Bagaimana Mahu Mengetahui Daun Itu Boleh Dimakan Manusia?

908

Di dalam usaha untuk kelangsungan hidup, sama ada seseorang itu terdampar atau tersesat di dalam hutan, jika dalam jangka masa yang lama, sudah pasti seseorang itu memerlukan makanan. Sudah tentu, tempat untuk tidur dan air merupakan keutamaan memandangkan manusia boleh hidup sehingga 21 hari secara purata tanpa makanan.

Justeru, di dalam hutan, sudah pasti terdapat banyak jenis pokok dan tumbuh-tumbuhan, yang mana sekiranya seseorang itu bernasib baik, dia mungkin ada bertemu dengan pokok buah-buahan hutan. Namun, selalunya, yang terdapat di dalam hutan hanyalah daun, batang pokok dan semak samun yang dipenuhi dengan pelbagai jenis rumput, tumbuhan menjalar dan lain-lain.

Oleh itu, sekiranya seseorang itu berada di dalam keadaan terdesak, daun-daun hijau yang berada di dalam hutan ini mungkin boleh dimakan, dan sekurang-kurangnya memberikan tenaga di antara 10 – 15 kalori/ 100 gram. Hal ini lebih baik berbanding dengan tidak memakan apa-apa langsung. Sekurang-kurangnya, walaupun tenaga yang dibekalkan itu sedikit.

Baik, ini merupakan beberapa tips dan kaedah yang anda boleh lakukan sekiranya anda berada di dalam keadaan sesat.

  • Cari tumbuhan yang banyak. Begini, proses untuk mengenalpasti daun yang boleh dimakan atau tidak ini amat panjang. Jika anda ambil daun yang sedikit, nanti anda perlu mencari daun lain, dan terpaksa memulakan semula proses untuk memeriksa sama ada daun tersebut boleh dimakan atau tidak.
  • Setelah menemui tumbuhan yang banyak, petik daunnya, dan lihat dengan terperinci sama ada daun tersebut mempunyai serangga, siput mahupun ulat. Sekiranya ada, anda perlu buang kerana hal ini menandakan bahawa daun-daun tersebut mulai mereput, dan tidak selamat untuk dimakan.
  • Kemudian, anda perlu pisahkan tumbuhan tersebut kepada beberapa bahagian, iaitu midrib, margin, lamina dan petiole (lihat gambar). Cerai-ceraikan bahagian daun tersebut, dan mulakan langkah untuk mengenalpasti daun tersebut seperti di bawah;

– Hancur atau koyakkan daun tersebut sehingga cecair di dalam ini keluar. Cecair ini kita panggil sebagai ‘sap”. Gosok bahagian tersebut pada tangan anda, dan pastikan sap daun tersebut juga menyentuh kulit anda. Letak selama 15 minit, jika kulit anda tidak menunjukkan apa-apa reaksi, ini bermakna tumbuhan ini tidak mempunyai apa-apa racun pada kulit (non-contact poisonous), tetapi jika anda mulai berasa gatal, dan kulit anda menjadi merah-merah (lihat gambar), buang daun tersebut dan cari tumbuhan lain pula.

– Selepas itu, gosokkan daun tersebut pada bibir anda selama 3 minit. Jika anda mula merasai bibir anda kebas-kebas, pedih dan mula membengkak (lihat gambar), buang daun tersebut dan cari alternatif lain

– Masukkan dalam mulut dan kemam sahaja tanpa mengunyah selama 15 minit. Kemudian, jika tiada apa-apa reaksi, kunyah selama 15 minit (jangan telan lagi). Ya, saya tahu durasinya amat panjang, tetapi, jika daun ini banyak, dan anda dapati selamat untuk dimakan, untuk helaian-helaian daun seterusnya, anda hanya boleh makan tanpa membuat ujian sebegini lagi. Itulah sebabnya di dalam point di atas, saya sarankan untuk mencari tumbuhan yang banyak berada di situ.

– Setelah dipastikan tiada merah-merah pada bibir, mulut mahupun pembengkakkan terjadi, telan sedikit daripada ‘portion’ terbabit. Setelah menelan, tunggu selama 8 jam sebelum anda makan daun-daun tersebut.

– Semasa menunggu ini, sekiranya anda mulai rasa mual, loya dan nak muntah (serta gejala lain seperti di dalam gambar di atas), muntahkan sahaja daun tersebut. Anda boleh memaksa diri anda untuk muntah dengan cara minum air dengan banyak,mahupun menggunakan jari anda dan masukkan ke dalam kerongkong anda untuk mengaktifkan ‘gag reflex’.

– JIka tidak, ini bermakna tumbuhan tersebut boleh dimakan, dan selang 8 jam untuk setiap pemakanan. Pastikan anda makan bahagian tumbuhan yang anda uji sahaja, bukan bahagian yang lain.

Di kawasan hutan di Malaysia ini juga kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan, dan banyak uga diantaranya yang memang diketahui beracun, seperti pokok Kecumbung, Jelatang, Bunga Jepun, Keladi dan Tuba Luli. Amat berbahaya semasa di dalam proses untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila tersesat di dalam hutan sekiranya anda terkena penyakit akibat racun mahupun alahan, yang mana akan menyebabkan anda berada dalam situasi yang lebih sukar untuk meneruskan kehidupan.

Justeru, amat penting bagi para pendaki mahupun sesiapa yang ingin menerokai alam semulajadi untuk mengetahui hal-hal sebegini yang kadangkala boleh mengancam nyawa. Juga, pengetahuan dan kebolehan untuk mengenalpasti jenis-jenis tumbuhan lain di kawasan yang anda ingin terokai juga amat penting bagi membolehkan anda untuk meneruskan kelangsungan hidup sekiranya anda tersesat mahupun berada di dalam situasi seperti ini, yang memerlukan anda mencari ikhtiar untuk hidup.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.