Tidak seperti kita pada hari ini yang mempunyai bermacam-macam teknologi astronomi seperti satelit yang mampu membantu kita memetakan setiap inci muka bumi, tamadun-tamadun awal manusia hanya bergantung sepenuhnya pada deria mata dan semangat meneroka untuk mengetahui bagaimanakah rupa dunia yang dihuni oleh mereka.

Berbekalkan sumber dan keupayaan yang terhad, pandangan alam mereka terhadap dunia sekeliling dicurahkan ke dalam peta-peta dunia yang sebahagiannya dapat diwarisi oleh kita sehingga ke hari ini. Setiap tamadun, baik Babylon, Yunani, mahupun Rom, mempunyai kefahaman yang tersendiri tentang bentuk dunia, termasuklah apa yang berada di penghujungnya.

TAMADUN BABYLON: TUJUH DARATAN PENGHUJUNG DUNIA

Peta dunia tertua setakat yang pernah dijumpai datangnya dari Babylon. Peta tersebut menggambarkan dunia ini berbentuk seperti sebuah hamparan cakera yang dikelilingi oleh lautan, dengan Babylon terletak di tengah-tengah dunia.

Pada lingkaran luar lautan itu pula, terdapat tujuh daratan yang dipenuhi dengan segala makhluk menakutkan, termasuklah Humbaba, raksasa yang diceritakan di dalam Epik Gilgamesh.

Menurut mereka, daratan-daratan tersebut merupakan penghujung dunia dan berada di luar jangkauan manusia. Ia berbentuk segi tiga, dan bucunya pula tidak berpenghujung: umpama ruang tanpa batasan. Suasana di sana ada yang diselubungi kegelapan penuh dan ada pula yang terang-benderang.

Peta dunia kurun ke-6 SM dari tamadun Babylon


Walaupun peta dunia Babylon ini dihasilkan pada kurun ke-7 atau ke-6 SM, kuneiform yang diukirkan padanya menyatakan bahawa ia hanyalah salinan bagi sebuah tablet lama berusia 200 tahun lebih tua. Bagaimanapun, kefahaman tentang bentuk dunia yang sedemikian sudah pun berakar-umbi dalam tamadun Babylon jauh lebih awal. Ini kerana salah sebuah daratan tidak bersempadan yang digambarkan pada peta tersebut pernah muncul dalam tablet Epik Gilgamesh yang berusia sekitar 2100 SM.

TAMADUN YUNANI: PENGHUJUNG DUNIA DIPENUHI MAKHLUK-MAKHLUK ANEH

Sebelum Pythagoras buat pertama kalinya mengutarakan pendapat bahawa bumi ini berbentuk sfera, masyarakat Yunani memandang dunia seperti hamparan cakera dengan Athens terletak di pusatnya. Benua Afrika, Eropah, dan Asia kemudian membentuk kawasan sekeliling, sambil kesemua daratan itu sendiri dilingkari oleh lautan luas.

Dalam erti kata lain, jika seseorang mengembara jauh ke ceruk pedalaman Afrika, Eropah dan Asia, mereka hanya akan menemukan lautan luas yang tidak berpenghujung. Menurut mereka lagi, semakin jauh mereka dari bumi Yunani, semakin gasar penghuninya dan semakin banyak pula makhluk-makhluk aneh yang dapat ditemui.

Peta dunia menurut Homer

Bahkan sewaktu mereka mula meneroka dunia dan melihat sendiri keadaannya dengan mata kepala, kepercayaan bahawa bumi ini berbentuk seperti hamparan cakera masih tertanam teguh dalam pemikiran mereka. Misalnya sewaktu Ctesias pulang dari India, beliau mendakwa pernah menyaksikan manusia berkepala anjing, harimau berwajah manusia, dan manusia berkaki gergasi. Kononnya, India adalah salah sebuah daratan di penghujung dunia.


Kaki manusia bersaiz gergasi, yang didakwa oleh Ctesias

Kenyataan ini disokong oleh Herodotus yang menyifatkan India sebagai daratan timur paling jauh yang boleh dicapai oleh manusia manakala Tanah Arab pula adalah titik paling selatan yang dapat dijangkau. Utara dan barat pula, menurut beliau, masih belum diteroka justeru dipenuhi dengan misteri: “Aku belum pernah menemui sesiapa pun yang dapat berikan kepadaku maklumat primer tentang kewujudan lautan di penghujung utara dan barat Eropah.”

TAMADUN ROM: BANGSA-BANGSA GASAR DI PENGHUJUNG DUNIA

Konsep dunia menurut tamadun Yunani tidak ma-ti begitu sahaja. Walaupun Pythagoras dan Aristotle menegaskan bahawa bumi ini berbentuk sfera, ramai yang masih berpegang pada tanggapan bahawa daratan di penghujung dunia dipenuhi dengan bangsa-bangsa gasar. Antara individu yang tidak terkecuali dari menganut anggapan sebegini adalah Julius Caesar.  Beliau meyakini bahawa Rome adalah pusat dunia dan kawasan-kawasan yang jauh dari tanah Rom semuanya dihuni oleh bangsa gasar.

Peta dunia menurut Strabo

Pandangan alam mereka tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan tamadun Yunani. Cuma pada zaman Rom, penghujung utara dan barat dunia bukan lagi kawasan yang asing. Pliny the Elder yang pernah mengunjungi petempatan suku Chauci di barat laut Jerman menyifatkan mereka sebagai bangsa gasar yang mendiami kawasan berhutan tebal dan kerap digenangi air banjir. Dakwaan sebegini kemudian diambil bagi menggambarkan suasana di penghujung utara dunia.

TERJEMAHAN

Mark Oliver. (16 September 2018). What Did Ancient Civilizations Believe Lay at the Edges of the Earth? Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.