Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid merupakan ikon bagi wanita beriman. Beliau merupakan antara isteri Rasulullah SAW yang kesemuanya digelar Ummahatul Mukminin (Ibu-ibu kepada orang beriman) dalam al-Quran. Ketokohan dan keistimewaan beliau dipaparkan sebagai individu pertama yang beriman kepada Rasulullah SAW.

Menurut al-Dzahabi (1985), Khadijah merupakan rakan strategik ekonomi yang berjaya sebelum dimuliakan sebagai isteri Rasulullah SAW. Maka, tidak dinafikan Khadijah ialah insan paling istimewa di sisi Rasulullah SAW. Beliau seorang isteri, kekasih dan sahabat yang penyayang kepada Rasulullah SAW. Antara kemuliaan beliau ialah tiada wanita yang dinikahi baginda sebelum dan semasa kehidupan bersama Rasulullah selepas pernikahannya.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya Khadijah dipuji-puji oleh Rasulullah SAW selepas kewafatannya. Menurut al-Shami (1993), antara pujian terbaik Rasulullah SAW kepadanya adalah sepertimana dalam riwayat Aishah r.anha: “Tidaklah aku cemburu terhadap isteri-isteri Nabi SAW sepertimana kecemburuanku terhadap Khadijah r.anha. Baginda SAW sering menyebutnya, menyembelih kambing, memotong bahagian-bahagiannya kemudia dikirim kepada teman-teman Khadijah. Suatu ketika, aku berkata kepada Rasulullah SAW: “Seolah-olah di dunia ini tiada wanita selain Khadijah”. Lantas Nabi SAW menjawab: “Khadijah itu begini dan begitu. Dan darinyalah aku memperolehi anak”. (Al-Bukhari)

Pengiktirafan Khadijah sebagai wanita terbaik juga tercatat dalam hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.anhu: Beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik wanita ialah Maryam binti Imran (ketika zamannya) dan sebaik-baik wanita adalah Khadijah (ketika zamannya)”. (Al-Bukhari). Secara umumnya, kesejahteraan rumah tangga Rasulullah dan Khadijah boleh dianggap sebagai ideal bermula dari karier Rasulullah sebagai pedagang, pendakwah hingga menjadi negarawan terulung di dunia. Berikut merupakan antara sikap Sayyidatina Khadijah r.anha yang boleh dicontohi:

1) Sikap kendiri Khadijah

Khadijah r.anha merupakan seorang yang mempunyai peribadi mulia, berhemah dan tekun beribadah. Sebagai contoh utama, hadith yang disebutkan di atas mengenai kecemburuan Aishah, menurut al-‘Ayni, maksud “begini” dan “begitu” yang disifatkan oleh Rasulullah SAW terhadap Khadijah merujuk kepada sifatnya yang mulia, bijaksana dan bertaqwa. Al-Kurani (2008) pula menyatakan lafaz tersebut merupakan kiasan terhadap sifat terpuji yang dimiliki oleh Khadijah r.anha. Personaliti inilah yang memungkinkan beliau mengurus dan menjamin kesejahteraan keluarga melalui hubungan yang baik dengan Allah SWT.

2) Sifat Khadijah r.anha bersama suami

Khadijah terbukti mampu berperanan memenuhi keperluan keluarga dengan memastikan sesuatu masalah diselesaikan dengan kerjasama yang baik antara keluarga. Sebagai contoh utama, Khadijah menunjukkan sumbangan dan pengorbanan dalam membantu, menyokong dan membenarkan dakwah Rasulullah SAW sebagaimana ketika berlakunya penurunan wahyu. Sepertimana hadith riwayat ‘Aisyah r.anha:

“…Maka baginda SAW pulang dalam keadaan gementar dan bergegas hingga masuk ke rumah Khadījah RA. Kemudian Nabi SAW. berkata kepadanya: Selimuti aku, selimutilah aku. Maka Khadījah RA pun menyelimutinya hingga hilang rasa takutnya. Kemudian Nabi SAW bertanya: ‘wahai Khadījah RA, apa yang terjadi kepadaku ini?’. Lalu Nabi SAW menceritakan kejadian yang beliau alami kemudian mengatakan, ‘aku
amat khuatir terhadap diriku’…

…Maka Khadījah RA mengatakan, ‘janganlah takut sama sekali! Demi Allah
SWT, Dia tidak akan menghinakanmu selama-lamanya. Sesungguhnya engkau adalah orang yang menyambung tali silaturahim, pemikul beban orang lain yang susah, penolong orang yang miskin, penjamu tetamu serta penolong orang yang menegakkan kebenaran. Setelah itu Khadījah RA pergi bersama Nabi SAW menemui Waraqah bin Naufal, beliau adalah sepupu kepada Khadījah RA…

…Waraqah telah memeluk agama
Nasrani sejak zaman jahiliyah. Ia pandai menulis al-Kitab dalam bahasa Arab. Maka disalinnya Kitab Injil dalam bahasa Arab sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT dapat ditulisnya. Namun usianya ketika itu telah lanjut dan matanya telah buta. Khadījah RA berkata kepada Waraqah, “wahai sepupuku. Dengarkan khabar dari anak saudaramu ini”. Waraqah berkata, “Wahai anak saudaraku. Apa yang terjadi ke atas dirimu?”….

