Beberapa hari lalu adik saya menghantar kepada saya pautan video di internet oleh seorang vlogger, Aiman Azlan, yang bercakap tentang soalan-soalan yang patut ditanya kepada bakal pasangan kita sebelum bertindak untuk mengahwininya.

Beliau mengatakan bahawa beliau pernah menghadiri beberapa kelas yang dianjurkan oleh organisasi seperti al-Maghrib Institute, al-Kauthar Institute, Qurba Academy, dan lainnya. Terdapat sesi di dalam kelas tersebut yang menyediakan banyak soalan-soalan yang perlu ditanya kepada seseorang supaya kita boleh buat keputusan sama ada kita ada persefahaman atau pun tidak dengan insan tersebut.

Hujah beliau adalah supaya perbualan kita itu berfokus dan tidak lari dari tujuan sebenar kita berjumpa. Pada saya itu adalah masuk akal, kerana apa gunanya datang bertemu seseorang semata-mata untuk bertemu janji atau bercinta sahaja. Pasti ada tujuan akhirnya iaitu untuk ‘settle down’ bersamanya. Jika tiada tujuan untuk ke arah itu, maka tidak perlulah untuk bersusah payah bercerita tentang cinta yang membazir masa kita sahaja.

Persoalan Sekufu, Mengapa Perlu Sama

Berdasarkan infografik daripada Utusan Online pada 14 November 2018 yang diambil dari statistic Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), menyatakan bahawa punca utama perceraian ialah tiada persefahaman iaitu 52% daripada 17,000 kes. Mungkin sebab itu jugalah Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan penulisan tentang maksud sekufu dalam laman webnya.

تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ

Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.”

(Riwayat al-Hakim)

Pada akhir kesimpulan penulisan, beliau mengatakan bahawa apa yang paling penting ialah pada kedua-dua pasangan itu sendiri sebenarnya. Sekalipun keduanya mempunyai latarbelakang yang jauh beza dan mungkin tidak setaraf, tetapi jika mereka punyai keserasian dan tolak ansur yang tinggi, maka itu boleh dipertimbangkan.

Kerana dalam zaman dunia yang semakin menongkah arus globalisasi kita dapat lihat betapa manusia boleh berhubung sekejap sahaja walaupun fizikalnya jauh sekali. Selain itu, saya juga berpendapat jika ada persefahaman tetapi tiada rasa tarikan cinta juga tiada gunanya. Lebih baik jadi kawan sahaja daripada berkahwin kerana itu akan menatijahkan pelbagai kesan kelak iaitu seperti perceraian. Kerana pada saya orang yang berkahwin itu adalah kerana mereka suka pada satu sama lain sehinggakan mahu hidup bersama.

Ada buku yang buatkan saya teringat padanya apabila memasuki bab sekufu, iaitu tulisan Dr. Hayya Bilal bertajuk Laki Aku Negro Kau Peduli Apa. Penulisan beliau yang ‘sempoi’ dan bersifat anekdot begitu melucukan dan memberi pengajaran berharga pada saya. Dr. Hayya berkahwin dengan lelaki berbangsa Afrika yang sangat jauh bezanya dengan masyarakat kita.

Beliau menerima begitu banyak respon dari ramai orang dan setiap satunya berikan beliau pengajaran bermakna tentang hidup ini. Kebanyakan orang begitu stereotaip terhadap warna kulit seseorang berbanding melihat pada perwatakan dan hati budinya. Maka akan dikatakan tidak sesuai dan seumpamanya sedangkan antara keduanya sangatlah serasi dan tiada masalah pun untuk bersama.

Jadi pada saya apa yang Mufti Wilayah Persekutuan tuliskan itu ada betulnya, semuanya berbalik pada kedua-dua insan tersebut sebenarnya. Sama seperti kes cerai pasangan selebriti Korea Selatan yang membintangi drama Descendants of The Sun, orang kebanyakan terutama peminat merasakan mereka sangat secocok padahal apabila ditanya, jawapan oleh wakil Song Hye-Kyo ialah ‘personality differences’.

Perbualan Mendalam dan Topik Yang Berkaitan

Sebelum memutuskan seseorang itu punya persefahaman dan sekufu dengan kita, perlulah kita berbual dengan dia tentang beberapa topik yang patut dibincangkan sebelum ambil langkah serius seterusnya. Janganlah kita hanya rasa-rasa sahaja bahawa dia boleh terima dan kompromi.

Soalan utama adalah seperti gaya hidup, perancangan kewangan, kerjaya, perancangan anak, lokasi untuk tinggal bersama, pengurusan konflik, dan selebihnya. Adakah kita boleh untuk bersama si dia, setelah kita tahu dia begini begitu berdasarkan apa yang telah dibincangkan.

Bolehkah kita bertolak ansur bersamanya atau pun memang tidak boleh langsung untuk punyai ruang toleransi. Apa keputusan seterusnya dan langkah yang patut diambil. Perlukah putuskan hubungan jika semuanya serba tidak kena atau masih mahu cuba untuk kompromi antara satu sama lain demi menyelamatkan hubungan. Itu semua perlu dibincangkan dengan fokus.

