Bagaimana Melecur Boleh Membawa Kepada M**t?

1,551

Mengikut kepada pakar bedah pembedahan plastik, yang merupakan salah seorang doktor pakar, beliau (nama tidak dibenarkan untuk dikongsikan) menyatakan bahawa kebanyakkan pesakit yang terkena kecederaan akibat lecuran maut disebabkan oleh kemasukkan gas beracun bernama karbon monoksida, yang terhasil daripada pembakaran sesuatu objek.

Kebanyakkan mangsa akan pengsan terlebih dahulu sebelum tubuh mereka terkena api yang membakar itu. Beliau menyatakan, ada sebabnya tuhan menjadikannya sebegitu, kerana kecederaan yang berasal daripada api ini bukan main-main sakitnya, dan bertahun-tahun beliau terlibat dalam rawatan pesakit di Burn Unit.

Seperti yang kita tahu, kecederaan akibat melecur ini terbahagi kepada 4 peringkat, seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di bawah.

Gambar dari Deutsches Arzteblatt International

Pembahagian tahap ini dibuat memandangkan rawatannya berbeza-beza bagi setiap peringkat. Untuk pengetahuan anda, sekiranya seseorang itu sudah berada di peringkat ketiga (3rd Degree Burn), dia tidak lagi merasai kesakitan disebabkan oleh kemusnahan pada saraf-saraf yang mengesan kesakitan yang dialaminya.

Namun, anda perlu tahu, kebanyakkan pesakit selalunya akan datang dengan pelbagai peringkat kelecuran ini dan biasanya peringkat-peringkat ini bercampur-campur daripada peringkat 1 hinggalah 3 dan 4.

Gambar – Emedicinehealth

Informasi kedua yang anda perlu tahu adalah mengenai peratusan permukaan seseorang yang melecur itu, dalam pengiraan yang dipanggil sebagai ‘Rule of 9’. Pengiraan ini amat penting kerana dengan mengetahui peratusan lecuran sedemikian, para doktor boleh menganggar berapa banyak air yang diperlukan dalam usaha untuk menghalang salah satu komplikasi kepada mangsa kebakaran serta adakah pesakit perlu dihantar ke Burn Unit atau tidak.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan satu berita kematian seorang pelajar yang maut apabila ditekap dengan seterika wap. Mangsa dikatakan tidak menerima apa-apa rawatan dan ‘disembunyikan’ sehinggalah 10 hari kemudian di mana dia dihantar ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Lebih menyedihkan adalah tekapan berkenaan menyebabkan kecederaan pada 80 peratus badan mangsa

Gambar – Berita Harian

Jadi, bagaimanakah kecederaan melecur ini boleh membunuh seseorang? Berikut adalah senarai dan penerangan sedikit sebanyak mengenai komplikasi yang akan hadir sekiranya seseorang itu tidak mendapatkan rawatan secepat mungkin.

HYPOVOLEMIC SHOCK

Gambar – The Free Dictionary

Mangsa kebakaran akan mengalami keadaan di mana jumlah darah (plasma dan sel darah merah) menjadi terlalu rendah sehingga menyebabkan hypovolaemic shock. Keadaan ini lebih kepada disebabkan oleh mana-mana sel yang rosak akan mengeluarkan bahan-bahan yang berfungsi sebagai inflammatory mediators dalam usaha untuk kita memperbaiki mana-mana kawasan yang cedera.

Masalah akan timbul apabila terlalu banyak bahan ini dikeluarkan (lebih 20% kebakaran), menyebabkan salur darah seseorang itu mulai mengembang dan terbuka luas (vasodilation and increase capillary permeability).

Hal ini akan menyebabkan jumlah darah di dalam badan menjadi rendah, dan dalam keadaan ini, organ utama seperti jantung akan mengalami masalah untuk mengepam darah ke seluruh badan. Keadaan ini amat berbahaya, dan dalam rawatan mangsa kebakaran, pemberian air melalui intravena merupakan salah satu rawatan yang utama dalam usaha untuk mengelakkan pesakit daripada maut.

SEPSIS

Gambar – Mayo Clinic

Kulit merupakan satu organ yang mempunyai fungsi sebagai ‘natural; barrier’ untuk menghalang kemasukkan bakteria atau segala jenis kuman daripada menjangkiti seseorang. Kawasan kulit yang melecur akan dengan mudah menyebabkan kemasukkan pelbagai jenis bakteria ke dalam badan manusia, dan jangkitan ini akan tersebar melalui darah.

