Bagaimana Madu Membunuh Kuman Pada Luka?

719

Madu lebah yang asli merupakan salah satu cecair semula jadi yang sebelum ini pernah dikenali sebagai ‘liquid gold’. Hal ini adalah kerana harganya yang amat tinggi setelah manusia mengetahui potensi dan keupayaan yang ada di dalam madu ini terutama sekali dalam mengubati penyakit. Penyakit yang dimaksudkan di sini adalah keupayaannya dalam membunuh kuman terutamanya pada luka.

Pada zaman purba, madu lebah ini banyak digunakan dalam mengubati penyakit, khususnya, madu ini diletakkan pada luka untuk mengelakkannya daripada terkena jangkitan kuman. Tetapi, apakah kandungan dan komposisi madu ini yang membuatkannya menjadi satu daripada cecair yang mampu membunuh kuman seperti bakteria, fungus dan parasit.

Terdapat 3 sebab mengapa madu ini mempunyai potensi yang sangat tinggi dalam sifat antiseptiknya.

Kandungan madu – Researchgate (pautan dibawah)

Satu, adalah kandungannya yang mengandungi gula yang amat tinggi. Madu secara puratanya mempunyai 17.2% air, dan 80% daripadanya gula yang terdiri daripada gula dalam bentuk glukosa dan fruktosa. Semasa di kelas biologi tingkatan 4, kita tahu mengenai proses osmosis dan gula mempunyai sifat untuk menarik kandungan air apabila dipisahkan dengan membran separa telap.

Proses Osmosis – BC Learning Network

Sekarang, cuba anda bayangkan, membran separa telap itu adalah dinding sel bakteria. Apabila bakteria ini terkena pada madu, kandungan cecair dalam bakteria akan meresap keluar, menyebabkan bakteria tersebut menghadapi dehidrasi dan akhirnya membunuh bakteria tersebut. Glukosa tidak boleh menyeberangi membran tersebut kerana glukosa merupakan molekul yang besar, dan biasanya memerlukan ‘channel’ atau lubang yang khusus untuknya seperti glucose channel.

Jadi, disebabkan cecair ini yang pekat, maka proses osmosis mampu membunuh kuman secara efektif. Akan tetapi, jika itu sahaja perbezaannya, maka, apakah perbezaannya dengan air gula yang pekat? Baik, sebab yang kedua adalah enzim yang bernama glucose oxidase. Mengikut kepada kajian yang dilakukan (pautan di bawah), enzim ini dihasilkan oleh sejenis kelenjar yang terletak pada bahagian hypopharynx lebah madu.

Penghasilan glucose oxidase – Pubmed (pautan dibawah (3))

Semasa pemprosesan madu, enzim ini akan termasuk ke dalam madu dalam kuantiti yang sedikit. Sedikit pengetahuan asas, untuk bakteria tumbuh, mereka memerlukan kondisi dan pH yang sesuai dan kebanyakkan bakteria yang boleh mendatangkan penyakit kepada manusia memerlukan pH yang neutral iaitu 7 bagi mereka membiak dengan jayanya. Enzim glucose oxidase ini menukarkan glukosa yang terkandung di dalam madu kepada gluconic acid dan hidrogen peroksida.

Kesan glucose oxidase kepada glukosa – Wikipedia

Enzim ini tidak aktif dalam kuantiti air yang sedikit seperti di dalam madu sendiri, namun, enzim ini akan diaktifkan setelah dicampurkan sedikit dengan air seperti dalam proses pemakanan atau penyapuan pada luka (air akan diserap daripada persekitaran) dan hal ini akan menjadikan pH madu berasid. Jika anda lihat sendiri, di dalam beberapa jenis madu, pH nya sememangnya telahpun berasid akibat daripada kesan enzim ini, meletakkan madu berada pada pH sebanyak 3.9 dan akan menjadi sedikit lebih berasid apabila bercampur dengan air.

pH yang berasid ini menjadikan keadaan tidak sesuai untuk pertumbuhan bakteria terutama apabila diletakkan di dalam kulit. Namun, pH sebegini tidak juga cukup kuat untuk membunuh atau menghakis sel-sel manusia.

Cecair Hidrogen Peroksida – meijer

Bahan yang kedua dan lebih penting daripada tindakan glucose oxidase adalah hidrogen peroksida. Tahukah anda, hidrogen peroksida merupakan salah satu reagen yang digunakan untuk mencuci luka pesakit di hospital? Hal ini juga terbukti apabila satu kajian mengenai kadar hidrogen peroksida yang berkadar songsang dengan pertumbuhan sejenis kuman berbahaya yang dipanggil sebagai Pseudomonas aeruginosa (pautan nombor 4).

Sebab yang terakhir bagaimana madu mempunyai potensi yang tinggi untuk membunuh bakteria adalah kerana imuniti yang dipunyai oleh serangga ini yang mana setiap seekor lebah pekerja mempunyai imuniti dan antibodi untuk membunuh beberapa bakteria perosak dalam mempertahankan juga sarang mereka daripada dijangkiti bakteria ini.

Beberapa protein seperti Bee defensin – I dan Methyglyoxal mempunyai kesan yang tinggi dalam membunuh bakteria. Madu lebah jenis Manuka yang berasal daripada New Zealang dikatakan mempunyai kadar Methylglyoxal yang amat tinggi berbanding dengan madu-madu jenis lain. Bee defensin-I juga dikatakan mempunyai kebaikan dalam mempercepatkan pertumbuhan kulit seperti yang dinyatakan di dalam satu kajian mengikut laman web Scientific Reports.

Tapi ingat, bahan seperti methylglyoxal ini, walaupun baik untuk luka, tetapi, di dalam pesakit kencing manis, bahan ini boleh menjadi amat berbahaya. Ini adlaah salah satu sebab mengapa pengambilan madu tidak disarankan untuk pesakit kencing manis (tidak boleh makan).

Timbul satu lagi persoalan, benarkah bayi tidak boleh mengambil madu? Jika ya, bukankah madu mempunyai potensi untuk membunuh kuman? Tetapi mengapa tidak pada hal ini?. Baiklah, jawapannya, mereka yang berumur kurang daripada satu tahun TIDAK boleh mengambil madu, walau apa jenis madu sekalipun kerana ianya boleh membawa maut!

Hal ini adalah kerana kewujudan sejenis bakteria bernama Clostridium botulinum (CB). Lebih kurang 10% daripada madu yang dipasarkan mempunyai spora CB ini. Spora CB tidak hidup, dan tidak berkesan dengan hydrogen peroksida dan keadaan osmolariti madu yang tinggi. Akan tetapi, untuk orang dewasa, jika kita makan makanan ini, antibodi di dalam badan kita dengan mudah akan mengesan spora ini, dan akan menghapuskannya.

Pengambilan madu pada bayi berusia bawah 1 tahun – Pubmend (pautan di bawah(7))

Untuk bayi bawah usia setahun, antibodi mereka masih lagi kadangkala tidak mampu membunuh kesemua daripada spora ini. Spora ini, apabila ke tahap pertumbuhan seterusnya, iaitu setelah ianya menjadi bakteria dewasa akan menghasilkan toksin. Hanya 1 nanogram sahaja, iaitu 0.000000001 gram sahaja toksin ini cukup untuk membunuh orang dewasa, yang mana mereka akan maut apabila toksin ini menyerang saraf dan menyebabkan seseorang itu lumpuh, dan gagal bernafas.

Madu lebah, sarang lebah dan lebah – Shutterstock

Jadi, inilah dia mengapa dan bagaimana madu inI mempunyai keupayaan untuk membunuh kuman terutama sekali pada luka seseorang pesakit. Anda harus ingat, dalam kebaikkan sesuatu bahan itu, terdapat juga keburukkannya dan bukannya boleh diambil sesuka hati tanpa pemeriksaan dan kawalan.

Terdapat banyak kes kematian akibat pemakanan madu ini pada bayi, dan sebagai seorang ibu bapa yang bertanggungjawab khususnya, adalah baik sekiranya anda mengikuti apa yang telah disarankan melalui kajian demi kajian untuk kebaikan kita bersama.

Disclaimer – Penulisan ini adalah untuk perkongsian ilmu dari segi sains dan perubatan semata-mata tanpa mempunyai tujuan mempromosi, atau menjatuhkan perniagaan mahupun percubaan untuk menuang pasir dan kitty litter di dalam periuk nasi seseorang. Terima kasih (DrSharky)

RUJUKAN:

  1. Honey Composition. https://www.researchgate.net/publication/304011775_Honey_Composition
  2. BC Learning Network – Osmosis
  3. Glucose oxidase studies – https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/24969731
  4. Madu dan bakteria Pseudmonas aeruginosa – https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3385198/
  5. Bee Defensin – I – https://www.nature.com/articles/s41598-017-07494-0
  6. Methylglyoxal dan pesakit kencing manis https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3121424/
  7. Bayi dan Botulism – https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/12432974
  8. https://www.cdc.gov/botulism/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.