Aziz Satar Menyesal

25

Semasa P.Ramlee dilantik menjadi pengarah filem pada tahun 1955 menerusi filem pertama arahannya Penarek Becha. Aziz Sattar adalah antara individu yang sangat kuat menyokong supaya P.Ramlee dilantik menjadi pengarah. Tetapi di dalam filem pertama arahan P.Ramlee itu Aziz Sattar tidak terlibat.

Begitu juga dengan filem kedua arahan P.Ramlee Semerah Padi, juga Aziz Sattar tidak terlibat. Walaupun boleh dikatakan Aziz Sattar sentiasa berada di lokasi ketika penggambaran Semerah Padi dijalankan. Aziz Sattar sangat gemar memberi motivasi kepada rakan-rakan pelakon ketika berada dilokasi. Itu adalah salah satu sikap beliau sejak dari dahulu lagi.

Untuk Semerah Padi, Aziz Sattar telah memberi sokongan moral kepada Nordin Ahmad supaya beliau boleh memberikan lakonan yang sangat bermutu. Untuk pengetahuan semua, di dalam Semerah Padi tenaga dan kudrat Nordin Ahmad telah dikerah cukup-cukup oleh P.Ramlee bagi mendapatkan satu lakonan yang sangat bermutu dan mantap. Kadangkala Nordin Ahmad ada menyatakan keluhannya yang beliau tidak mampu untuk melakukan seperti kehendak P.Ramlee.

Ketika waktu rehat sahaja Aziz Sattar akan duduk bersama Nordin Ahmad untuk memberi kata-kata semangat sebagai satu motivasi kepadanya. Kesimpulannya di dalam filem Semerah Padi kita boleh saksikan bagaimana lakonan yang dipersembahkan oleh Nordin Ahmad sememangnya sangat bermutu tinggi dari segi penghayatan dan lontaran dialog.

Aziz Sattar berpendapat mengapa P.Ramlee tidak sudi mengambil beliau berlakon di dalam filem arahannya. Tetapi beliau ada muncul bersama S.Shamsudin sebagai bintang undangan di dalam filem Pancha Delima. Satu hari Aziz Sattar bertemu P.Ramlee di hadapan bilik Mr Kwek. Aziz Sattar menegur P.Ramlee, “Apalah lu Ram, gua sokong lu kuat untuk jadi pengarah dulu, tapi lu tak ambil pun gua berlakon di dalam filem lu.” P.Ramlee hanya diam dan berlalu dari situ.

Pada satu pagi Aziz Sattar diberitahu oleh S.Sudarmadji bahawa P.Ramlee ingin berjumpa di pejabatnya. Aziz datang dengan S.Shamsudin yang juga turut dipanggil oleh P.Ramlee. P.Ramlee tidak bercakap banyak dan hanya memberi skrip untuk dibaca oleh mereka berdua. Apabila Aziz Sattar meneliti kandungan di dalam skrip tersebut barulah dia faham mengapa P.Ramlee tidak pernah memberi watak penting kepadanya dalam filem-filem arahannya sebelum ini. Timbul rasa menyesal di dalam hati Aziz Sattar kerana pernah bertanya sedemikian kepada P.Ramlee sebelum ini.

Sesudah selesai membaca skrip tersebut barulah Aziz Sattar faham bahawa P.Ramlee ini tidak mengambil seseorang itu berlakon di atas dasar kawan ataupun sahabat tetapi kerana kecenderungan dan kesesuaian watak seseorang itu. Dengan itu maka lahirlah trio Bujang Lapok yang mula ditayangkan pada 30 November 1957.

Sumber :

Meredah Gelombang Seni – Aziz Sattar

Sessi temubual bersama Allahyarham Datuk Aziz Sattar pada tahun 2001

Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik

Pn. Sandakiah Azez

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.