Bagaimana Syarikat Jepun Boleh Bertahan Lebih 100 Tahun?

2,291

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Jangka hayat sesebuah syarikat bergantung kepada keupayaan mereka beradaptasi dengan situasi semasa dan melakar pencapaian yang menguntungkan kantung kewanga.

Selalunya, hayat sesebuah syarikat yang berjaya bertahan selama belasan atau puluhan tahun. Namun di Jepun, terdapat 33,000 entiti perniagaan yang berusia sekurang-kurangnya seabad!

Salah satu daripadanya ialah sebuah kedai teh di kawasan pinggir bandar Kyoto, Tsuen Tea. Sekali pandang, kedai teh ini dilihat tempat sesuai untuk melepaskan lelah sambil menikmati secawan teh atau aiskrim.

Namun ramai tidak tahu, Tsuen Tea sebenarnya sudah wujud sejak 1160 sekaligus menjadikannya sebagai antara kedai teh tertua di dunia.

Hari ini, ia diuruskan oleh Yusuke Tsuen, 38. Bila ditanya apa resepi kelangsungan kedai teh itu, dia menjawab, “Kami memberi fokus kepada teh dan tidak meluaskan perniagaan terlalu banyak. Itulah sebab kami dapat bertahan.”

Fakta ini disokong oleh beberapa statistik menakjubkan. Pada tahun 2008, Bank of Korea mendedahkan terdapat 5,586 syarikat yang berusia lebih 200 tahun di 41 buah negara, 56% daripadanya berpangkalan di Jepun.

Menurut data Teikoku Data Bank, terdapat 33,000 syarikat Jepun yang berusia lebih seabad. Antara yang tersenarai ialah firma permainan video Nintendo dan pengeluar arak Suntory.

Entiti-entiti ini dikenali sebagai shinise yang bermaksud kedai lama. Profesor Yoshinori Hara dari Universiti Kyoto berkata kebanyakan syarikat Jepun memberi penekanan kepada ketahanan daripada mendapatkan keuntungan penuh. Hal itu merupakan punca mengapa mereka dapat bertahan sehingga ke hari ini.

“Di Jepun, ia lebih kepada bagaimana syarikat boleh dipindahkan ke generasi seterusnya, anak-anak dan cucu-cucu mereka,” jelas Hara. Seperti Tsuen, ramai rakannya mempunyai latar belakang pemilikan syarikat berusia ratusan tahun. Baginya, mengambil alih perniagaan sebegini bukan satu isu.

Baginya, jika tiada siapa mengambil alih perniagaan keluarga sepertinya, maka siapa lagi yang mahu berbuat demikian? Malah, dia menyifatkan itu merupakan impiannya semasa di tadika dan sekolah rendah.

Berikutan bandar-bandar Jepun sudah wujud sejak sekian lama, tidak mengejutkan sesetengah entiti ini sudah wujud lama dan menjadi nadi ekonomi setempat.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada ketahanan mereka. Pertama, budaya masyarakat Jepun yang menghormati adat istiadat dan nenek moyang mereka. Kedua, faktor geografi.

Memandangkan Jepun merupakan sebuah negara pulau dan mempunyai interaksi terhad dengan dunia luar, penduduk tempatan memanfaatkan sumber yang ada termasuk mengekalkan entiti perniagaan setempat.

Kebanyakan syarikat lama ini merupakan perusahaan kecil dan sederhana dalam bidang hospitaliti dan makanan seperti Tsuen Tea.

Bagi meneruskan kelangsungan perniagaan, ada syarikat yang mengamalkan pengambilan pekerja lelaki sebagai anak angkat dalam keluarga pemilik bagi memastikan kelangsungan sesebuah entiti tidak terjejas seperti dilakukan Suzuki dan Panasonic.

Sebelum dikenali menerusi permainan video seperti Pokemon, Nintendo pada asalnya bermula sebagai syarikat pembuat kad hanafuda pada tahun 1889.

