Semua orang mempunyai pilihan genre drama televisyen masing-masing. Tak kiralah sama ada drama Melayu, Bollywood, Timur Tengah, Amerika Latin atau Eropah, tak sah jika ada yang sudah terpacak di kaca televisyen apabila ia disiarkan. Dahulu dunia dihantui genre telenovela dan Korea tetapi hari ini, ia dihantui satu fenomena baru dari Turki iaitu dizi atau drama televisyen Turki. Ia bukan saja menambat hati ramai peminat bahkan menjadi satu bentuk ‘soft power’ baru untuk Turki.

Tapi jangan mengada-ada menyamakan dizi dengan telenovela atau drama soap opera. Menurut Dr Arzu Osturkmen yang mengajar sejarah lisan di Universiti Bogazici di Istanbul, label sebegitu ditolak oleh masyarakat Turki. Sebaliknya menurut beliau, dizi ialah genre yang sedang berkembang dengan naratif yang unik, penggunaan ruang dan skor muzik yang menarik. Dan tiada siapa boleh menafikan populariti dizi ketika ini.

Terima kasih kepada jualan antarabangsa dan bilangan tontonan di seluruh dunia dari Rusia hingga Chile, ia menjadikan Turki sebagai negara kedua terbesar dalam soal pengedaran rancangan televisyen seluruh dunia selepas Amerika Syarikat. Ketika ini, Chile merupakan pembeli dizi terbesar di dunia diikuti oleh Mexico dan Argentina. Dizi merupakan drama epik menarik di mana durasinya boleh mencecah dua jam atau lebih. Berikutan waktu pengiklanan yang murah di Turki, setiap 20 minit siaran dizi akan diselangi dengan iklan komersial selama tujuh minit.

Setiap dizi mempunyai runut bunyi tersendiri, menggunakan sehingga 50 watak dan penggambaran dibuat di tengah-tengah kota Istanbul. Sebarang penggambaran di set dalaman hanya dibuat jika ada keperluan. Kisah-kisah yang diangkat ke dizi mempunyai pilihan tersendiri daripada isu rogol beramai-ramai hinggalah kelicikan permaisuri Empayar Turki Uthmaniyyah.

Tetapi tema yang paling kerap ialah cerita Cinderella. Menurut pembikin filem dan penulis lakon layar, Eset, kisah sebegini ditayangkan sebanyak dua versi setiap tahun di Turki. Ia boleh jadi berkisar kisah seorang ibu tunggal berusia 35 tahun atau kisah seorang pelakon wanita yang bergelut berusia 22 tahun.

Eset yang turut menyumbang lakon layar kepada dizi terkenal, Magnificent Century menyatakan terdapat beberapa naratif dizi yang wajib ada dalam drama tersebut iaitu:

  • Jangan letakkan senjata api di tangan protagonis/hero.
  • Tumpuan utama dizi sentiasa membabitkan keluarga
  • Orang luar yang mengalami perjalanan perubahan sosio-ekonomi baru
  • Hero/heroin pujaan pernah patah hati dan tidak lagi terbuka menerima cinta
  • Kisah cinta tiga segi sentiasa menjadi kegilaan ramai

Tambah Eset, dizi dibina di atas semangat komuniti yang dahagakan hiburan tetapi sarat dengan mesej berguna. Dia berkata, “Kita nak melihat hero bersama wanita pujaannya itu tetapi kehidupan sentiasa mencabar dan ada saja watak-watak jahat menanti.”

Jika ada berpandangan kisah kejayaan dizi bermula dengan Magnificent Century, anda salah. Menurut Izzet Pinto dari Global Agency, sebuah syarikat pengedar kandungan televisyen untu pasaran global, kecemerlangan dizi bermula dengan penyiaran drama Binbir Gece (1,001 Malam) pada tahun 2006. Walaupun sebuah lagi dizi yang bertajuk Gumus (Perak) mendapat sambutan di negara-negara Timur Tengah, 1,001 Malam yang menjadi simbol kejayaan global dizi. Di mana saja ia dijual dalam 80 negara, ia sentiasa mendapat sambutan ramai.

Rajah 2: Magnificent Century

Dizi itu menampilkan pelakon pujaan ramai, Halit Ergenc yang kemudiannya memegang watak Sultan Suleiman al-Qanuni dalam Magnificent Century. Magnificent Century yang turut menampilkan Meryem Uzerli sebagai Hurrem Sultan memukau ramai penonton semasa ia disiarkan pada tahun 2011. Media asing menggelar dizi itu sebagai Sex and the City versi Uthmaniyyah dan dianggap setaraf dengan produksi drama bersiri HBO, Game of Thrones. Produksi Magnificent Century mempunyai ramai perunding sejarah dan mempunyai tenaga kerja seramai 130 orang dengan 25 daripadanya bekerja menghasilkan kostum untuk para pelakon.

