Bagi liberal internationalist, sempadan negara tidak lagi relevan. Dunia adalah bulat, atau rata, geografi tidak lagi dapat menghalang manusia sebab manusia dihubungi oleh teknologi.

Namun geografi masih kekal relevan dalam dunia tanpa tembok kerana geografi yang menakrifkan kepentingan nasional (national interest) sesebuah negara.

Semua negara terdiri daripada wilayah (territory) yang merangkumi tanah dan perairan. Tak semua negara mempunyai kawasan perairan, tapi semua negara mesti mempunyai tanah. Yang tak ada tanah bukan negara namanya, tapi kerajaan langit.

Bentuk dan permukaan tanah ini akan mempengaruhi tindak-tanduk sesebuah negara. Kalau negara mempunyai tanah yang subur dan luas, maka ia hanya perlu fokus untuk mengeluarkan hasil. Negara yang tak mempunyai banyak tanah dan hasil perlu mendapatkan tanah tambahan atau pun mengawal tanah orang lain.

Negara yang mempunyai permukaan tanah rata dan tidak dilindungi oleh tanah tinggi lebih mudah diancam oleh negara asing berbanding negara yang dilindungi oleh tanah tinggi atau berada di tanah tinggi.

Switzerland dan Austria tidak memerlukan saiz tentera yang besar kerana kedudukan mereka di Banjaran Alps yang merupakan pergunungan tertinggi di Eropah. Tiada siapa yang sanggup memanjat setinggi 3,000 km untuk menawannya. Manakala Ukraine dan Poland mempunyai saiz tentera terbesar di Eropah (selepas Rusia) kerana permukaan tanah mereka yang rata membuat mereka lebih rasa terancam.

Geografi Eropah

Maka tidak keterlaluan untuk kita menyatakan bahawa “geografi adalah takdir” (geography is destiny). Tapi seperti manusia boleh mengubah takdir menerusi usaha, negara pun boleh mengubah takdirnya menerusi dasar luar dan strategi yang betul.

Mengubah takdir tidak sama dengan melawan takdir. Negara masih perlu mengiktiraf limitasi geografinya, bukan menganggap geografi tidak penting dalam pertimbangan tentang hubungan dan dasar luar.

Geografi memberi petunjuk ancaman kepada sesebuah negara. Kalau kita melihat kepada geografi Perancis, di sebelah selatan ada Banjaran Pyrenees yang memisahkannya daripada Sepanyol; di sebelah tenggara ada Banjaran Alps yang memisahkannya daripada Itali; di sebelah barat ada Selat Inggeris yang memisahkannya daripada UK. Perancis boleh dikatakan sebagai bumi bertuah yang dilindungi oleh halangan semulajadi (natural barriers) dari semua arah.

Masalah Perancis cuma di sebelah  timurnya saja. Di sana tidak ada halangan semulajadi seperti gunung, laut atau sungai deras kecuali tanah rata. Oleh itu, Perancis terdedah langsung kepada potensi ancaman orang-orang Jerman terutamanya sejak kebangkitan orang-orang Jerman di bawah pemerintahan Dinasti Habsburg pada abad ke-16.

Untuk memastikan keselamatannya, Perancis sejak zaman Cardinal Richelieu (1624-1642) mengamalkan strategi untuk memecah-belahkan bangsa Jerman supaya tidak wujud sebuah negara Jerman yang bersatu, kuat dan memberi ancaman. Malah Maharaja Perancis, Napoleon I (1803-1815) siap menakluk kawasan dan Jerman dan mewujudkan Confederation of the Rhines yang merupakan kerajaan boneka Perancis.

Kegagalan Napoleon III (1852-1870) untuk menghalang negeri-negeri Jerman menyatu menjadi Empayar Jerman pada tahun 1871 telah memberi masalah keselamatan jangka panjang kepada Perancis. Akibatnya, dua kali kota Paris ditawan oleh tentera Jerman (pada tahun 1871 dan 1940). Hanya selepas Jerman ditewaskan dalam WW2 dan negaranya dipecahkan kepada Jerman Barat dan Timur, barulah Perancis boleh menikmati keamanan sejati.

Geopolitik Perancis

Geografi juga menentukan siapa kawan dan siapa lawan. Kalau anda Perancis, siapa yang anda boleh jadikan rakan untuk mengatasi ancaman Jerman?

Tentulah Poland. Sebab ia berada di sebelah timur Jerman dan memusuhi Jerman. Musuh kepada musuh ialah kawan. Perancis mempunyai hubungan yang baik dengan Poland sejak abad ke-16 lagi untuk tujuan menentang Jerman. Malah WW2 berpunca daripada tindakan Jerman menyerang Poland yang akhirnya mengheret Perancis yang merupakan sekutu kepada Poland.

Keperluan bergabung atas faktor geografi ini juga membolehkan negara bekerjasama walaupun berbeza ideologi dan nilai. Kita mungkin tidak suka sesebuah negara kerana ideologi atau rejimnya tapi atas kepentingan geopolitik, ada masanya kita perlu mengetepikan soal ideologi untuk kebaikan yang lebih besar.

Selain Poland, Perancis juga menubuhkan pakatan dengan Uthmaniyah pada abad ke-16. Uthmaniyah pada waktu itu juga berperang dengan Habsburg untuk mengawal kawasan Balkan di Eropah Tenggara. Musuh kepada musuh ialah kawan, jadi Perancis memanfaatkan geografi Uthmaniyah untuk melemahkan Jerman Habsburg, walaupun pakatan Katolik dan Islam macam tak berapa masuk.

Perancis-Uthmaniyah vs. Habsburg-Safawiyah
Francis I dan Sulaiman I

Habsburg pun bertindak balas ikut logik yang sama. Uthmaniyah ketika itu juga berperang dengan Safawiyah (Parsi). Musuh kepada musuh ialah kawan, jadi Habsburg menubuhkan pakatan dengan Safawiyah untuk melemahkan Uthmaniyah di sebelah timur jajahan Uthmaniyah. Walaupun Habsburg ialah Katolik, Safawiyah ialah Syiah, itu tidak menghalang dua negara ini bekerjasama.

Tak kira betapa negara-negara Arab di Teluk Parsi menyampah dengan Saddam Hussein, mereka lebih rela melihat Saddam memerintah Iraq. Hanya Saddam sahaja yang mampu menstabilkan Iraq yang merupakan kawasan yang kritikal di Timur Tengah. Ketiadaan Saddam mewujudkan kekosongan kuasa (power vacuum) membolehkan Iran (yang merupakan ancaman lebih besar kepada negara-negara Arab) menguasai Iraq, sekali gus membolehkan kebangkitan kumpulan pelampau seperti ISIS dan pemisah Kurd yang menyahstabilkan keadaan serantau.

Geografi sedikit pun tidak hilang relevannya di era globalisasi. Negara masih memerlukan sumber untuk menjana ekonomi, dan pertaburan sumber ditentukan oleh geografi semulajadi.

Kalau ada sumber, syukur Alhamdulillah. Tak ada sumber, terpaksa merebut. Walaupun sumber boleh didapatkan melalui perdagangan terbuka, tapi disebabkan kebimbangan terhadap kuasa relatif (masalah “siapa untung lebih banyak” yang dibincangkan dalam Bab 2), kebanyakan negara masih bersaing untuk memonopoli sumber yang strategik.

Di era Revolusi Industri Keempat, industri berteknologi tinggi mewujudkan keperluan terhadap unsur nadir bumi (rare earth). Dominasi China dalam pengeluaran nadir bumi menyebabkan seterunya Jepun perlu bergabung dengan Australia (pengeluar nadir bumi). Perlumbaan AS-China di Greenland juga didorong oleh keperluan untuk menguasai nadir bumi.

Disebabkan negara masing bergantung kepada permukaan bumi dan laut untuk berdagang, jadi geografi masih kekal relevan. Kebergantungan kepada laut menyebabkan kuasa-kuasa besar masing-masing ingin menguasai laluan perdagangan laut, samada nak memonopoli atau pun nak sabotaj ekonomi pesaing.

Sebab itu kuasa-kuasa besar sangat memberi perhatian kepada titik sempit (choke point) yang menghubungkan laluan laut. Persaingan antara AS/Jepun dan China sebahagian besar didorong oleh persaingan ke atas Selat Melaka, persaingan antara Arab Saudi/UAE dan Iran berpunca daripada persaingan ke atas Selat Hormuz dan Selat Bab al-Mandab. Sesiapa yang berjaya memonopoli kawasan tersebut seolah-olah memutuskan talian hayat pesaingnya.

Jadi, pendemokrasian dan globalisasi tidak akan mengubah hakikat “geografi adalah takdir”. Kebanyakan pergolakan dan persaingan antara negara pada pada hari ini ialah lanjutan daripada geopolitik yang sudah berlangsung beratus-ratus jika bukan beribu-ribu tahun.

—-

Anda sebenarnya sedang membaca sebahagian daripada bab DUNIA TANPA TEMBOK III. Kalau berminat nak dapatkan dengan kombo bulan MAC kami, boleh dapatkan pada pautan dibawah:

Webstore: http://bit.ly/kombomac2020
Alternatif: https://www.billplz.com/kombomac2020
Wassap: http://wasap.my/60195812791/kombomac


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.