Hanafuda ialah sejenis permainan kad di mana kad pelbagai gambar bunga dan mempunyai markah berbeza dikumpul. Hanafuda dikatakan bermula sebagai permainan kad yang diimport dari Portugal pada abad ke-16.

Tambah Hara lagi, Nintendo merupakan contoh terbaik konsep kecekapan teras. Kecekapan teras ialah satu konsep di mana syarikat melakukan apa atau mengeluarkan produk bagi membolehkan mereka bertahan walaupun wujud perubahan dalam aspek tertentu seperti teknologi.

Dalam kes Nintendo, bagaimana syarikat itu mencipta kegembiraan untuk pelanggannya. Selain Nintendo, Hosoo juga disebut sebagai contoh terbaik kecekapan teras. Hosoo bermula sebagai pengeluar pakaian tradisional kimono pada tahun 1688 tetapi sedar untuk terus kekal relevan, mereka memilih menukar taktik.

Kini, syarikat itu dikenali sebagai pengeluar fiber karbon bagi pengeluar-pengeluar bahan. Ada pula menyifatkan khidmat pelanggan yang baik sebagai punca mereka dapat bertahan sehingga hari ini.

Perkara sebegini menjadi teras ketahanan ryokan atau rumah tumpangan tradisional Jepun. Tambah Hara, entiti-entiti perniagaan Jepun menghargai layanan pelanggan berkualiti atau omotenashi dan cuba meramal keperluan pelanggan.

Hal itu yang menjadi resepi Hiiragiya ryokan terus bertahan sehingga hari ini. Kini diuruskan oleh Akemi Nishimura, rumah tumpangan tersebut menyambut ulangtahun ke-200 pada 2018 dan pernah menjadi pilihan penginapan figura terkenal seperti Charlie Chaplin serta Louis Vuitton.

Di sebalik sanjungan orang ramai terhadap shinise, ia bagaimanapun memberi sedikit kesan terhadap syarikat-syarikat baru yang mahu bertapak.

Perkara itu dialami Mari Matsuzaki, 27, salah seorang pemain utama Queue, sebuah firma pendidikan baru yang berpangkalan di Tokyo.

Matsuzaki mengakui syarikat baru sepertinya tidak mendapat penghormatan seperti shinise dan berdepan kesukaran menerangkan apa yang dilakukannya dengan keluarga atau rakan-rakan.

Tambahnya, “Pengasas syarikat baru dipuji di negara lain kerana mengubah kegagalan mereka kepada kejayaan. Tetapi di Jepun, mentaliti risiko dan kegagalan merupakan halangan yang perlu diatasi.”

Perkara ini turut diakui oleh Profesor Michael Cusumano dari Institut Teknologi Massachusetts. Beliau melihat sekiranya sesebuah entiti perniagaan itu gagal, maka masyarakat Jepun menganggap ia sebagai sesuatu yang menjatuhkan maruah. Isu sebegini kadangkala menjadi pendorong sesebuah perniagaan itu untuk terus bertahan.

Tambahnya, “Masyarakat Jepun dan ekonominya tidaklah sefleksibel seperti di Amerika Syarikat dan Jepun tidak mudah menghasilkan firma-firma gergasi begitu saja. Kecenderungan untuk mengekalkan apa yang ada, itu saja yang mereka miliki.”

Walau bagaimanapun, tidak semua shinise dapat bertahan dengan perubahan masa. Kongo Gumi, sebuah syarikat pembinaan yang diasaskan pada abad keenam Masihi bertahan selama 1,400 tahun sebelum akhirnya ditutup pada tahun 2006 akibat masalah hutang.

Bagi Matsuzaki, dia melihat shinise dan syarikat-syarikat baru boleh saja wujud secara harmoni dan meraih manfaat dengan bekerjasama. Hal ini demikian kerana shinise mempunyai kelebihan dari segi sumber, reputasi dalam industri dan rangkaian kenalan.

Dengan gabungan teknologi syarikat baru dan kelebihan kepakaran dari shinise, ia boleh menjadi pemacu kemakmuran Jepun untuk dekad-dekad seterusnya.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.