Bagaimana Berfikir Seperti Orang Bijak – Panduan Untuk Mahasiswa

0
1947
views

Saya baru sahaja selesai baca buku Thinking Fast and Slow tulisan Daniel Kahneman dan Predictably Irrational tulisan Dan Ariely.

Dua buku ini adalah mengenai psikologi. Tapi asas-asas psikologi yang dikemukakan kedua-dua buku tersebut dikupas daripada aspek economics.

Saya takkan hurai tentang itu.

Tapi saya nak kongsi SATU dapatan penting saya daripada kedua-dua buku tersebut:

Manusia cenderung untuk buat keputusan/perbuatan yang ‘bodoh’ tanpa mereka sedar.

Sebagai contoh:

  1. Kita lebih mudah untuk percaya apa orang kacak cakap berbanding orang yang hodoh walaupun apa dia yang sembang semua bohong.
  2. Bila kita percaya sesuatu, kita akan cari segala bukti untuk mengiyakan apa yang kita percaya walaupun jelas apa yang kita percaya itu salah.
  3. Kita mudah terpedaya dengan cerita yang disalut dengan emosi – marah, sedih, gembira – berbanding fakta yang sudah pun terbukti betul.

Perkara-perkara ini yang mengganggu hidup saya lepas habis baca.

Poin yang saya sebut tadi adalah KELEMAHAN manusia yang sangat besar.

Kita selalu sangka yang kita terlalu bijak untuk TAK terpengaruh dengan persekitaran dan orang sekeliling.

Kita sangka kita buat keputusan yang rasional bersandarkan sebab-sebab yang betul.

Padahal TIDAK!

Hakikatnya, kita ini ‘bodoh’.

Kita mudah terpengaruh dengan persekitaran dan orang sekeliling bila buat keputusan.

MELAINKAN….

Kita jadi manusia yang benar-benar guna akal yang dikurniakan Allah untuk BERFIKIR dengan bijak.

Dalam artikel kali ini, saya akan kupas dengan lebih dalam dan terperinci, bagaimana manusia yang ‘bodoh’ seperti kita – terutamanya mahasiswa – mampu berfikir seperti orang bijak.

Beranikan diri untuk cakap, “Aku tak tahu!”

Bukan senang nak mengaku diri tak tahu. Seolah-olah menampakkan yang kita ini bodoh.

Tapi ingat satu perkara:

“Rasa diri pandai adalah permulaan kepada kebodohan.” – Anonymous

Rasa diri pandai akan buat kita berhenti belajar dan tak boleh nak berkembang jadi manusia yang lebih baik.

Kita jadi manusia statik.

Tak nak belajar sesuatu yang baru.

Tak nak belajar dengan orang lain yang lagi pandai.

Sombong dengan apa yang kita dah tahu.

Bila kita mengaku kita tak tahu, kita akan dapat beberapa kebaikan:

  • Kita dah pun tahu apa benda yang kita tak tahu.
  • Jadi kita boleh belajar untuk tukar daripada ‘tak tahu’ kepada ‘tahu’
  • Bila kita DAH tahu, kita dah pun selangkah lebih pandai daripada diri kita yang sebelum ini.

Latih diri untuk berfikir seperti budak kecik

“Eh. Dah dewasa kot. Buat apa nak fikir macam budak kecik?”

Ingat masa kita kecik-kecik dulu?

Kita selalu curious nak tahu benda baru. Kalau kita nak tahu satu benda, kita cari jugak sampai dapat.

Masa umur 6 tahun dulu, saya pernah gunting tayar basikal saya semata-mata nak tahu apa sebenarnya yang ada dalam tayar basikal.

Bengap betul rasa masa tu. Nak bukak tayar basikal pun tak tahu. Habis jahanam tayar basikal kesayangan. Haha

Poin saya adalah:

Tahap curiousity kita masa kecik dulu sangat tinggi.

Sebab itu budak-budak kecik suka soal macam-macam kat orang dewasa.

“Kenapa awan biru? Kenapa bulan putih?”

“Macamana burung boleh terbang? Kenapa tak jalan macam kita”

Sebab mereka nak tahu BANYAK perkara.

Rasa ingin tahu meluap-luap itulah yang perlu kita latih semula (setelah hilang entah kemana bila dah besar) untuk berfikir seperti orang bijak.

