Waktu pagi ketika sedang bersiap-siap untuk bekerja adalah waktu kegemaran saya untuk mendengar syarahan atau pada masa sekarang kita gelar sebagai ‘podcast’. Kebiasaannya saya hanya membuka aplikasi Youtube dan membiarkannya tanpa menonton pun, cukup sekadar mendengar kata-kata dalam video tersebut.

Tema yang saya cenderung untuk dengari biasanya motivasi untuk berjaya dan ceramah pemikiran Islam. Sekarang ini saya suka mendengar ceramah oleh ustaz Nouman Ali dan Dr Yasir Qadhi kerana saya suka bagaimana mereka menerangkan ayat al-Qur’an dan hadis.

Jika sebelum ini saya membaca ayat tersebut dan terjemahannya yang kelihatan agak kabur dan begitu umum, tetapi apabila mereka menerangkannya barulah ada kefahaman yang sedikit pada saya. Saya pernah teringat pada satu ceramah Dr Zulkifli, Mufti Wilayah Persekutuan, mengenai waktu pagi yang punyai keberkatan tersendiri.

Mungkin itulah berkatnya apabila kita mendengar ilmu baru, kefahaman kita semakin kukuh disebabkan minda kita tangkas menangkap isi-isi syarahan berkat kepada waktu pagi.

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ ‏.‏ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلاً تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ. ‏‏

Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar briged tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan)

(Riwayat Abu Daud)

Daripada hadis ini jelas menunjukkan adanya keberkatan dan kedudukan istimewa waktu pagi dalam kehidupan rutin seorang Muslim. Sekalipun bagi golongan bukan Islam pun, kebanyakan orang-orang yang berjaya dan pakar motivasi seringkali menyebutkan pentingnya masa di pagi hari.

Para pembaca boleh sahaja google berkenaan rutin orang berjaya, pasti akan berikan keputusan mengenai amalan pada pagi hari. Contohnya seperti tulisan dalam laman web Forbes oleh Paloma Cantero Gomez, beliau turut menggariskan aktiviti yang boleh kita praktiskan pada waktu pagi seperti bangun awal, bersenam, bersarapan bersama keluarga dan menyapa orang lain.

Ujian Allah Bukanlah Hukuman Untuk Kita

Baiklah, hendak dijadikan cerita, pada satu hari sewaktu sedang bersiap dan mendengar syarahan dari ustaz Nouman Ali, beliau memberi penerangan tentang salah faham kebanyakan orang yang menyangka bahawa apabila mereka diberikan ujian mereka menganggap Allah tidak menyayangi mereka dan akhirnya itu menyebabkan mereka cenderung untuk berputus asa.

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ . وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّـهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.”

(Surah al-Ankabut 29: 2-3)

Sedangkan Allah telah pun memberi peringatakan kepada kita bahawa kita tidak akan terlepas daripada ujian. Kita tidak boleh anggap kita tidak akan dikenakan ujian hanya kerana kita berkata bahawa kita telah pun beriman kepada Allah. Hanya kerana kita kata kita sudah beriman tidak menjadikan kita istimewa daripada orang lain di dunia, kerana hidup ini sendiri adalah medan perjuangan menghadapi ujian dari-Nya.

Semua orang boleh kata macam-macam dan mendakwa itu ini tetapi sejauh mana kata-kata itu boleh dizahirkan apabila turunnya ujian Allah terhadap mereka. Manisnya sebuah kejayaan dalam hidup adalah apabila kita jatuh dan bangkit kembali. Namun perlu diingatkan bahawa tidak semua orang mendapat ujian yang sama, malah amat berbeza-beza. Ada yang diuji dengan musuh, wang dan harta, hubungan keluarga, dan kesihatan. Daripada ujian-ujian itulah menentukan siapa yang benar-benar beriman dan siapakah yang berdusta.

Jika kita sering mendengar cerita-cerita daripada para pendakwah, pasti ada mereka menceritakan tentang bab ini. Salah satunya, saya teringat pada ceramah ustaz Ebit Lew yang mana beliau cerita ada seseorang yang mempersoalkan tentang kewujudan Allah dan mengatakan jika Allah ada, mengapa diciptakan manusia yang sangat teruk hidupnya.

Seperti pengemis yang terpaksa tidur di bawah jambatan Bersama tikus, atau gelandangan wanita yang terpaksa menjual maruah diri demi sesuap nasi. Jadi si penyoal tadi menyimpulkan bahawa Tuhan itu tidak ada, dan jika ada sekalipun, Tuhan itu sifatnya tidak adil.

Jujurnya saya lupa apa jawapan ustaz Ebit Lew. Tapi ini mengingatkan saya kepada hadis bagaimana seorang pelacur yang masuk ke syurga disebabkan amal beliau memberi minum kepada anjing.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ” غُفِرَ لاِمْرَأَةٍ مُومِسَةٍ مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِيٍّ يَلْهَثُ، قَالَ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ، فَنَزَعَتْ خُفَّهَا، فَأَوْثَقَتْهُ بِخِمَارِهَا، فَنَزَعَتْ لَهُ مِنَ الْمَاءِ، فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ “.

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Seorang wanita pelacur diampuni oleh Allah. Wanita itu lalu berhampiran seekor anjing di sebuah perigi. Anjing itu hampir mati kerana kelaparan. Lalu wanita itu menanggalkan seliparnya, kemudian mengikatnya dengan tudung kepalanya, lalu mengambil air untuk anjing tersebut. Wanita itu diampuni kerana hal tersebut.

(Riwayat Bukhari)

Terdapat juga hadis seakan sama tetapi kisah tentang seorang lelaki pula, yang juga memberi minum kepada seekor anjing lalu dimasukkan ke dalam syurga. Apa yang saya boleh simpulkan daripada persoalan penyoal kepada ustaz Ebit Lew itu adalah setiap dari kita mempunyai ujian yang masing-masingnya berbeza mengikut kudrat, emosi dan personaliti diri kita. Tetapi dengan ujian itulah kita tetap bersyukur kepada Allah dan berbuat baik kepada sesama makhluk.

Kita tidak boleh bersikap putus asa lalu menganggap “Ah, aku ini memang teruk. Tak guna pun jika buat baik”. Vlogger wanita terkenal, Aida Azlin, dalam salah satu vlognya ada bercakap tentang berbuat baik. Beliau kata, perkataan humankind (manusia) punyai perkataan kind (baik) di belakang, dan itu membuatkan beliau berasa teruja dengan hal begitu.

Jadi, apa jua musibah kita hadapi bukanlah untuk menghukum kita atau Allah tidak sayangkan kita. Bahkan itulah jalan untuk kita mengubah perspektif dan berfikir lebih mendalam akan hal-hal dalam hidup kita, adakah kita bertindak mengikut redha Allah atau memilih telunjuk godaan syaitan.

Media Sosial Tidak Memberi Gambaran Sebenar Kehidupan

Ketika saya menulis ini, muncul isu seorang selebriti yang telah ditegur secara terbuka oleh angkasawan negara mengenai adab bersikap dengan anak kecil yang masih bayi. Syeikh Muzaffar menegur kerana ingin mengingatkan kepada orang awam supaya tidak meniru aksi itu yang boleh memberi risiko lutut menjadi bengkok dan tekanan padanya.

Isu tersebut mendapat ramai reaksi daripada orang awam, ada yang menyambut baik teguran tersebut dan tidak kurang ada juga yang komen supaya jangan menyibuk hal orang lain. Begitulah dunia media sosial yang sedikit sebanyak menjadi sebahagian daripada gaya hidup harian kita.

Jenn Hardy, seorang psikologis bertauliah di Amerika Syarikat, berkata “we are more pack animal than lone wolf”, apabila membicarakan tentang sifat kita yang bergaul dan bersosial dengan orang lain. Ya, itu adalah normal untuk manusia saling bersosial sesama sendiri. Tetapi sesetengah dari kita tidak hanya terhenti di situ. Ada antara kita yang gemar membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain, lebih teruk lagi terhadap orang yang tidak dikenali di dalam media sosial.

