Bagaimana Elon Musk Menjadi Orang Terkaya Dunia?

1,217

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Beberapa hari lepas, Elon Musk diisytiharkan sebagai individu paling kaya di dunia. Pengisytiharan itu dibuat selepas kekayaannya kini mencecah AS$185 bilion (RM746 bilion) sekaligus mengatasi pengasas dan orang kuat Amazon, Jeff Bezos. Bezos memegang gelaran sebagai orang paling kaya di dunia sejak 2017.

Peningkatan nilai kekayaannya itu didorong oleh kenaikan harga saham Tesla pada Khamis lepas. Kenaikan ini didorong oleh kejayaan Parti Demokrat menguasai Dewan Senat Amerika Syarikat baru-baru ini sekaligus membolehkan agenda kelestarian alam sekitar terutama kenderaan elektrik menjadi penggerak ekonomi hijau dapat direalisasikan.

Dengan pertambahan nilai saham Tesla, ia menjadikan syarikat itu kini bernilai AS$700 bilion (RM2.8 trilion). Nilai Tesla jauh mengatasi pesaing-pesaing sektor automotif iaitu Toyota, Volkswagen, GM, Ford dan Hyundai jika digabungkan nilai syarikat-syarikat ini.

Nilai Tesla meningkat pada tahun ini berikutan permintaan kenderaan elektrik meningkat dan tindakan beberapa negara yang mahu mengurangkan pergantungan kepada kenderaan berkuasa bahan api fosil.

Menariknya, Musk langsung tidak terganggu dengan pengumuman yang dibuat Indeks Kekayaan Bloomberg itu. Anda boleh lihat sendiri maklum balasnya sebaik saja berita itu keluar:

Mungkin bagi orang biasa, nilai kekayaan yang dimiliki Musk boleh membuatkan sesiapa saja gelap mata[1]. Hakikatnya, jutawan kelahiran Afrika Selatan itu melihat kekayaannya boleh digunakan untuk tujuan bermanfaat. Dalam beberapa ciapannya sebelum ini, separuh akan digunakan untuk menyelesaikan permasalahan di Bumi manakala bakinya digunakan untuk membina koloni manusia di Marikh.

Seperti Musk, Bezos turut melihat pertambahan kekayaannya pada tahun ini berikutan situasi pandemik Covid-19. Situasi ini menyaksikan pertambahan permintaan untuk pasar raya dalam talian dan perkhidmatan cloud yang memberi keuntungan besar kepada Amazon.

Bagaimanapun, tahun ini turut menyaksikan beliau menyerahkan pegangan saham dalam Amazon sebanyak 4% kepada bekas isterinya, Mackenzie Scott sebagai sebahagian daripada penyelesaian perceraian mereka. Ini membolehkan Musk memotong kedudukannya sebagai orang paling kaya di dunia pada tahun ini.

Selain isu penyelesaian perceraian, Amazon turut berdepan isu perundangan. Ini sekaligus mengakibatkan nilai saham syarikat itu tidaklah setinggi seperti apa yang diharapkan.

Mungkin ada menggaru kepala bagaimana hendak menjadi kaya seperti Musk. Tetapi jawapannya mudah. Pertama, anda perlu menjadi pelopor dalam sesebuah bidang dan bijak memanfaatkannya dari segi kewangan.

Dan ini apa yang dilakukan oleh ramai jutawan yang tersenarai dalam senarai Forbes. Dari Musk hingga Gates, kebanyakan mereka sama ada usahawan atau rakan kongsi awal dengan pegangan pemilikan bertanggungjawab memacu syarikat mereka ke mercu yang lebih tinggi.

Kedua, keupayaan sesebuah syarikat meningkatkan keupayaan skop operasi mereka. Mempunyai perniagaan yang ada potensi untuk berkembang pada skala yang lebih besar dilihat dapat menjadikan seseorang itu mencapai kekayaan seperti Musk.

Ketiga dan paling penting, perlu bersabar dengan usaha yang dijalankan dan segera rebut peluang yang terhidang. Sebarang perkara yang baik mengambil masa untuk menunjukkan hasilnya. Tetapi jika tidak bertindak, maka apa yang terbayang itu hanya sekadar angan-angan Mat Jenin[2].

Berangan jadi kaya memang senang tapi merealisasikannya bukan mudah. Tetapi seperti Musk dan Bezos menunjukkan kepada dunia, sesiapa pun boleh berjaya walau dipandang sinis sesetengah orang.

NOTA KAKI:

[1] Simpulan bahasa yang bermaksud orang yang hilang waras pemikirannya kerana melihat wang yang banyak.

[2] Peribahasa yang bermaksud orang yang suka berangan.

RUJUKAN:

BBC. (2021). Elon Musk becomes world’s richest person as wealth tops $185bn.

Haden, J. (2021). How Did Elon Musk Just Become the Richest Person In the World? The Answer is Simpler Than You Might Think. Inc.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.