Bagaimana Klopp Memulakan Karier Pengurusnya?

555

Semua sedia maklum awal pagi 1 Jun ini, Tottenham Hotspur dan Liverpool bakal bertemu di Wanda Metropolitano bagi menentukan siapa pemenang terbaru Liga Juara-Juara Eropah. Mungkin bagi peminat kedua-dua pasukan, ini merupakan satu lagi pertembungan biasa Jurgen Klopp-Mauricio Pochettino seperti dalam Liga Perdana Inggeris. Tetapi bagi yang mengikuti karier Klopp semenjak memulakan karier pengurusannya di Mainz, ramai mengharapkan final kali ini menyebelahi beliau selepas kecewa beberapa kali di pentas final berprestij itu.

Bagi bekas pengarah sukan Mainz Christian Heidel, keputusan yang diambil lembaga pengarah kelab pada Februari 2001 bukan berdasarkan logik akal tetapi lebih kepada naluri. Jika ditanya empunya badan, beliau menerangkan pekerjaan pertamanya sebagai langkah terdesak pihak lembaga pengarah untuk menyelamatkan Mainz dari penyingkiran 2.Bundesliga. Tetapi menurut Heidel, ia lebih daripada itu. Beliau berkata,

“Untuk menjadikan Jurgen beralih dari seorang pemain kepada seorang jurulatih dalam tempoh yang agak sukar ialah satu keputusan yang berdasarkan naluri, bukan logik. Klopp bukan kapten pasukan tetapi beliau seorang pemimpin yang beremosi dan dianggap figura taktikal pasukan. Beliau mempelajari sains sukan semasa di Mainz dan sudah jelas beliau akan menjadi jurulatih selepas menamatkan karier permainannya. Saya perlukan seorang jurulatih yang mengikut jejak langkah Wolfgang Frank (bos lama dan mentor Klopp). Bagaimanapun, dua jurulatih yang dilantik sebelumnya gagal berbuat demikian. Saya percaya Jurgen boleh melakukannya tetapi ia masih satu risiko.”

Frank bukanlah nama besar di Jerman ketika itu tetapi ideanya menggunakan formasi 4-4-2, membuang peranan sweeper/libero dan menekankan elemen tekanan ke atas pihak lawan dianggap satu idea revolusi yang memberi inspirasi kepada jurulatih lain seperti Klopp dan pengurus pasukan kebangsaan Jerman, Joachim Low. Selain Frank, individu lain yang memberi inspirasi kepada Klopp sepanjang kariernya sebagai pengurus ialah bapanya, Norbert. Bapanya pernah bermain sebagai penjaga gol remaja Kaiserslautern sebelum bekerja sebagai jurujual banyak memberi inspirasi kepadanya dari segi karisma, etika kerja dan kesetiaan. Suasana di Mainz juga turut memberi inspirasi kepada Klopp bahawa kerja keras dan kebijaksanaan boleh mengisi sebarang kekurangan dalam pasukan terutama di bahagian pertahanan.

Maka, itulah apa yang dimahukan Heidel semasa bertemu dengan Klopp. Beliau tidak mengambil masa lama sebelum berkata, “Saya boleh lakukannya.” Bila pengarah sukan Mainz ketika itu meninjau hari kedua sesi latihan, semua pemain menunjukkan komitmen terhadap rancangan Klopp.

Dalam perlawanan pertamanya sebagai pengurus, Mainz berhadapan dengan MSV Duisburg yang dianggap pilihan utama untuk memenangi perlawanan tersebut. Tetapi pada akhir perlawanan, keputusan perlawanan memihak Mainz dengan kemenangan 1-0. Dan Duisburg langsung tidak berpeluang berikutan kesediaan pemain untuk berlari lebih kuat dan keghairahan permainan mereka. Walaupun belanjawan mereka dianggap antara yang terkecil dalam liga tetapi itu bukan alasan bagi menjadikan mereka lebih kuat.

Pengalaman kehidupan Klopp sendiri sebenarnya menjadikan beliau seorang pejuang. Tidak ramai tahu beliau bergelar pemain profesional pada usia 23 tahun. Klopp pernah menjalani ujian pemilihan bersama kelab yang diminatinya iaitu Vfb Stuttgart semasa remaja tetapi tidak berjaya.

Dan sebelum berjaya mendapat kontrak sepenuh masa dengan Mainz, beliau terpaksa mengimbangi antara kerja separuh masa, karier permainan bersama kelab-kelab seperti Eintracht Frankfurt II dan Pforzheim, memburu ijazah perniagaan sukan di Universiti Goethe, Frankfurt dan menjaga keluarga mudanya ketika itu.

Baginya, cabaran sebegini hanyalah satu lagi langkah dalam kehidupan kerana di sebalik kejayaan atau kegagalan, pasti ada hikmah. Mungkin kerana itu juga, Klopp tidaklah terlalu bersedih dengan kegagalan yang dialami dan terus berusaha mengecapi kejayaan yang dimahukannya.

Jika ada yang menyangka semangat tidak putus asa hanya dimanifestasikan semasa kemenangan mengejut The Reds ke atas Barcelona semasa separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah, ia sebenarnya sudah dimanifestasikan semasa Klopp masih lagi di Mainz. Selepas berjaya membimbing mereka mengelak dari penyingkiran pada musim 2001-2002, musim tersebut dan musim 2002-2003 menyaksikan Mainz terlepas peluang menyertai Bundesliga berikutan perbezaan satu mata (2001-2002) dan perbezaan jaringan (2002-2003).

Bagi mana-mana pengurus, kegagalan sebegini nyata memeritkan. Tetapi bagi Klopp, ia merupakan pembakar semangat untuk terus mencuba. Bila berucap di hadapan 10,000 penyokong di pusat bandar Mainz, beliau berkata, “Kita akan buktikan bahawa tidak mustahil untuk bangkit selepas keperitan ini.”

Untuk sesi latihan pertama pra-musim 2003-2004, sesi tersebut dihadiri 10,000 penyokong. Sejak itu, mereka berjaya mencapai kenaikan ke Bundesliga pada akhir musim dan kekal di situ selama tiga musim sebelum tersingkir pada akhir musim 2006-2007. Selepas Mainz tersingkir, peminat tidak berganjak dari stadium sambil mendengar pengumuman Klopp ini, “Kami akan kembali, mudah sahaja!”

Bagi Heidel, itu sudah cukup menggembirakan para penyokong yang menyambut penyingkiran mereka seperti meraikan kejuaraan liga. Walaupun Mainz gagal layak ke Bundesliga pada akhir musim itu, sasaran itu akhirnya tercapai pada musim 2008-2009 di bawah bimbingan pengganti Klopp, Jorn Andersen. Sementara Klopp pula menerima tawaran Dortmund pada awal musim 2008-2009 sekaligus memulakan perjalanan ke Merseyside dan Liverpool yang kita kenali hari ini.

Bagi Heidel, beliau tidak memerlukan bukti rakan lamanya seorang pemenang dengan menjulang Liga Juara-Juara Eropah. Tetapi pada masa sama, beliau berbangga dengan pencapaian Klopp sejak itu dari Dortmund hingga Liverpool hari ini. Heidel berkata, “Saya mengenalinya selama 30 tahun dan beliau masih sama, masih bersikap jujur. Ya, beliau banyak belajar.

Di 2.Bundesliga, Klopp sentiasa dihalau keluar ke bangku penonton oleh pengadil setiap empat minggu kerana kegagalannya mengawal emosi. Sekarang, beliau dapat mengawalnya. Klopp masih lagi jujur dan ikhlas. Malangnya, kami masih lagi jarang berjumpa tetapi kami tahu salah seorang akan sentiasa ada bila seorang yang lain memerlukan bantuan. Saya berharap beliau dapat memenangi final itu kerana saya tidak tahu siapa yang lebih layak memenanginya melainkan Klopp.”

SUMBER

Hunter, Andy. (2019) How a gut decision began Jürgen Klopp’s managerial rollercoaster. The Guardian. https://www.theguardian.com/football/2019/may/31/jurgen-klopp-champions-league-final-liverpool-mainz

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.