Moving Forward As One

Babi Boleh Main Game?!

626

Babi boleh bermain permainan komputer?! Sekali pandang, membaca artikel yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Psychology ini ibarat menunggu kucing bertanduk. Tetapi ia bukan satu jenaka, ia satu fakta!

Dalam kajian tersebut, sekumpulan saintis melatih dua ekor babi Yorkshire bernama Hamlet dan Omelette dan dua babi mikro Panepinto bernama Ebony dan Ivory. Keempat-empat haiwan ini diajar bermain permainan video mudah dengan menolak kayu ria (joystick) dengan hidung mereka di hadapan skrin komputer. Sekiranya mereka berjaya, mereka akan diberi ganjaran kudapan oleh penyelidik.

Dan hasilnya sangat menakjubkan. Walaupun keempat-empat babi ini tidak lagi mendapat ganjaran selepas melaksanakan arahan yang dinyatakan, ia masih menggerakkan kayu ria dengan berpandukan isyarat bunyi dan sentuhan. Para penyelidik diketuai Profesor Candace Croney dari Universiti Purdue yang terlibat dalam kajian tersebut menyifatkan keupayaan babi mempelajari kemahiran ini sebagai sesuatu yang mengagumkan.

Selain kajian ini, terdapat pelbagai kajian lain yang membuktikan babi haiwan yang bijaksana. Dalam satu kajian lain, sekumpulan penyelidik menguji kebijaksanaan babi hutan Visaya, sejenis babi hutan yang hanya ada di dua buah pulau di Filipina. Menerusi eksperimen tersebut, babi-babi ini dilihat boleh menggunakan peralatan semasa dalam kurungan.

Walaupun babi hutan Visaya tidak menunjukkan prestasi sebaik cimpanzi atau mana-mana spesies primat lain, ia boleh dijelaskan. Ini kerana eksperimen yang dibuat khas untuk haiwan mamalia yang bergantung kepada penglihatan dan menggunakan tangan.

Bagi Croney, eksperimen sebegini jelas menunjukkan babi bukan sekadar haiwan ternakan semata-mata. Sebaliknya, ia menunjukkan babi juga mempunyai keunikan seperti haiwan-haiwan lain.

RUJUKAN:

Hale, T. (2021). These Pigs Were Taught To Play Video Games. They Were Actually Not Too Shabby. IFLScience!

Ruangan komen telah ditutup.