Atlantis – Dari Mitos Kepada Fakta Sejarah

3,339
Foto: Plato – Pengarang kisah Atlantis melalui karya dialog Timaeus & Critias

Misteri kota Atlantis yang hilang masih menjadi igauan imaginasi jutaan manusia. Sama ada ia suatu kenyataan atau mitos? Maka di sini kita perlu fakta-fakta asas.

Tamadun-tamadun silam yang hilang memang wujud. Penemuan arkeologi terbaru sering berlaku dari masa ke semasa. Tempat seperti Garisan Nazca boleh dilihat dengan jelas menggunakan Google Earth. Kota-kota purba lama yang baru ditemui di hutan hujan Amazon. Hanya kerana kita tidak menemui Atlantis, tidak bermaksud kita tidak akan menemui di masa hadapan.

Jika anda benar-benar berminat dengan kisah Atlantis, maka kita mesti bermula dari sumber utama, iaitu penulisan Plato dari karyanya iaitu Timaeus & Critias.

Bila anda menolak kisah-kisah dewa-dewi, perumpamaan serta interpretasi sosial dari teks berkenaan, anda kini mempunyai beberapa kunci penting:

– Solon (638 –558 Sebelum Masihi) adalah seorang negarawan, ahli perundangan dan pemuisi Lyric dari Athens yang mendakwa telah mendengar kisah Atlantis dari beberapa rahib Mesir ketika dia melawat mereka di mana diceritakan kisah ini kepadanya disebabkan orang Athens (bangsa Yunani) telah melupakan sejarah silam sebenar kerana dari zaman ke satu zaman lainnya ketamadunan Yunani sering dimusnahkan bencana.

– Para rahib Mesir merujuk kepada “Deklarasi dari Alam Syurgawi”, bermaksud meteor yang menyebabkan kemusnahan pada Bumi.

– Rahib-rahib Mesir ini memahami dari masa ke semasa dalam sejarah memang ada berlakunya bencana alam yang melibatkan eleman air dan api. Mereka mengatakan segala bencana ini adalah tindakan Dewa Dewi.

– Pernah berlaku peperangan antara orang Yunani Athens dan kaum Atlantis. Dikatakan Yunani Athens berasal dari Athens.

– Kaum Atlantis berasal pula dari sebuah pulau jauh melepasi Tiang Heracles.

–  Peperangan berkenaan berlaku 9000 tahun sebelum sejarah penulisan bermula iaitu 2500 tahun yang lalu – secara umumnya jika dikira dari sekarang, lebih 11,500 tahun dahulu.

– Altantis didakwa merupakan sebuah pulau lebih besar dari keluasan Libya & Asia jika dicantumkan.

– Atlantis akhirnya dimusnahkan oleh gempa bumi.

– Dewa-Dewi Athens pula berdamai antara satu sama lain

– Kisah Atlantis dilupakan oleh kaum Yunani Athens disebabkan berlakunya banjir besar di seluruh dunia sehinggakan hanya mereka yang terselamat di kawasan pergunungan terdiri daripada orang yang buta huruf sahaja.

– Solon mengatakan kejadian berkenaan berlaku sebelum zaman Theseus.

– Pada zaman itu, nenek moyang Yunani Athens menguasai jajahan dari Isthmus Corinth ke banjaran Cithaeron di tengah Greece dan Parnes. Oropus terletak di sempadan kanan dan sungai Asopus pula di sempadan kiri.

– Jajahan takluk kuno Athens sangat subur dan mampu menyediakan pasukan tentera yang besar.

– Dikatakan banyak berlaku banjir besar sepanjang 9000 tahun sebelum kisah Atlantis direkodkan.

– Banyak tebing-tebing yang mengelilingi tanah jajahan Athens kuno telah terhakis ke dalam laut dan banyak hutan-hutan kayu yang pernah wujud telah kebanyakannya hilang. Selain itu kawasan daratan kurang terhakis manakala kurangnya jumlah hujan, akhirnya perlahan-lahan ditelan laut.

– Iklim cuaca lebih kurang sederhana

– Acropolis lebih besar dan dikelilingi tanah, bukan batu-batuan seperti sekarang.

– Yunani Athens kuno memiliki Gymnasia.

– Ketika itu banyak punca mata air yang kemudiannya hilang selepas berlaku gempa bumi.

– Kaum Athens kuno sangat menawan dan amat sihat yang bersiapsiaga untuk peperangan

– Poseidon adalah Dewa Penaung dan Dewa Agung Atlantis (Dewa Lautan dan Gempa Bumi)

–  Atlantis sebuah pulau dengan sebuah gunung ditengah-tengahnya dengan lapangan kawasan tanah yang subur mengelilinginya.