Selepas ia ditayangkan, bilangan pelancong Arab yang berkunjung ke Turki meningkat sehinggakan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Turki tidak mengenakan yuran penyiaran kepada sesetengah negara Arab. Global Agency menjangkakan tanpa kehadiran pembeli-pembeli baru dari Amerika Selatan, Magnificent Century telah ditonton 500 juta penonton dan merupakan dizi pertama yang disiarkan di Jepun. Sejak tahun 2002, 150 dizi dijual ke 100 negara termasuk Algeria dan Maghribi. Magnificent Century yang menjadi pemangkin kepada gelombang dizi ini.

Kejayaan dizi ini dilihat sebagai satu lagi gelombang hiburan baru dari Bollywood dan K-Pop yang mencabar hegemoni Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dalam soal soft power pada abad ke-21. Bila ditanya mengapa dizi menjadi pilihan ramai, Ergenc berpandangan walaupun drama-drama yang dibawa Amerika menghiburkan, ia tidak mempunyai nilai tambah dan tidak menyentuh emosi manusia. Dizi yang menjadi kegilaan ramai selalunya membawa naratif pertembungan nilai dan prinsip tradisional dengan elemen-elemen korupsi emosi dan spiritual dunia moden.

Rajah 3: Fatmagul yang menampilkan Beren Saat sebagai Fatmagul. Sumber: https://variety.com/2016/tv/global/turkish-female-empowerment-tv-drama-fatmagul-set-for-first-western-redo-exclusive-1201770083/

Satu drama yang memecah tradisi di sana ialah Fatmagül’ün Suçu Ne? (What Is Fatmagül’s Fault?). Fatmagul berkisar kisah seorang wanita bernama Fatmagul yang dirogol beramai-ramai dan perjuangannya menuntut keadilan. Dizi ini menyentuh pelbagai isu dari hubungan kekeluargaan yang tegang sehinggalah kuasa golongan berharta.

Tetapi semua itu tidak mematahkan semangat Fatmagul dan pada akhirnya, dia mendapat keadilan iaitu keadilan sivil (kuasa mahkamah), keadilan hakiki buat perogol-perogolnya dan keadilan cinta sejati. Drama ini mendapat sambutan di Argentina dan bila ia disiarkan di slot waktu perdana di Sepanyol, ia menarik sekurang-kurangnya sejuta penonton bagi setiap episod. Ketika ini, ia diadaptasi semula mengikut format telenovela Sepanyol.

Tetapi jika anda perasan, tiada satu pun kelibat wanita berhijab dalam drama-drama Turki. Jika ada pun, anda berkemungkinan sedang menonton Strike Back versi Turki iaitu Soz (Sumpah). Sebut pasal Soz, walaupun ia masih dalam proses pembikinan, ia sudah menarik perhatian negara-negara luar dan sudah ada rancangan untuk mengadaptasi dizi itu ke bentuk drama yang disiarkan di negara-negara berkenaan. Soz bukan drama tentera pertama disiarkan di stesen televisyen Turki. Menerusi lima stesen televisyen, sekurang-kurangnya satu dizi yang mengangkat maruah tentera disiarkan.

Jadi balik semula kepada isu hijab ini, ada satu anekdot menarik yang dikongsikan Eset. Dia mendedahkan stesen-stesen televisyen cuba bereksperimen dengan watak yang memakai hijab tetapi mengambil keputusan meninggalkannya. Walaupun kelibat wanita berhijab merupakan pemandangan biasa di Turki, ia masih sukar dalam konteks televisyen.

Ini kerana menurut Eset, sukar bagi watak itu melakukan perkara-perkara yang bersifat anti-konservatif seperti melawan bapa mereka atau melarikan diri dari rumah. Kelibat wanita berhijab turut tidak kelihatan dalam mana-mana iklan. Atas sebab itulah, penulis novel terkenal Ece Temelkuran berpendapat, “Negara ini (Turki) dalam dilema berkenaan dua kain iaitu bendera dan hijab.”

Jadi ramai tertanya-tanya bagaimana dizi mendapat sambutan hangat penonton? Ia dimulakan oleh Middle East Broadcasting Center (MBC) atau lebih tepat, Fadi Ismail. Fadi yang ketika ini bertugas sebagai pengurus besar O3 Productions, sebuah anak syarikat MBC masih ingat pada tahun 2007, dia menghadiri sebuah festival pembeli filem di Turki. Dia berhenti di sebuah kiosk kecil yang menjual drama-drama Turkey. Walaupun tidak memahami drama tersebut, Fadi sedar ia boleh dialih suara kepada Bahasa Arab atau lebih tepat Bahasa Arab Syria.

Siapa sangka keputusannya membeli drama itu membuka ruang kepada dominasi dizi di pasaran Timur Tengah hari ini. Gumus yang kemudiannya dinamakan semula sebagai Noor disiarkan di MBC dan merupakan dizi pertama yang mendapat sambutan hangat.

