Bagi peminat sejarah dan pengkaji Perang Dunia Kedua (WWII), saya yakin ramai bersetuju bahawa perang tersebut merupakan satu bencana kepada Kesatuan Soviet. Benar, mereka menang pada akhir perang tetapi kos yang dibayar terlalu mahal. Buktinya, 27 juta tentera dan orang awam terbunuh dalam konflik manusia paling dalam sejarah. Tetapi tahukah anda, penyertaan mereka di Teater Pasifik pada WWII bukan saja memaksa Jepun mengibar bendera putih tetapi pada masa sama, menentukan sempadan beberapa negara yang membawa kepada konflik berpanjangan sehingga ke hari ini?

Pada tahun 1930-an, tatkala kuasa-kuasa besar seperti Britain, Perancis dan Amerika Syarikat cuba pulih dari trauma konflik Perang Dunia Pertama (WWI) dan kemelut kemelesetan ekonomi atau The Great Depression, kuasa-kuasa ini mula disaingi oleh Empayar Jepun dan Kesatuan Soviet. Kedua-dua kuasa baru ini melihat mereka sebagai kuasa baru yang mahu meluaskan pengaruh dan sempadan kekuasaan mereka. Antara punca kedua-dua kuasa ini bermusuhan ialah permusuhan yang telah bermula dari abad ke-19 terutama semasa Perang Rusia-Jepun yang dimenangi Jepun. Selain itu, kedua-duanya juga mempunyai ideologi berbeza di mana Kesatuan Soviet mendukung idea komunisme Vladimir Lenin sementara Jepun pula menerima idea puak ultra-konservatif tentera dalam arena politiknya. Dan ini diperkukuhkan lagi dengan tindakan Tokyo menandatangani Perjanjian Pakatan Anti-Komunis dengan rejim Nazi Jerman pada tahun 1935 disusuli dengan penyertaan rejim Benito Mussolini pada tahun berikutnya.

Dan seperti di China, Kesatuan Soviet dan Jepun turut terlibat dalam siri pertempuran di sepanjang perbatasan Siberia dan Manchukuo (Manchuria) pada akhir tahun 1930-an. Pertempuran paling dahsyat melibatkan kedua-dua negara ini ialah Pertempuran Khalkhin-Gol, pertempuran yang mengakibatkan 17,000 kematian tentera kedua-dua belah pihak. Pertempuran ini berlaku pada musim panas 1939. Namun selepas melihat ketegangan yang berlaku di Eropah dan Asia Tenggara, Moscow dan Tokyo sedar sekiranya mereka bertindak semberono di Manchuria hanya semata-mata nak memuaskan cita-cita imperialis mereka, tindakan tersebut boleh memakan diri sendiri. Lebih baik sekiranya sumber dan tenaga yang dimiliki difokuskan kepada musuh-musuh biasa mereka, bagi Tokyo, pesaing mereka ialah Amerika Syarikat. Sementara Kesatuan Soviet pula, segar dari menandatangani Perjanjian Molotov-Ribbentrop, pasti mahu membantu sekutu baru mereka iaitu rejim Nazi dipimpin Adolf Hitler dalam kempen di Poland dan Perancis.

Figure 1: Jeneral Georgy Zhukov antara jeneral Soviet yang terlibat dalam Pertempuran Khalkhin Gol.

Maka tidak hairanlah dua hari sebelum Hitler melancarkan Operasi Barbarossa pada Jun 1941, Tokyo dan Moscow memeterai perjanjian sama yang dilakukan Berlin dengan Moscow dua tahun sebelum itu. Joseph Stalin melihat perjanjian ini memberi manfaat kepada usaha perang Kesatuan Soviet. Pertama, mereka takkan terjebak dengan pertempuran di dua medan, satu kesilapan yang dibuat Hitler bila mengisytiharkan perang ke atas Amerika Syarikat tak lama selepas Jepun mengebom Pearl Harbor. Dan kedua, ini membantu jentera perang Soviet memfokuskan semua tenaga dan sumber yang dimiliki untuk memerangi Nazi Jerman, seterusnya membawa kepada kemaraan mereka ke Berlin. Atas sebab itulah, hanya Amerika Syarikat dan Britain saja terlibat dalam perang di Teater Pasifik semasa WWII.

