Dalam artikel yang lepas, penulis telah menceritakan tentang kejatuhan kerajaan pusat Dinasti Ming kepada pihak pemberontak petani yang kemudiannya di takluk oleh Dinasti Qing. Selepas kematian Maharaja Ming iaitu Chongzhen, wilayah-wilayah Ming mula berpecah belah di tadbir oleh penguasa-penguasa dari bekas pegawai Ming dan juga daripada pihak pemberontak. Dalam artikel ini, penulis menceritakan pula pasca kejatuhan Ming dengan situasi politik China yang tidak stabil dan usaha Dinasti Qing untuk menakluk keseluruhan negara China daripada pihak pemberontak yang mentadbir wilayah yang berpecah belah, menakluk Dinasti Ming Selatan, dan Taiwan, serta tercetusnya Revolusi Tiga Feudatori pimpinan Wu Sangui.

1. MENGUASAI WILAYAH YANG DIKUASAI PEMBERONTAK (1644-1650)

1.1 Menguasai Dinasti Shun

Beijing yang pada mulanya berjaya di takluk oleh puak Pemberontakan Petani (yang mengisytiharkan diri sebagai Dinasti Shun) pimpinan Li Zicheng pada tahun 1644 yang mengakibatkan Maharaja Chongzhen membunuh diri, kemudiannya tewas di tangan tentera Qing pimpinan Putera Dorgon yang bergabung dengan bekas jeneral Ming yang berpaling tadah menyokong Qing iaitu Wu Sangui. Ketika itu Putera Dorgon merupakan pemerintah tertinggi Dinasti Qing walaupun ketika itu Maharaja Qing ialah Shunzhi tetapi Shunzhi tidak mempunyai kelebihan kuasa berbanding Dorgon. Maharaja Shunzhi hanya berkuasa setelah kemangkatan Putera Dorgon pada tahun 1650. Berbalik kepada kisah di atas, Li kemudiannya berundur ke Beijing dan seterusnya melarikan diri ke Xi’an iaitu ibu negara Dinasti Shun. Pada percubaan pertama, Putera Dorgon menghantar Wu Sangui untuk mengejar Li tetapi tidak berjaya. Percubaan seterusnya Qing menghantar tiga orang jeneral iaitu Ajige, Dodo, dan Shi Tingzhu untuk bertempur dengan tentera Dinasti Shun, dan mereka berjaya menakluk wilayah Shanxi dan seterusnya menguasai wilayah Shaanxi yang terletaknya kota Xi’an. Li terpaksa berundur lagi ke wilayah Gansu dan kemudiannya mati dibunuh pada tahun 1645. Punca kematian beliau masih lagi kekal misteri hingga kini.

1.2 Menguasai Gansu

Kemudian, pada akhir tahun 1646, selepas berjaya menakluk Shaanxi, tentera Qing mara ke arah Wilayah Gansu yang ketika itu dikuasai oleh pemimpin Islam dari etnik Cina Hui yang bernama Milayin yang di bantu oleh Ding Guodong. Mereka mengisytiharkan mahu mengembalikan semula Dinasti Ming di Gansu. Mereka mendapat sokongan daripada orang Cina Han dan kerajaan Islam dari puak Turki iaitu kekhanan Chagatiyyah Kumul dan Turfan. Tentera Qing berjaya menguasai semula wilayah Gansu dengan keganasan dan berjaya menangkap Milayin dan Ding yang kemudiannya di hukum bunuh.