….Rasulullah SAW. menceritakan kepadanya semua peristiwa yang telah dialaminya.Waraqah berkata, “(Jibril) Ini adalah Nāmūs yang pernah diutus Allah SWT kepada Nabi Musa AS, semoga
saya masih hidup ketika kamu diusir oleh kaummu”. Nabi SAW. bertanya, “Apakah mereka akan mengusirku?” Waraqah menjawab, “Ya, benar. Tidak ada seorang pun yang diberi wahyu seperti engkau
kecuali pasti dimusuhi. Jika aku masih hidup pada hari tersebut, nescaya aku akan menolongmu sedaya upaya”. Tidak berapa lama kemudian Waraqah meninggal dunia…” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Dalam konteks pengurusan keluarga, Hadith ini memaparkan peranan Khadijah sebagai pengimbang kepada kestabilan emosi Rasulullah SAW. Perkara yang utama, al-Qastalani (1904) menjelaskan, Khadijah berjaya menenangkan dan menggembirakan Rasulullah SAW dengan menyangkal kebimbangan sesudah penurunan wahyu pertama tanpa memperlihatkan sebarang keraguan. Kerana itu, beliau telah menerima salam penghormatan khusus dari Allah SWT, yang disampaikan melalui Jibril a.s. Sepertimana hadith riwayat Abu Hurairah:

“Pada suatu ketika, Jibrīl AS pernah datang kepada Rasulullah SAW sambil berkata “Wahai Rasulullah SAW, ini Khadijah. Ia datang kepada engkau dengan membawa bekas berisi lauk pauk, atau makanan atau minuman. Apabila ia datang kepada engkau, maka sampaikanlah salam dari Allah SWT dan dariku kepadanya. Selain itu, beritahu kepadanya, bahawa rumahnya di syurga terbuat daripada emas dan perak, yang tiada kebisingan dan kesusahan di dalamnya.”

Menurut al-Qasṭtalani (1904), penghormatan tersebut diberikan berikutan Khadijah menyahut seruan keimanan tanpa keraguan, tidak pernah meninggikan suara kepada Rasulullah SAW dan tidak pernah mengadu sebarang kepenatan. Selain itu, antara keistimewaan beliau ialah beliau tidak pernah berselisih faham dan menimbulkan kemarahan Rasulullah SAW.

3) Sikap Khadijah bersama anak

Khadijah merupakan seorang ibu yang rajin dalam mengurus keluarga dan sabar dalam mendidik anak. Kewajipan dan tanggungjawab menjaga anak ini hanya dapat direalisasikan apabila peribadi si ibu sendiri dalam keadaan baik. Khadijah r.anha terbukti memiliki ketokohan sebagai ibu mithali.

Ketokohan Fatimah r.anha, anaknya merupakan antara bukti utama kejayaan terbesar Khadijah dalam mendidik anak Rasulullah SAW. Pengorbanan Fatimah r.anha dalam dakwah Rasulullah SAW tidak ternilai, hingga diangkat sebagai penghulu para wanita ahli syurga. Sepertimana riwayat Aisyah, Fatimah telah memberitahunya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidakkah engkau rela menjadi pemimpin para wanita ahli syurga atau para wanita mukminin”.

Demikianlah bagaimana Khadijah mengurus keluarganya hingga menjadi keluarga ideal buat orang-orang beriman. Pemergiannya merupakan suatu yang mendukacitakan dalam hidup Rasulullah dan dikenang baginda sepanjang hayatnya.

RUJUKAN:

1) al-Dzahabi (1985). Siyar A’lam Nubala’. Beirut: Muassasah Risalah.

2) al-Shami (1993). Subul al-Huda wa al-Rashad fi Sirah Khayr al-Ibad. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

3) al-‘Ayni (n.d). ‘Umdah al-Qari Syarah Sahih al-Bukhari. Beirut: Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy.

4) al-Kurani (2008). al-Kauthar al-Jari ila Riyadh Ahadith al-Bukhari. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy.

5) al-Qastalani (1904). Irshad al-Sari li Sharah Sahih Bukhari. Mesir: al-Matba’ah al-Kubra al-Amiriyyah.

6) al-Bukhari (2002). Sahih al-Bukhari. Dar Tawq al-Najah.

7) Kamarul Zaman, Rahim; Che Nordin, Mohd Khairul Naim; Nasir, Khairul Nazrin; Abd. Azid, Muhammad Adam (2020). Pengurusan Psikologi Kekeluargaan: Penelitian Terhadap Keperihalan Khadijah RA dalam Sahih Bukhari. Jurnal Hadith KUIS.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Hadith) dari Universiti Sultan Azlan Shah. Sangat berminat dalam penulisan isu-isu semasa.

Comments are closed.