Aturan Jodoh Ratu Victoria Punca WWI

0
3349
views

Jika anda merupakan anggota kerabat diraja pada abad ke-19, anda sebenarnya mempunyai pertalian darah dengan Ratu Victoria. Dan jika anda berstatus cucu baginda, sudah terjamin pasangan merupakan anggota kerabat diraja lain dan perkahwinan diraja yang meriah lagi glamor. Mana tidaknya, Ratu merupakan orang bertanggungjawab mengatur kehidupan cinta cucu-cucunya ini. Namun, tidak semua perkahwinan menjanjikan kesudahan yang bahagia. Malah, ia sebenarnya secara tidak langsung memusnahkan Eropah melalui Perang Dunia Pertama (WWI) dan membentuk Eropah yang kita kenali hari ini.

Ia bukanlah sesuatu yang pelik apabila Ratu Victoria masuk campur soal perkahwinan kerabatnya. Ini berikutan kewujudan Akta Perkahwinan Diraja 1772 yang memberi kuasa kepada baginda untuk menolak mana-mana pasangan yang dianggap tidak sesuai dengan cucu-cucu baginda. Tetapi Ratu tidak berhenti di situ saja, baginda mahu mengatur perkahwinan mereka yang dilihat setaraf dan secocok. Menurut Deborah Cadbury, penulis buku Queen Victoria’s Matchmaking: The Royal Marriages That Shaped Europe, baginda berbuat demikian kerana merasakan boleh mempengaruhi Eropah dan mewujudkan dinasti monarki yang stabil seperti Britain di benua tersebut.

Sesetengah cucu baginda hanya mengikut saja arahan nenda mereka tanpa banyak soal. Cucu lelaki baginda, Albert Victor merupakan orang kedua dalam senarai pewarisan takhta dan tanpa banyak soal menurut permintaan nendanya yang berusaha menjodohkannya dengan mana-mana wanita yang dirasakan sesuai. Pertama, Puteri Alix dari Hesse dan Rhine tetapi baginda menolak sebarang cubaan untuk menjodohkannya dengan Albert Victor. Kedua, anggota kerabat diraja Orleans dari Perancis, Puteri Helene. Hubungan cinta dua insan ini pada mulanya ditentang oleh Victoria kerana Helene merupakan penganut Roman Katolik dan cuba mencadangkan sepupunya, Puteri Margaret dari Prussia sebagai alternatif tetapi ditolak. Selepas kedua-duanya mengisytiharkan cinta mereka di hadapan Ratu, baginda mengalah dan bersedia menerima perkahwinan tersebut. Helene bersedia bertukar ke Gereja Anglican sementara Victor sedia melepaskan hak mewarisi takhta. Bagaimanapun, perkahwinan mereka dibatalkan selepas ayahanda Puteri Helene, Putera Philippe yang juga Count of Paris enggan membenarkan perkahwinan tersebut berlangsung dan tidak mahu anakandanya bertukar mazhab gereja.

Figure 1: Putera Albert Victor

Tak lama selepas itu, Victoria menjodohkan Victor dengan Puteri Mary dari Teck yang dianggap sesuai kerana cantik dan berpengetahuan. Puteri Mary bukan orang lain kerana baginda merupakan anak perempuan sepupu Ratu, Puteri Mary Adelaide. Tanpa banyak soal, Victor melamar Mary dan perkahwinan diatur pada 27 Februari 1892. Bagaimanapun, Victor mangkat pada usia 28 tahun akibat penyakit pneumonia. Tatkala semua meratapi pemergian Victor, ia sebenarnya membuka ruang untuk seorang lagi anggota kerabat diraja Britain mengisi ruang hati Mary: George V. Selepas George V menaiki takhta pada tahun 1910, baginda menjadi Permaisuri England yang baru.

Tetapi tak semua orang mahu mengikut apa yang diaturkan Victoria. Salah seorang daripadanya ialah Alix dari Hesse dan Rhine yang kemudian dikenali sebagai Tsarina Alexandra Feodorovna. Semasa baginda ditawarkan menjadi pengantin Victor, Alix sama sekali tidak berminat dengan cadangan Ratu. Ini kerana baginda sedang dilamun cinta dengan Nicholas Romanov, pewaris takhta Rusia. Bagaimanapun, percintaan tersebut ditentang Victoria kerana baginda menganggap orang Rusia terlalu kasar dan korup.