– Di gunung berkenaan dikelilingi terusan-terusan air.

– Air dikatakan mengalir dari bawah tanah, ada panas, ada yang sejuk.
– Tanaman tumbuh subur dari tanah yang subur.

–  Anak sulung Dewa Poseidon lahir di Atlantis dan dinamakan Atlas dan laut mengelilingi pulau berkenaan dinamakan Atlantic.

– Jauh dari Tiang Heracles, kota Atlantis menguasai kepulauan dan kerajaan daratan sejauh Mesir.

– Bangsa Atlantis mempunyai hubungan perdagangan yang kuat dengan negara-negara lain.

– Orichalcum (sejenis logam / aloi berwarna merah berkemungkinan campuran tembaga & emas) sering ditemui di Atlantis.

– Pulau Atlantis adalah kawasan yang penuh dengan hutan rimba.

– Terdapat banyak kawanan gajah yang hidup di pulau itu.

–  Ada juga pokok berangan (chestnut) di pulau itu.


– Pulau dan kota Atlantis telah lama wujud sehinggakan ramai pemerintah / raja terkemudian membangunkan kawasan Atlantis.

– Kota Atlantis mempunyai terusan dari laut hingga ke lagun di dalam kota.
– 3 jenis batuan berwarna merah, putih dan hitam dilombong dari kuari-kuari di Pulau Atlantis..

– Kaum Atlantis menggunakan loyang (brass) untuk menutupi tempat kediaman, serta menggunakan loyang, timah dan logam orichalcum untuk menutupi dinding luaran kota2 merela.

– Kuil Poseideon ditengah-tengah kota pula mempunyai reka bentuk gasar manakala bumbung dalaman kuil diperbuat daripada gading.

– Dalam kuil itu terdapat patung dewa menaiki kereta kuda (chariot).

– Kota Atlantis terdapat tempat mandi awam untuk kegunaan peribadi serta masyarakat umum dan air yang telah digunakan dikumpul serta digunakan ke kawasan pertanian mereka.

– Pelabuhan Atlantis penuh dengan kapal laut (jenis Trireme) dan keperluan bekalan lautan.

– Banyak tebing-tebing pada sekeliling pulau tetapi secara umumnya ia adalah dataran plateau dengan sebuah gunung kecil di tengahnya dan kawasan gunung ganang di sebelah utara.

– Kawasan utara pulau sangat indah dengan ketinggian pergunungannya.

– Kawasan dataran pula mempunyai ngarai berbentuk bulatan yang mana saiznya (lebih 100 kaki kedalaman) tidak mungkin dari buatan manusia.

– Pasukan tentera Atlantis memilikan banyak kereta kuda perang (war chariot).

– Masyarakat Atlantis menerima manfaat dari hujan di musim dingin.

– Perisai tentera Atlantis agak kecil.

– Jajahan takluk Atlantis di pulau itu dibahagikan kepada 10 kerajaan dengan kota masing-masing.

– Tiada raja Atlantis boleh berperang dengan raja Atlantis yang lain.

– Peraturan ini dipatuhi untuk satu jangkamasa yang lama akhirnya kebanyakan raja-raja Atlantis terkemudian terpengaruh dengan nafsu mereka dan melakukan dosa-dosa.

– Kawasan dataran pula mempunyai ngarai berbentuk bulatan yang mana saiznya (lebih 100 kaki kedalaman) tidak mungkin dari buatan manusia.

– Pasukan tentera Atlantis memilikan banyak kereta kuda perang (war chariot).

– Masyarakat Atlantis menerima manfaat dari hujan di musim dingin.
– Perisai tentera Atlantis agak kecil.

– Jajahan takluk Atlantis di pulau itu dibahagikan kepada 10 kerajaan dengan kota masing-masing.

– Tiada raja Atlantis boleh berperang dengan raja Atlantis yang lain.


– Peraturan ini dipatuhi untuk satu jangkamasa yang lama akhirnya kebanyakan raja-raja Atlantis terkemudian terpengaruh dengan nafsu mereka dan melakukan dosa-dosa.

Foto: Ilustrasi kota mitos Atlantis berdasarkan input Plato dalam Timaeus & Critias

Ini sahaja intipati penting dari kisah Atlantis yang direkodkan oleh Plato. Ini bermaksud apa sahaja yang pernah anda baca berkaitan hikayat mitos Atlantis, yang bukan terjemahan karya Plato yang asal (Yunani Hellenistik), adalah samada palsu, rekaan atau diagak-agak semata-mata.

Walaupun kisah mitos kota Atlantis yang hilang itu bukannya merujuk pada satu tempat / lokasi semata-mata, gambaran dalam karya Timaeus & Critias oleh Plato agak tepat dari segi naratifnya. Plato pula berkali-kali menegaskan Atlantis pernah wujud.

Lagenda Atlantis walaupun dulunya mungkin dari mulut ke mulut, ianya bermula apabila Plato (428 – 348 Sebelum Masihi), ahli falsafah Yunani era Klasikal pada zaman mudanya telah mengembara mencari ilmu ke Itali, Sicily, Mesir dan Cyrene sebelum pulang ke Athens pada usia 40 tahun.

Ketika dia mengunjungi Mesir (yang ketika itu di bawah jajahan empayar Parsi Achaemenid), Plato mengetahui mengenai mitos Atlantis dari rahib Mesir yang mengatakan dahulunya pada kurun ke 6 SM (200 tahun sebelum zaman Plato) ada seorang tokoh reformis Athens, Solon (638SM – 558SM) yang melawat di kota purba Mesir iaitu di Sais dan mendapat tahu riwayat kisah Atlantis dari seorang rahib Mesir. Dikatakan rahib ini telah membuat penterjemahan rekod sejarah lampau dari penulisan heroglif Mesir ke bahasa Yunani dari kertas papyrus.

Jika apa yang dikata Plato adalah benar, maka masyarakat purba Mesir adalah bangsa yang berhubungan dengan tamadun Atlantis dan hikayat dongeng Atlantis bukan sekadar kisah mulut ke mulut, tetapi pernah tercatit dalam rekod Mesir purba! Walaupun rekod berkenaan (mengenai Atlantis) sudah tiada ditelan zaman, tetapi berdasarkan karya Plato, sekurang-kurangnya dahulu kisah mitos Atlantis telah tercatat dalam rekod purba Mesir di kota Sais dan para rahib Mesir lebih awal mengetahui kisah mitos ini.

Tetapi, kini bukti baru dari rekod Mesir bakal menggemparkan pengkaji sejarah Atlantis …. malah mendekatkan lagi mitos Atlantis dengan tamadun Minoan!

SILANG SEJARAH – ANTARA MITOS DAN REKOD ARKEOLOGI

Namun begitu, bagi setiap kisah dongeng / riwayat, pasti ada secebis kebenaran. Contohnya, kisah peperangan Yunani purba terhadap Troy. Kini, berdasarkan penemuan arkeologi serta sains geologi dan penelahaan karya-karya terdahulu, akhirnya kisah lagenda Troy menjadi suatu kebenaran dengan penemuan tapak kota berkenaan serta disokong bukti-bukti rekod bertulis era empayar Hittite.

Hikayat Atlantis sebagaimana tercatat dalam karya dialog Plato iaitu Timaeus & Critias jelas menyatakan Atlantis merupakan ketamadunan awal manusia, walaupun mungkin hanya kisah dongeng sahaja.

Mesti diingati, Peradaba Minoan, sebuah tamadun awal Yunani kuno bermula seawal 3000 SM, iaitu 5000 tahun yang lampau. Pada era itu, tamadun lain yang bersaing mahupun berdagang dengan tamadun Mesir Kuno adalah tamadun Minoan. Bergerak seiring dengan tamadun Mesir kuno, peradaban Minoan bertahan hampir 1500 tahun sehinggalah era letusan Santorini / Thera pada 1620 SM / 1520 SM yang menyebabkan kejatuhan empayar maritim ini.

Maka tidak hairanlah jika ada rekod Mesir Kuno yang mungkin pada zaman Solon atau Plato masih tercatat kisah suatu empayar maritim Yunani kuno dari kepulauan Aegean yang diinspirasi dari empayar Minoan yang telah lama terkubur, sekurang-kurangnya 1000 tahun sebelum Plato / Solon melawati Mesir dan mendapat inspirasi Atlantis berdasar kisah-kisah yang diriwayatkan dari rahib kuil Mesir.

Kesan arkeologi Minoan bermula seawal 3000 SM dan kemusnahan ketika era letusan Santorini 1500 tahun kemudian samada pada 1620 SM / 1520 SM serta akhirnya lenyap pada 1325 SM akibat penjajahan Yunani Mycenae.

Mitos Atlantis jelas menyebut sekurang-kurangnya Atlantis telah mempunyai hubungan dengan kerajaan Mesir kuno dan menjalankan ekspedisi perluasan empayar mereka di sekitar Mediterranean dan kawasan laut Aegean serta hanya penduduk Athens sahaja yang menghalang perluasan jajahan Atlantis sehinggalah Atlantis dimusnahkan oleh gabungan bencana alam yang dahsyat dan ditelan ke dasar laut.