Walaupun sedar pihak Soviet tidak mempunyai sumber dan tenaga diperlukan berikutan kesibukan mereka mara dari Medan Timur ke Berlin, Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Franklin Delano Roosevelt tetap meminta bantuan mereka dalam perang ke atas Jepun sejurus Jerman ditewaskan. Stalin bersetuju dengan permintaan Roosevelt kerana melihat inilah peluang Soviet mengembangkan sempadannya di sebelah Timur Jauh. Berikutan kejayaan jeneralnya, Georgy Zhukov mengalahkan tentera Nazi Jerman di bawah pimpinan Jeneral Friedrich Paulus dalam Pertempuran Stalingrad dan memaksa mereka berundur, Stalin mula membina kekuatan tenteranya di sebelah Timur Jauh.

Apabila The Big Three iaitu Stalin, Roosevelt dan Perdana Menteri Britain, Winston Churchill bertemu di Yalta, Stalin bersetuju menggerakkan jentera perang Soviet ke atas Jepun tiga bulan selepas Jerman menyerah kalah. Pada persidangan sama, Roosevelt dan Churchill dengan tuntutan Stalin yang mahukan Pulau Sakhalin selepas ditawan Tokyo dalam Perang Rusia-Jepun dan rantaian Kepulauan Kurille. Moscow turut menuntut agar Mongolia diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka berikutan statusnya sebagai sekutu mereka dan mahu kepentingan mereka untuk pangkalan tentera laut di Dalian, China serta landasan keretapi di Manchuria yang dikawal sebelum tahun 1905 dihormati. Dan seperti dijanjikan, dua hari selepas Hiroshima dan sehari sebelum Nagasaki dibom dengan bom atom Amerika, Moscow mengisytiharkan perang ke atas Tokyo pada 8 Ogos 1945.

Figure 2: Stalin bersetuju mengisytiharkan perang ke atas Jepun di Yalta dengan syarat Amerika Syarikat dan Britain menerima tuntutan-tuntutannya.

Sehari selepas itu, Moscow melancarkan serangan ke atas Manchuria, Pulau Sakhalin, wilayah utara Jepun dan utara Semenanjung Korea. Pengisytiharan perang dan serangan jentera perang Soviet ini yang menjadi punca mengapa Tokyo memutuskan untuk menyerah kalah, bukan kerana bom atom seperti yang ditekankan oleh cendekiawan-cendekiawan Barat. Serangan Soviet di Manchuria ini juga sebenarnya memberi ruang perlindungan kepada pasukan komunis China yang sibuk memerangi kedua-dua tentera Jepun dan tentera nasionalis Chiang Kai-Shek sehingga membawa kepada kemenangan mereka pada tahun 1948 dan pengunduran Kai-Shek ke Taiwan pada tahun 1949.

Pengisytiharan Moscow ini juga sebenarnya menjadi benih ketegangan di Semenanjung Korea yang terus berlangsung sehingga ke hari ini. Selepas Jepun menyerah kalah, kedua-dua Amerika Syarikat dan Soviet bersetuju membentuk penjagaan bersama di Korea dengan tujuan membentuk sebuah Republik Korea merdeka. Dan seperti di Eropah, kedua-duanya diberi hak menjaga zon pendudukan masing-masing. Namun, sikap degil kedua-dua kuasa besar ini gagal mencapai kesepakatan berkenaan penubuhan sebuah republik Korea yang merdeka. Ini menyebabkan kedua-duanya membentuk kerajaan Korea di sebelah utara dan selatan, hari ini yang kita kenali sebagai Korea Selatan dan Korea Utara. Ini juga membawa kepada konflik Perang Korea pada Januari 1950.

