Sementara Amerika Syarikat dan Eropah bergelut dengan krisis Great Depression dan gelisah memerhatikan kebangkitan fahaman fascisme, di sebelah timur pula situasinya juga semakin genting. Jepun sudah menabur benih kekacauan di China pada awal dekad 30-an dan pada tahun 1937, menyerang China sekaligus menandakan bermulanya Perang China-Jepun Kedua. Pada musim luruh tahun tersebut, mereka terus mara sambil melancarkan tindakan keganasan ke atas penduduk setempat seperti menjarah, membunuh dan merogol kaum wanita. Tetapi tahukah anda, pada musim tersebut juga menyaksikan satu insiden berdarah iaitu tenggelamnya kapal USS Panay di mana ia hampir mendorong Amerika Syarikat berperang dengan Jepun, lebih awal sebelum peristiwa Pearl Harbor pada Disember 1941?

Pada 21 November 1937, tentera Jepun semakin menghampiri bandar Nanking dan ini mendorong Chiang Kai-Shek untuk memberitahu diplomat Barat terutama duta Amerika Syarikat, Nelson T. Johnson untuk meninggalkan bandar tersebut. Sehari selepas itu, Johnson bersama kakitangan kedutaan Amerika berjaya dibawa keluar dengan kapal penembak USS Luzon. Sementara Kai-Shek, isteri dan anggota kabinetnya meninggalkan Nanking pada 8 Disember. Sebaik tentera Jepun masuk ke Nanking, mereka membunuh, menjarah, membakar dan merogol di mana penduduk diburu seperti arnab. Rekod menganggarkan 20,000 lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki dijadikan bahan latihan tikaman bayonet. Dan bagi memperlihatkan kekejaman tentera ini, mereka turut mengeluarkan arahan menembak semua bot dan kapal di Sungai Yangtze bagi memudahkan operasi tentera Jepun di situ. Arahan ini dikeluarkan oleh ketua pasukan artileri sepanjang Sungai Yangtze, Kolonel Kingoro Hashimoto.

Figure 1: Kolonel Kingoro Hashimoto

Bagi negara Barat terutama Amerika Syarikat, mereka mempunyai sebab kukuh untuk risau tindakan Jepun. Ini kerana sepanjang tahun 1930-1937 saja, mereka menerima banyak laporan pihak Jepun mengebom gereja, hospital, sekolah dan universiti yang dikendalikan pihak Barat walaupun sudah dinyatakan tanda kerakyatan mereka. Pihak Jepun turut tidak teragak-agak membunuh mubaligh-mubaligh Barat dan seluruh ahli keluarga mereka. Duta Amerika Syarikat ke Jepun, John C. Grew menyifatkan serangan tersebut sengaja dirancang dan membantah tindakan mereka itu.

Peluang untuk warga Barat melarikan diri sebenarnya masih ada iaitu kehadiran kapal-kapal penembak Amerika Syarikat dan Britain. Kehadiran kapal-kapal ini sebenarnya petunjuk kepada pembabitan Amerika Syarikat terutama tentera laut mereka di China selama satu abad. Buktinya pada tahun 1832, Presiden Andrew Jackson menghantar sebuah kapal frigat iaitu USS Potomac untuk meronda Sungai Yangtze bagi menangani ancaman lanun di situ. Kapal tersebut diketuai oleh Kapten Lawrence Kearny, seorang veteran dalam soal membanteras aktiviti lanun di Carribean dan Mediterranean.

10 tahun selepas itu, Kearny berlayar dari Boston ke Macau dan Canton (Shanghai) dengan kapal frigat USS Constellation pada Mac 1842 dan membentuk hubungan baik dengan pegawai-pegawai China. Pada tahun 1854, kapal USS Ashuelot merupakan kapal pertama untuk membuat rondaan di Sungai Yangtze. Ini disusuli pula pemeteraian Perjanjian China-Amerika 1858 di mana ia memberi hak kepada kapal perang Amerika untuk melalui sungai-sungai China dan melawat semua pelabuhannya. China menjadi semakin penting terutama selepas Amerika menang dalam Perang Sepanyol-Amerika pada tahun 1896 dan kehadiran unit tentera laut mereka semasa peristiwa Pemberontakan Boxer 1899. Selepas Perang Dunia Pertama (WWI), Amerika mengukuhkan kehadiran mereka dengan enam buah kapal di sungai tersebut iaitu USS Guam, USS Luzon, USS Mindanao, USS Oahu, USS Tutuila dan USS Panay.

