Bagaimana Sabun Berfungsi?

429

Umum diketahui, sabun adalah sejenis bahan kimia beralkali yang selalu diguna pakai di dalam rumah. Namun, kenapa sabun ni sangat bagus dalam menanggalkan kotoran degil, sedangkan bahan kimia beralkali macam peluntur pun tak boleh nak tanggalkan kotoran degil? Jawapannya terletak pada struktur dan sifat kimia sabun.

Bagi memahami sifat sabun, kita kena faham dulu sifat bahan kimia yang asas. Minyak hanya larut dalam minyak dan air hanya larut dalam air. Jelas? Kemudian, kita masuk pula tentang penyediaan sabun. Untuk membuat sabun, kita memerlukan lemak haiwan atau lemak tumbuhan sebagai bahan utama.

Minyak haiwan dan tumbuhan juga boleh digunapakai kerana struktur mereka adalah lebih kurang sama. Semasa Zaman Keemasan Islam, antara resepi yang digunakan untuk membuat sabun ialah minyak zaitun, alkali dan kapur. Sebagai selingan, terma alkali juga berasal daripada zaman ini kerana sumber alkali ialah daripada abu tumbuh tumbuhan yang dibakar. Alkali berasal daripada kata arab al-Qayl yang bermaksud ‘abu’.

Lemak dan minyak ini kemudiannya dicampur dengan cecair beralkali seperti natrium hidroksida. Reaksi di antara dua bahan kimia ini seterusnya akan menghasilkan struktur sabun yang boleh larut dalam air dan juga minyak.

Hal ini dapat dijelaskan melalui strukturnya sendiri. Kepala bulat itu ialah bahagian hidrofilik, pencinta air tapi benci lemak. Kakinya pula ialah bahagian hidrofobik, pembenci air tapi sukakan lemak. Apabila molekul sabun ini bertemu dengan lapisan minyak dan gris, bahagian hidrofobik ini akan melekat kepadanya dan memecahkan lapisan minyak tersebut menjadi partikel yang lebih kecil. Molekul molekul sabun yang lain juga akan melekat pada partikel minyak berkenaan dan mengelilinginya seperti sebuah sel. Jadi minyak itu terperangkap dalam gugusan molekul sabun berkenaan dan lebih senang dibuang.

Namun, ada juga sejenis sabun yang lebih kuat. Kita namakannya sebagai detergen. Sabun serbuk pencuci. Secara kasarnya, mereka ini serupa tapi detergen mempunyai beberapa elemen tambahan yang menguatkan kuasa pencucian mereka. Mereka mempunyai enzim. Enzim ini sejenis protein yang kerjanya memecahkan molekul menjadi lebih kecil.

Sebagai contoh, perut kita mempunyai enzim protease yang memecahkan daging menjadi zat protein. Selalunya kotoran yang melekat di pakaian sifatnya sama seperti makanan. Jadi, enzim ini ditambah untuk memecahkan kotoran degil tersebut. Perkara ini adalah selari dengan tips survival tentang ada sesetengah kotoran lagi cepat luntur bila dilumur dengan air liur. Air liur juga kaya dengan enzim.

RUJUKAN:

Ahmad Y. al-Hassan (2001), Science and Technology in Islam: Technology and applied sciences, pages 73-74 Archived 2017-12-09 at the Wayback Machine, UNESCO

Cavitch, Susan Miller. The Natural Soap Book. Storey Publishing, 1994 ISBN 0-88266-888-9.

MacNaught, Alan D.; Wilkinson, Andrew R., eds. (1997). Compendium of Chemical Terminology: IUPAC Recommendations (2nd ed.). Oxford: Blackwell Science. ISBN 978-0865426849.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.