Bagaimana Korea Utara Menjadi Kuasa Nuklear

0
988
views

Sejak beberapa tahun lepas, Korea Utara di bawah pimpinan Kim Jong-un tidak teragak-agak melancarkan serangan peluru berpandu nuklear atau mengadakan ujian peluru berpandu semata-mata untuk membuatkan Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat tidak senang duduk. Bagaimanapun pada satu sidang kemuncak Amerika-Korea Utara di Singapura bulan lepas, Korea Utara bersetuju untuk mengurangkan kemampuan nuklearnya dan ini dianggap satu kejayaan bagi pentadbiran Presiden Donald Trump. Walaupun buat masa ini, Pyongyang dilihat komited memenuhi ikrarnya itu tetapi sampai bila, hanya mereka saja yang tahu. Jadi, bagaimana mereka menjadi kuasa nuklear yang digeruni hari ini?

Bom atom

Sejarah penglibatan Korea Utara dalam pembangunan program nuklearnya sudah bermula sebelum peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945 serta kemunculan ia sebagai sebuah negara pada tahun 1948. Semasa Perang Dunia Kedua (WWII), Jepun menjadikan Yongbyon di utara Semenanjung Korea sebagai tapak program nuklearnya dan menghantar para saintis dari semenanjung berkenaan mendapatkan latihan asas nuklear di universiti-universiti mereka. Namun, cita-cita Jepun sebagai kuasa nuklear tidak dapat direalisasikan apabila terpaksa menyerah kalah kepada pihak Bersekutu dan sekaligus menamatkan WWII.

Selepas tamat perang, Kesatuan Soviet mula melombong uranium di Korea Utara sebagai sebahagian daripada inisiatif mereka mengukuhkan program nuklear sendiri. Minat asing terhadap tenaga nuklear dan eksploitasi bahan dan tapak berkaitan nuklear menarik minat seorang pejuang Parti Komunis China (CCP) dan bakal pengasas Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK), Kim Il-sung. Menurut bekas diplomat Soviet ke Pyongyang, Alexandre Y Mansurov, Il-sung amat tertarik dengan kejayaan Amerika Syarikat mengugurkan bom atom ke atas Jepun yang dianggap musuh ketatnya. Ini kerana Semenanjung Korea menyaksikan rakyatnya menentang penjajahan Negara Matahari Terbit itu selama 13 tahun.

Figure 1: Kim Il-sung

Bagaimanapun, tiada sebarang rekod yang menunjukkan bila Il-sung menterjemah minatnya itu ke bentuk program nuklear. Tetapi berdasarkan kajian dibuat oleh Pusat Wilson di Washington DC mendapati minat tersebut sudah bermula sejak tahun 1950-an. Minat beliau terhadap tenaga nuklear didorong oleh keperluan tenaga dan ekonomi negara serta keinginan mendapatkan prestij sebagai negara kuasa nuklear. Pada mulanya, Pyongyang meminta bantuan Moscow untuk mencapai objektif sedemikian. Sebagai tanda komitmen, Il-sung menghantar para saintis Korea ke Institut Kajian Nuklear Bersama di Dubna dan memeterai perjanjian rasmi nuklear pada tahun 1956 dan 1959. Setahun selepas itu, kedua-dua negara turut merasmikan projek pembinaan Pusat Kajian Nuklear Yongbyon.

Tetapi malangnya, Soviet langsung tiada keinginan untuk membantu Korea Utara mendapatkan akses kepada tenaga nuklear. Buktinya, setiap kali Pyongyang menghantar permohonan untuk membina loji tenaga nuklear, permintaan tersebut sentiasa ditolak. Dan Moscow ada alasan tersendiri menurut penulis laporan Pusat Wilson, Balazs Szalontai. Menurut beliau, dari tahun 1960 hingga 1980-an, Kesatuan Soviet sengaja meletakkan halangan bersifat teknologi kerana bimbang DPRK secara tidak langsung akan membantu program nuklear China. Ini berikutan program berkenaan tidak lagi mendapat sokongan Moscow pada tahun 1960 dan ini memaksa Beijing berdikari dalam program nuklear mereka.

Tidak tergugat dengan halangan Moscow, Pyongyang beralih arah kepada Pakistan, China dan rejim-rejim komunis di Eropah Timur. Pada tahun 1968, Korea Utara dan Romania mengeluarkan kenyataan bersama mengecam Moscow kerana enggan menyediakan loji tenaga nuklear di kedua-dua negara. Dan pada tahun 1973, Poland dan Pyongyang mengadakan kerjasama dari segi teknikal dan saintifik dalam bidang teknologi nuklear. Keputusan China bergerak sendiri untuk program nuklearnya memberi inspirasi kepada Il-sung tetapi itu tidak bermakna China sedia membantu Pyongyang. Pada tahun 1961 dan 1964, China menolak permohonan bantuan Korea Utara mendapatkan tenaga nuklear. Begitu juga dengan negara-negara Eropah Timur menolak permohonan mereka pada tahun 1981. Selepas hubungan kedua-dua negara diperbaiki, Soviet akhirnya bersetuju membina loji tenaga nuklear melalui satu perjanjian pada tahun 1985.

Tetapi cita-cita Korea Utara tidak terhad kepada tenaga nuklear sahaja. Pyongyang juga sudah berkira-kira mendapatkan senjata nuklear dan cita-cita ini sudah wujud sekitar tahun 1962 atau 1963 melalui komunikasi mereka dengan rejim-rejim komunis Eropah Timur. Dan ianya semakin membuak-buak selepas kejayaan ujian nuklear Beijing pada tahun 1964. Minat Il-sung terhadap senjata nuklear dinyatakan secara spesifik pada tahun 1975 kerana pada tahun itu, Pyongyang memberitahu jiran mereka, Korea Selatan bahawa mereka bersedia meminta China membekalkan senjata taktikal nuklear.

Bom nuklear

Waqaf Saham

Bila pula cita-cita Il-sung mendapatkan bom nuklear muncul? Konsep penghalang nuklear memainkan peranan penting semasa era pemerintahannya. Ini kerana semasa Perang Korea yang berlaku pada tahun 1950 hingga 1953, ancaman nuklear Washington merupakan sesuatu yang membimbangkan tentera Korea Utara dan China setiap kali mereka turun bertempur. Mansurov menyatakan betapa terkejutnya Il-sung selepas mendapat tahu Amerika sudah mempertimbangkan menggunakan senjata nuklear di medan perang semasa Perang Korea.

Namun, ancaman nuklear bukan satu-satunya kebimbangan Korea Utara. Seperti anda sedia maklum dalam artikel saya terdahulu, kewujudan satu unit perang biologi Jepun iaitu Unit 731 yang menjalankan pelbagai eksperimen dan serangan ke atas populasi awam dan tentera semasa berada di China. Dan selepas tamat perang, Amerika dan Soviet mengadakan perjanjian dengan sesetengah anggota unit ini dengan tawaran imuniti dari proses pendakwaan sebagai tukaran kepada maklumat senjata biologi yang dimiliki mereka. Bagi Pyongyang dan Il-sung, jika Washington sanggup mempertimbang kemungkinan menggunakan senjata nuklear di medan perang, maka tidaklah mengejutkan jika mereka mengulangi kekejaman Unit 731 ke atas mereka pula. Dan ini mendorong kepada hubungan erat Beijing-Pyongyang semasa dan selepas Perang Korea.

Bila Amerika Syarikat menempatkan lebih 700 peluru berpandu nuklear di Korea Selatan, satu-satunya jalan bagi Pyongyang bertindak balas ialah dengan menghasilkan senjata kimia pada tahun 1960-an dan 1970-an. Walaupun sudah memeterai perjanjian keselamatan dengan China dan Soviet pada tahun 1961, kedua-dua perjanjian berkenaan tidak menawarkan jaminan untuk pertahanan. Dan perjanjian ini juga tidak menjanjikan perlindungan nuklear seperti mana yang ditawarkan Amerika Syarikat kepada Korea Selatan dan Jepun. Bagi Pyongyang, mereka tiada sebab untuk mempercayai Soviet dari segi hal nuklear dan ini ada kaitan dengan Krisis Peluru Berpandu Cuba pada tahun 1962. Kim pada dasarnya bersetuju dengan Mao Zedong bahawa pihak Soviet dilihat tunduk kepada kemahuan Amerika. Selain itu, sokongan Soviet kepada Perjanjian Penggantungan Ujian Terhad 1963 yang melarang ujian nuklear dijalankan di atas tanah dilihat cubaan menghalang negara-negara lain dari memburu cita-cita sama.

Seperti China, Korea Utara melabel kuasa-kuasa besar dunia sebagai kaki buli dan hanya berminat menjaga status mereka untuk mendapatkan kelebihan eksklusif ke atas negara-negara lain. Berdasarkan pendirian ini juga, Pyongyang mengecam Perjanjian Pemansuhan Senjata Nuklear (NPT) yang berkuatkuasa pada tahun 1968. Selepas 17 tahun, barulah Korea Utara sedia menyertai perjanjian itu pada tahun 1985 selepas hubungan dengan Moscow kembali pulih seperti biasa. Tetapi mereka menarik diri dari perjanjian berkenaan pada tahun 2003 selepas timbul tuduhan Washington bahawa Pyongyang sudah menggerakkan program nuklear mereka secara haram.

Kemerdekaan nuklear

Pada pertengahan dan akhir tahun 1970-an, cita-cita nuklear Korea Utara kini beralih kepada menjulang ideologi Juche dan kebebasan lebih besar termasuk dari negara-negara blok komunis. Kemudahan-kemudahan yang dibina untuk membangunkan senjata nuklear tidak bergantung kepada bantuan Soviet. Buktinya, sebuah makmal penghasilan radioisotop mula beroperasi pada tahun 1977 dan disusuli dengan pembinaan reaktor yang dikawal oleh grafit. Il-sung turut melawat kemudahan di Yongbyon sebanyak dua kali untuk lawatan berprofil tinggi pada tahun 1981 dan 1989.

Keinginan Korea Utara mendapatkan senjata nuklear didorong oleh beberapa faktor. Pertamanya, keputusan Korea Selatan itu sendiri yang mahu membangunkan program senjata nuklear. Maklum balas Seoul ini berdasarkan pengumuman Doktrin Guam pada tahun 1969 oleh Richard Nixon. Doktrin Guam ialah satu doktrin di mana pihak Amerika bersedia mengurangkan bilangan tenteranya di Asia dan ini menimbulkan kebimbangan Seoul akan diabaikan. Ini mendorong kepada keputusan Presiden Korea Selatan, Park Chung-hee melaksanakan program nuklearnya. Dari segi prestij, Korea Utara sudah pasti tidak mahu ketinggalan kerana jiran mereka itu menyertai Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada tahun 1957 dan menubuhkan pejabat tenaga nuklear pada tahun 1959.

Kedua, isu penggantian pemimpin itu sendiri yang berlaku pada tahun 1970-an. Senjata nuklear dilihat bukan saja saling berkait dengan identiti kebangsaan Korea Utara bahkan juga berkait dengan identiti rejim itu sendiri. Keputusan Il-sung memilih anaknya, Kim Jong-il dikecam sesetengah puak sosialis tetapi tiada tentangan dari pihak Beijing. Beliau berpandangan kesinambungan kepimpinan dengan program nuklear amat penting kepada proses penggantian. Dan secara tidak langsung, kesahihan rejim Dinasti Kim dilihat berkait dengan bom Juche.

Dan akhir sekali, reformasi politik dan ekonomi yang berlaku pada tahun 1980-an di China dan Rusia. Di bawah kepimpinan Deng Xiaoping dan Mikhail Gorbachev, kedua-duanya menawarkan polisi-polisi ekonomi dan politik yang lebih liberal sekaligus memberi impak signifikan di peringkat domestik dan antarabangsa. Melalui hubungan rapat dengan kedua-dua negara, Il-sung dapat merebut peluang ekonomi yang ditawarkan dengan menyertai pelbagai agensi dan perjanjian nuklear seperti IAEA (1974) dan NPT (1985). Memang benar, ramai skeptik dengan penyertaan Pyongyang dan menganggap ia satu cubaan melindungi program nuklear rahsia mereka. Tetapi penyertaan mereka dalam IAEA misalnya memberi akses penting kepada pengetahuan nuklear.

Keputusan-keputusan ini berkemungkinan menunjukkan perubahan dalam cita-cita nuklear Korea Utara. Dari fokus kepada tenaga nuklear dan senjata nuklear, Korea Utara beralih arah kepada diplomasi dan keinginan menjadi sebahagian daripada gerakan politik nuklear global. Melalui penyertaan Korea Utara di peringkat ini, mereka mahu mendapatkan prestij antarabangsa tatkala mereka cuba mendapatkan kerusi perwakilan dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Ketiga-tiga bentuk cita-cita ini terus relevan mengikut kepimpinan Korea Utara hari ini. Dan walaupun sudah bertukar tampuk pemerintahan sehingga ke era Jong-un, cita-cita ini akan terus kekal sebagai insuran keselamatan rejim dan Korea Utara. Pada era nuklear ini, cita-cita sebegini akan terus relevan dan tidak akan lekang ditelan zaman.

SUMBER

Leveringhaus, Nicola. (2018). HistoryExtra.com. Why North Korea went nuclear. https://www.historyextra.com/period/20th-century/why-north-korea-went-nuclear/

 

Previous articleBangsa Malaysia: Realiti Atau Fantasi?
Next articleParasite Eve: RPG Seram Pertama Dunia
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE