Moving Forward As One

Bagaimana Cap Jari Membantu Sains Forensik Dan Polis Tangkap Penjenayah?

930

Apabila berlakunya sesuatu jenayah, menjadi tugas pihak berkuasa untuk menyiasat dan memastikan keadilan dapat ditegakkan. Antara perkara yang perlu dilakukan semasa siasatan dijalankan pengambilan cap jari sama ada di tempat kejadian, objek yang digunakan atau suspek jenayah. Tetapi tidak ramai tahu, teknik ini mempunyai sejarah yang panjang.

Sebelum itu, apa itu cap jari? Cap jari ialah rabung-rabung dan pusaran yang terdapat pada hujung bahagian jari. Ianya terbentuk daripada tekanan pada jari-jari kecil bayi semasa berada dalam rahim. Menariknya, setiap cap jari manusia berbeza dan unik.

IKLAN: Anda sedang mencari novel thriller? The Patriots baru terbitkan novel keempat kami. Boleh beli di Shopee kami: https://shp.ee/47yzq2k

Jika ada pun individu yang mempunyai cap jari sama dengan anda, peluangnya sangat rendah – satu dalam 64 bilion kemungkinan. Atas sebab itulah, saintis melihat cap jari jauh lebih unik daripada DNA kerana dalam kes kembar, mereka boleh berkongsi DNA yang hampir sama. Tetapi dari segi cap jari, mereka mempunyai set cap jari berbeza.

Cap jari amat popular sebagai tanda pengenalan biometrik kerana ia senang untuk dikelaskan dan disusun serta mudah diakses. Ia terdiri daripada susunan rabung-rabung yang dikenali sebagai rabung geser dengan setiap rabung mempunyai pori yang bersambung dengan kelenjar peluh di bawah kulit. Cap jari terhasil apabila peluh, sebum, kekotoran, dan kulit tercemar berada pada permukaan yang disentuh.

Terdapat tiga jenis pola asas cap jari iaitu gerbang (arch), membulat (loop) dan pusaran (whorl). Dan usah terkejut wujud sistem pengelassan yang lebih rumit yang memecahkan pola cap jari kepada gerbang asas atau gerbang khemah (tented arches). Membulat pula merujuk kepada radial atau ulnar. Pusaran Whorls juga merujuk kepada pengelasan kumpulan kecil termasuk pusaran asas, whorls tidak sengaja (accidental), whorls membulat berkembar, dan whorls membulat poket tengah.

Rajah 1: Contoh pengelasan cap jari iaitu gerbang (arch) (kanan), membulat (loop) (tengah kiri), pusaran (whorl) (tengah kanan) dan gerbang asas/gerbang khemah (tented arches).

Jadi, bagaimana teknik pengenalan cap jari diperkenalkan? Semuanya bermula dengan permasalahan yang dihadapi pihak berkuasa pada abad ke-19: pengenalan identiti seseorang. Di bandar-bandar besar seperti London, ia akan dibanjiri oleh imigran dari pelbagai tempat sekaligus membawa kepada peningkatan kes jenayah.

Bagi pihak berkuasa ketika itu, mereka sukar mengenalpasti penjenayah yang berkeliaran ketika itu kecuali sekiranya mereka dicekup semasa melakukan jenayah. Jika ditangkap sekalipun, masih ada peluang untuk mereka melepaskan diri atau dikenakan hukuman ringan oleh mahkamah. Mereka boleh saja memberi identiti palsu kerana yakin pihak berkuasa tidak akan menyemak atau tidak berupaya mengesahkan identiti sebenar mereka.

Bagi Profesor Charles Rzepka dari Universiti Boston, masalah ini memeningkan kepala ramai pihak sehinggakan penulis terkenal Edgar Allan Poe menggelar isu ini sebagai The Man of the Crowd. Dalam satu kes, seorang lelaki mendakwa dirinya sebagai seorang bangsawan bernama Roger Tichborne. Bagaimanapun, pihak berkuasa gagal membuktikan lelaki itu ialah seorang penipu.

Permasalahan ini memaksa pihak berkuasa mencari pelbagai jalan penyelesaian. Pengenalan identiti melalui gambar penjenayah sememangnya membantu tetapi mengambil masa yang lama. Kemudian pada tahun 1880-an, seorang pegawai polis Perancis bernama Alphonse Bertillon memperkenalkan sistem pengukuran 11 penanda tubuh badan penjenayah. Ya, ia memang membantu tetapi sukar dibuat dengan tepat.

Rajah 2: Alphonse Bertillon

Melihat kesukaran sebegini rupa, idea pengenalan cap jari mula timbul dalam fikiran beberapa individu. Mubaligh dan pakar perubatan Scotland Henry Faulds memikirkan idea ini selepas melihat kesan cap jari pada serpihan tembikar berusia 2,000 tahun. Dari situ, beliau mula mengambil cap jari rakan-rakan sekerjanya dan mendapati cap jari mereka berbeza antara satu sama lain.

Rajah 3: Henry Faulds

Usaha Faulds turut diperkukuhkan menerusi satu siasatan salah laku di hospital. Pada satu ketika, pihak hospital diberitahu salah seorang kakitangan mereka telah mencuri alkohol dan minum dengan segelas bikar. Apabila Faulds memeriksa bikar berkenaan, beliau mendapati cap jari pada bikar berkenaan sama seperti cap jari milik seorang rakannya.