Melihat situasi semakin genting terutama di Shanghai, Presiden ketika itu, Franklin Delano Roosevelt meminta rakyat Amerika di China meninggalkan negara tersebut secepat mungkin demi keselamatan mereka. Sekiranya berlaku kemusnahan atau kerosakan pada kediaman atau harta benda mereka, Washington akan meminta ganti rugi melalui saluran diplomatik dan enggan memilih jalan perang. Namun seorang lelaki memilih untuk melanggar arahan Roosevelt dan mengarahkan armadanya digerakkan ke China untuk membawa keluar rakyat Barat yang terperangkap. Lelaki tersebut ialah Laksamana Harry E. Yarnell dan beliau berbuat demikian atas sebab menjadi tugas tentera terutama tentera laut untuk membawa mereka keluar. Roosevelt tidak memarahi Yarnell dan bersetuju dengan tindakannya, satu tindakan yang popular dalam kalangan orang ramai.

Figure 2: Laksamana Harry E. Yarnell

Namun apa yang diharapkan Roosevelt agar tiada insiden di situ hancur berkecai. Pada 12 Disember, artileri Hshimoto membedil kapal HMS Ladybird yang mengorbankan seorang kelasi dan mencederakan beberapa orang. Sementara itu, serangan udara Jepun gagal mengenai dua lagi kapal Britain iaitu HMS Cricket dan HMS Scarab yang mengiringi konvoi kapal dagang yang membawa pelarian termasuk warga Amerika. Bimbang dengan insiden tersebut, Johnson menghantar satu telegram kepada Jabatan Negara untuk mendesak serangan ke atas kapal-kapal awam oleh Jepun dihentikan. Sekiranya serangan tersebut diteruskan, Johnson bimbang ia akan membawa tragedi. Pada pagi sama, Yarnell mengarahkan kapal USS Panay segera bergerak meninggalkan Yangtze.

Pada lapan pagi hari sebelumnya, USS Panay yang dinaiki Johnson, pegawai-pegawai kedutaan dan orang awam memulakan perjalanan lima batu mereka di mana kapal tersebut mengiringi kapal syarikat Standard Oil iaitu Mei Hsia, Mei Ping dan Mei An diikuti oleh beberapa kapal Britain lain. Walaupun dibedil bertubi-tubi oleh pasukan artileri, tembakan mereka banyak tidak mengenai sasaran membolehkan flotila bergerak tanpa perlu risau terkena bedilan artileri mereka. Namun semua itu berubah apabila Jepun menggerakkan 24 pesawat pengebom dan penggempur untuk menyerang flotila tersebut kerana menyangka flotila tersebut membawa pelarian keluar dari Nanking. Pada 1.37 petang, tiga pesawat pengebom Aichi D142 ‘Susie’ menggugurkan 18 bom ke atas flotila tersebut, satu daripadanya mengenai USS Panay.

Serangan pertama mengakibatkan kerosakan pada bilik kemudi, bilik enjin, bilik rawatan dan bilik radio. Kapten kapal tersebut, Komander James J. Hughes tercampak dari bilik kemudi semasa serangan pertama berlaku. Apabila beliau sedar dan melihat kerosakan tersebut, sedar serangan telah bermula. Ini disusuli pula serangan kedua di mana 12 pesawat Jepun menembak kapal tersebut tanpa henti. Krew USS Panay cuba membalas serangan tetapi tembakan mesingan mereka tidak mengenai sasaran. Di sebalik cubaan mereka, USS Panay tidak dapat bergerak ke mana-mana kerana saluran minyaknya terputus sekaligus menyebabkan tiada stim untuk mengepam air atau membawanya keluar.

