EURO 2020 menjadi panas untuk Coca Cola apabila dua bintang kejohanan, Cristiano Ronaldo dan Manuel Locatelli memilih menolak menyokong minuman ringan itu dan menggesa orang ramai minum air biasa. Walaupun ia mengundang amaran keras daripada UEFA, gesaan ini dilihat bertepatan ke arah menyokong gaya hidup yang lebih sihat.

Melihat kepada sejarah minuman ringan itu, tidak hairanlah mengapa Ronaldo merasa meluat bila menyebut nama Coca Cola. Minuman ini dicipta oleh seorang ahli farmasi Atlanta bernama John Pemberton pada tahun 1866 sebagai cubaan mereplika satu lagi minuman popular Perancis ketika itu, wain koka.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Wain koka ialah sejenis minuman keras di mana wain Bordeaux dicampur dengan ekstrak daun koka. Bagi mengelak Coca Cola dilabel sebagai minuman keras, Pemberton menggantikan wain dengan sirap gula dan menambah ekstrak kacang kola. Ini membawa kepada nama awalnya iaitu Coca Kola.

Tetapi akauntan Pemberton iaitu Frank Robinson merasakan nama ini boleh ditambahbaik. Lalu dia mencadangkan nama Kola digantikan kepada Cola sekaligus membawa kepada nama Coca Cola yang kita kenali hari ini. Robinson juga bertanggungjawab memperkenalkan imej tulisan Coca Cola yang menjadikan ia sebagai satu lambang ikonik sehingga hari ini.

Ia mula dijual buat kali pertama di Jacob’s Pharmacy, Atlanta pada 8 Mei 1886. Pada awalnya, ia hanya mendapat sambutan dingin dengan sembilan sirap saja terjual setiap hari. Jumlah jualan pada tahun tersebut ialah sebanyak AS$50, satu kerugian memandangkan kos pengeluaran yang ditanggung Pemberton ialah sebanyak AS$70 ketika itu.

Setahun selepas itu, seorang lagi ahli farmasi dan peniaga Atlanta bernama Asa Candler berjaya mendapatkan formula Coca Cola daripada Pemberton dengan harga AS$2,300. Dia tidak berpeluang melihat ia berkembang sebagai jenama minuman terkenal Amerika Syarikat kerana beberapa tahun selepas itu, Pemberton kembali menemui Penciptanya.

Menjelang akhir abad ke-19, Coca Cola muncul sebagai minuman pilihan rakyat AS. Kunci utama kejayaan minuman ringan itu ialah strategi pemasaran agresif oleh Candler. Strategi pemasaran ini membuka jalan kepada peningkatan jualan Coca Cola sebanyak 4,000% dari 1890 hingga 1900.

Salah satu daripada kempen pemasaran Coca Cola yang terkenal ialah kempen pemasaran dengan slogan “It’s A Real Thing” pada tahun 1971. Kempen pemasaran ini menyaksikan syarikat dan firma pengiklanan McCann-Erickson menggunakan lagu iklan “I’d Like to Buy the World a Coke” yang dihasilkan oleh komposer Billy Davis dan Roger Cook. Lagu ini merupakan cetusan idea pengarah kreatif Coke ketika itu, Bill Backer.

Backer membayangkan dunia seperti seorang individu yang patut dikenali dan dibantu. Apabila membincangkan idea tersebut bersama Davis dan Cook, beliau turut menulis lirik terakhir lagu tersebut iaitu “I’d like to buy the world a Coke and keep it company”.

Bila ia mula dimainkan di radio seluruh AS pada 12 Februari 1971, pada awalnya ia mendapat sambutan negatif daripada pendengar. Coca Cola sudah berkira-kira untuk menghentikan penggunaan lagu tersebut apabila Becker mengemukakan pelan alternatif: lagu untuk kempen pemasaran secara visual (iklan televisyen). Ini mendorong syarikat mengeluarkan belanjawan iklan sebanyak AS$250,000 untuk iklan televisyen berkenaan.

Sebaik saja ditayangkan pada Julai 1971, ia mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengguna. Sejak itu, lagu “I’d Like to Buy the World a Coke” menjadi pilihan pendengar setiap kali dimainkan dan dianggap mesej pengiklanan paling ikonik dalam sejarah. Malah, ia turut digunakan semula 40 tahun kemudian dalam episod terakhir drama televisyen terbitan FX, Mad Men pada 2015.

Contoh klip iklan I’d Like to Buy the World a Coke :

Menjelang abad ke-20, ia mula dijual secara meluas bukan saja di AS tetapi juga di Kanada. Coca Cola juga turut menjual sirapnya kepada mana-mana syarikat pembuat botol bebas untuk menjual minuman berkenaan. Dan ia turut menjadi asas kepada industri minuman ringan AS hari ini.

Dengan minuman ringan seperti Coca Cola mendominasi pasaran, ia juga turut menandakan berakhirnya era pancuran soda. Sebelum minuman-minuman ini dibotolkan, satu cara mendapatkannya ialah di kedai-kedai farmasi. Di sinilah orang ramai baik dari bandar besar atau pekan kecil berkumpul, bertanya khabar dan meluangkan masa bersama.

Tetapi menjelang tahun 60-an, kedai-kedai farmasi tidak boleh menyaingi penangan pengkomersialan produk-produk seperti minuman ringan dan aiskrim. Dengan produk-produk ini mudah didapati termasuk restoran-restoran makanan segera, tiada keperluan bagi penduduk pergi ke kaunter pancuran soda untuk mendapatkan minuman pilihan mereka. Ini mengakibatkan sesetengah farmasi menutup terus operasi mereka.

Menjelang tahun 80-an, jualan Coca Cola sudah merosot dan ramai merasakan ia perlu berinovasi untuk kekal relevan. Ini membawa kepada pengenalan formula Coke Baru pada tahun 1985. Bagaimanapun, ramai menolak pengenalan formula baru Coca Cola itu dan mahukan perisa asal dikembalikan.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Selepas tiga bulan, pada Ogos 1985, perisa asal Coke dikembalikan semula dan dijenamakan di bawah nama Coca Cola Classic. Sementara perisa baru itu terus dijual di bawah nama Coke Baru sebelum ditukar kepada Coke II pada tahun 90-an. Akhirnya, pada tahun 2002, perisa baru itu dihentikan penjualannya oleh Coca Cola.

Kini, ia berstatus syarikat Fortune 500 dengan pendapatan tahunan berjumlah AS$41.3 bilion. Syarikat mempunyai tenaga kerja seramai 146,200 orang di seluruh dunia dengan setiap produk Coca Cola digunakan orang ramai menerusi kadar lebih satu bilion minuman dalam sehari.

RUJUKAN:

Bellis, Mary. (2021, January 26). The History of Coca-Cola. Diambil dari https://www.thoughtco.com/history-of-coca-cola-1991477


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.