1.3 Menguasai Dinasti Xi

Pada tahun 1646, Putera Dorgon menghantar ekspedisi ke wilayah Sichuan yang ketika itu di kuasai oleh Zhang Xianzhong (juga dikenali sebagai Harimau Kuning) yang menubuhkan Dinasti Xi pada tahun 1644 setelah berjaya menguasai Sichuan daripada pembesar Ming. Tentera Dinasti Qing yang dipimpin oleh anak kepada Hong Taiji iaitu Hooge bersama ratusan ribu tentera menyerbu wilayah Sichuan. Zhang yang mendengar berita tentang kehadiran ratusan ribu tentera Qing ingin melarikan diri ke Shaanxi, sebelum melarikan diri, beliau telah melaksanakan taktik bumi hangus dengan menghancurkan kota Chengdu. Ketika dalam perjalanan ke Shaanxi, tentera Zhang bertembung dengan Qing berhampiran bandar Xichong dan berlaku pertempuran yang tidak dirancang dan dimenangi oleh Qing kerana tentera yang sangat ramai. Zhang terbunuh dalam pertempuran tersebut. Berita yang mengejutkan berlaku apabila Hooge dan tenteranya mula memasuki kota Chengdu tetapi kota tersebut telah hancur menyebabkan tenteranya yang ramai sukar untuk mencari makanan dan terpaksa membunuh penduduk setempat untuk memakan daging manusia.

2. MENGUASAI MING SELATAN (1645-1662)

Ming Selatan merupakan sebuah wilayah yang ditadbir oleh bekas-bekas pegawai Dinasti Ming yang runtuh pada tahun 1644. Mereka kebanyakannya dari keturunan diraja. Pegawai-pegawai Ming yang digelar “putera” mentadbir wilayah masing-masing. Wilayah tersebut ialah Jiangnan, Fuzhou, Guangdong, dan Gui (dalam setiap wilayah tersebut mempunyai beberapa lagi wilayah kecil). Gabungan wilayah-wilayah tersebut di gelar Ming Selatan.

2.1 Jiangnan

Pada tahun 1645, tentera Qing mara ke selatan dan merempuh wilayah Jiangnan yang kini terbahagi kepada wilayah Jiangsu, Shanghai, dan sebahagian utara Anhui. Jiangnan ketika itu di pimpin oleh Shi Kefa (bekas Menteri Perang Ming) dan Ma Shiying yang bertanggungjawab melindungi waris Dinasti Ming iaitu Zhu Yuosong (yang memakai gelaran Maharaja Hongguang). Tentera Qing pimpinan Dodo yang turut di bantu oleh beberapa orang komander Ming yang berpaling tadah berjaya menguasai keseluruhan wilayah Jiangnan dan menangkap Shi Kefa pada Mei 1645, dan Zhu Yuosong pada Jun 1645. Tentera Qing melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Jiangnan yang masih setia dengan Ming, dengan angka kematian mencecah 800,000 orang. Shi Kefa di hukum bunuh manakala Zhu di bawa ke Beijing dan dihukum pada tahun berikutnya.

Antara peristiwa menarik ketika Qing menguasai wilayah Jiangnan ialah Putera Dorgon memperkenalkan undang-undang baru iaitu mewajibkan semua lelaki Cina mencukur rambut mereka dan memakai tocang di atas kepala. Undang-undang ini merupakan satu bentuk penghinaan kepada orang Han, dan Dorgon menetapkan peraturan hukum bunuh kepada sesiapa yang melanggar arahan tersebut. Kesannya, berjuta-juta lelaki Cina di hukum bunuh kerana melanggar arahan tersebut dalam tempoh pemerintahan Dinasti Qing.

2.2 Fuzhou

Wilayah Fuzhou di perintah oleh pedagang laut terkenal iaitu Zheng Zhilong yang bertindak melindungi pewaris Ming iaitu Zhu Yujian yang memakai gelaran Maharaja Longwu. Keadaan menjadi lebih tidak stabil apabila seorang lagi pewaris Ming iaitu Zhu Yihai mengisytiharkan sebagai penguasa di wilayah kecil Zhejiang yang terletak di dalam wilayah Fuzhou. Kerana tiada kesepakatan antara kedua-duanya memudahkan lagi tentera Qing menakluk wilayah Fuzhou pada tahun 1646 pimpinan Putera Bolo. Zhu Yihai pula membelot dengan memihak Qing menyebabkan Zheng Zhilong menyerah kalah manakala Zhu Yujian dan permaisurinya dihukum bunuh. Anak Zheng iaitu Zheng Chenggong (juga dikenali sebagai Koxinga) tidak menyerah kalah dan terus melawan Qing hingga beliau terpaksa melarikan diri ke Taiwan dan menubuhkan Kerajaan Dongning pada tahun 1661.

2.3 Guangdong dan Guizhou

Abang kepada Zhu Yujian iaitu Zhu Yuyue berjaya melarikan diri ke Guangzhou dan menubuhkan pemerintahan Ming di Guangzhou, ibu kota wilayah Guangdong dengan memakai gelaran Maharaja Shaowu. Dalam masa beberapa bulan kemudian, seorang lagi waris Dinasti Ming iaitu Zhu Youlang menubuhkan sebuah lagi pemerintahan di wilayah yang sama yang memakai gelaran Maharaja Yongli. Kedua-duanya saling bertempur sesama sendiri menyebabkan tentera Qing pimpinan Li Chendong dan Shang Kexi (salah seorang daripada tiga pemimpin pemberontakan Tiga Feudatori yang nanti menentang Qing) berjaya menakluk bandar Guangzhou dan menangkap lalu membunuh Zhu Yuyue. Manakala Zhu Youlang melarikan diri ke wilayah Guangxi dan seterusnya ke wilayah pedalaman di Guizhou. Pada tahun 31 December 1650, Putera Dorgon mangkat menyebabkan usaha penaklukan terhenti seketika.

Di Guizhou, Zhu Youlang mendapat sokongan yang kuat daripada orang-orang sana apabila pemimpin yang pernah berkhidmat dengan  Zhang Xianzhong iaitu Li Dingguo (yang melarikan diri ketika Sichuan jatuh ke tangan Manchu) bertindak melindungi Zhu Youlang dan mereka bersama-sama melancarkan serangan balas dan berjaya menakluk semula wilayah Guangxi, Guangdong, dan Huguang pada tahun 1652. Setahun kemudian, Maharaja Shunzhi melancarkan siri penaklukan besar-besaran bagi merebut kembali wilayah selatan China yang dikuasai oleh Li Dingguo dan Zhu Youlang. Tentera Qing pimpinan Hong Chengchou mengalami kesukaran untuk menguasai Ming selatan kerana di tentang hebat oleh Li Dingguo.

Pertempuran demi pertempuran, akhirnya menjelang tahun 1658, tentera tambahan Qing dipimpin oleh Wu Sangui dan Putera Doni berjaya menguasai wilayah Selatan China dan seterusnya menakluk wilayah paling selatan China iaitu Yunnan. Li Dingguo dam Zhu Youlang melarikan diri ke negara Burma yang ketika itu di perintah oleh Raja Pindale Min dari Dinasti Toungoo yang memberi perlindungan kepadanya. Akibat daripada ancaman Wu Sangui, Raja Pindale di guling oleh Pye Min yang menjadi raja Burma yang baru. Raja Pye Min memenuhi permintaan Wu dan menyerahkan Zhu Youlang dan anak-anaknya kepada Wu dan dihukum bunuh pada tahun 1662. Li Dingguo yang masih bersembunyi di dalam hutan enggan menyerah kalah walaupun beliau sudah berputus asa apabila mendapat tahu yang Zhu dihukum bunuh. Beliau berkata kepada anaknya

“lebih baik mati di hutan rimba daripada menyerah!”

Tetapi anak-anaknya menyerah kepada Qing selepas kematian Li di dalam hutan.

Gambar 1: situasi negara China ketika kejatuhan Dinasti Ming Sumber: https://en.wikipedia.org/wiki/Li_Zicheng#/media/File:Southern_Ming.png

3. REVOLUSI TIGA FEUDATORI (1674-1681)

Revolusi Tiga Feudatori ialah satu pemberontakan besar-besar yang datang dari tiga wilayah yang diperintah oleh tiga orang pemerintah berbeza yang diketuai oleh bekas jeneral Ming yang berpaling tadah memihak kepada Qing iaitu Wu Sangui. Revolusi ini juga dipimpin oleh dua orang lagi pemerintah dari dua wilayah iaitu Shang Zhixin (Raja Pingnan) dan Geng Jingzhong (Raja Jingnan). Revolusi ini terjadi ketika di awal pemerintahan Maharaja Kangxi (1662-1722) yang menggantikan Maharaja Shunzhi. Ketiga-tiga wilayah itu di kenali sebagai Tiga Feudatori. Wilayah kekuasaan Wu Sangui merangkumi wilayah Yunnan, dan Guizhou. Shang Zhixin berkuasa ke atas wilayah Guangdong, manakala Geng Jiangzhong mentadbir wilayah Fujian.

