen kapur, sebelum diakhiri dengan susunan bata diperbuat daripada batu, besi dan bahan daripada gunung berapi (Andrews, 2021).

Bukan setakat jalan raya saja. Mereka turut menyediakan papan tanda dan penanda kilometer, terancang dengan hotel dan stesen persinggahan untuk menghentikan kuda dan keldai. Sesiapa yang berhenti perlu membayar cukai kepada kerajaan.

Golongan pedagang dan pendatang memang dikikis sampai kering. Dan barangkali penghantar berita saja dikecualikan cukai.

Satu perkara yang sangat penting. Pembinaan mereka memang untuk kekal lama. Mereka bukan bina sekadar sekejap sahaja. Kualiti pembinaan Rom tidak dapat ditandingi sesiapa sehingga abad ke-19, apabila bahan bitumen mula digunakan.

Sekarang ini ada golongan yang membandingkan Via Appia dengna jalan raya bitumen. Katanya Rom bina jauh lebih berkualiti kerana kurang kerosakan.

Sebenarnya ini tidak betul. Memang benar, kualiti jalan raya Rom kekal cantik hingga hari ini. Walau bagaimanapun, penggunaannya tidak kerap dan lasak macam jalan raya moden.

RUJUKAN:

Andrews, E. (2021, April 10). 8 Ways Roads Helped Rome Rule The Ancient World. History.

O’Flaherty, C.A. (2018). Transport Planning and Traffic Engineering. CRC Press. Halaman 3.

Speight, J.G. (2015). Asphalt Materials Science and Technology. Butterworth-Heinemann. Halaman 437.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.