فِي الرَّجُلِ لاَ يَجِدُ مَا يُنْفِقُ عَلَى امْرَأَتِهِ قَالَ يُفَرَّقُ بَيْنَهُمَا

Nabi bersabda tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai sesuatu untuk diberi nafaqah kepada isterinya: “Pisahkan mereka berdua.”

(Riwayat Daruqutni)

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah begitu menetapkan kewajipan lelaki untuk memberikan nafkah kepada isterinya. Kita juga boleh lihat dalam hadis lain yang mana ada seorang ingin menikah tetapi tidak punya apa-apa, Rasulullah tetap menyuruh beliau untuk cari sesuatu. Maksud di sini ialah Nabi inginkan kita untuk ada usaha. Usaha mencari nafkah, meneruskan kelangsungan hidup.

Ya, sememangnya Nabi sendiri tidak hidup bermewah-mewahan tetapi baginda tegas apabila libatkan perkara ini. Kerana kita tidak boleh sewenangnya mengharapkan akan ada rezeki selepas kahwin tanpa tahu satu pun cara untuk mendapatkan rezeki tersebut. Begitulah lumrah dunia ini yang perlu kita hadap realitinya.

Bagaimanapun, janganlah sehinggakan meminta berlebih-lebihan. Itu tidak dilarang tetapi lihatlah pada bakal pasangan kita itu sejauh mana kemampuannya. Hiduplah seperti peribahasa Melayu, ukur baju di badan sendiri. Bagaimanapun, bukanlah harta dan wang yang memberi bahagia tetapi ‘worldview’ seseorang yang menentukan dirinya bahagia atau tidak.

Sekalipun banyak duit dan boleh beli bermacam jenis barang, miliki banyak kenderaan, tidak menjamin kebahagiaan dalam rumahtangga. Mudah untuk kita ambil iktibar dengan berlakunya perceraian yang banyak dari kalangan selebriti luar negara mahupun di dalam negara.

Megah macam mana pun majlis perkahwinan juga bukanlah penyumbang pada kelestarian hubungan hidup berdua. Malah, ada satu kajian Barat menyatakan terdapat kaitan positif antara megahnya majlis kahwin dengan perceraian, dilakukan oleh Andrew Francis-Tan dan Hugo M Mialon.

Projek Akan Datang, Projek Bersama

Saya ada menonton video Aida Azlan, seorang vlogger, yang menyatakan untuk mengeratkan hubungan beliau dan suaminya adalah mereka melakukan sesuatu kerja atau projek bersama-sama. Makna dari kata-kata beliau adalah perlu ada aktiviti yang pasangan sama-sama lakukan untuk mencapai objektif yang sama.

Apabila diamati konsep yang beliau cadangkan itu, saya teringat pada syarahan TED Talk oleh Dr Brian Little apabila bercakap tentang personaliti. Brian Little menyatakan bahawa ‘personal project’ adalah sesuatu yang akan membantu kita untuk berjaya dalam hidup. Tidak kiralah sama ada aktiviti itu bersifat ‘trivial’ (remeh) ataupun bersifat ‘significant’ (hebat).

Manusia fitrahnya akan berasa bosan apabila melakukan rutin harian yang sama. Justeru apabila mempunyai projek bersama yang dikongsi keterujaan dan sokongan, itu akan memberikan makna dalam hidup ini. Sepertimana kisah Rasulullah dan Khadijah yang sama-sama berikan sokongan terhadap dakwah baginda pada permulaan dakwah Islam, sehinggakan Nabi teringat-ingat dan rindu akan Khadijah sekalipun Aisyah merasa cemburu melihat keadaan itu.

Begitulah pentingnya apabila pasangan saling menyokong dan memberi bantuan. Mungkin ada pasangan yang tidak punyai minat yang sama tetapi berdasarkan konsep ini apa yang penting adalah sokongan. Contoh mudah adalah sambung belajar ke peringkat lebih tinggi. Bukannya kedua-duanya minat untuk sambung belajar, tetapi salah seorang boleh berikan sokongan positif dan membantu untuk berjaya graduasi pada masanya.

Mungkin ada yang sukakan aktiviti sukarelawan, maka sama-sama sertai badan organisasi untuk hulurkan bantuan pada yang memerlukan. Jika tidak mampu bersama sertai pun mungkin cukup sekadar untuk menghantar pasangan ke destinasi dengan selamat seterusnya menyambung urusan yang perlu diselesaikan. Bukanlah perlu menyumbang pada perkara-perkara besar dan kritikal tetapi cukup sekadar perkara-perkara kecil itulah yang bawa kebaikan pada hubungan bersama-sama.

Hubungan cinta dan rumahtangga adalah sesuatu yang serius, bukanlah dibuat main-main atau dijadikan bahan untuk dicuba-cuba. Sekiranya seseorang tidak ada niat untuk menuju ke arah perkahwinan, dia perlulah elakkan diri daripada memasuki mana-mana hubungan bersama orang lain. Manakala kita juga perlu tahu bagaimana untuk menapis individu-individu yang tiada niat tersebut. Saya pernah menulis tentang falsafah niat dalam percintaan di dalam buku pertama saya. Kesimpulan dari tulisan itu adalah hubungan yang dibina atas dasar matang, serius dan bersalutkan cinta pasti akan menjadi pada akhirnya.

Muhammad Baha’uddin Hamizan

https://www.facebook.com/BahakDean


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.