Menurut Cadbury, apa yang dikatakan baginda itu benar tetapi Alix tidak mengendahkannya kerana sudah mabuk asmara. Selepas Nicholas menaiki takhta dan bergelar Tsar Nicholas II, barulah Ratu Victoria menerima permohonan tersebut dengan berat hati. Cinta pasangan diraja ini kuat tetapi ia berakhir dengan tragedi. Semasa pemerintahan Nicholas, Rusia dilanda revolusi dan peperangan sementara sepupunya sendiri yang merupakan Raja England, George V enggan menghulurkan bantuan kepada kerabat diraja Romanov kerana bimbang akan implikasi politik. Akhirnya, Nicholas II, Alexandra dan lima cahaya mata mereka dibunuh oleh tentera Bolshevik pada tahun 1918.

Waqaf Saham

Figure 2: Alix dari Hesse dan Rhine (Tsarina Alexandra)

Sekiranya itu tidak memeningkan Ratu, lihat pula kerenah sepupu-sepupu ini selepas menaiki takhta. Cucu sulung baginda, Maharaja Wilhelm II menaiki takhta Maharaja Jerman selepas kemangkatan Maharaja Frederick III. Namun tidak seperti cucu-cucu baginda lain, Wilhelm enggan mendengar kata nendanya sendiri dan ini menimbulkan kegusaran pada bondanya sendiri, Permaisuri Victoria. Apabila Jerman berada di ambang peperangan, Victoria menulis surat kepada bondanya di London kerana bimbang dengan tindakan puteranya itu. Dalam satu surat pada tahun 1897, baginda menulis, “Saya memikirkan masa depan yang menakutkan. Ia membuatkan seseorang gila untuk memikirkan kesusahan yang akan muncul.”

Kesusahan yang dibayangkan Permaisuri Victoria itu semakin hampir jadi kenyataan apabila kebanyakan negara Eropah berpecah dan mula mengikut haluan nasionalis. Dan dengan itu juga, sepupu-sepupu ini menjadi musuh ketat mereka sendiri. Raja George V dan Tsar Nicholas II menentang sekeras-kerasnya polisi Wilhelm II. Sebarang harapan untuk pembentukan hubungan diplomatik dalam bentuk perkahwinan oleh Ratu Victoria akhirnya memakan diri. Dan selepas WWI tercetus, mereka semua tidak mampu berbuat apa-apa. Hubungan kekeluargaan yang terjalin sudah dicampak keluar ke tingkap dan pengkhianatan bukanlah sesuatu yang mengejutkan. WWI menyaksikan 16 juta orang awam dan tentera terbunuh dalam perang tersebut. Bagi cucu-cucu Ratu pula, WWI bukan saja penamat kebahagiaan mereka tetapi juga pemerintahan mereka. Selepas perang berakhir, banyak monarki jatuh dari Jerman hingga Empayar Turki Uthmaniyyah.

Hari ini, monarki British menggunakan sedikit kuasa saja ke atas perkahwinan diraja memandangkan Akta Perkahwinan Diraja 1772 dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Pewarisan Takhta 2013. Walaupun monarki masih lagi perlu memberi keizinan kepada perkahwinan diraja seperti perkahwinan Putera Harry dengan pasangannya, Meghan Markle, ia hanya terpakai kepada enam orang teratas dalam senarai pewarisan takhta. Idea pembentukan dinasti diraja melalui perkahwinan dianggap tidak relevan dan hanyalah satu lagi cerita khayalan semata-mata.

SUMBER

Blakemore, Erin. (2018). History.com. How Queen Victoria’s Matchmaking Helped Cause World War I. https://www.history.com/news/queen-victoria-grandchildren-matchmaking-wwi

 

 

Previous articleProf Ahmad Ibrahim: Tokoh Perundangan Islam di Malaysia dan Singapura
Next articlePermainan Video Sebagai Satu Bentuk Perkhidmatan
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE