Sejak akhir-akhir ini dilihat semakin banyak skim-skim pelaburan yang menjanjikan kekayaan yang cepat serta luar biasa dan skim pelaburan ini kebanyakannya adalah skim penipuan Ponzi “it’s too good to be true”. Skim ini selalunya akan menggunakan produk pelaburan yang mendapat perhatian umum seperti pelaburan forex, emas, rumah dan juga pelaburan mata wang digital. Untuk artikel ini aku memilih mata wang digital sebagai contoh untuk mendidik pembaca dalam mengenal skim pelaburan yang bercirikan skim Ponzi. Tapi sebelum itu mari kita mengenal dahulu sejarah bermula nya skim Ponzi ini.

Skim ini di namakan “Ponzi” bersempena nama seorang penipu besar iaitu Charles Ponzi yang telah menipu duit pelabur yang bernilai lebih kurang sebanyak 20 juta USD pada 1900-an. Ia bermula apabila dia mendapat surat berserta “International Reply Coupon (IRC)” dan mendapat idea untuk menipu pelabur bahawa beliau boleh menjana keuntungan sebanyak 400% hasil dari pembelian kupon di negara yang mempunyai tukaran mata wang rendah dan menukarnya ke negara yang mempunyai pertukaran mata wang yang lebih tinggi (tak faham? Teruskan membaca). Pada permulaan beliau berjaya meyakinkan rakan beliau sahaja sehinggalah beliau berjaya menarik lebih ramai pelabur dan hasil keuntungannya telah mencecah angka 250 ribu USD dalam masa sehari walaupun beliau sebenarnya tidak mempunyai sistem pelaburan langsung dan hanya menggunakan duit pelabur yang menyertai untuk membayar keuntungan pelaburan yang beliau janjikan. Skim yang dicipta Charles Ponzi ini telah runtuh apabila The Boston Post mula menyoal kebenaran skim ini dan beliau pun telah di penjara selama 5 tahun.

Bagaimana kah cara untuk mengesan skim Ponzi menipu ini?

Secara ringkas, skim Ponzi ini bermaksud sistem pelaburan palsu yang direka untuk menarik para pelabur dimana keuntungan pelabur akan dibayar dengan menggunakan duit yang diambil dari pelabur itu sendiri dan juga pelabur yang lain. Di sini aku hidangkan 5 ciri-ciri skim Ponzi dan mengambil contoh skim pelaburan mata wang digital iaitu Ethtrade yang menggunakan mata wang digital ethreum yang baru-baru ini telah pun terkubur (Ethtrade Limited dan Ethtrade Malaysia) apabila telah di senarai ke dalam “alert list” oleh Bank Negara Malaysia.

1. Menjanjikan pulangan yang tinggi dan tetap dengan risiko yang rendah atau tiada langsung risiko. EthTrade menjanjikan pulangan sebanyak 15% – 25% sebulan yang dilihat sangat tinggi untuk sesuatu pelaburan dan ada yang menjanjikan pulangan sebanyak 10% sehari! Pulangan pelaburan bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, ianya juga dalam bentuk wang digital seperti bitcoin sehingga lah kepada pulangan pelaburan berbentuk rumah. Skim Ponzi yang melibatkan rumah, sebagai contoh mereka akan menjanjikan pulangan rumah yang berharga RM150 ribu harga pasaran dengan harga hanya RM40 ribu sahaja. Bagaimana begitu murah sekali? Apa yang terjadi sebenarnya adalah, mereka akan menggunakan dana dari duit pembeli-pembeli rumah untuk membina sebuah rumah dan dalam masa yang sama untuk mengaut keuntungan.

2. Menjanjikan pulangan tanpa gagal secara bulanan atau mingguan walau apapun keadaan pasaran dan juga sistem pelaburannya yang tidak jelas dan meragukan. Sebagai contoh, EthTrade memberi penerangan yang mereka akan menggunakan duit pelaburan ahli untuk melakukan kegiatan “mining” oleh pihak ketiga dan hasil dari mining itu akan di bahagikan kepada pelabur. Ianya sangat meragukan kerana mereka tidak mendedahkan siapa pihak ketiga tersebut, di mana tempat kegiatan mining itu dijalankan dan berapa kapasiti dan juga hasil keseluruhan dari kegiatan mining tersebut. Kebanyakan pelabur tidak mengendahkan lagi bagaimana sistem ini berjalan kerana mata dan fikiran sudah dikaburi dengan hasil keuntungan yang tinggi dengan hanya goyang kaki.

3. Perniagaan atau pelaburan yang tidak berdaftar atau di senarai hitam oleh BNM atau mana-mana agensi di seluruh dunia. Sedikit semakan perlu di buat dalam laman sesawang bank negara dan di dalam internet sebelum membuat sebarang pelaburan.

Jika syarikat yang anda ingin melabur itu tiada dalam senarai “alert list” oleh bank negara, tidak semestinya syarikat itu selamat untuk dilabur kerana kemungkinan tiada laporan pernah dibuat kepada bank negara. Seperti Ethtrade ianya telah beroperasi hampir 2 tahun dan ianya baru di sahaja senarai hitam pada Jun 2017 dan jika kita buat sedikit semakan di internet anda akan jumpa yang Ethtrade merupakan syarikat yang berdaftar di Hong Kong dan Hong Kong telah menyenarai kan syarikat ini ke dalam “Alert List” pada Jan 2017. Untuk lihat syarikat yang telah disenarai hitamkan oleh BNM; http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_financialconsumeralert

4. Sukar untuk mengeluarkan hasil dari “keuntungan pelaburan”. Selalunya hasil keuntungan itu perlu memenuhi pelbagai syarat seperti perlu berada dalam akaun dalam tempoh yang tertentu atau perlu sampai nilai sasaran barulah ianya dapat dikeluarkan. Ini semua perlu kerana mereka perlu memastikan setiap wang pelaburan sentiasa berada di dalam genggaman mereka untuk kegunaan membayar “keuntungan pelaburan” kepada pelabur yang lain.

5. Menawarkan komisen atau peratusan keuntungan yang lebih tinggi jika berjaya menarik penyertaan pelabur baru (affiliate program) dan ini merupakan ciri yang paling jelas sesuatu skim bercirikan ponzi. Ini merupakan cara untuk skim penipuan ponzi ini bertahan kerana ia akan menggunakan modal dari ahli yang baru untuk membayar pulangan/keuntungan pelaburan ahli yang lama. Skim yang berbentuk piramid ini akan berlanjutan dan kekal utuh sehinggalah skim ini sudah tidak mendapat sambutan atau tiada modal yang mencukupi untuk membayar “keuntungan” para pelabur. Maka akan runtuh lah sistem ini kerana ketiadaan modal untuk membayar “keuntungan pelabur”. Pada ketika itu pelbagai alasan yang akan diberikan untuk mereka membolot segala keuntungan dan menutup operasi. Antara alasan yang diberi adalah seperti laman web di godam atau bank negara menyekat dana keuntungan untuk membayar pelabur. Untuk Ethtrade yang baru-baru ini terkubur, mereka memberi alasan bahawa sistem pelaburan mereka telah di serang ransomware. Ianya hanya alasan untuk menutup operasi setelah bertahun-tahun beroperasi dan ianya sudah terlambat kerana beribu rakyat Malaysia (jumlah ini hanya anggaran) telah pun tertipu.

Apakah tindakan yang perlu kita ambil jika terjumpa skim yang meragukan dan menepati sistem penipuan seperti yang diterangkan di atas? Hubungi pihak Bank Negara di talian 1-300-88-5466 atau email ke bnmtelelink@bnm.gov.my. Marilah sama-sama kita mendidik masyarakat dan banteras skim menipu lahanat ni! Selamat menilai dan harap ianya bermanfaat untuk semua. Aman!

Sumber:

The Telegraph (Jun 2016). “The most notorious financial frauds in history” http://www.telegraph.co.uk/money/consumer-affairs/the-most-notorious-financial-frauds-in-history/charles-ponzi/

US Securities and Exchange Commission (SEC). “Ponzi Schemes” https://www.sec.gov/fast-answers/answersponzihtm.html

Portal Rasmi Polis Diraja Malaysia. “Skim Penipuan Ponzi” https://www.rmp.gov.my/scam-alert/2014/08/21/skim-penipuan-ponzi

LeapRate.com (Jan 2016). “Hong Kong SFC adds Ethtrade Limited to its alert list” https://www.leaprate.com/news/hong-kong-sfc-adds-ethtrade-limited-to-its-alert-list/

Bank Negara Malaysia. “Consumer Alert and Updates” http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_financialconsumeralert


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aku masih lagi mencari identiti dalam disiplin penulisan ini dan berharap setiap penulisan aku ini dapat membuka benak pemikiran pembaca dan juga diri sendiri. InsyaAllah.

Leave A Reply