Atlantis Ditemui Di Mesir!

13,335

Kota Heracleion di Mesir Purba pernah menjadi kawasan perdagangan yang sibuk pada suatu masa dahulu. Kini, ia berada 45 meter ataupun 148 kaki di bawah Laut Mediterranean. Baru-baru ini, beberapa orang penyelam telah  mendedahkan penemuan terbaik sejak kota yang tenggelam itu ditemui buat kali pertama pada dua dekad yang lalu.

Dalam ekspedisi ke bawah laut terkini yang dilakukan, pakar-pakar dari Eropah dan Mesir telah menemui sisa-sisa tinggalan daripada sebuah kuil bersaiz besar di bawah laut, berserta beberapa buah kapal yang dipenuhi dengan harta-karun berupa syiling dan barang kemas.

Ahli-ahli arkeologi yang diketuai oleh Franck Goddio, yang juga ditugaskan dalam pengembaraan bawah air di Heracleion yang pertama, memperkirakan bahawa mereka telah menemukan tiang-tiang batu dari kuil utama kota berkenaan (dikenali sebagai Amun Garp), di samping sejumlah tinggalan kuil yang bersaiz lebih kecil.

Harta-harta yang tidak ternilai harganya itu menunjukkan betapa hebatnya tapak yang masih memiliki rahsia-rahsia yang belum diteroka sejak kali pertama ia ditemui bertahun-tahun yang lalu – memandangkan ia telah terbenam di bawah lumpur dan mendakan yang padat selama ribuan tahun.

Penemuan sebegini berjaya dilakukan berikutan peralatan-peralatan pengimbas yang canggih berupaya mengesan objek-objek yang tersembunyi di dasar laut tanpa terjejas dengan mendapan.

Dengan menggabungkan semula data fizikal geografi daripada satelit, gema bunyi dan meter resonans magnet nuklear serta sonar imbas-sisi, para pengkaji berupaya meraih imbasan-imbasan menyeluruh sebegitu, hinggakan pasukan berkenaan turut berjaya menemukan sekumpulan pelabuhan yang terletak berdekatan Heracleion – suatu penemuan yang belum pernah diraih sebelum ini.

Berbekalkan maklumat ini, para penyelam arkeologi kemudian menghampiri tinggalan tersebut untuk melihat dengan lebih dekat. Selain kuil, mereka juga melaporkan penemuan syiling gangsa dari zaman pemerintahan Raja Ptolemy II (283 hingga 246S), tembikar, barang kemas dan peti simpanan yang terdapat dalam tinggalan beberapa buah kapal.

Para arkeologis juga menaikkan syiling-syiling dari zaman Byzantine, di mana kelihatan seakan-akan kota tenggalam ini pernah dihuni sekurang-kurangnya pada abad ke-4SM. Penemuan lain juga melibatkan bahagian hilang pada sebuah kapal yang telah ditemukan dalam projek ekskavasi yang lalu.

Penemuan lanjut dilakukan di Canopus, iaitu sebuah lagi kawasan kota tenggelam berhampiran. Usaha ini melibatkan penemuan seperti syiling zaman Ptolemaic dan Byzantine, cincin dan anting-anting dari zaman Ptolemaic.

Heracleion (juga dikenali sebagai Thonis) diperkirakan telah dibina sejak abad ke-8SM di tebing Sungai Nil dan dinamakan bersempena wira Hercules yang pernah melawatnya – atau begitulah menurut legenda. Kota itu kini dikenali secara tidak rasmi sebagai ‘Antlantis Mesir’.

“Objek-objek yang ditemukan daripada kerja-kerja ekskavasi ini menggambarkan keindahan dan kegemilangan kota berkenaan, kehebatan kuil-kuil mereka yang besar dan kelimpahan bukti bersejarah,” terang sebuah perincian projek di laman sesawang Goddio.

“Patung-patung besar (colossal), prasasti dan unsur-unsur seni bina, serta barang kemas dan syiling, juga barang keagamaan dan seramik – sebuah tamadun yang tiba-tiba hilang dari lipatan sejarah.”

Bagaimana kota ini tenggelam di laut masih kekal misteri dalam kalangan ahli sejarah. Namun, andaian terbaik untuk merungkai teka-teki ini adalah kenaikan paras laut, aktiviti gempa bumi dan runtuhan pada tapak yang mengakibatkan seluruh kota menggelongsor jatuh ke dalam Laut Mediterranean, sekurang-kurangnya pada 1000 tahun yang lalu.

Kini, pasukan arkeologis lautan dalam telah menyiapkan penemuan-penemuan mereka itu untuk diterbitkan ke dalam jurnal saintifik. Agak menarik untuk melihat perkembangan lanjut di Heracleion; Goddio menganggarkan hanya sekitar 5% sahaja dari keseluruhan kota itu yang ditemui setakat ini.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.