Australia Terbakar!

1,209

Kebakaran ini telahpun bermula sejak dari September 2019, dan sehingga ke hari ini, ia masih lagi sedang memusnahkan Australia.

Australia adalah sebuah negara yang sangat besar saiznya. Kalau nak diikutkan pada peta, saiz kemusnahan kebakaran boleh memuatkan beberapa negara di dalamnya.

Seteruk mana kebakaran Australia ni?

Ia telah membawa kepada kemusnahan 6,000,000 (juta) hektar hutan dan belukar. Dan antara kawasan yang paling teruk terjejas adalah di bahagian New South Wales.

Untuk memberi kau sedikit gambaran dan perspektif kemusnahan yang disebabkan oleh kebakaran belukar Australia ini, izinkan aku bandingkan dengan beberapa kebakaran besar lain yang berlaku pada tahun 2018-2019.

– Kebakaran Hutan Hujan Amazon 2019, telah memusnahkan lebih 900,000 (SEMBILAN RATUS RIBU HEKTAR) hutan.

– Manakala bagi kebakaran hutan California 2018, lebih 800,000 (LAPAN RATUS RIBU HEKTAR) hutan telah musnah dijilat api.

Sekiranya kebakaran belukar Australia seluas 6,000,000 (juta) hektar ini terjadi di Malaysia, kau sedang “menyaksikan” negeri Pahang (negeri terbesar di semenanjung) Johor, Melaka, Kuala Lumpur, dan 3/4 dari Negeri Sembilan sedang terbakar!

Untuk pengetahuan anda semua, peningkatan suhu di Australia ini berpunca daripada fenomena yang dikenali sebagai Indian Ocean Dipole (IOD).

Fenomena ini menyebabkan suhu permukaan laut itu lebih tinggi (panas) di bahagian barat lautan Hindi, dan rendah di bahagian timur lautan Hindi.

Hasilnya, di bahagian timur benua Afrika menyaksikan kadar hujan itu turun lebih dari purata, sehingga adakalanya menyebabkan banjir. Di Asia Tenggara dan Australia pula, terhasilnya cuaca yang panas kering dan menyebabkan kemarau.

Ini kerana fenomena (IOD-positif) ini telah melemahkan tiupan angin, seterusnya mengurangkan kadar lembapan yang dapat dibawa ke Asia Tenggara dan Australia.

Menurut laporan akhbar tempatan dan luar negara, lebih daripada 500 juta haiwan telah terbunuh akibat dari kebakaran, manakala 20 manusia kehilangan nyawa disamping ribuan kediaman telah musnah dijilat api.

Malangnya, kebakaran ini sukar untuk dihentikan kerana ia seolah-olah mencipta “cuaca” yang tersendiri.

Bagaimana?

Ia terjadi seperti berikut;

1. Asap yang terhasil dari kebakaran menyejuk dan menghasilkan awan “pyrocumulonimbus”.

2. Awan ini kemudian membentuk atau menghasilkan ribut petir. Panahan petir daripada ribut ini seterusnya menyebabkan kebakaran baru ke atas tumbuh-tumbuhan yang sedia kering akibat daripada kemarau dan cuaca yang panas.

RUJUKAN:

Abram, Nerilie J.; et al. (2007). “Seasonal characteristics of the Indian Ocean dipole during the Holocene epoch”. Nature. 445 (7125): 299–302.

Abram, Nerilie J.; Gagan, Michael K.; Cole, Julia E.; Hantoro, Wahyoe S.; Mudelsee, Manfred (16 November 2008). “Recent intensification of tropical climate variability in the Indian Ocean”. Nature Geoscience. 1 (12): 849–853.

Behera, Swadhin K.; Yamagata, Toshio (2003). “Influence of the Indian Ocean Dipole on the Southern Oscillation”. Journal of the Meteorological Society of Japan. 81 (1): 169–177.

Ummenhofer, Caroline C. (2009). “What causes southeast Australia’s worst droughts?”. Geophysical Research Letters. 36 (4): L04706.

Ruangan komen telah ditutup.