Sebelum dizi menjadi kegilaan ramai, ramai penonton menggilai telenovela di Timur Tengah tetapi kegilaan tersebut tidak bertahan lama disebabkan oleh dua faktor. Pertama, alih suara Bahasa Arab yang tidak mengambil kira loghat dan wilayah setempat kerana menggunakan Bahasa Arab versi klasik. Kedua, isu nilai moral yang terlalu liberal.

Namun sejak tahun lepas, entah apa alasan yang diberi, dizi tidak lagi disiarkan di Arab Saudi. Walaupun dalang di sebalik usaha ini tidak diketahui, kebanyakan petunjuk menghala ke arah Putera Mahkota Muhammed bin Salman (MBS).

Pada tahun 2015, MBS cuba mendapatkan MBC tetapi gagal berikutan harga pengambilalihan yang terlalu mahal. Dua tahun kemudian, kebanyakan pemegang saham dan ahli lembaga pengarah MBC ditahan untuk mencegah aktiviti rasuah termasuk pengasas MBC, Waleed Ibrahim al-Ibrahim. Kini, MBC dipegang oleh pemegang saham majoriti rahsia (dipercayai MBS) dan sejak itu, dizi tidak lagi disiarkan di Arab Saudi.

Rajah 4: MBS menolak dizi-dizi Turki kerana melihat ia sebagai satu bentuk perluasan pengaruh Turki dalam soal hiburan.

Sebelum perkara ini timbul, pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara menjadi fokus utama pengedaran dizi. Malah semasa beberapa lawatan ke Turki, sudah ada yang melihat peluang bertanyakan kisah-kisah ini memandangkan mereka merupakan peminat utama.

Tetapi kerana terlalu cemburu dengan ‘soft power’ yang dimilik Turki oleh MBS, ini berkemungkinan menyumbang kepada kejatuhan minat dizi di situ. Ini ditambah dengan sikap Turki sendiri yang melanggar sekatan yang dikenakan Majlis Kerjasama Negara-Negara Teluk ke atas Qatar pada tahun 2017 mengakibatkan MBS melabel Turki yang dipimpin Recep Tayyip Erdogan cuba menghidupkan semula lingkungan Uthmaniyyah.

Tetapi dizi bukan saja menjadi bahan melepas geram pemerintah asing tetapi turut menimbulkan isu dengan kerajaan Turki. Tidak ramai tahu, usaha menghasilkan Magnificent Century ini ditentang oleh Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) dan Erdogan sendiri.

Presiden Turki itu menolak Magnificent Century kerana dianggap tidak mengikut fakta sejarah dengan tepat dan terlalu liberal. Banyak cabaran yang dihadapi produksi sama yang menghasilkan Soz iaitu Tims Productions dari tidak dibenarkan mengadakan penggambaran di Istana Topkapi hinggalah berhadapan dengan petisyen seorang pemimpin AKP yang dihantar ke parlimen.

Jika Magnificent Century dianggap tidak menonjolkan ‘soft power’ Turki, dua drama melakukan sebaliknya iaitu Dirilis: Ertugrul (Kebangkitan Semula: Ertugrul) dan Payitaht Abdulhamid (Maharaja Terakhir). Kedua-dua dizi itu dihasilkan oleh stesen-stesen kerajaan dan mendapat sokongan dana (termasuk panduan) sepenuh hati oleh pihak kerajaan. Dirilis: Ertugrul bercerita permulaan Empayar Uthmaniyyah oleh pengasasnya Osman Ghazi sementara Payitaht Abdulhamid pula bercerita kisah sultan terakhir empayar itu iaitu Sultan Abdul Hamid II.

Melihat kepada nilai pelaburan yang dibawa oleh dizi, kerajaan berharap eksport dizi meningkat kepada US$1 bilion menjelang tahun 2023. Tetapi menurut Izzet, lebih realistik jika sasarannya ialah US$500 juta dengan mengambil kira kehilangan akses kepada pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara. Namun pada masa sama, dengan mengembangkan lagi pasaran dizi di Amerika Latin dan permulaan kegilaan di Eropah Barat termasuk Itali dan Sepanyol dilihat dapat mengurangkan kerugian akibat kehilangan akses kepada pasaran yang dinyatakan di atas.

Penerbit Soz, Selin Arat berpandangan walaupun pertumbuhan penonton dizi akan menjadi perlahan, keinginan penonton di seluruh dunia terhadap dizi sentiasa saja muncul. Selin turut mengakui pendirian Arab Saudi terhadap isu dizi ini sememangnya memeningkan kepala tetapi tambahnya, “Ini bukan pengakhiran kepada serbuan dizi Turki.”

SUMBER

Bhutto, Fatima. (2019). How Turkish TV is taking over the world. The Guardian. https://www.theguardian.com/tv-and-radio/2019/sep/13/turkish-tv-magnificent-century-dizi-taking-over-world


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.