Marcus Aurelius Antoninus, atau lebih dikenali sebagai Marcus Aurelius ialah maharaja Rom yang ke-16. Beliau memerintah pada tahun 161 Masihi hingga kemangkatannya pada tahun 180 Masihi. Marcus Aurelius dikenang sebagai maharaja terakhir daripada Lima Maharaja Baik (empat yang lain ialah Nerva, Trajan, Hadrian dan Antoninus Pius).

Selain dikenali sebagai maharaja Rom, Marcus Aurelius juga masyhur sebagai salah seorang ahli falsafah Stoic terkemuka lantaran pengetahuan inteleknya yang mendalam.

KEHIDUPAN MARCUS AURELIUS

Marcus Aurelius dilahirkan dalam sebuah keluarga bangsawan Rom pada tahun 121M. Bapa saudaranya ialah Titus Aurelius Antoninus (pengganti Hadrian, yang memakai gelar Antoninus Pius) yang diambil oleh Hadrian sebagai anak angkat selepas calon pengganti pilihannya meninggal dunia secara tiba-tiba.

Hadrian juga mengatur supaya Marcus Aurelius kelak diambil oleh Antoninus. Susulan daripada pengasuhan ini, Marcus Aurelius yang sebelumnya dikenali sebagai Marcus Annius Verus ditukarkan nama kepada Marcus Aurelius Antoninus.

Patung marmar Hadrian di Palazzo dei Conservatori

Hadrian mangkat pada tahun 138 Masihi dan digantikan oleh Antoninus, yang memerintah sehingga kemangkatannya pada tahun 161M. Semasa tempoh awal pemerintahan Marcus, beliau memerintah empayar bersama seorang maharaja-bersama bernama Lucius Verus yang merupakan ‘saudara-tiri’nya. Bapa Lucius ialah Lucius Aurelius, calon pengganti pertama Hadrian.

Lucius menjadi ‘saudara-tiri’ Marcus apabila beliau diasuh oleh Antoninus Pius. Pada tahun 169M, Lucius Verus mangkat justeru Marcus berkuasa sebagai pemerintah tunggal empayar. Pada tahun 177M, Marcus sekali lagi mengambil seorang maharaja-bersama. Kali ini, individu tersebut ialah puteranya sendiri, iaitu Commodus. Marcus mangkat tiga tahun kemudian, yakni pada tahun 180 Masihi.

Potret Lucius Aelius (101-138M)

MARCUS DALAM KARYA ‘THE CAESARS’ DAN TEKS-TEKS LAIN

Marcus Aurelius dipandang oleh sebahagian pihak sebagai maharaja terbaik yang pernah dimiliki Rom. Dalam sebuah karya berjudul The Caesars yang dihasilkan oleh Maharaja Rom kurun ke-4, Julian the Apostate (Julian Si Murtad), Marcus dikisahkan menghadiri sebuah jamuan (yang turut dihadiri oleh para dewa dan maharaja-maharaja Rom lain yang telah mangkat) yang diadakan oleh Romulus bersempena festival Cronia.

Marcus digambarkan dengan pandangan yang positif oleh Julian. Misalnya, Silenus, seorang teman dan pendidik Dionysus mencemuh setiap maharaja sebaik sahaja mereka tiba di jamuan berkenaan. Namun tatkala Marcus tiba, beliau sama sekali tidak melontarkan kata-kata yang buruk kepadanya:

Seterusnya hadir sepasang saudara, Verus (Marcus Aurelius) dan Lucius. Muka Silenus berubah merah dengan amat ketara lantaran beliau tidak dapat mencemuh atau mengejek mereka, terutama terhadap Verus.”

Kemudian, sebuah pertandingan diadakan di jamuan berkenaan bagi menentukan siapakah maharaja terbaik. Sepertimana yang dijangka, Marcus tampil juara.

Jasa-jasa Marcus Aurelius turut direkodkan dalam sumber-sumber sejarah. Misalnya di dalam Historia Augusta dinyatakan bahawa:

Apabila beliau (Marcus) telah kehabisan perbendaharaan bagi pep3rangan ini (p3rang Marcomannic) dan tiada ruang untuk mengenakan sebarang cukai tambahan ke atas wilayah-wilayah kekuasaannya, beliau mengadakan jualan awam semasa Perjumpaan Pendewaan Trajan dan menjual barangan perabot istana.”

Marcus juga dilihat secara positif oleh sejarahwan Cassius Dio, yang antara lain menulis:

… (Marcus) menjadi maharaja (yang berkuasa) sendiri selama 19 tahun 11 hari, namun dari awal hingga akhir (pemerintahannya) beliau kekal sama dan tidak berubah sedikit pun. Beliau sememangnya seorang lelaki yang baik dan bebas dari sebarang sifat kepura-puraan.

KARYA ‘THE MEDITATIONS’ OLEH MARCUS AURELIUS

Selain daripada sumber-sumber bertulis yang memerihalkan tentang Marcus Aurelius, pemikirannya sendiri dapat diselidiki menerusi salah sebuah karyanya yang dikenali sebagai The Meditations. Karya ini berbentuk nota peribadi dan diandaikan dikarang ketika Marcus sedang berada dalam kempen ketenteraan di Eropah tengah.

Menerusi karya inilah Marcus meraih reputasi sebagai seorang ahli falsafah. Falsafah Stoic yang diperihalkan oleh Marcus ini dapat dilihat pada frasa-frasa berikut:

Jadilah seperti tanjung yang sentiasa dipukul ombak,ia tetap teguh dan menjinakkan amukan laut di sekelilingnya.”

Timun itu pahit – maka buanglah ia – Terdapat mawar-mawar liar di jalanan – maka berpalinglah daripada mereka – Hal ini sudah memadai. Janganlah dilanjutkan dengan mempersoalkan mengapa hal-hal sebegitu diciptakan di dunia?”

Namun, tuah itu bermaksud seseorang itu telah menyerahkan dirinya kepada takdir yang baik; dan takdir yang baik ialah pembawaan jiwa yang baik, emosi yang baik dan tindak-tanduk yang baik.”

Lucius Verus, maharaja-bersama Marcus dari tahun 161 hingga kemangkatan Verus pada 169

Walaupun Marcus Aurelius dianggap sebagai salah seorang maharaja Rom yang terbaik, dipercayai bahawa era pemerintahannya ini ditandai dengan ancaman demi ancaman yang diterima oleh empayar dari pihak-pihak luar, terutama dari Parthia dan suku-suku Jerman. Namun, maharaja dan para panglimanya berjaya menundukkan hampir kesemua ancaman ini.

Apapun, kesilapan terbesar Marcus adalah pelantikan puteranya, Commodus, sebagai maharaja-bersama pada tahun 177M. Commodus menjadi pemerintah tunggal Empayar Rom sejurus selepas ayahandanya mangkat pada tahun 180M. Commodus sering dianggap sebagai seorang pemerintah yang buruk sifat dan sikapnya. Selain itu, pemerintahannya pula dilihat sebagai penamat zaman keemasan Rom lantaran Commodus gagal mengikuti jejak langkah ayahandanya.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (15 Februari 2016). Marcus Aurelius: Life of the Famous Roman Emperor and Philosopher. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/marcus-aurelius-life-famous-roman-emperor-and-philosopher-005353


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.