Di sebalik cubaan berani ini, krew kapal tahu USS Panay tidak akan bertahan lama. Ini disusuli cubaan pihak Jepun mengebom kapal-kapal Standard Oil tetapi tidak mengenai sasaran. Krew kapal Mei Ping membantu krew kapal China memadamkan kebakaran dan menggerakkan kapal mereka dari lingkungan sasaran pihak Jepun. Sementara krew kapal Mei Hsia pula membawa krew USS Panay keluar dan meninggalkan kapal tersebut walaupun Hughes dan krew bimbang kapal tersebut menjadi sasaran mudah tentera Jepun. Namun usaha pemindahan tersebut berjaya dan kapal tersebut karam pada jam 3.45 petang. Ketiga-tiga kapal Standard Oil berjaya berlabuh dengan kapal Mei Hsia dan Mei Ping diikat pada satu pontun di sebelah selatan sungai sementara kapal Mei An berlabuh di tebing utara.

Untuk jam-jam berikutnya, mangsa-mangsa yang terselamat bersembunyi di sebalik rumput-rumput mensiang yang panjang dan kawasan berlumpur di tebing sungai untuk mengelak ditembak pesawat-pesawat Jepun. Berikutan kecederaan yang dialami Hughes, Kapten Frank Roberts, seorang pembantu atase tentera dilantik untuk mengetuai mangsa-mangsa terselamat. Pengetahuannya dalam Bahasa Mandarin dan situasi yang dihadapi banyak membantu mereka. Untuk dua hari berikutnya, mereka terpaksa melarikan diri melalui kawasan paya, terusan dan laluan pejalan kaki untuk lari dari kawasan sungai. Dengan bantuan penduduk tempatan, mereka tiba di perkampungan Hoshien dan dibawa naik ke atas kapal USS Oahu dan HMS Ladybird. Berdasarkan rekod, USS Panay merupakan kapal Amerika pertama dimusnahkan pihak musuh di Sungai Yangtze. Dua krew dan seorang penumpang awam terbunuh sementara 43 lagi cedera termasuk 11 orang krew.

Kemusnahan USS Panay dan kapal Britain iaitu HMS Bee dan HMS Ladybird serta serangan ke atas kapal USS Tutuila di Chungking menjadi tajuk hadapan akhbar-akhbar Amerika dan Britain. Ramai berang dengan insiden tersebut dengan Grew menyifatkan Washington akan mengisytiharkan perang ke atas Tokyo berdasarkan insiden serangan Sepanyol ke atas kapal USS Maine di pelabuhan Havana pada 15 Februari 1898. Peristiwa tersebut membawa kepada tercetusnya Perang Sepanyol-Amerika Syarikat. Kerajaan dan masyarakat Jepun sendiri terpukul dengan insiden tersebut namun masyarakat antarabangsa gagal bertindak sebaiknya untuk mengelak insiden tersebut berulang. Di Tokyo sendiri, Perdana Menteri, Putera Fumimaro Konoye terkejut dengan insiden tersebut. Sementara Menteri Luar, Kiki Hirota menyuarakan kekesalannya dan bersedia menghulurkan pampasan dari pihak Jepun kepada Washington berkenaan kemusnahan USS Panay.

Figure 3: Selain kapal USS Panay, kapal Britain HMS Ladybird turut menjadi serangan semberono tentera Jepun di Yangtze.

Tentera Laut Jepun yang berang dengan insiden tersebut segera membuang komander kapal pengangkut Kaga. Laksamana Tentera Laut, Isoroku Yamamoto turut memberitahu Hashimoto juga telah direhatkan dari posisinya. Yamamoto tahu akan kekuatan tentera Amerika terutama angkatan tentera lautnya dan menyifatkan tindakan sesetengah individu yang semberono ini akan mengundang bencana kepada Tokyo. Selepas satu siasatan rasmi dijalankan beliau, Tokyo memohon maaf dan bagi Grew, ia satu perkara yang melegakan. Namun dalam diarinya, beliau menulis, “Aku tidak boleh memandang masa depan dengan perasaan tenang.”