Figure 3: Benih kepada Perang Korea ialah tindakan Amerika dan Soviet membahagikan Semenanjung Korea kepada dua zon di bawah kawalan mereka

Situasi sama turut berlaku di Pulau Sakhalin. Apabila tentera Soviet mendarat di Sakhalin, mereka mendapat tentangan sengit dari tentera Jepun namun secara perlahan-lahan Moscow berjaya menguasai sepenuhnya pulau tersebut. Berdasarkan sejarah sehingga tahun 1945, Jepun menguasai bahagian selatan Sakhalin sementara bahagian utara dikuasai Soviet. Pertikaian dua negara ini berkenaan Sakhalin sudah berlarutan melebihi satu abad. Ini bermula dengan Perjanjian Shimoda di mana perjanjian tersebut secara spesifik menyatakan pihak Rusia hanya boleh menduduki bahagian utara pulau tersebut sementara Jepun menduduki bahagian selatan. Tokyo kemudian menarik semua tuntutannya berkenaan Sakhalin pada 1875 sebelum menawan pulau tersebut semasa Perang Rusia-Jepun. Jepun kemudian memulangkan bahagian utara pulau tersebut kepada Soviet pada 1925. Selepas Jepun memeterai Perjanjian San Francisco yang menamatkan secara rasmi konflik di Pasifik, Jepun menamatkan semua tuntutannya berkenaan Sakhalin sekaligus membiarkan pulau tersebut dikuasai Soviet walaupun Moscow enggan menandatangani perjanjian tersebut.

Ada sebab mengapa Moscow enggan memeterai perjanjian tersebut dan ini berkait dengan wilayah-wilayah yang dilihat boleh mencetuskan pertikaian antara mereka berterusan. Moscow mahukan empat pulau di sebelah timur laut Hokkaido dan barat daya Semenanjung Kamchatka iaitu Iturup, Kunashir, Shikotan dan Habomai. Keempat-empat pulau ini menjadi pertikaian Jepun-Rusia sejak abad ke-19 lagi. Moscow menganggap empat pulau ini sebahagian daripada rantaian Kepulauan Kurille, secara spesifik bahagian selatan kepulauan tersebut selepas Jepun melepaskan tuntutan mereka sebagai sebahagian daripada Perjanjian San Francisco. Jepun yang berang dengan tindakan Moscow menganggap keempat-empat pulau tersebut bukan sebahagian daripada Kurille dan Soviet menduduki keempat-empat pulau secara haram. Pertikaian ini menyebabkan sebarang bentuk perjanjian untuk menamatkan secara rasmi ketegangan antara Tokyo dengan Rusia (pewaris perundangan Soviet) sehingga ke hari ini. Dan jangan terkejut sekiranya kisah ini masih jadi bualan hangat dalam Duma dan Diet Jepun terutama membabitkan kelompok nasionalis dan ultra-konservatif. Diplomat dari kedua-dua belah pihak cuba mencari jalan penyelesaian tetapi selalunya ia berakhir dengan kegagalan.

Figure 4: Empat pulau yang jadi rebutan Soviet (Rusia)-Jepun sehingga ke hari ini ialah Kunashir, Iturup, Shikotan dan Habomai.

Dan atas sebab ini juga, ia menjadi halangan kepada kedua-dua negara dalam membentuk semula geopolitik Asia dan mengekang pengaruh China. Sementara itu, pembahagian Semenanjung Korea kepada dua bahagian bukan saja mencetuskan satu lagi perang tetapi juga membawa kepada pembentukan rejim diktator Korea Utara oleh Kim Il-Sung dan penderitaan yang berpanjangan kepada rakyatnya. Dengan 30,000 askar Amerika masih ditempatkan di Korea Selatan sementara rejim di sebelah utara sibuk membangunkan program peluru berpandunya, semenanjung ini merupakan antara kawasan paling merbahaya di dunia.

SUMBER

Mankoff, Jeffrey. (2015). National Interest. Revealed: Why the Soviet Union’s Entry into the Pacific War Matters.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply