Pada zaman tori, tinggal seorang yatim piatu. Namanya Si Luncai. Setiap hari duduk seorang diri. Di dalam fikirannya, pelbagai perbualan dikarangkan, kalau ini, itu. Kalau itu, ini. Si Luncai tinggal bersendirian di sebuah perkampungan jauh nun di pinggir Kerajaan Indera yang diperintah oleh Maharaja Isin bertakhta dengan permaisurinya, Puteri Bongsu. Mereka mempunyai seorang puteri bernama Puteri Lela Kendi.

Anak-anak muda di Indera yang memanggilnya Luncai kerana rupa parasnya, tubuh badannya dan pembawakan dirinya.

Si Luncai geddebe

Perut jauh ke depan

Belakang tonggek gelebeh

Macam tukang Peran

Namun memang Allah itu maha adil. Walaupun penampilannya melucukan dan dipandang rendah, pandangannya tajam. Lidahnya petah. Otaknya bergeliga.

Si Luncai menyara hidup saban hari dengan menjual kayu api, akar serta daun dari hutan yang boleh dibuat ubat-ubatan dan buah-buahan. Hidupnya tidaklah susah, tidak pula mewah, sekadar berkisar dari hari ke sehari seadanya.

Hasrat Luncai setelah sekian lamanya adalah untuk mengadap raja di Balairong Seri. Satu hari, seorang saudagar telah menghadiahkannya sepasang baju kumbang kerana ubat dari hutan yanng dibeli dari SiLuncai menyembohkan penyakitnya yang lara. Keesokan harinya, Si Luncai pun bersiap-siap, memakai baju kumbang dan terus berjalan ke istana.

Apabila dia sampai ke Balairong istana, raja sedang dicukur sebelum solat Jumaat. Raja memberi salam kepadanya dan bertanya mengapa dia datang. Luncai menjawab bahawa dia hanya sekadar ingin melihat raja. Ketika raja selesai bercukur dan Si Luncai melihat kepala raja yang botak, dia mula menangis teresak-esak.

Hairan, bertambah hairan, bertanyalah raja: “Oh Luncai, apa yang engkau tangisi?”

Dia menjawab, “Mohon ampun Tuanku, patek tidak dapat menjawab soalan Tuanku. Patek amat takut Tuanku marah.” Perasaan ingin tahu Raja membuak-buak. Tetapi Si Luncai tidak juga mahu memberitahu.

“Luncai, beta berjanji. Beta tidak akan marah. Bukankah Beta ini adil dan saksama? Katakan. Beta tidak akan marah.”

“Baiklah, Tuanku,” kata Si Luncai, lantas terlanjur melakukan kesilapan yang amat besar.

“Ampun Tuanku. Melihat kepala Tuanku yang licin bersinar mengingatkan hamba pada ayahanda hamba. Tambahan pula umur dan juga rupa bentuk badan saling tak tumpah, amat mirip seperti Tuanku. Itulah yang membuat hamba begitu sedih dan hiba.”

Setelah selesai Si-Luncai berkata-kata, murkalah Raja Indera itu.

“Biadapnya engkau, Si Luncai! Bapamu disamakan dengan beta, Raja Negeri Indera ini?”

“Tadi tuanku kata tuanku adil dan saksama!” ujar Si-Luncai. Lagi marah dan berang Raja.

“Pak Menteri. Tangkap Si Luncai ini buangkan ke dalam sungai! Hidung tak mancung. Pipi tersorong sorong. Tak sedar diri, bodoh sombong. Tidak guna disimpan dalam negeri, biar dia mati,” kata Raja Indera.

Luncai pun ditangkap dan dimasukkan ke dalam karung. Kemudiannya terus dibawa untuk dibuang ke sungai. Kecohlah keadaan di istana, namun Si Luncai terus di bawa pergi.

Ketua pengawal dan tukang perahu telah mendayung ke muara sungai dengan segera. Setelah beberapa lama, Si-Luncai bersuara meminta diberikan labu air. “Tak lama lagi saya akan terkubur di sungai ini, berikanlah saya labu air, biar saya peluk seperti memeluk ibu saya yang sudah tiada…” rayu Si-Luncai.

Ketua pengawal yang juga seorang anak yatim berasa belas kasihan kepada Luncai dan menyuruh salah seorang pendayung memberinya labu air yang ada. Dia membuka ikatan tali yang mengikatnya. Kemudian dia memberikan labu air untuk Luncai. Luncai memeluk labu. Selepas beberapa ketika dia mula menangis, berkata dia kasihan pada tukang perahu kerana letih berdayung. Luncai mencadangkan bahawa mereka menyanyikan sebuah lagu untuk menghilangkan keletihan dan kebosanan. Semuanya di atas perahu bersetuju.

Si Luncai pun mengajar mereka lagu yang mudah.

“Mula mula, tuan hamba semua bernyanyi

“Si Luncai terjun dengan labu-labunya.

Tuan hamba sahut, Biarkan, Biarkan …“

Maka mereka di atas kapal mula menyanyi:

Si Luncai terjun dengan labu-labunya…

Biarkan….biarkan…..

Si Luncai terjun dengan labu-labunya…

Biarkan….biarkan…..

Apabila telah asyik menyanyi, Si Luncai akhirnya memang terjun dari perahu. Jurumudi pun berteriak, “Si Luncai terjun dengan labu-labunya.” Sahut pendayung semua…

“Biarkan, biarkan.”

Jurumudi menjerit, “Hei, pendayung semua, lihatlah ni. Si Luncai telah melarikan diri!”

Apabila mereka berpaling mereka melihat Luncai berdiri di tebing sungai. Jadi pendayung mendayung secepat mungkin ke arah tebing dan berjaya menangkap semula Luncai, serta memasukkannya ke dalam karung dan diikat ketat. Selepas beberapa ketika, seruan nyaring rusa didengar.

Luncai pun mengeluh. Secara senyap-senyap dia berkata, “Membazir je daging yang lazat…..Rugi….Rugi…”

“Apa yang kamu maksudkan?” kata pengawal.

“Oh, tiada apa apa……Alahai…Rugi…Rugi….”

“Apa dia Si Luncai?” tanya pengawal lagi.

“Hamba terdengar jeritan rusa yang terperangkap dalam perangkap di hutan. Hamba rasa tentu rusa itu akan mati begitu saja jika tiada siapa yang pergi menangkapnya. Ruginyalah.”

Pengawal dan pendayung memandang antara satu sama lain. Akhirnya pendayung yang paling tua berkata, “Kesian rusa itu. Jangan dibiarkan mati menjadi bangkai. Elok kita ambil, sembelih dan makan kemudian. Hari dah pun tengahari. Kita boleh mengikat Si Luncai dalam karung dan kemudian pergi mencari rusa itu.”

“Baik sekali cadangan tu.” kata ketua pengawal.

Maka Si-Luncai pun diikat di dalam karung dan ditinggalkan di atas perahu sebelum mereka semua terus ke hutan mencari rusa yang terperangkap. Setiap kali mereka mendengar bunyi rusa, mereka pun bergegas ke arah bunyi itu. Rusa itu terus berlari lebih jauh lagi ke dalam hutan.

Si Luncai pula duduk diam di dalam karungg guni.

Tidak lama kemudian sayup kedengaran, jejak langkah menghampirinya, setapak demi setapak. Seorang lelaki bersiul begitu gembira. Si Luncai mula menangis, “Tolong, lepaskan hamba. Hamba tidak mahu berkahwin dengan puteri raja. tidak mahu….”

“Beritahulah Raja Indera, hamba tak sanggup berkahwin dengan Puteri lela Kendi…”

Langkah tiba-tiba terhenti.

”Siapakah itu, wahai suara dalam karung? Mengapa tuan hamba terkurung dalam karung?”

“Oh tuan budiman…beginilah nasib saya … Raja mahu saya berkahwin dengan puterinya. Malangnya, saya tidak boleh kerana saya perlu menjaga ibu saya…” tangis Si Luncai.

“Wah!” fikir lelaki tersebut, “Ini kisah yang pelik…nasib baik aku lalu di sini.”  Ini membuatkan lelaki itu, seorang pedagang kain, sangat teruja. “Aku pun layak berkahwin dengan anak raja!” bisik hati kecilnya.

“Ahhh, hamba boleh menggantikan tuan hamba, wahai suara dalam guni!”

Si Luncai tidak melengahkan masa dan terus bertukarkan tempat dengan pedagang kain. Si Luncai berpesan ”Apabila kedengaran pengawal datang, katakan,

“Aku bersedia berkahwin dengan puteri. Aku bersedia terima nikahnnya…”

“Baiklah, tuan hamba. Jangan risau lagi. Pergilah pulang menjaga ibumu.”

Si Luncai pun beredar dari situ dengan segera…

Pengawal, jurumudi dan kesemua pendayung akhirnya kembali, letih dan kecewa tidak dapat menangkap rusa. Semuanya memang sakit hati kerana terasa ditipu Si-Luncai lagi. Mereka bertekad tidak akan mendengar segala kata-katanya lagi.

Apabila kembali ke perahu, ketua pengawal terdengar suara dari karung berkata, “Aku bersedia berkahwin dengan puteri. Aku bersedia terima nikahnnya…”

Dia pun ketawa terbahak-bahak, geram bercampur marah, “Sudahlah Luncai. Jangan mengarut lagi.”

Pedagang itu mengulangi kata-katanya, “Aku bersedia berkahwin dengan puteri. Aku bersedia terima nikahnnya…”

Dan akhirnya pedagang malang tapi kurang usul periksa itu dihumban ke dalam sungai.

Si Luncai pula?

Dari belakang rimbunan buluh di tepi sungai, dia memerhatikan segala yang berlaku. Kemudiaan ia pun pulang ke rumahnya yang terpencil jauh di pedalaman.  Walaupun bersyukur kerana masih hidup tetapi Si Luncai bertekad untuk membalas dendam terhadap raja.

Satu hari nanti.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penulis kelahiran Australia ini dibesarkan di Kg Chenor, Temerloh, Pahang. ninotaziz binti Abdul Aziz bin Tok Muda Salehuddin dari Chenor bin Tok Awang Pekan bin Tok Nit bin Tok Tunggal Bukit Segumpal bin Tok Ghaffur bin Tok Aji bin Tok Sabur Kampung Duri ini telah menghasilkan lapan buah buku bertemakan Hikayat Melayu dalam Bahasa Inggeris dan bakal menghasilkan antologi pertama bahasa ibunda Bahasa Melayu tahun 2020.

Comments are closed.