Cuba anda bayangkan, di atas kulit seseorang itu, terdapat jutaan jenis bakteria termasuklah satu jenis bakteria yang kita takuti serta amat sukar dirawat, iaitu Methicillin-Ressistnt Staphylococcus aureus (MRSA). Bakteria yang masuk ini akan menyebabkan seseorang itu mengalami septic shock, yang berpotensi tinggi untuk menyebabkan kematian.

KEGAGALAN ORGAN

Luka akibat lecuran adalam skala besar ini akan menyebabkan banyak sel di dalam badan seseorang itu mati. Sel-sel yang mati ini akan mengeluarkan bahan-bahan yang terkandung di dalamnya, Sama seperti penerangan di hypovolaemia, organ jantung akan gagal disebabkan jumlah darah menjadi terlalu sedikit.

Kemudian, terdapat beberapa bahan daripada dalam sel ini yang begitu toksik kepada buah pinggang seperti myoglobin yang terhasil apabila otot tercedera dalam kebakaran peringkat 4. Hal ini boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang.

ESCHAR

Eschar ini merupakan satu bahagian kulit yang mengeras, iaitu seperti parut dan sering terjadi kepada mangsa kebakaran pperingkat 3 dan 4. Kulit manusia ini bersifat elastik dan membenarkan pergerakkan kita, terutama seperti kulit di bahagian sendi dan dada. Apabila bahagian ini mula mengeras, seseorang mangsa akan mengalami kesukaran untuk bergerak kerana terhalang oleh bahagian luar yang mengeras ini.

Bukan itu sahaja, pada bahagian dada pesakit, pengemabangan di bahagian dada untuk membolehkan seseorang itu bernafas juga menjadi amat terhad. Pernadasan yang tidak efektif ini akan meningkatkan lagi risiko untuk seseorang itu dijangkiti kuman seoerti pneumonia. Mengikut satu statistik dalam satu kajian, pneumonia merupakan satu komplikasi yang paling tinggi berbanding dengan kes-kes lain.

KANSER

Gambar – World Journal of Surgical Oncology

Berdasarkan mekanisma pembentukkan kanser yang sering terjadi pada bahagian yang selalu cedera atau kecederaan kronik. Terdapat satu jenis kanser yang boleh berlaku kepada pesakit bernama Marjolin’s Ulser. Kanser kulit ini merupakan salah satu komplikasi jangka masa panjang untuk mangsa-mangsa kebakaran.

Ada laporan menyatakan bahawa kanser ini terbentuk setelah selepas 20 tahun seseorang itu terkena kecederaan pada kulitnya yang melecur itu. Rawatannya adalah lebih kepada pembedahan untuk pesakit-pesakit sebegini.

Gambar -Researchgate

Dalam kemajuan bidang perubatan, kita boleh harapkan agar rawatan-rawatan seperti skin graft yang menggunakan bahan-bahan yang sedia ada membolehkan seseorang itu sembuh tanpa mengalami apa-apa kesan dan komplikasi jangka masa panjang. Terdapat banyak lagi komplikasi yang timbul sebenarnya, namun, saya tidak dapat memasukkan semuanya di sini, mungkin saya akan buat di dalam artikel seterusnya.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa penulisan saya ini bukanlah untuk menambahkan lagi kesedihan dan menyebabkan kemarahan terutama pada mana-mana individu berkaitan dengan kes ini, tetapi, apa yang saya tekankan di sini adalah sebagai satu cara untuk menunjukkan bahawa perbuatan yang mendatangkan kecederaan bersifat kelecuran ini bukan perkara biasa, dan seseorang tidak harus melakukan perkara ini yang sebegitu kejam dan tiada sifat perikemanusiaan langsung terhadap insan lain.

Inilah merupakan salah satu sebab mengapa di dalam Islam, perbuatan mendatangkan kecederaan menggunakan api atau objek panas ini diharamkan sepenuhnya. Saya berharap, anda boleh nampak sendiri mengapakah perkara ini diharamkan setelah mengetahui komplikasi-komplikasi dan apa yang seseorang itu perlu lalui apabila tercedera disebabkan oleh api atau objek panas.

RUJUKAN:

Burns: Pathophysiology of Systemic Complications and Current Management. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5214064/

Severe Burn Injuries. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2770215/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.