Bagaimana Perkahwinan Puteri Diana Mencetuskan Fenomena?

1,257

Pra-tempah hanya di Shopee

Siapa yang tidak kenal dengan Puteri Diana. Di sebalik figura sebagai puteri, karisma dan wajahnya terus diingati hingga ke hari ini. Rekod baginda sebagai rakyat British pertama yang tidak berdarah raja berkahwin dengan putera raja cukup membuatkan baginda masih diingati hingga ke hari ini

Umum mengetahui perkahwinan diraja bagi monarki British sememangnya menjadi tumpuan di seluruh dunia. Sejak perkahwinan Puteri Margaret, adinda kepada Ratu Elizabeth mula disiarkan di dalam televisyen buat kali pertama pada tahun 1960, perkahwinan kerabat diraja monarki ini terus menjadi tumpuan hingga ke hari ini.

Dalam banyak-banyak perkahwinan diraja, sudah tentu masyarakat dunia tidak akan melupakan ketika majlis perkahwinan Puteri Diana dan Putera Charles yang digambarkan sebagai Perkahwinan Terhebat Di Dalam Kurun Ini. Mengapa perkahwinan ini masih diingati hingga ke hari ini?

Beberapa bulan sebelum upacara perkahwinan ini, media di United Kingdom sudah mula berpropaganda bahawa perkahwinan diraja akan berlangsung di dalam masa terdekat. Rata-rata masyarakat British amat tidak sabar untuk menantikan saat-saat upacara perkahwinan itu.

Puteri Diana diapit oleh suaminya, Putera Charles dan Ratu Elizabeth

Bagi mereka, upacara diraja yang paling diminati oleh mereka ialah ketika pertabalan Baginda Ratu Elizabeth sebagai Ratu England pada tahun 1947. Surat-surat jemputan mula dihantarkan kepada seluruh ketua-ketua kerajaan. Seluruh ketua kerajaan di Eropah dijemput sama.

Walaubagaimanapun, terdapat segelintir daripada mereka enggan memenuhi undangan majlis perkahwinan tersebut. Contohnya seperti Presiden Ireland Utara yang enggan hadir kerana isu hak pemilikan Ireland Utara dan Raja Sepanyol yang enggan hadir kerana isu pemilikan Gibraltar yang dimiliki oleh United Kingdom.

Negara “saudara jauh” British, Amerika Syarikat pula diwakili oleh Nancy Reagan, Isteri Presiden Amerika Syarikat. Media-media di seluruh dunia mula menceritakan pakaian apa yang dipakai oleh pemimpin mereka, apakah aktiviti yang dilakukan oleh pemimpin mereka semasa perkahwinan dan pelbagai lagi.

Untuk upacara perkahwinan ini, pakaian Puteri Diana dibuat khas oleh pereka fesyen David dan Elizabeth Emanuel. Bajunya diperbuat daripada sutera putih dan berukuran 25 kaki panjang. Pakaian ini dilengkapi dengan 10 000 manik yang diperbuat dari permata asli dan disesuaikan dengan tiara yang dimiliki oleh keluarga Puteri Diana selama 125 tahun.

Baju Puteri Diana

Perkahwinan Diraja Puteri Diana dan Putera Charles ini telah disiarkan di 75 buah negara di seluruh dunia. Dianggarkan 750 Juta manusia dari pelusuk dunia menonton upacara gilang-gemilang ini.

Di United Kingdom sendiri, hari perkahwinan ini diisytiharkan sebagai cuti umum buat seluruh negara bagi meraikan hari yang bersejarah ini. (Ingat orang Malaysia je ke suka cuti umum?) 600 000 manusia memenuhi jalan-jalan di sekitar London untuk melihat sendiri gahnya perkahwinan yang terbaik di kurun ini.

Puteri Diana bersama rakyat jelata.

Majlis perkahwinan ini berlangsung di Katedral St Paul dan ia merupakan kali pertama majlis perkahwinan ini berlangsung di sini sejak kali terakhir ia dilangsungkan pada 1501. Kebiasaannya, upacara perkahwinan dan majlis rasmi Diraja akan berlangsung di Westminster Abbey.  Di dalam katedral ini sahaja, 3500 hadirin yang terdiri daripada ketua-ketua kerajaan, kerabat-kerabat diraja Inggeris dan luar negara dan berbagai-bagai lagi.

Suasana di dalam katedral

Semasa upacara perkahwinan ini, Puteri Diana merupakan kerabat Diraja pertama yang mengangkat sumpah taat setia terhadap suaminya. Terdapat juga momen-momen spontan yang berlaku semasa upcara ini. Misalnya, Puteri Diana tersalah sebut nama suaminya dengan nama Phillip Charles Arthur George. Sepatutnya, nama Putera Charles ialah Charles Philip Arthur George.

Kebiasannya, selepas disahkan sebagai suami isteri, pasangan akan cium sama sendiri di altar. Namun, ini tidak berlaku ketika majlis ini. Putera Charles terlupa untuk mencium Puteri Diana dan baginda mencium puteri semasa di balkoni bersama rakyat. Momen ini diulangi semasa perkahwinan diantara Putera William dan Kate Middleton pada tahun 2011.

Menurut Ketua Paderi Canterbury, perkahwinan Puteri Diana ini merupakan permulaan kepada fenomena Diana-mania. Sebaik sahaja Puteri Diana disahkan menjadi pasangan Putera Charles, rakyat mula meniru fesyen baginda baik dari segi pakaian dan paras rupa. Fesyen rambut Puteri Diana juga turut menjadi ikutan dan fenomena sehingga lewat 90an.

Salah satu fesyen rambut Puteri Diana yang menjadi ikutan.

Bagi rakyat, perkahwinan yang gilang gemilang ini tidak ubah seperti cerita-cerita dongeng. Namun, cerita dongeng ini hancur setelah mereka bercerai pada tahun 1996. Walaubagaimanapun, kisah perkahwinan terhebat di kurun ini masih terus menjadi fenomena hingga ke hari ini.

RUJUKAN:

Rotondi, J. (2020, November 09). How Prince Charles and Lady Diana’s Wedding Became a Global Phenomenon. Retrieved January 21, 2021, from https://www.history.com/news/prince-charles-lady-diana-wedding

Vargas, C. (2020, November 13). A Look Back at Princess Diana and Prince Charles’s Royal Wedding. Retrieved January 21, 2021, from https://www.townandcountrymag.com/the-scene/weddings/a18205641/princess-diana-prince-charles-wedding/

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.