Bagaimana Cahaya Hidayah Islam Sampai Ke Bangsa Turki?

1,345

Pra-tempah hanya di Shopee

Hubungan antara orang Turki dan orang Islam bermula pada awal abad ke-8 dan sebilangan besar orang Turkik memihak kepada Islam. Walau bagaimanapun, dasar pemerintahan yang terlalu pro-Arab diamalkan oleh Kekhalifahan Umayyah ketika itu sedikit sebanyak membataskan perhubungan ini.

Oleh kerana itu juga lah sebahagian besar dari kuasa-kuasa politik pada waktu itu bangkit menentang Umayyah hinggalah mereka jatuh. Namun ia telah membantu bani Abbasiyah untuk mengambil alih kuasa pemeintahan. Ia juga akhirnya memberi pilihan terbaru kepada orang-orang Turkik yang masih nomad di Asia Tengah.

Kejayaan Abbasiyah dalam mencapai kedaulatan sendiri dan menggulingkan Umayyah sebenarnya banyak juga bergantung kepada sokongan orang-orang Turki dan Iran di rantau itu, oleh itu ramai orang Turki diberi kedudukan penting dalam struktur pentadbiran semasa pemerintahan Abbasiyah.

Justeru, hasil daripada pengaruh begini, minat terhadap dunia Islam tersebar di kalangan orang Turki di luar Sungai Ceyhun. Minat itu menjadi semakin jelas apabila Khalifah al-Mu’tasim pada masa itu menubuhkan satu angkatan tentera elit yang hanya akan dibentuk oleh orang Turki pada tahun 835.

Selepas kebangkitan Islam dan kejayaan tentera Islam dalam mematahkan sayap Empayar Rom Timur dengan menakluk Syria dan Mesir pada 641, menundukkan Empayar Parsi Sassanid dan tiba di Sungai Amu Darya pada tahun berikutnya, Islam dikatakan mula sitemukan dengan bangsa Turki buat julung kalinya pada waktu ini.

Walau bagaimanapun, bangsa Turki (pra-Islam) dan umat Islam dari Arab tidak lebih dari hanya sekadar jiran tetangga sehingga abad kelapan kerana Dunia Islam ketika itu sedang menghadapi konflik dalaman semenjak pembu.nu.han Khalifah Umar dan Khalifah Uthman.

Hubungan komersial juga memainkan peranan utama dalam penyebaran Islam ke wilayah padang rumput Asia Tengah. Darwish-darwish Sufi yang bersama-sama rombongan pedagang turut berperanan dalam usaha dakwah terhadap orang-orang Turkik yang nomad hingga mereka menerima Islam.

Bangsa Turkik telah memeluk Islam pada abad ke-10, dan ini menghasilkan satu pencapaian dalam bentuk kesatuan politik yang mengadunkan budaya nomad padang rumput dengan Islam/Parsi. Berikutan perkembangan ini, negara Islam Turkik yang pertama sekali telah didirikan oleh suku Turkik Karluk yang dikenali sebagai Empayar atau Kekhaganan Karakhanid.

Karakhanid wujud pada antara tahun 990-1212 di Turkistan dan Maveraunnehir dan mengakhiri kedaulatan Empayar Samanogulları. Pengasas empayar ini adalah Satuk Bugra Khan yang merupakan pemerintah Turki terawal memeluk Islam, dan ia dicatatkan melalui manuskrip yang memuji pemerintahannya.

Pemerintahan Karakhanid sangat penting dari segi sejarah kebudayaan dan seni Turki. Pada waktu inilah masjid, sekolah, jambatan dan karavanseray dibina di kota-kota. Bukhara dan Samarkand menjadi pusat pendidikan. Pada tempoh ini, bahasa Turki sedang berkembang.

Kemudian, Empayar Ghaznawiyah dibentuk pada tahun 963 oleh pemerintah berbangsa Turki bernama Abu Mansur Sebuktegin, ia juga merupakan antara kerajaan Turki Muslim yang terawal ditubuhkan oleh golongan hamba di wilayah Ghazni.

Apabila Sebuktegin mewariskan takhta kepada puteranya yang kemudian dikenali sebagai Mahmud Ghazni, empayar ini melalui saat yang paling menyerlah dan makmur. Mahmud kemudian menjadi pemerintah pertama yang memakai gelaran Sultan, sekaligus mengasaskan sistem Kesultanan yang pertama di dunia. Baginda banyak menyumbang dalam usaha penyebaran agama Islam di India.

