Tiada siapa mampu menyangka bahawa dunia ini akan dibadai sebuah pandemik yang berjaya menundukkan teknologi kesihatan serba maju. Jika diimbas kembali, banyak perbezaan yang memisahkan tahun 2019 dan 2020.

Politik yang serba berbeza mengubah persepsi rakyat dunia ini. Hiburan pun perlu menuruti norma baharu, yang sebelum ini ramai berfikir tentang Avengers: Endgame misalnya.

Dengan dunia dalam keadaan tidak bersedia ini, pandemik ini menimpa dan menular begitu laju. Perintah berkurung dan pembelian panik menjadi resam; begitu juga di Malaysia.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan dimandatkan, ramai dikehendaki duduk rumah. Dan syarikat Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd berdepan dengan lonjakan dalam permintaan. Secara tiba-tiba, produk Gardenia sukar diperolehi begitu sahaja.

Kredit: Bernama.

Jiwa rakyat Malaysia yang suka bergurau memang menghiburkan. Ada yang secara bergurau meletakkan harga RM500 untuk dua bungkus Gardenia Classic Jumbo (New Straits Times, 2020).

Meskipun jelas berjenaka, perkara sebegini boleh menjadi realiti. Berdasarkan hukum perniagaan, permintaan tinggi ketika bekalan berkurangan hanya menyebabkan lonjakan harga.

Sepertimana yang berlaku kepada industri minyak selama ini, bebanan geopolitik terhadap Iraq dan Libya telah mengurangkan bekalan minyak di pasaran – sekali gus menyebabkan lonjakan harga.

Apabila Iraq dan Libya beransur stabil (dan permintaan di China pun menurun), harga menyusut ke paras seperti hari ini.

Jadi syarikat Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd merencanakan rancangan jangka masa pendek untuk membetulkan imbangan permintaan dan bekalan ini.

Pertama sekali Gardenia menggesa supaya rakyat bertenang dan terus membeli mengikut keperluan tanpa perlu panik (Angelin, 2020). Facebook menjadi wadah untuk menghubungkan Gardenia dengan penggunanya.

Di sini pihak Gardenia menjelaskan bahawa semua kilang dalam negara sudah dikerahkan sepenuhnya sehingga jumlah pengeluaran maksimum. Penjelasan ini pun mencetuskan kekeliruan, seolah-olah maksimum bererti “tiada lagi”.

Jelas sekali tugas Gardenia dalam menenangkan pengguna bukanlah mudah.

Jadi Gardenia pun meningkatkan jumlah pengeluaran sebanyak 2.2 juta bungkus setiap hari, dengan kelima-lima kilangnya beroperasi selama 24 jam setiap hari (Chan, 2020).

Peningkatan ini disasarkan mampu memenuhi keperluan 60 peratus permintaan roti di Semenanjung Malaysia, sementara baki 40 peratusnya diisi jenama-jenama lain yang juga menggunakan strategi dan pendekatan tersendiri.

Malah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dibawah Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pun telah membuat lawatan di kilang-kilang semua pengeluar roti utama negara seperti Gardenia, Italian Baker (Massimo) dan Mighty Bakery (Mighty White) untuk memastikan bekalan roti secukupnya.

Lawatan ini membuktikan bahawa tiada siapa yang sengaja mengurangkan jumlah atau menyimpan (hoarding) stok untuk tujuan tertentu.

Penghantaran roti pun diteruskan Gardenia seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (Bernama, 2020).

Tanpa sebarang halangan, dengan meningkatkan pengeluaran sambil menenangkan pengguna, Gardenia Bakeries berjaya menangani lonjakan dari segi permintaan mungkin juga kerana rakyat melihat bahawa tiada sebab pun untuk kepanikan.

Kejayaan ini harus dijadikan sandaran sementara Malaysia mengharungi satu lagi arus lonjakan kebolehjangkitan pandemik Covid-19.

Landskap politik semasa pun tidak stabil, dengan kebarangkalian peralihan kuasa dan perintah darurat memungkinkan kepanikan dalam kalangan rakyat.

Sepertimana Malaysia mengharungi rantaian Covid-19 pada bulan Mac dengan Kluster Sri Petaling, saranan sama juga perlu ditegaskan semula.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dikenakan semula di Selangor dan Kuala Lumpur, pihak KPDNKK berusaha untuk mengekalkan kestabilan 12 barangan asas. Perkara ini hanya boleh dijayakan jika rakyat sendiri tidak membeli terlalu banyak.

RUJUKAN:

Angelin, Y. (2020, Mac 24). MCO: On social media, Malaysians urged to remain calm amid concerns over Gardenia bread shortage. The Star Online.

Bernama. (2020, Mac 24). Gardenia delivers as usual during MCO. Malaysia Kini.

New Straits Times. (2020, Mac 28). Malaysians just love their Gardenia bread.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.