Mungkin sukar untuk kita bayangkan yang haiwan seperti lebah yang kecil mampu untuk memberikan kesan dan impak yang besar terhadap alam semula jadi. Lebah merupakan agen penyebar biji benih yang utama di seluruh dunia.

Namun malangnya, populasi lebah semakin berkurangan dari tahun ke tahun yang mampu menyebabkan pendebungaan silang (cross-pollination) semakin berkurang. Situasi ini boleh menyebabkan perkembangan tumbuhan bunga-bungaan berkurangan.

Peranan lebah

Lebah memainkan lima (5) peranan utama terhadap alam. Pertama, seperti yang ditulis di atas iaitu agen pendebungaan secara khusus untuk tumbuhan yang menghasilkan makanan untuk manusia.

Untuk sebahagian tumbuhan berkembang biak, mereka memerlukan pemindahan debunga dari bahagian bunga jantan (anther) ke bahagian betina (stigma). Memandangkan lebah berpindah dari bunga ke bunga untuk mencari nektar, debunga yang melekat pada mereka berpindah ke bunga yang mereka singgah. Hasil usaha keras lebah merupakan satu pertiga daripada hasil makanan yang manusia peroleh.

Kedua, bukan sekadar tumbuhan yang menghasilkan makanan sahaja yang bergantung kepada lebah, tumbuhan liar juga sama. Tumbuhan liar ini juga penting untuk kelangsungan hidup haiwan-haiwan yang bergantung kepada kerja-kerja pendebungaan tumbuhan yang mereka makan.

Ketiga, lebah menghasilkan madu untuk memberi makan koloni mereka pada musim sejuk. Manusia telah mengambil madu selama ribuan tahun, tetapi kita bukan satu-satunya yang menganggapnya sebagai sumber makanan. Makhluk lain seperti burung, rakun, oposum, dan serangga akan menyerang sarang lebah untuk mendapatkan madu.

Lebah itu sendiri merupakan sebahagian daripada rantaian makanan. Sekurang-kurangnya 24 spesies burung menjadi pemangsa lebah. Banyak labah-labah dan serangga, seperti pepatung dan mentadak memakan lebah juga.

Keempat, selain membina sarang untuk mereka sendiri, mereka jumpa bertanggungjawab “membina” rumah untuk haiwan-haiwan lain.

Sebagai agen penyebar, mereka memainkan peranan penting dalam pertumbuhan hutan tropika, hutan savanna dan temperate deciduous forests (bukan di Malaysia). Ada juga beberapa spesies pokok yang bergantung sepenuhnya terhadap kerja-kerja pendebungaan lebah untuk membiak.

Kelima ialah biodiversiti alam secara keseluruhan. Lebah menyokong pertumbuhan pokok, bunga, dan tanaman lain, yang berfungsi sebagai makanan dan tempat tinggal bagi makhluk besar dan kecil. Lebah menyumbang kepada ekosistem yang kompleks dan saling berkaitan yang membolehkan pelbagai jenis spesies hidup bersama.

Lebah percepatkan proses pokok berbunga

Selain daripada lima sumbangan dan kepentingan lebah di atas, lebah juga berupaya untuk mempercepatkan tumbuhan untuk berbunga awal atas faktor tertentu. Mengapa lebah pekerja berbuat demikian?

Lebah pekerja berbuat demikian untuk mempercepatkan kewujudan sumber makanan mereka sebagai stok untuk menghadapi musim sejuk. Koloni yang baru diciptakan juga memerlukan sumber makanan yang cepat untuk menampung ahli dalam koloni.

Sebuah kertas kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science pada Mei 2020 oleh sekumpulan penyelidik, Pashalidou et al dari ETH Zürich dan Universite Paris-Saclay telah menemukan bahawa lebah pekerja berupaya mempercepatkan proses penumbuhan bunga pada pokok yang lambat atau belum mengeluarkan bunga.

Pemerhatian awal dilakukan pada empat jenis pokok bunga (Brassica oleracea, B. nigra, Solanum elaeagnifolium, dan S. melongena) di mana lebah pekerja menggunakan proboscises (jarum) dan mandible (penyepit) pada bahagian mulut mereka untuk menebuk lubang yang berbentuk pada daun pokok.

Pengkaji memerhatikan bahawa lebah pekerja tersebut tidak pun memakan atau membawa pulang serpihan daun pokok yang telah mereka tebuk.  Jadi, mereka membuat hipotesis bahawa lebah pekerja menebuk lubang pada daun pokok untuk mempercepatkan penghasilan bunga.

Maka dengan demikian para pengkaji menjalankan kajian terhadap dua jenis pokok bunga iaitu S. lycopersicum dan B. nigra untuk melihat sama ada benar atau tidak lebah pekerja boleh memberikan kesan pencepatan proses penumbuhan bunga.

Pada masa yang sama, pengkaji menyediakan juga dua set lagi pokok bunga yang sama. Satu set dibiarkan begitu sahaja tanpa ada apa-apa eksperimen. Manakala set kedua, daun pokok ditebuk lubang secara mekanikal.

Lebah pekerja menebuk 5 ke 10 lubang pada daun pokok dan set pokok lubang mekanikal juga ditebuk hampir sama dan seiras dengan yang ditebuk lebah pekerja. Para pengkaji menggunakan metal forceps dan razor untuk mendapatkan hasil tebukan lebah pekerja yang sama.

Hasil kajian mendapati pokok berbunga lebih cepat dengan tebukan lubang oleh lebah pekerja. Manakala dua set lain iaitu set daun pokok tebukan mekanikal dan set daun pokok yang tidak ditebuk berbunga lambat.

Pada S. Lycopersicum, set yang ditebuk oleh lebah berbunga 30 hari lebih awal berbanding set yang tidak ditebuk lubang langsung. Manakala set tebukan mekanikal berbunga 25 hari awal, iaitu lewat 5 hari sahaja berbanding set tebukan lebah pekerja.

Pada B. Nigra pula, set yang ditebuk oleh lebah berbunga 16 hari lebih awal berbanding set yang tidak ditebuk lubang langsung. Manakala set tebukan mekanikal berbunga 8 hari awal, iaitu lewat 8 hari sahaja berbanding set tebukan lebah pekerja.

Eksperimen yang kedua yang dijalankan oleh pengkaji yang sama ialah kajian terhadap dua set lebah pekerja yang diberikan debunga yang banyak (set pertama) dan set lebah yang tidak diberikan debunga langsung (set kedua).

Set pertama hanya akan merosakkan atau menebuk sedikit sahaja pada daun pokok manakala set kedua akan menebuk lubang pada daun pokok dalam jumlah yang banyak.

Kemudian, set pertama dan set kedua ditukar keadaan di mana set pertama tidak diberikan debunga langsung dan set kedua diberikan debunga yang banyak. Maka hasilnya adalah sama, di mana set yang tidak diberikan debunga langsung akan menebuk lubang dengan lebih banyak.

Terdapat lagi eksperimen yang ketiga, namun penulis hanya berpada dengan dua eksperimen yang dinyatakan di atas sebagai dalil lebah pekerja mampu membuatkan pokok berbunga lebih awal.

Melihat kepada peranan lebah dan kemampuan kejuruteraan mereka dalam pembentukan alam semulajadi, bukanlah suatu yang kecil apabila Allah SWT mendedikasikan satu surah sempena lebah iaitu Surah al-Nahl.

“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.”

(Surah An-Nahl: 68-69)

RUJUKAN:

N.A. (N.D). 5 Ways Bees are Important to the Environment. Premier Tech. https://www.pthomeandgarden.com/5-ways-bees-are-important-to-the-environment/

Alice Klein. (2020).  Bees force plants to flower early by cutting holes in their leaves. Newscientist.com. https://www.newscientist.com/article/2244009-bees-force-plants-to-flower-early-by-cutting-holes-in-their-leaves/

Pashalidou et al. (2020). Bumble bees damage plant leaves and accelerate flower production when pollen is scarce. Science 368, 881–884.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang graduan Pengajian al-Quran dan Sunnah di USIM dan sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat sarjana dalam bidang terapi Psikospiritual Quran dan Sunnah.

Comments are closed.