Susulan insiden tersebut, Roosevelt bermesyuarat dengan kabinetnya dengan tiga anggota mendesak beliau mengisytiharkan perang ke atas Jepun. Mereka ialah Naib Presiden, John Nance Garner, Setiausaha Dalam Negeri, Harold Ickes dan Setiausaha Tentera Laut, Claude Swanson. Namun sentimen mereka tidak dikongsi oleh Roosevelt atas alasan tentera laut masih belum bersedia. Sentimen beliau turut dikongsi oleh Senator Arizona, Harry Ashurst dan Senator Minnesota, Henrik Shipstead. Mereka menyifatkan tindakan tersebut tidak akan disokong di Kongres dan Senat. Shipstead turut berpandangan sudah tiba masanya tentera Amerika di China dikeluarkan dengan segera.

Roosevelt mengarahkan Setiausaha Negara, Cordell Hull mendapatkan permohonan maaf Tokyo, mendapatkan pampasan sepatutnya dan jaminan serangan di Sungai Yangtze tidak berulang. Dan sekiranya Jepun gagal berbuat demikian, Setiausaha Perbendaharaan, Henry Morgenthau Jr merampas semua aset mereka di Amerika dan merancang sekatan ekonomi ke atas Tokyo. Mahu memastikan sekatan tersebut dapat dilaksanakan, Roosevelt bertemu dengan duta Britain ke Washington, Sir Ronald Lindsay berkenaan hasratnya itu. Lindsay menyatakan tindakan tersebut boleh membawa kepada perang tetapi dalam satu mesejnya kepada London, kerisauannya itu tidak dikongsi oleh Roosevelt. Tentera Laut Britain menyokong pelan tersebut dan pada 17 Disember, Roosevelt memberi taklimat kepada kabinet berkenaan rancangannya itu. Pendirian beliau turut disokong oleh satu laporan dibuat Yarnell. Dalam laporan tersebut, Yarnell menyifatkan serangan ke atas USS Panay sebagai semberono dan kejam. Ini ditambah dengan pendedahan laporan perisikan bahawa serangan tersebut telah dirancang oleh seorang pegawai dari kapal pengangkut Kaga.

Hirota dalam reaksinya memberi jaminan serangan ke atas USS Panay tidak akan berulang dan arahan telah dikeluarkan bagi menjamin keselamatan kapal-kapal Amerika di perairan China. Beliau turut menyatakan komander yang terlibat telah dibuang. Ini disokong oleh laporan siasatan Jepun yang menyimpulkan serangan tersebut satu kemalangan di mana kapal-kapal Britain dan Amerika disangka kapal-kapal China. Juruterbang-juruterbang tentera laut menyangka kapal-kapal tersebut membawa lari pelarian ke bahagian hulu sungai tersebut. Bagi mengelak situasi perang, pihak Amerika menerima teori tersebut dengan pampasan oleh pihak Jepun. Permohonan maaf ini tiba di Washington pada 24 Disember dan diterima secara rasmi pada hari Krismas 1937. Perdana Menteri Britain, Neville Chamberlain turut menerima permohonan maaf Tokyo berkenaan kemusnahan kapal HMS Ladybird. Jepun turut memberi pampasan lebih dua juta dolar kepada pihak Amerika berikutan insiden tersebut. Bagi kelompok penyokong dasar pemencilan, inilah peluang terbaik untuk menggesa Washington berundur dari China dengan satu kaji selidik menunjukkan 70% responden berpandangan Washington seharusnya berbuat demikian.