Ketika di awal era pemerintahan Maharaja Shunzhi, kerajaan pusat Dinasti Qing tidak berupaya untuk mentadbir wilayah kekuasaan Dinasti Qing di selatan China iaitu bekas kawasan Dinasti Ming Selatan yang jatuh ke tangan Qing. Oleh itu, kerajaan Qing memperkenalkan polisi membiarkan orang Cina Han mentadbir bangsa mereka sendiri. Polisi tersebut membenarkan jeneral Ming yang berpaling tadah yang terdiri daripada bangsa Cina Han untuk mentadbir bekas wilayah Dinasti Ming Selatan. Ketiga-tiga pemimpin tersebut yang di beri kuasa untuk mentadbir di tiga wilayah bekas wilayah kekuasaan Dinasti Ming Selatan semakin berpengaruh di selatan China. Mereka mempunyai tentera mereka sendiri dan berkuasa menentukan hal ehwal dalam wilayah masing-masing. Akibat daripada kekuasaan mereka dalam memonopoli ekonomi menyebabkan hasil ekonomi daripada Tiga Feudatori tersebut tidak dapat disalurkan dengan banyak ke kerajaan pusat Dinasti Qing.

Apabila Maharaja Kangxi menaiki takhta pada tahun 1662 menggantikan Maharaja Shunzhi, baginda mula berasa curiga dengan ketua Tiga Feudatori tersebut dan dapat merasakan mereka bakal menjadi ancaman kepada Dinasti Qing. Pada tahun 1673, ketiga-tiga pemimpin Tiga Feudatori tersebut memohon untuk bersara, dan dengan segera Maharaja Kangxi menerima permohonan mereka, dan membubarkan Tiga Feudatori tersebut, selain meminta mereka segera meninggalkan wilayah kekuasaan mereka dan tinggal di Manchuria. Dengan rasa terhina, ketiga-tiga ketua Tiga Feudatori tersebut melancarkan revolusi menentang kerajaan Qing yang dikenali sebagai Revolusi Tiga Feudatori dengan dimulakan oleh Wu Sangui terlebih dahulu.

Pada 28 December 1673, Wu Sangui membunuh Zhu Guizhi iaitu gabenor Yunnan dan melancarkan pemberontakan dengan slogan “halau orang asing, kembalikan Ming”. Slogan tersebut berjaya mempengaruhi ramai orang Han. Wu Sangui dan tenteranya yang berjumlah kira-kira 200,000 orang dengan mudah berjaya menakluk wilayah Guizhou dan mengasaskan Kerajaan Zhou. Pada masa yang sama, berlaku juga pemberontakan di wilayah Guangxi dan Shaanxi yang dipimpin oleh Wang Fucheng bertindak menyokong Wu Sangui. Kemudian Wu Sangui menakluk wilayah Hunan, Sichuan, dan Hebei daripada Qing. Kemudian, Shang Zhixin dan Geng Jingzhong dengan kekuatan kira-kira 300,000 tentera menyertai Wu Sangui melancarkan revolusi menentang kerajaan Qing. Manakala Kerajaan Dongning dari Taiwan juga menghantar bantuan ketenteraan kira-kira 150,000 orang tentera mendarat di Fujian yang dipimpin oleh Zheng Jing.

Pada tahun 1676 iaitu ketika waktu kemuncak pemberontak menyaksikan 12 buah wilayah dikuasai oleh pihak pemberontak iaitu 7 wilayah di bawah Wu Sangui (Yunnan, Guizhou, Sichuan, Guangxi, Shaanxi, Gansu, Hunan), 3 wilayah di bawah Geng Jingzhong (Fujian, Zhejiang, Jiangxi), 1 wilayah di bawah Shang Zhixin iaitu Guangdong, dan 1 wilayah iaitu Taiwan di bawah Zheng Jing memberi bantuan kepada pemberontak Tiga Feudatori. Situasi ini memberi kelebihan kepada Wu Sangui.