Pada zaman pemerintahan Sultan Mes’ud, Kesultanan Ghaznawiyah kehilangan sebahagian besar tanah mereka, setelah kehilangan sumber tenaga ketenteraan yang besar dalam pertempuran Dardanakan (1040) menentang pengasas Empayar Seljuk Agung, Togrul Bey.

Pada tahun 1186, ketibaan migrasi bangsa-bangsa Turki dari cabang keturunan Oghuz Khan menjatuhkan dominasi pemerintah di Ghazni melalui proses asimilasi hingga jatuhnya Kesultanan Ghaznawiyah sepenuhnya.

Cendekiawan Turki Ebu Reyhan el-Biyruni, yang dibawa ke Ghazni oleh Sultan Mahmud dari Khawarezm, membantu menjadikan zaman ini sebagai era penting dalam sejarah budaya Islam Turki.

Biyruni, yang menulis karyanya dalam bahasa Arab, turut mengarang Kitab’ı-Hind (Kitab India) yang terkenal dengan perbincangan tentang bahasa, sastera, agama dan falsafah India, hasil dari kempen Sultan Mahmud.

Sebenarnya ramai juga orang Turki yang memilih untuk menentang orang Islam dari Arab pada mulanya. Turki Khazar menerima tekanan dari Muslim Arab dan Kristian Byzantine, maka mereka memilih agama Yahudi, yang tidak menjadi ancaman di antara kedua-dua pihak berseteru itu.

Turki Kypchak (nenek moyang Kazakh), Oghuz (nenek moyang Turki Anatolia, Azeri dan Turkmen) dan kebanyakan suku-suku dari ras Turki yang lain cuba untuk mengekalkan kepercayaan Tengrisme yang dikongsi bersama bangsa Mongol, bahkan ada yang mengamalkannya secara pluralisme dengan dicampur aduk bersama cara beribadat Islam, sementara orang Uighur kebanyakannya berpegang kepada ajaran Manichaeisme.

Beberapa lagi rumpun-rumpun Turki, seperti Volga Bulgaria memeluk Islam kerana cuba menzahirkan sokongan politik terhadap Kekhalifahan Abbasiyah yang menentang Kievan Rus dan Turkik berfahaman Tengrisme yang lain. Tetapi kebanyakan sumber (bukan kontemporari tau) Arab mendakwa bahawa penerimaan ini tidak ikhlas.

Dalam sumber-sumber Arab, mereka sentiasa menggambarkan orang Turkik sebagai penyamun nomad, pemabuk, dan tidak pernah mandi. Aku pernah membaca gambaran yang serupa tetapi ianya adalah gambaran dari kaca mata Ibnu Khaldun mengenai orang Mongol melalui karya agungnya, Muqadimmah. Sama ada Arab yang tersalah fakta atau Ibnu Khaldun tersalah anggap bahawa Mongol itu sama dengan Turkik.

Pertempuran Talas di antara proksi-proksi Kekhalifahan Abbasiyah dan Dinasti Tang turut menyebabkan Abbasiyah melancarkan se.ra.ngan ke atas Transoxiana (Turkmenistan dan Uzbekistan moden), tentera Tang dari China membalas se.ra.ngan ini dengan membantai kota-kota Turkik yang tidak cuba menghentikan pencerobohan itu.

Akibat pembantaian tersebut, sejumlah besar orang Turki Karluk yang menjadi tentera Tang berpaling tadah dengan menyertai pihak tentera Islam. Tang tewas dalam pertempuran dan Turki Karluk memilih untuk memeluk Islam selepas persetujuan mengenai hak autonomi mereka lalu menubuhkan Empayar Karakhanid.

Semasa pemerintahan Bani Umayyah, Hajjaj ibn Yusuf telah dilantik sebagai gabenor di Iraq, yang merangkumi seluruh wilayah timur empayar tersebut. Beliau kemudiannya mengarahkan Qutaiba ibn Muslim, yang merupakan salah seorang panglima paling bengis lagi terkemuka pada waktu itu untuk men.yera.ng Khorasan pada tahun 705, dan mereka berjaya menawan Mawara al-Nahr dengan mudah.

Orang-orang Turki yang menentang pada awalnya konsisten dalam menahan se.ra.gan dari tentera Arab pada tahun tersebut. Namun, konflik yang berlaku di antara orang Arab dan orang Turki itu secara tidak langsung telah membawa orang Turki mengenali Islam dengan lebih dekat. Hidayah tiba di tengah-tengah pepe.ra.ngan.

Terdapat beberapa lagi faktor tentang mengapa orang Turki tertarik kepada agama Islam:

AGAMA : Rata-rata masyarakat Turkik mengamalkan kepercayaan yang sama dengan bangsa Mongol iaitu menyembah Gök Tengri (Tengrisme). Namun ada kemiripan dalam sistem budaya dan cara hidup mereka dengan orang Islam.

Mereka berpegang kepada kepercayaan Tuhan itu satu (Tauhid), mereka percaya kewujudan syaitan, percaya kewujudan akhirat, roh, syurga dan neraka. Tindakan yang salah seperti perzinaan, pencurian, penyeksaan, pembu.nu.han dan penyelewengan juga adalah berdosa.

Manakala mengorbankan haiwan untuk makanan, bersujud semasa beribadat dan sistem poligami juga adalah perkara biasa di kalangan masyarakat Turkik, Dan akhirnya, konsep jihad yang wujud dalam Islam melengkapkan kemiripan ini memandangkan ia sesuai dengan ciri-ciri semangat kepahlawanan dalam budaya Turki.

EKONOMI : Selepas penaklukan sebahagian besar wilayah Turkestan di Asia Tengah, hubungan ekonomi dan perdagangan bermula di antara penduduk tempatan dengan orang Islam. Hubungan intim di antara mereka mencipta peluang bagi orang Turki untuk mengenali agama Islam. Justeru, Islam mula tersebar di kalangan pedagang di kota-kota yang pesat dan maju.

Orang-orang Turki yang tinggal di utara dan timur mula memeluk agama Islam berkat dari dakwah dalam perniagaan dan tunjuk ajar dari orang Islam yang bertutur dalam bahasa yang sama dengan mereka dan golongan yang sama-sama berdagang dengan mereka.

SOSIAL: Sifat semulajadi yang menitikberatkan nilai kejujuran dan amalan bersedekah yang ditunjukkan oleh orang Islam dalam urusan perdagangan dan kepentingan yang mereka martabatkan dalam nilai-nilai keadilan dan etika yang bersih, telah memberi kesan positif kepada orang Turki yang mereka temui melalui hubungan komersial.

Penduduk tempatan yang berdekatan memahami bahawa etika sosial yang bersih ditonjolkan para pedagang Muslim yang datang untuk melakukan perniagaan dengan mereka adalah hasil dari didikan agama mereka.

Contohnya, apabila pedagang Muslim mengukur kain untuk dijual, nilai yang mereka jual pasti lebih murah dari ukuran kain yang sentiasa diberikan lebih kepada pembelinya, tetapi orang Islam juga akan membayar harga yang lebih untuk ukuran yang kecil apabila mereka pula menjadi pembeli.

Sifat kemurahan hati umat Islam dalam bersedekah itulah yang memukau jiwa penduduk setempat terutamanya orang Turkik. Mereka bahkan dikatakan pernah mempersoalkan sama ada umat Islam ini sebenarnya manusia atau malaikat yang dihantar oleh Tuhan.

POLITIK/KETENTERAAN : Kekhalifahan dari zaman sama ada Bani Umayyah atau Bani Abbasiyah gemar membentuk struktur ketenteraan mereka berdasarkan sistem ketenteraan gaya Turki, merekrut askar dari kalangan bangsa Turki dan membentuk kota pertahanan seperti Samarra untuk diduduki oleh tentera-tentera Turki.

Dengan keupayaan mereka yang mahir bertarung, askar-askar Turki sering menerima kenaikan pangkat yang tinggi dalam pasukan. Mereka juga sering dilantik menduduki jawatan yang berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran negara. Oleh itu, tentera dan perkhidmatan awam kekhalifahan tersebut lazimnya diuruskan oleh orang Turki.

DAKWAH: Ahli sejarah British, Sir Thomas Arnold, dalam bukunya ‘The Preaching of Islam: A History of Propagation of Faith Muslim’, ada memberikan penjelasan terperinci mengenai mengapa masyarakat dari pelbagai budaya dan etnik yang secara sukarela menerima Islam.

Rata-rata masyarakat Turki adalah memeluk agama Islam tanpa sebarang paksaan, bahkan dengan kehendak mereka sendiri. Sesuai dengan larangan dalam Islam sendiri terhadap budaya pemaksaan menggunakan mata pedang.

Pada permulaan abad ke-8, tanah-tanah bangsa Turki dikuasai oleh orang Islam. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah orang Turki, penghijrahan kepada pegangan ajaran Islam hanya berlaku secara drastik sekitar dua abad kemudian pada abad ke-10.

Sepanjang waktu itu (abad ke-8), memang ada terdapat beberapa orang Turki yang sudah memeluk agama Islam, tetapi tidak meluas dan sedikit demi sedikit. Maka, ia menjadi bukti dan penanda aras yang menunjukkan bahawa majoriti besar dari mereka ini telah menerima Islam secara aman dan berhikmah.

KEADILAN: Menurut undang-undang syariah, penduduk bukan Islam harus membayar kadar cukai yang lebih tinggi berbanding penduduk beragama Islam, ia disebut sebagai Jizyah.

Maka jika kita lihat situasi ini dari konteks duniawi, ia sepatutnya memberi manfaat dan keuntunga bagi pemerintah Islam apabila penduduk bukan Islam memilih untuk kekal sebagai orang bukan Islam.

Jadi, sangatlah tidak masuk akal jika ada dakwaan bahawa pemimpin-pemimpin Islam ketika itu memaksa orang-orang Turki untuk memeluk agama Islam sekiranya pemimpin itu kita hendak gambarkan sebagai pemimpin yang zalim.

Sekitar tahun 950, seorang bekas tentera elit yang berkhidmat untuk tentera Khazar bernama Seldjuq Bey telah bermigrasi bersama pengikut nya ke Khawarezm, beliau memeluk Islam di sana kemudian bersekutu dengan Shah dari Empayar Parsi Samanid ketika menentang Kekhaganan Karakhanid di Transoxania pada 992-999.

Walau bagaimanapun selepas bangkitnya Kesultanan yang pertama di dunia, Kesultanan Ghaznawiyyah. Seldjuq Bey telah terjebak dalam pergelutan kuasa di wilayah ini sebelum berjaya mengasaskan pangkalan bebas mereka sendiri melalui sebuah kerajaan kecil.

Setelah Seldjuq Bey meninggal dunia pada tahun 1021, cucu-cucu lelakinya menyambung perjuangan beliau. Toghrul Bey dan Chaghri Bey merupakan dua beradik yang bersama-sama menundukkan Kesultanan Ghaznawiyah dan Empayar Karakhanid.

Semasa dibawah pemerintahan Toghrul Bey, beliau berjaya menubuhkan sebuah empayar dengan sistem negara berpusat yang sistematik pada tahun 1037, iaitu Empayar Seljuk Agung.

Empayar tersebut menjadi titik permulaan kuasa imperialis di bawah bangsa Turki Islam yang besar dan bertahan untuk beberapa abad lamanya. Ia dinamakan sebagai Empayar Seljuk bersempena dengan nama datuk kepada Toghrul Bey yang dianggap sebagai pelopor perjuangan menubuhkan negara untuk bangsa Turki di barat.

Legasi Seljuk dari keturunan Turki Oghuz diteruskan oleh Kesultanan Rum Anatolia, dan disambung oleh Empayar Uthmaniyah.

Selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyah – yang populasinya pada abad ke-20 telah memiliki struktur budaya berlapis akibat gerakan pemisah berasaskan perbezaan agama dan bangsa, kerajaan Republik Turki yang baru dibentuk memutuskan kesamarataan di antara penduduk harus ditegakkan dengan hanya menerima dan mengamalkan budaya bangsa Turki sahaja.

Kesamarataan yang lain adalah terhadap agama. Dengan itu, negara Turki tidak lagi menjadi sebuah negara Islam kerana mengangkat perlembagaan sekular. Tetapi sebahagian besar penduduknya sudah beragama Islam beratus tahun lamanya sebelum peristiwa ini berlaku.

Penganut agama selain Islam, kebanyakannya terpaksa berpindah keluar atas dasar rasa ketakutan akan berlakunya konflik di kalangan penduduk kerana kebangkitan semangat nasionalisme Turki yang sangat berkait rapat dengan Islam walaupun sudah menjadi sekular.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.