Masyarakat Mesir Purba sememangnya masyhur dengan budaya pemujaan haiwan. Salah satu haiwan yang dipuja oleh mereka adalah babun. Dalam mitologi Mesir Purba, babun amat sinonim dengan Dewa Thoth, iaitu dewa kebijaksanaan. Selain dihormati dalam bab kepercayaan, babun juga meraih kedudukan yang istimewa dalam kehidupan seharian masyarakat Mesir Purba.

Haiwan ini lazim dijadikan sebagai haiwan peliharaan. Banyak mumia babun pernah ditemui oleh ahli-ahli arkeologi. Dalam hasil-hasil seni Mesir Purba, babun (atau monyet) digambarkan turut menyertai pelbagai aktiviti harian manusia, seperti menari, memainkan alat muzik, memetik buah-buahan, menghasilkan arak, dan bahkan menangkap penjenayah.

Ukiran imej babun

KAITAN BABUN DENGAN DEWA-DEWA MESIR

Pada era Kerajaan Lama, babun Hamadrya (P. hamadrya) dan babun zaitun (P. Anubis) masih wujud di wilayah selatan Mesir Hulu. Namun menjelang era Kerajaan Pertengahan, babun-babun yang ada di Mesir kesemuanya dibawa masuk dari luar. Misalnya, menjelang era Kerajaan Baru, bukti merekodkan bahawa babun dibawa masuk dari wilayah selatan, sama ada Nubia mahupun Tanah Punt.

Pada era Pra-Dinasti, masyarakat Mesir memuja satu dewa bernama Baba/Babi yang digambarkan sebagai seekor babun. Bahkan, ada sejarahwan yang berpendapat nama Baba/Babi ini merupakan asal-usul perkataan babun itu sendiri. Memasuki era Kerajaan Lama, babun semakin dikaitkan dengan Dewa Thoth. Perkaitan antara babun dan dewa ini mungkin berlaku disebabkan babun dianggap sebagai haiwan yang bijak.

Thoth sebagai babun, dipuja oleh seorang warga Mesir bernama Horhetep. Mesir di zaman Ptolemaik, sekitar 332-330 SM

Berikutan Thoth dipuja sebagai dewa yang melindungi jurutulis, maka babun sering digambarkan berada di samping mereka. Thoth juga adakalanya berperanan sebagai dewa bulan dan hal ini juga memberi kesan kepada gambaran terhadap babun, di mana imej bulan sabit diukir di atas kepalanya. Lebih daripada itu, babun juga dikaitkan dengan satu lagi dewa bulan, iaitu Khonsu, sebagaimana yang dapat dilihat pada Kuil Khonsu di Thebes, di mana patung-patung dewa berkenaan dihasilkan dalam bentuk babun.

Ada satu lagi dewa yang dikaitkan dengan babun, iaitu dewa Ra. Hal ini berlaku kerana masyarakat Mesir mendapati babun lazim berteriak pada matahari terbit dan makanya, sebahagian imej babun diukir dengan tangan mereka didepakan ke hadapan seolah-olah sedang memuja matahari. Begitu juga dengan dewa Hapy, iaitu salah satu dari Empat Putera Horus. Dewa ini juga digambarkan berkepala babun. Menurut mitologi Mesir Purba, Hapy berperanan melindungi hati manusia yang telah meninggal dunia.

Relif dinding Ramses II dan babun, kuil Ramses III, Medinet Habu, Nekropolis Thebes

BABUN DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN MASYARAKAT MESIR PURBA

Berikutan statusnya sebagai haiwan suci, babun kebiasaannya dipelihara di dalam kuil dan dijaga oleh para pendeta. Adakala, babun juga dipelihara oleh masyarakat umum yang mampu membelanya. Apapun, kebiasaannya haiwan peliharaan ini tidaklah dilayan dengan baik.

Di Hierakonpolis, ahli-ahli arkeologi menemukan sebuah tanah perkuburan yang menyimpan rangka pelbagai jenis haiwan, termasuklah babun, yang pernah dijadikan sebagai haiwan peliharaan. Hasil penelitian ke atas tulang-belulang babun itu mendapati ia pernah dipukul berulang kali semasa hidup. Tanah perkuburan ini diandaikan berusia kira-kira 5000 tahun, iaitu dari penghujung era Pra-Dinasti atau permulaan era Dinasti Awal.

Rentetan itu, sejarahwan berpendapat masyarakat Mesir Purba pada waktu itu baru sahaja belajar cara memelihara haiwan. Bagi mereka, memukul haiwan adalah bertujuan untuk mendisiplinkannya. Sekian lama, mereka semakin mahir mengendalikan haiwan peliharaan justeru tidak memerlukan mereka untuk kerap memukulnya lagi dan keadaan ini disahkan menerusi penelitian terhadap tulang-belulang babun di zaman yang lebih terkemudian.

Atas: Monyet memanjat sebatang pokok kelapa. Bawah: Kepingan tembikar menunjukkan monyet mencakar hidung seorang gadis

Dalam sejumlah hasil seni masyarakat Mesir Purba, babun (atau monyet) didapati kerap terlibat dalam aktiviti-aktiviti harian manusia. Antaranya seperti aktiviti menuai buah-buahan, sepertimana yang dapat dilihat pada lukisan dinding di sebuah makam dari Dinasti Ke-12. Tugasan-tugasan lain yang dilakukan oleh babun di Mesir adalah membantu menghasilkan arak atau mengikat tali layar kapal. Sememangnya bagi masyarakat Mesir Purba, babun dianggap sebagai haiwan yang bijak lagi suci.TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (19 Februari 2017). Did You Know that Baboons were Trained in Ancient Egypt to Catch Criminals? Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history/did-you-known-baboons-were-trained-ancient-egypt-catch-criminals-007576


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.