Selepas kekalahan demi kekalahan yang dirasai oleh pihak kerajaan Manchu, mereka mula meningkatkan jumlah tentera untuk mengalahkan pemberontak yang mempunyai kekuatan tentera yang ramai iaitu kira-kira 650,000 orang. Manakala Kerajaan Qing yang terdesak berjaya mengumpul kekuatan kira-kira 900,000 tentera yang terdiri dari tentera Manchu Bannerman dan tentera orang Han iaitu Green Standard Army. Walaupun tentera pemberontak memiliki tentera yang ramai tetapi kedudukan tentera pemberontak berpecah kerana menjaga kawasan yang berbeza tidak seperti tentera Qing yang mara serentak melalui tiga serangan serangkai. Dan selepas puak pemberontak berjaya menguasai wilayah yang luas pada awal tahun 1676, dalam tahun yang sama kerajaan melancarkan gerakan balas besar-besaran yang kemudiannya berpihak kepada kerajaan Qing.

Serangan pertama Manchu di halakan ke arah wilayah Shaanxi dan Gansu terlebih dahulu dan berjaya menundukkan Wang Fucheng pada tahun 1676, yang kemudiannya membunuh diri dalam tahanan kerajaan selepas beliau menyerah kalah. Dari Lanzhou (ibu negeri Gansu), tentera Qing mara ke selatan melalui wilayah Sichuan. Pada tahun yang sama, dua lagi division tentera Qing mara ke selatan China melalui wilayah Hunan, dan satu lagi melalui jalan pantai di wilayah Fujian. Pertempuran sengit berlaku antara tentera Qing dengan tentera pimpinan Geng dan Shang di Fujian, dan akhirnya tentera Qing berjaya menundukkan pemberontak selepas kedua-duanya menyerah kalah. Manakala Zheng Jing berundur ke Taiwan.

Pada tahun 1678, Wu Sangui menghantar ramai tenteranya ke wilayah Hunan untuk bertempur dengan tentera kerajaan. Di Hunan, beliau menukarkan nama kerajaan Zhou kepada Dinasti Zhou Agung dan mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja. Tetapi 5 bulan kemudian beliau meninggal dunia, dan tempatnya di gantikan oleh anaknya iaitu Wu Shifan. Berita kematian beliau menyebabkan moral pemberontak semakin menurun, dan dalam masa yang sama tentera Qing terus mara menakluk wilayah Dinasti Zhou Agung dan memenangi banyak pertempuran. Pada tahun 1680, tentera Qing berjaya menakluk wilayah Hunan, Guizhou, Guangxi, dan Sichuan daripada pemberontak memaksa Wu Shifan berundur ke kota Kunming wilayah Yunnan.

Pada tahun 1681, tiga serangkai tentera Qing melancarkan serangan serentak dari tiga arah iaitu dari utara melalui wilayah Sichuan, dari timur laut melalui wilayah Hunan, dan dari arah timur melalui wilayah Guangxi. Tentera Qing akhirnya berjaya menakluk kota Kunming dari puak pemberontak dan Wu Shifan membunuh diri sebelum di tangkap tentera kerajaan.

Gambar 2: kemaraan tentera Qing menakluk wilayah puak Revolusi Tiga Feudatori
Sumber: https://en.wikipedia.org/wiki/File:Three_Feudatories.png

4. MENAKLUK TAIWAN (1683)

Taiwan merupakan sebuah pulau yang diduduki oleh orang asli Taiwan (asal usul kepada bangsa Melayu) dan beberapa kota yang ditubuhkan oleh pedang Belanda dan Portugis. Selepas kejatuhan wilayah Fuzhou yang merupakan sebahagian daripada Ming Selatan kepada tentera Qing pada tahun 1646, Zheng Zhilong menyerah kalah kepada Qing tetapi anaknya iaitu Zheng Chenggong yang lebih popular dengan gelaran Koxinga atau Guoxingye mengikut ejaan Hanyu Pinyin tidak menyerah kalah dan terus menentang Qing. Zheng Chenggong berjaya menguasai pesisir pantai sepanjang wilayah Fujian, hingga kemaraan tentera Qing yang menyebabkan Zheng terpaksa berundur ke Taiwan pada tahun 1661 bersama dengan pengikutnya.

