Empayar Mongol, yang diasaskan dari gabungan suku-suku Turkic-Mongol oleh Genghis Khan adalah salah satu empayar terbesar yang pernah wujud dalam sejarah.  Di bawah pemerintahan Genghis Khan dan anaknya Ogedei Khan, empayar ini menyaksikan perkembangan besar-besaran dalam jangka masa yang agak singkat (1204-1279).

Kuasa mereka tertumpu di berbagai titik waktu yang terbentang dari Laut Kaspia ke Lautan Pasifik. Kawasan ini meliputi China, Korea, Mongolia, Parsi (sekarang Iran), Turkestan, Armenia dan sebahagian Eropah Timur.  Ia juga meliputi beberapa wilayah tributari dan naungan sejauh di Burma, Vietnam, Thailand, dan Rusia.

 

Pahlawan Mongol.

Tidak seperti tahun-tahun awal perkembangan empayar besar yang lain (Rom, Parsi, Inggeris), dasar Mongol terhadap kepelbagaian agama adalah lebih terbuka. Oleh kerana ukurannya yang besar, wilayah-wilayah yang diperoleh di bawah Empayar Mongol yang berkembang mencipta diaspora agama-agama yang berbeza dan pemerintah Mongol sangat bertoleransi terhadapnya dengan menaja beberapa pemuliharaan agama secara serentak.

Namun, pada zaman Genghis Khan mungkin amalan pluralistik berlaku dalam hampir setiap agama kerana di mana-mana saja berlaku pertukaran agama, dari Buddha memeluk Kristian, dari Hindu memeluk Islam, adakalanya muncul laporan orang Islam murtad.

Bagi mengelakkan perselisihan agama, Genghis Khan menubuhkan satu institusi yang menjamin kebebasan beragama sepenuhnya, walaupun dia sendiri adalah seorang penyembah Tengrisme yang mengamalkan kedukunan.

Seorang putera Mongol mempelajari al Quran.

Bermula di bawah pemerintahannya, setiap para pemimpin agama telah dikecualikan dari sebarang cukai dan perkhidmatan awam, bahkan diberikan elaun untuk tugas-tugas tertentu, contohnya, seorang imam agama Islam yang memandikan jenazah akan menerima elaun khas.

Kesan langsung dari dasar ini adalah zaman kestabilan (Pax Mongolica) yang menyebabkan peningkatan perdagangan antarabangsa dan pertukaran budaya antara Eropah dan Asia.

Mongol tidak memeluk Islam secara kolektif. Mereka bahkan menghadapi banyak pepe.ran.gan sesama sendiri. Namun sebelum itu kita harus tahu bahawa Genghis Khan yang bertoleransi dan nampak baik ini amatlah ke.jam jika melibatkan soal pepe.ran.gan.

Apabila Genghis Khan menunjukkan kepada dunia siapa sebenarnya dirinya ketika dia memus.nahkan Empayar Khwarizmiyah pada tahun 1219 dalam pencerobohan Mongol ke Khwarezmiyah dan Iran Timur, peristiwa-peristiwa susulan seterusnya akan menjadi satu trauma bagi Dunia Islam sehingga istilah “holocaust” kadang-kala digunakan bagi menggambarkannya.

Sejarawan sering menggambarkan Genghis Khan dalam dua perwatakan berbeza mengikut situasi, semasa memerintah wilayah tak.lukannya, dia seorang pemerintah atau khagan yang amat bertoleransi dengan semua agama hingga ada orang Islam (terutamanya orang Melayu yang mudah percaya bulat-bulat sebarang gosip) yang yakin bahawa Genghis Khan adalah seorang Muslim yang memakai gelaran Sultan.

Gambar hiasan.

Namun tidak pula dinilai tindakannya yang ke.jam semasa berkempen, hingga bangsa Mongol secara keseluruhannya digambarkan sebagai “syaitan yang menunggang kuda” berikutan taktik menakut-nakutkan musuh yang amat ke.jam dalam sejarah dunia.

Akibat provokasi shah Khwarizmiyah, dia mula mengganas dan dia menak.luki banyak kota di dunia Islam Timur yang dilanggar mereka termasuk kota-kota dengan kepentingan keagamaan seperti Samarkhand dan Bukhara.

Dalam sejarah, mana-mana tentera mujahid Islam yang berjuang di jalan Allah tidak pernah mengalami kekalahan seteruk yang dialami mereka setelah kebangkitan bangsa Mongol menentang Khwarizmiyyah dan Abbasiyyah.  Benar, tentera Salib dan Muslim sering bersilih ganti merampas wilayah di Tanah Suci (Baitulmaqdis), tetapi kemenangan tentera Salib adalah jelas kerana tentera Muslim tiada kekuatan yang diperlukan untuk melawan mereka.