Walaupun Jepun sudah memohon maaf dan membayar pampasan tetapi Tokyo masih belum serik. Putera Konoye dan Maharaja Hirohito masih tidak menunjukkan rasa kesal. Sementara bagi Hashimoto pula, pihak tentera tidak memberi amaran kepadanya, sebaliknya menganugerahkan pingat Kinshi Kinsho kepadanya tujuh minggu selepas serangan ke atas Pearl Harbor. Konoye mengecam pendirian kerajaan China terhadap kemaraan tentera Jepun dan serangan mereka diteruskan di Canton, Wuchang, Hankow dan Hanyang. Sementara Amerika dan kuasa-kuasa Eropah berlembut dengan Adolf Hitler untuk mengelak perang meletus di sana, situasi di Timur Jauh semakin genting. Sedar perang merupakan satu-satunya jalan keluar, Britain dan Amerika Syarikat menandatangani satu perjanjian rahsia iaitu menggerakkan armada mereka, masing-masing di Pearl Harbor dan Singapura sekiranya Jepun mara ke selatan. Pada Mac 1938, Ahli Kongres Georgia, Carl Vinson mengusulkan pertambahan dana tentera laut sebanyak 20% dalam tempoh 10 tahun. Tujuan usul ini dibuat bagi memantapkan semula tentera laut sebagai persediaan perang secara rahsia.

Figure 4: Konoye masih tidak serik walaupun merasa malu dengan insiden serangan USS Panay.

Sepanjang musim bunga dan musim panas 1938, pihak perisikan mendapat laporan kuasa-kuasa Axis iaitu Jepun, Jerman dan Itali sedang membina kekuatan tentera mereka tetapi tidak mensasarkan Amerika Syarikat. Namun satu laporan dari Tokyo agak membimbangkan walaupun nampak biasa. Dalam laporan bertarikh 13 April, Jepun tidak membina kapal pemusnah besar dan tiada hasrat sebenar. Namun hakikatnya, Jepun sudah mengarahkan pembinaan kapal pemusnah super Yamato yang sedang dibina sejak tahun 1937 sementara kapal Musashi sudah dimulakan pembinaannya pada tahun 1938. Dalam laporan sama, seorang pegawai tentera laut Jepun menyifatkan buat masa ini belum ada keperluan untuk berperang dengan Amerika. Namun, sekiranya ia berlaku di mana Jepun berhadapan dengan Amerika di Pasifik, pasti kemenangan memihak kepada mereka. Sementara laporan pada bulan Jun pula menyatakan selepas Jepun mengukuhkan kedudukannya di China, konflik dengan Amerika Syarikat sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Sementara itu, pada April 1938, dalam satu permainan perang di Pearl Harbor, Laksamana Madya Ernest J. King mengulangi kejayaan Yarnell dalam permainan perang sebelumnya pada tahun 1932 iaitu menyerang Pearl Harbor. King menggunakan cuaca buruk sebagai samaran untuk pesawatnya menyerang dari kapal pengangkut USS Saratoga. Selepas sesi tersebut selesai, para hakim yang menilai menyimpulkan sekiranya serangan ini benar-benar berlaku, ia pasti akan memberi tamparan hebat kepada tentera laut. Namun, tidak ramai yang mengambil berat penilaian ini dan menganggap ia hanya satu senario sahaja.

Senarai jenayah perang Jepun di China yang semakin panjang mendorong Roosevelt menggesa sekatan dikenakan ke atas Jepun. Dan pada Julai 1938 apabila pesawat-pesawat Jepun mengebom Canton, sekatan pembelian senjata dikenakan ke atas Tokyo. Hull menghantar surat ke Tokyo sebagai bantahan kepada tindakan Jepun di China. Putera Konoye memberi reaksi dengan menyatakan orde baru di Asia Timur di mana Tokyo mahu mengukuhkan dominasi mereka di China dan Manchuria tanpa mengira hak orang lain. Hubungan Timur-Barat semakin tegang dan tiga tahun selepas itu, serangan ke atas Pearl Harbor berlaku sekaligus mengheret Washington ke kancah Perang Dunia Kedua (WWII).

SUMBER

National Interest. (2017). The Forgotten Story of How America and Japan Almost Went to War (before Pearl Harbor). http://nationalinterest.org/blog/the-buzz/the-nearly-forgotten-story-how-america-japan-almost-went-war-23301?page=5


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply