Avengers VS Justice League: Siapa Yang Akan Menang?

1,875

Pra-tempah hanya di Shopee

Sebagai peminat dunia komik, bukan sesuatu yang asing mendengar perbandingan watak-watak komik membabitkan DC Comics dan Marvel Comics. Dan antara perdebatan yang sentiasa mengundang perhatian ialah siapa yang bakal menjadi pemenang apabila Avengers (Marvel) dan Justice League (DC) bertembung.

Sebelum menilai kekuatan dan kelemahan kedua-dua kumpulan, terdapat beberapa faktor yang harus diambil kira. Pertama, keahlian kedua-dua kumpulan berbeza-beza mengikut selera penulis komik. Kedua, kedua-dua organisasi mempunyai pelbagai versi dan cabang mereka tersendiri. Misalnya, Avengers mempunyai pelbagai versi mereka seperti Dark Avengers (Avengers yang dianggotai penjen_ayah) dan Secret Avengers (kumpulan rahsia Avengers yang diatur Nick Fury).

Jadi, untuk berlaku adil, molek kiranya mengadili kedua-dua organisasi mengikut keahlian tetap mereka. Ahli tetap Justice League ialah Batman (Bruce Wayne), Superman, Wonder Woman, Flash, Green Lantern, Aquaman, Martian Manhunter, Green Arrow, Hawkgirl dan Black Canary. Manakala ahli tetap Avengers ialah Iron Man (Tony Stark), Thor, Captain America (Steve Rogers), Ant-Man, Wasp, Doctor Strange, Scarlett Witch, Black Panther (T’Challa), Hawkeye dan Quicksilver.

Untuk pengetahuan para pembaca, Avengers dan Justice League sebenarnya pernah bersemuka menerusi komik JLA/Avengers pada 2003 oleh Kurt Busiek dan George Perez. Pada dasarnya, kedua-dua kumpulan bertarung tetapi terikat seri sebelum memilih bekerjasama melawan anc_aman sebenar.

Rajah 1: Adegan pertarungan Justice League dan Avengers dalam komik JLA/Avengers 2003.

Dari segi kekuatan, kelebihan sememangnya terletak di tangan Justice League. Terdapat ramai ahli mereka yang mempunyai kekuatan semulajadi tetapi tiada siapa dapat mengatasi Superman atau Clark Kent. Superman bukan saja kuat dan kebal malah berupaya meniup udara sejuk dan memancarkan sinaran laser dari matanya.

Rajah 2: Thor tumbang di tangan Superman.

Avengers juga mempunyai ahli yang kuat seperti Incredible Hulk (Dr Bruce Banner) dan Thor. Tetapi jika dibandingkan dengan ahli-ahli Justice League, agak sukar untuk mereka menang. JLA/Avengers membuktikan hakikat tersebut apabila Thor tumbang di tangan Superman, satu kejutan kepada wira-wira Marvel lain seperti Iron Man. Tetapi Man of Steel sendiri mengakui Odinson merupakan lawannya yang paling sukar ditewaskan.

Dari segi kebijaksanaan pula, kelebihan terletak di tangan Avengers dan ini bukan dari segi strategi sahaja. Iron Man berupaya menghasilkan ciptaan-ciptaan luar biasa berikutan latar belakang Stark sebagai seorang pencipta. Selain Stark, Banner juga berupaya menghasilkan inovasi sama ada secara kolaborasi dengan Iron Man atau mengikut kepakarannya.

Perlu diingat, terdapat banyak lagi watak Marvel yang bijaksana melebihi jutawan kaki perempuan itu seperti Reed Richards (Mister Fantastic), Hank Pym (Ant-Man pertama), Shuri (adik T’Challa), Beast (ahli X-Men) dan Amadeus Cho. Ya, DC juga mempunyai genius hebat seperti Ray Palmer dan Ryan Choi (kedua-duanya ialah Captain Atom), Firestorm (Dr Martin Stein) dan Wayne.

Wayne sememangnya kaya dan dikenali sebagai seorang yang pintar. Tetapi dari segi ciptaan dan inovasi, beliau masih memerlukan bantuan orang seperti Lucius Fox untuk membinanya. Bagaimanapun, dari segi strategi dan sera_ngan taktikal, Batman dianggap setara dengan Rogers.

Dari segi bilangan ahli, Justice League mengatasi Avengers. Ini bukan bermakna keahlian Avengers yang ramai tiada kekuatan kerana watak seperti Sentry, Silver Surfer dan Hercules mampu mencabar sesiapa. Tetapi bagi Justice League, bantuan boleh saja diperoleh dari hero berstatus dewa-dewi seperti Mister Miracle dan Orion, ratusan ribu ahli Green Lantern dari Green Lantern Corps dan ahli-ahli sihir hebat seperti Zatanna, John Constantine dan Doctor Fate.

Jadi, dengan melihat semua ini, jelaslah Justice League dapat mengatasi Avengers sekiranya berlaku pertarungan antara mereka. Ya, Avengers akan melawan habis-habisan. Tetapi dengan Trinity DC (Superman, Batman dan Wonder Woman) mengetuai mereka, tiada yang mustahil.

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.