Selain itu, beliau juga mahu melihat sama ada cap jari berubah atau tidak apabila sebahagian rabung pada hujung jari hilang. Untuk menguji teori tersebut, Faulds dan beberapa orang pelajarnya menghilangkan sebahagian rabung cap jari sebelum cap jari baru diambil. Hasilnya, bahagian yang dikatakan hilang itu kembali tumbuh dan membentuk corak cap jari yang sama. Pemerhatian sama turut dibuat Faulds semasa mengkaji tumbesaran kanak-kanak selama dua tahun.

Selepas kajiannya itu diterbitkan dalam jurnal saintifik Nature, lebih ramai pemikir dan cendekiawan menyokong gagasan ini. Tetapi pengenalan cap jari mula diberi perhatian pihak berkuasa menerusi hasil kerja dua individu iaitu Azizul Haque dan penyelianya Edward Henry. Haque ialah ketua pengenalan sebuah jabatan polis di India yang bertanggungjawab membangunkan sebuah sistem yang mengelaskan cap jari mengikut sub-kumpulan cap jari membulat dan pusaran.

Rajah 4: Edward Henry

Menerusi sistem ini, mereka berjaya mengenalpasti identiti penjenayah dalam tempoh lima minit – jauh lebih cepat daripada sistem Bertillon. Kedua-duanya juga bertanggungjawab memperkenalkan sistem sama untuk mengenalpasti penjenayah tegar di Bengal. Apabila hasil kerja mereka dibentangkan di London, Henry dilantik pihak British sebagai asisten komisioner di Scotland Yard pada 1901.

Bagaimanapun, seseorang sudah mendahului Henry dan Azizul dalam menjadikan teknik ini sebagai penyelesai kes jenayah. Pada 1892, seorang pegawai polis Argentina bernama Juan Vucetich dipanggil membantu siasatan pihak berkuasa berkenaan kes pemb.un.uhan dua orang kanak-kanak di Necochea, sebuah perkampungan berhampiran Buenos Aires.

Rajah 5: Juan Vucetich

Pada awalnya, ramai mengesyaki suspek pemb.unu.han ialah seorang lelaki bernama Velasquez, kekasih kepada ibu mangsa Francisca Rojas. Namun begitu, semuanya berubah apabila Vucetich menemui cap jari yang hampir sama dengan cap jari Rojas. Apabila perkara itu didedahkan, wanita tersebut memilih menyerah diri dan mengakui jenayah yang dilakukannya.

Walaupun ramai mengakui teknik sebegini membantu pihak berkuasa mencekup ramai penjenayah, ia masih menjerihkan. Ini kerana pihak berkuasa masih perlu memeriksa cap jari secara manual – kadang-kadang mengambil masa terlalu lama dan tidak membawa keputusan yang diharapkan.

Menerusi era komputer pada tahun 70-an, mereka sedar teknik ini perlu menjalani proses automasi bukan saja dari segi pencarian tetapi juga pengelasan dan pemadanan identiti suspek. Jepun menerusi Agensi Polis Kebangsaan Jepun merupakan negara pertama yang mengasaskan sistem pemadanan cap jari elektronik pada tahun 80-an. Menerusi sistem yang dipanggil Sistem Pengenalan Cap Jari Automasi (AFIS), ia membantu pihak berkuasa mengakses dan memadankan cap jari dengan rekod dari seluruh dunia dengan pantas.

Amerika Syarikat turut membangunkan sistem sama tetapi ia dianggap ketinggalan kerana tiada kerjasama membabitkan pelbagai agensi penguatkuasa di peringkat pusat dan negeri. Tanpa kerjasama semua agensi berkenaan, amat sukar bagi pihak berkuasa berkongsi maklumat penjenayah yang dikatakan.

IKLAN: Anda sedang mencari novel thriller? The Patriots baru terbitkan novel keempat kami. Boleh beli di Shopee kami: https://shp.ee/47yzq2k

Semua itu berubah menerusi pengenalan Sistem Integrasi Pengenalan Cap Jari Automasi (IAFIS) yang direka oleh Divisyen Perkhidmatan Maklumat Keadilan Penjenayah FBI Pada 1999. Ia mengelas, mencari dan mendapatkan cap jari dari seluruh negara dalam tempoh 30 minit. Ia turut mengandungi gambar penjenayah dan rekod jenayah lampau membabitkan 47 juta orang. Paling penting ia beroperasi 24 jam sehari, 365 hari setahun.

IAFIS bukan sekadar digunakan untuk memeriksa rekod jenayah. Ia turut berperanan mengumpul cap jari untuk pekerjaan, lesen dan program keselamatan sosial seperti rumah perlindungan bagi golongan gelandangan. Apabila semua fungsi IAFIS ini digabungkan, ini menjadikan satu daripada setiap enam orang warga AS mempunyai cap jari yang direkodkan oleh sistem berkenaan.

RUJUKAN:

Thompson, C. (2019). The Myth of Fingerprints. Smithsonian Magazine.

Watson, S. (2008). How Fingerprinting Works. HowStuffWorks.com.

Ruangan komen telah ditutup.