Di Taiwan, pasukan tentera Zheng dan pengikutnya menyerang koloni Belanda di Kubu Zeelandia. Pengepungan selama 9 bulan membuahkan hasil apabila pihak Belanda menyerah kalah kepada pasukan Zheng pada tahun 1662 yang turut di bantu oleh orang asli Taiwan. Zheng menjadikan Taiwan sebagai tapak untuk beliau merencana strategi bagi merampas semula negara China daripada puak Manchu. Beliau menamakan kerajaannya sebagai Dongning Wangguo (di Barat di kenali sebagai Kingdom of Tungning). Beliau juga pernah menakluk beberapa bandar di utara Filipina hingga menimbulkan kebimbangan Sepanyol. Beliau juga merancang mengusir Sepanyol dari Filipina tetapi beelum sempat beliau menakluk kota Manila, beliau meninggal dunia.

Gambar 3: Fort Zeelandia
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=QXWQzh1F0xE

Tempatnya di ganti oleh Zheng Jing. Beliau berjaya membina kekuatan tentera seramai 150,000 orang. Ketika Revolusi Tiga Feudatori, beliau mendarat di pantai Fujian bersama kira-kira 150,000 tentera bagi mebantu Tiga Feudatori melawan Qing. Selepas kekalahan Tiga Feudatori, beliau kembali berundur ke Taiwan pada tahun 1677. Beliau meninggal dunia pada tahun 1681 dan tempatnya di ganti oleh Zheng Keshuang.

Selepas Qing berjaya menundukkan Revolusi Tiga Feudatori pada tahun 1681, tentera Qing melancarkan pula invasi ke arah Taiwan bagi menakluk kerajaan Dongning. Pada tahun 1683, tentera Qing pimpinan Shi Lang berjaya mengalahkan angkatan laut Zheng di Pulau Penghu dan seterusnya tentera Qing berjaya mendarat di pulau Taiwan dengan ratusan ribu tentera. Zheng Keshuang tiada pilihan lain terpaksa menyerah kalah kepada Qing dan menyerahkan Taiwan kepada Qing.

Dengan itu berakhirnya Kerajaan Dongning dan secara tidak langsung Qing berjaya menguasai keseluruhan negara China pada tahun 1683 dan menamatkan peperangan yang panjang menentang Dinasti Ming, pemberontak, Ming Selatan dan penyokong Ming antara tahun 1618-1683 yang memakan korban kira-kira 25,000,000 orang penduduk China.

Gambar 4: benua Asia pada tahun 1683 selepas penyerahan Taiwan kepada Qing
Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=c8TNvvjoqvw&t=452s

RUJUKAN

The Editors of Encyclopædia Britannica. “Qing dynasty”. Encyclopædia Britannica. Retrieved 12 March 2018

Mote, Frederick W. (1999), Imperial China, 900-1800, Cambridge, Mass.: Harvard University Press, ISBN 0-674-44515-5.

Wakeman, Frederic (1985), The Great Enterprise: The Manchu Reconstruction of Imperial Order in Seventeenth-Century China, Berkeley, Los Angeles, and London: University of California Press, ISBN 0-520-04804-0. In two volumes.

Des Forges, Roger V. (2003). Cultural Centrality and Political Change in Chinese History : Northeast Henan in the Fall of the Ming. Stanford, California: Stanford University Press. pp. 206, 209. ISBN 0-8047-4044-5.

Young-tsu Wong (5 August 2017). China’s Conquest of Taiwan in the Seventeenth Century: Victory at Full Moon. Springer Singapore. pp. 168–. ISBN 978-981-10-2248-7.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.