Semenjak penjajahan British bermula, orang Asli Australia telah mengalami mala petaka yang tidak pernah dialami mereka sebelum ini. Mereka telah dijangkiti penyakit yang membawa kem4tian. Mereka telah dihalau keluar daripada tanah mereka dan ada yang telah dib4nuh.

Setelah British berjaya menguasai Australia sebagai koloni baru mereka, pemerintah-pemerintah koloni mula menjalankan dasar asimilasi ke atas warga pribumi Australia sebagai satu langkah meneguhkan cengkaman kekuasaan mereka. Bagi Australia Barat, ia menjadi koloni pada pertengahan abad ke-19 dan mula berkerajaan sendiri menjelang penghujung abad yang sama.

Sehubungan itu, dua hari sebelum hari Natal pada tahun 1905, Australia Barat telah meluluskan Akta Orang Asli 1905. Akta ini yang akan mengubah lanskap sejarah Australia dan menjadi suatu mimpi buruk di dalam sejarah Australia Moden.

Akta ini telah mewujudkan sebuah jawatan baru yang dipanggil Ketua Pelindung (Chief Protector). Ketua Pelindung ini ditugaskan menjadi penjaga sah setiap kanak-kanak orang Asli Australia dan juga anak kacukan Orang Asli-Eropah (half-caste) berumur bawah 16 tahun. Selain itu, mereka mempunyai kuasa untuk memindahkan mana-mana anak orang Asli ke mana-mana daerah yang beliau kehendaki.

Beliau juga boleh menyingkirkan mana-mana orang Asli ke mana-mana tanah yang dikhususkan, institusi berkenaan dan tempat keagamaan. Semua tempat penyingkiran ini terletak di hujung bandar dan mereka yang tinggal di sini tidak mempunyai kemudahan asas air bersih, tempat perlindungan dan tempat bersuci.

Malah beliau bertanggungjawab menetapkan pendidikan bagi anak-anak orang Asli di mana sebelum ini, urusan pendidikan terletak di bahu Jabatan Pendidikan. Bagi memastikan keturunan orang Asli ‘dipelihara’, beliau akan memantau sebarang perkahwinan di antara orang Asli dan orang putih Eropah. Perkahwinan tersebut hanya diluluskan jika mendapat kebenaran daripada beliau namun ramai yang dihalang dan ada yang dipisahkan.

Anak Kacuk (Half-Caste)

Ketua Pelindung bernama Auber Octavius Nevile memulakan tugas beliau pada tahun 1915 sehinggalah beliau bersara pada tahun 1940. Beliau terkenal sebagai seorang yang kejam dan para sejarawan menyifatkan beliau sebagai seorang birokrat yang patuh di dalam melaksanakan semua undang-undang yang termaktub.

Penempatan Sungai Moore

Ketika beliau bertugas, beliau telah membuka dua penempatan yang dikenali sebagai Penempatan Pribumi Sungai Moore (1918) dan Sister’s Kate (1936). Penempatan Sungai Moore yang terletak di utara Perth menyaksikan orang Asli hanya tinggal di dalam bangsal timah putih dan khemah-khemah pada awalnya sebelum sebuah asrama.

Kini, ia mendapat perhatian dunia sebagai tempat tiga kanak-kanak perempuan suku Jigalong menetap setelah dirampas daripada keluarganya pada tahun 1931. Mereka telah berjaya melarikan diri dan berjalan sejauh 1000km mengikut pagar penghalang arnab untuk sampai ke rumah mereka.

Penempatan Sister’s Kate

Tahun 1936 menyaksikan kuasa Auber bertambah luas apabila beberapa pindaan Akta 1905 telah dibuat. Pindaan itu menjadikan anak kacukan suku turut berada di bawah jagaan Ketua Pelindung. Justeru itu, Institusi Sister’s Kate telah ditubuhkan bagi menjaga anak-anak yang hanya mempunyai sama ada atuk atau nenek mereka berketurunan orang Asli. Pada pandangan orang putih Australia, golongan ini lebih mudah untuk diasimilasikan dengan masyarakat bukan orang Asli.

Atas dasar ‘perlindungan’, para majikan turut diheret bersama. Mereka tidak dibenarkan menggajikan sesiapa melainkan mereka telah meminta surat keizinan daripada pasukan konstabel tempatan. Penghalangan ini membantu usaha Australia Barat memastikan orang Asli kekal di bawah garis kemiskinan.

Pada tahun 1944, sebuah akta lain telah diluluskan bagi membenarkan sesetengah orang Asli Australia yang berkhidmat sebagai tentera dan yang bekerja mendapat peluang untuk memohon kewarganegaraan. Tetapi dengan syarat mereka akan memutuskan semua pertalian dengan keluarga mereka.

Sebuah siasatan besar telah dijalankan pada tahun 1947 bagi membongkar keadaan kehidupan orang Asli di setiap ceruk Australia Barat. Siasatan ini turut menyokong pemberhentian langkah-langkah perlindungan tersebut dan diganti dengan dasar jangka panjang yang bersifat kebajikan positif dan akan menjadi permulaan kepada dasar-dasar asimilasi terkemudian.

Akta Pentadbiran Pribumi telah diluluskan pada tahun 1954 di mana ia membatalkan sesetengah, bukan semua, aspek diskriminasi di dalam akta 1905 dan 1936. Namun begitu, hanya pada tahun 1997, satu istilah baru telah dicipta iaitu Keturunan Dirampas (Stolen Generation). Istilah ini memerikan insan-insan yang terkesan dengan dasar yang serupa di seluruh Australia.

Sir Ronald Wilson, Hakim Mahkamah Tinggi

Sir Ronald Wilson, bekas Hakim Mahkamah Tinggi dan Presiden Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Hak Samarata, telah mengetuai siasatan dari tahun 1990 hinggalah tahun 1997 ke atas kes-kes pemisahan anak orang Asli daripada keluarga mereka. Beliau telah menghasilkan laporan berkenaan Keturunan Dirampas ini yang bertajuk ‘Bring Them Home’ pada tahun 1997. Kini, setelah bersara, beliau terus menggesa supaya cadangan-cadangan yang telah dikemukakan di dalam laporan tersebut dilaksanakan dengan tuntasnya.

Setelah dua dekad berlalu semenjak penerbitan laporan di atas, orang Asli Australia masih dikesampingkan di dalam banyak sektor seperti kesihatan, pendidikan dan pekerjaan. Mereka tidak mendapat pengiktirafan secukupnya di dalam Australia.

Kesihatan mereka berada di paras yang rendah. Masalah perilaku berleluasa di kalangan mereka ekoran cengkaman kemiskinan dan di bawah pengaruh arak yang merosakkan lagi kesihatan mereka. Para aktivis daripada kalangan mereka sedang berusaha kuat melobi kerajaan bagi mendapatkan layanan setimpalnya dan merapatkan jurang yang ada di antara orang Asli Australia dan bukan orang Asli Australia. Perjuangan mereka masih jauh.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Dilahirkan di Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan di dalam bidang perubatan di RCSI, Ireland, dan PMC(RUMC), Pulau Pinang. Kini, sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang Kesihatan Awam. Seorang yang meminati hal-ehwal sejarah, falsafah, geopolitik dan bahasa. Cenderung kepada Gagasan Islamisasi Ilmu oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Mempunyai pengalaman dalam menerjemah buku dan sedang mempelajari bahasa Rusia dan Mandarin. Bercita-cita untuk menjadi seorang polymath dan polyglot.

Comments are closed.