Kita skrol paparan, melihat betapa indahnya hidup orang lain. Pelbagai senyuman manis, rumah yang kemas dan luas, perabot yang cantik, makanan yang segar dimasak sendiri, percutian ke tempat-tempat menarik, dan pasangan yang baik-baik. Lalu kita mula merasakan diri kita sangat bertentangan dengan apa yang dipaparkan itu, lalu berasa kecewa mengapa kita tidak ‘bahagia’ seperti orang lain.

Ini disebut sebagai teori perbandingan sosial yang telah dikemukakan oleh Leon Festinger, psikologis sosial yang berasal dari Amerika Syarikat. Teori ini mengetengahkan bagaimana kita menilai diri kita berdasarkan apa yang kita lihat pada orang lain. Sebagai contoh mudah, seorang pelari dalam acara sukan akan membandingkan dirinya dengan pelari lain dalam acara yang sama.

Pada saya jika kita ambil dalam konteks yang sesuai seperti sukan, itu adalah baik. Kerana perkara itu terhad dalam acara, masa, lokasi dan keadaan diri kita sewaktu itu. Yang menjadi munculnya masalah adalah apabila kita menjadikan perbandingan terhadap keseluruhan hidup kita dengan paparan gambar orang lain yang kita sendiri tidak tahu apa keadaan sebenarnya.

Lantas kita mula berkeluh kesah, murung dan merasa tidak cukup padahal kita juga tahu bahawa secara logiknya kebanyakan orang hanya memaparkan sudut baik sahaja dalam hidup mereka. Begitulah yang dikatakan oleh Mai-Ly N. Steers, pakar psikologi sosial di University of Houston, apabila beliau menggelarnya sebagai ‘everyone else’s highlight reels’ dalam kajiannya berkenaan kaitan penggunaan Facebook dengan kemurungan.

انظروا إلى من هو أسفل منكم ولا تنظروا إلى من هو فوقكم ، فهو أجدر أن لا تزدروا نعمة الله عليكم

Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada akhir tulisan ini saya ingin mengajak pembaca meneliti tema kesihatan mental yang mula muncul baru-baru ini. Jika kita buka surat khabar atau laman web mereka, akan terjumpa berita mengenai kematian para artis luar negara yang bunuh diri disebabkan kemurungan.

Contoh terbaru ialah Sulli, artis wanita dari Korea, yang ditemui mati di dalam rumahnnya berkemungkinan besar disebabkan bunuh diri. Sebelum ini seperti dilaporkan Reuters, beliau pernah muncul dalam rancangan temubual, dan bercakap tentang pembulian siber. Beliau pernah dibuli secara maya dan bercerita tentangnya.

Dalam masa sama juga, filem Joker yang dibintangi oleh Joaquin Phoenix mendapat sambutan begitu hangat sehinggakan ramai yang berminat untuk menulis tentangnya seperti Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli dan Dr Zul Azlin Razali, penulis buku Depresi: Terpuruk Rasa Ingin Mati terbitan DuBook Press.

Menunjukkan bahawa isu kesihatan mental perlu kita ambil perhatian. Kita perlu tahu akses untuk rawatan mengenai kesihatan mental dan juga dibezakan tahap keimanan seseorang dengan sakit mental. Perkara ini mengingatkan saya pada buku bertajuk The Weight of Our Sky tulisan Hanna Alkaf yang saya baca beberapa bulan lalu.

Watak utama dalam kisah tersebut, Melati, menggelar suara yang selalu bisik di kepalanya dengan gelaran ‘jin’. Memberi naratif bahawa masyarakat sekelilingnya menganggap orang yang ada sakit mental itu adalah sebab diganggu jin dan tidak kuat iman.

Muhammad Baha’uddin Hamizan
https://www.facebook.com/BahakDean


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.