Persoalkan apa yang orang lain percaya juga adalah salah satu cara budak kecik berfikir.

“Nak kerja bagus kena pandai English!”

“Kalau nak kaya hidup berjaya kena berniaga!”

Jangan telan bulat-bulat.

Ingat:

Mereka yang buat kepercayaan itu pun sama je macam kita – bodoh. Sama-sama manusia.

Jadi, keluarkan diri daripada kepompong kebodohan tersebut dan cari jawapan yang sebenar-benar betul.

Biasakan diri untuk tanya soalan yang betul untuk dapatkan jawapan yang betul

Tak guna kita dapat jawapan ‘betul’ sekalipun, kalau jawapan tersebut adalah kepada soalan yang SALAH.

Jawapan tak penting.

Jawapan yang kita dapat bergantung kepada soalan yang kita bagi.

Contoh:

“Kenapa aku malas buat assignment?”

Jawapan untuk soalan ini tak membantu kita pun selesaikan masalah malas kita.

Kita akan cakap yang assignment susah… Kita banyak buang masa main game… Kita banyak buang masa layan Instagram…

Kita akan banyak meratap kemalasan kita berbanding selesaikannya.

Apa soalan yang lagi baik?

“Bagaimana nak urus masa dengan sistematik supaya aku semangat nak siapkan assignment?”

Haaaaa!

Soalan macam ini boleh selesaikan masalah masa kita.

Jawapan yang mungkin kepada soalan tersebut adalah:

  • Buat plan satu hari apa nak buat.
  • Bila dah set apa nak buat, terus buat. Fokus buat satu benda yang paling minimum untuk mudahkan kita bermula.
  • Ketika buat kerja, jauhkan diri daripada gangguan seperti smartphone, game, kawan dan sebagainya.

Jangan tipu diri sendiri!

Penipu paling besar adalah diri sendiri.

Kita mungkin boleh TAK percaya orang lain tapi sentiasa dan selalu percaya pada diri sendiri.

Bila kita cakap kita dah pandai, kita pun percaya dan berhenti belajar benda baru.

Bila kita cakap kita cepat mengantuk bila baca buku, kita pun percaya dan sampai ke sudah kita tak baca buku.

Bila kita cakap, ‘orang’ itu boleh dipercayai, kita pun percaya sembang dia sampai lah kita kena tipu macam-macam.

Ada tiga cara untuk elak ditipu diri sendiri:

  1. Tanya soalan yang betul kepada diri sendiri. Korek lebih dalam untuk tahu masalah yang sebenar.
  2. Jumpa orang yang lebih pandai. Mintak tunjuk ajar dan pertolongan mereka.
  3. Baca buku! Buku ditulis oleh orang yang semestinya jauh lebih bijak daripada kita. Yang dah tahu apa yang belum kita tahu. Belajar dengan mereka!

Manfaatkan masa muda anda dengan membaca…

“In my whole life, I have known no wise people (over a broad subject matter area) who didn’t read all the time — none, zero.” – Charlie Munger

Tak ada orang bijak yang tak membaca.

Membaca ni macam rukun la untuk jadi orang yang bijak.

Penulis-penulis buku yang bagus adalah orang yang bijak.

Jika kita baca buku-buku yang ditulis mereka, secara tak sedar kita sedang ‘menyerap’ kebijaksanaan mereka dan dapat dipraktikkan dalam kehidupan.

Membaca bukan untuk dibangga dapat baca banyak buku.

Membaca menunjukkan rasa semangat kita untuk tambah dan belajar lebih banyak ilmu.

Supaya jiwa kita tenteram tidak ketandusan ‘tahu’.

Dan, masa paling tepat untuk kita biasakan tabiat membaca adalah SEKARANG.

Ketika kita masih lagi muda.

Kita tak muda selamanya.

Kesan jika kita membaca atau pun tidak adalah ketika tua nanti.

Kita nak jadi orang tua yang berilmu dan mampu sampaikan manfaat kepada orang-orang muda atau nak jadi orang tua yang kerjanya asyik lepak kedai kopi main dam setiap hari?

Kita pilih…

Artikel ditulis oleh Halim Sallehuddin untuk The Patriots.