Namun, itu tidak sepatutnya berlaku terhadap shah Khwarizmiyah, yang pada logik akal sepatutnya lebih dari sekadar buku bertemu ruas bagi menghadapi gerombolan tentera Genghis yang belum membesar.

Bagaimanapun, dia gagal dan kekalahannya menjadi satu tamparan psikologi yang besar terhadap Dunia Islam. Para penulis sejarah pada waktu itu benar-benar menganggap hari kiamat sudah tiba.

Meskipun begitu, ada hikmah besar di sebalik kejatuhan sementara Islam ketika itu kerana dari abu kemus.nahan inilah akan berlaku proses Islamisasi secara pesat di seluruh Empayar Mongol, di luar China dan di ibu kota Mongolia sendiri.

Tidak pernah ada perintah wajib lagi mutlak dari kelas atasan Mongol terhadap subjek-subjek mereka yang ditetapkan oleh Khan Agung bahawa semua orang Mongol harus memeluk Islam.

Namun pada dasarnya, kaitan geografi, demografi dan pengaruh sosio-politik dari tanah yang mereka tak.luki, akhirnya tiga dari empat kekhanan utama yang membentuk Empayar Mongol akan menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negara tetapi proses ini lebih seperti susunan siri peristiwa, yang hanya sebahagiannya saja akan saling berkaitan.

Pertama, kita harus fahami dahulu secara ringkas tentang proses meluaskan sempadan geografi Empayar Mongol sekitar tempoh ini. Mongol ketika itu mempunyai empat pecahan Kekhanan atau negeri tak.lukan yang dibezakan mengikut rantau masing-masing:

  1. Kekhanan Jochi (Angkatan Kencana atau Golden Horde): Sebahagian Rusia, Ukraine, wilayah Laut Hitam, Kaukasus.
  2. Ilkhanid: Parsi atau Iran dan Iraq.
  3. Kekhanan Chagatai: Turkestan (Asia Tengah), Moghulistan, Xinjiang, dan sebahagian Mongolia.
  4. Dinasti Yuan: China – berperanan sebagai ibu kota atau pusat pemerintahan terhadap kesemua kekhanan di bawah perintah seorang Khan Agung merangkap Maharaja China. Namun Dinasti Yuan tak pernah memeluk Islam.

Pemimpin Mongol berketurunan Genghis Khan yang pertama telah memeluk agama Islam adalah Berke Khan, cucu Genghis Khan dan Khan di Ulus Jochi yang memerintah sebahagian Rusia dan Kaukasus pada tahun 1252. Walaupun ada segelintir kecil pemimpin Mongol akan datang dianggap memeluk Islam hanya kerana atas dasar kepentingan politik, namun, tidak bagi Berke Khan.

Gambar hiasan.

Bahkan, walaupun Berke sendiri pernah menarik minat adiknya untuk sama-sama memeluk Islam, tidak pernah berlaku sebarang penerimaan terhadap agama Islam secara besar-besaran di kalangan kepimpinan Mongol di Ulus Jochi pada waktu ini.

Untuk membincangkan topik ini kita boleh menganggap semua pecahan sayap-sayap Ulus Jochi, paksi Ulus Batu dan Ulus Orda, dalam apa nama sekali pun sebagai satu entiti yang sama walaupun ketika ini kesemuanya belum disatukan secara berpusat di bawah Ulus Jochi.

Bagaimanapun, penghijrahan Berke Khan kepada Islam menghasilkan satu kesan politik yang besar. Kerana ia secara tidak langsung menjadikan dia dan kekhanan Ulus Jochi di bawahnya menjadi sekutu kepada banyak kerajaan-kerajaan Islam, bahkan Berke bekerjasama dengan tentera Islam dari Kesultanan Mamluk bagi menentang kemaraan tentera Mongol yang merupakan keluarganya sendiri.

Hulagu Khan, seorang lagi cucu lelaki Genghis, memerintah Ilkhanid yang pada dasarnya bekas Empayar Khwarizmiyah di Parsi. Hulagu menerima mandat dari abangnya Mongke Khan (yang dibantu Berke menjadi Khan Agung pada tahun 1251) untuk menuju ke barat dan menghapuskan seluruh kerajaan pemerintahan Islam.

Hulagu memerintahkan Khalifah dikurung sebelum dibu.nuh

Sebagai sebahagian dari usaha merealisasikan kempen ini, Hulagu bertindak menye.ran.g, menjarah dan memus.nahkan kota bundar Baghdad lalu menjatuhkan Kekhalifahan Abbasiyyah setelah membu.nuh Khalifah al-Mus’tasim dengan kaedah yang sangat ke.jam.

Berke selaku seorang saudara baru Islam yang taat kepada Allah, merasa amat marah kerana Hulagu seolah-olah mempersendakan kepercayaannya dengan menjatuhkan khalifah.

Semua peristiwa di atas berlaku antara tahun 1257-1258. Pada tahun 1259, Mongke Khan akhirnya meninggal dunia, mengikut tradisi wajib Mongol, setiap anggota dinasti pemerintah Mongol wajib pulang ke ibu kota bagi memilih Khan Agung yang baru.

Begitu juga dengan Hulagu Khan yang terpaksa pulang ke Mongolia bersama sebahagian besar tenteranya untuk memilih Khan Agung dalam persidangan kurultai.

Dengan pemergian Hulagu, tentera Mamluk di Mesir dengan sokongan sumber keperluan dan senjata dari Berke Khan, akhirnya berjaya memus.nahkan ancaman tentera Mongol yang ditinggalkan Hulagu dalam Pertem.puran Ain Jalut yang terkenal.

Apabila Hulagu kembali pada tahun 1261, Berke telah pun bersekutu dengan Mamluk, dan dia mula memprovokasi Hulagu hingga pe.ran.g saudara tercetus di antara mereka pada tahun 1262 (pe.ran.g Berke-Hulagu).

Tanpa mereka sedari, pe.ran.g ini secara teknikalnya telah menghentikan perkembangan kuasa Mongol secara kekal di Timur Tengah.

Arca Hulagu Khan

Sebagaimana kebiasaan adat orang Mongol, semasa dalam keadaan damai, mereka harus menumpukam perhatian terhadap pentadbiran dan ekonomi.

Zaman ini digelar sebagai Pax-Mongolica di mana Empayar Mongol mula berpecah kepada beberapa negeri yang berbeza walaupun masih di bawah kuasa keturunan Genghis Khan yang sama.

Sepanjang tempoh ini, mereka mula menerapkan dasar yang lebih terbuka, membekalkan jaminan keselamatan terhadap para pedagang di Jalan Sutera, meraikan kepelbagaian adat, budaya bangsa, dan bertoleransi terhadap kepercayaan agama yang berbeza.

Akhirnya seiring berlalunya masa, Ghazan Khan yang merupakan anak Hulagu Khan juga telah memeluk Islam pada tahun 1295 namun lebih atas dasar kepentingan politik dan budaya.

 

Matawang yang dikeluarkan di Ilkhanid era Ghazan.

Dia sering berpe.ran.g dengan Mamluk, dan sebahagian besar rakyatnya sendiri adalah beragama Islam, jadi kemungkinan dasar politik telah memainkan  peranan besar dalam penghijrahan Ghazan yang kemudian menambah namanya menjadi Mahmud Ghazan. Walau bagaimanapun, tindakannya mempengaruhi ramai populasi di Ilkhanid untuk memeluk agama Islam sejak saat itu.

Di Ulus Jochi, di sepanjang pemerintahan Berke Khan, walaupun Berke beragama Islam, namun tidak pada dasar pemerintahan di Ulus Jochi kerana kerajaan itu kekal berpegang kepada prinsip sistem sekular yang ditinggalkan Genghis Khan.

Sehinggalah Oz-Beg Khan, seorang pemimpin Mongol yang beragama Islam, menaiki takhta di Ulus Jochi pada tahun 1313 bertindak mengangkat agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Jadi, kita hanya tinggal Kekhanan Chagatai saja, yang sempadannya meliputi sekitar 5 buah republik di Asia Tengah hari ini atau tiga buah rantau besar di seluruh Asia moden.

Kekhanan Chagatai awalnya mempunyai seorang pemerintah bernama Mubarak Khan yang memeluk Islam seawal tahun 1256, tetapi kemudian dia akan meninggalkan Islam dan kembali kepada kepercayaannya yang asal.

Sehinggalah Tarmashirin Khan pada tahun 1331 berusaha membawa Kekhanan Chagatai kembali ke landasan Islam. Dia pada dasarnya akan dibu.nuh kerana cita-cita jihadnya ini, dan menyebabkan

Kekhanan Chagatai runtuh tidak lama kemudian. Akhirnya Amir Timur yang menubuhkan Empayar Timuriyyah mengambil alih wilayah tinggalan Chagatai ini. Namun, kerana keke.jamannya walau terhadap sesama Muslim, sejarawan barat menganggap Amir Timur sebagai rupa Genghis Khan sekiranya memeluk Islam.

Amir Temur dan Ibnu Khaldun.

Dan dari sinilah bermulanya kebangkitan kuasa-kuasa hibrid hasil pertembungan Turki, Parsi dan Mongol. Beberapa kuasa baru mula muncul di sekitar Asia Tengah, Asia Selatan (sub-benua India), Asia Barat dan Asia Kecil.

Semuanya adalah kuasa-kuasa Islam, bermula dari Empayar Uthmaniyah, Kesultanan Mamluk, Kekhanan Crimea-Tatar, Empayar Mughal, Kekhanan Kazakh, dan banyak lagi bakal menyusul arus zaman.

RUJUKAN:

Jackson, Peter. (2017). The Mongols and the Islamic World: From Con.quest to Conversion. Yale University Press.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.