Yang menariknya, mitos Atlantis merujuk kepada satu tamadun awal Yunani Kuno, tapi penduduknya dan peradabannya jauh lebih ke hadapan serta unik berbanding masyarakat Yunani awal (Yunani Helladic).

KUNCI ATLANTIS – MESIR PURBA?

Kita buat kajian sejarah silang pula dengan Minoan. Diketahui dari rekod Mesir purba melalui penemuan makam Ratu Hapshetshut. Pada zaman Ratu Hapshetshut memerintah Mesir, baginda menjalankan polisi luar berdagang dengan negara-negara luar dari Mesir.

Berdasarkan bukti lukisan pada dinding makam ratu ini, terdapat lukisan hieroglif yang dilakar ketua arkitek baginda iaitu Senmut menggambarkan kedatangan pedagang asing digelar Keftiu yang membawa hadiah-hadiah berbentuk tembikar dan pelbagai barangan lain.

Yang paling menarik, pedagang Keftiu & barangan hadiah mereka dilakar jelas memakai pakaian Minoan dan mempunyai ciri-ciri Minoan! (Sila rujuk “Thera, Hatshepsut, and the Keftiu” – Alexander MacGillivray)

Foto: Lukisan hieroglif ‘The Grand Procession’

Rekod kaum Minoan / penduduk Crete / ‘Keftiu’ dari lukisan hieroglif Mesir ‘The Grand Procession’ sebagaimana yang terdapat pada makam Rekhmire, seorang wazir Mesir (Perdana Menteri / Bendahara mengikut pemahaman kini) yang mentadbir Mesir ketika era Firaun Tuthmosis III dan Firaun Amenophis II.

Secara umumnya, ada 3 barisan pedagang / utusan asing yang membawa hadiah kepada Firaun. Mengikut urutan:

1) Kaum dari Punt membawa kemenyan dari pohonan, babun, monyet dan kulit haiwan (The people of Punt who bring incense trees, baboons, monkeys and animal hides)

2) Kaum dari Kefti membawa tembikar dan bekas minuman (The people of Kefti, carrying pots and cups)

3) Kaum Kushite (Nubia) membawa haiwan Afrika (zirafah, harimau bintang, babun, monyet dan anjing serta gading, kulit haiwan serta emas (The Kushites (Nubians) who bring animals of equatorial Africa (giraffes, leopards, baboons, monkeys and dogs), offering ivory, animal hides and gold)

Cuba bandingkan dengan gambaran kaum Minoan Crete pada lakaran dinding fresco Minoan di Knossos serta hasil tembikar mereka pula:

Foto: Lakaran dinding fresco pada binaan Minoan di Knossos menggambarkan bangsa Minoan

Lukisan hieroglif Mesir mengenai bangsa Keftiu mirip kepada lakaran fresco Bangsa Minoan di Knossos, petunjuk jelas  Keftiu adalah bangsa Minoan!

Keftiu mengikut pemahaman Mesir sebagai kaum mendiami kerajaan kepulauan dan menariknya, terletak betul-betul di Laut Aegean mengikut gambaran rekod Mesir terdahulu. Malahan, beberapa artifak Minoan dari era 2000SM – 1500SM telah ditemui di Mesir. Selain itu, menjelang 1500SM, pedagang dari ‘Keftiu’ tidak lagi mengunjungi pelabuhan Mesir, kelangsungan dari letusan Thera / Santorin.

Mesti diingatkan, tamadun Minoan pada 1500SM berada di puncak kegemilangannya dengan perluasan kuasa dari pulau Crete ke sekitar hampir semua lepulauan di Aegean. Lebih menarik lagi, dalam 200 tahun selepas letusan Santorin, berlaku peperangan antara sakibaki penduduk Minoan dengan penduduk tanah besar Greece iaitu Yunani Mycenae, berkemungkinan perebutan sumber makanan atau penghijrahan semula.

Dan akhirnya, tamadun Minoan yang telahpun merosot pupus setelah bangsa Yunani Mycenae menakluk pulau Crete dengan keganasan.

Dan harus diketahui, hanya yang menang dan bangsa penakluk berhak menulis kembali sejarah mengikut pemahaman mereka, dalam kes ini, diabadikan sebagai kisah riwayat dan akhirnya bertukar dongengan ribuan tahun kemudian. Tamadun Yunani Mycenae juga ditakdirkan pupus menjelang 1100 SM, berkemungkinan akibat serangan / migrasi gasar puak Doric ke atas kawasan Greece dan kepulauan lain.

Kaum Yunani Dorian yang mewarisi hikayat dan kebudayaan Yunani Mycenae meneruskan kelangsungan sejarah Yunani kuno. Namun begitu, selain dewa-dewi purba Yunani Mycenae, hikayat Troy (ini berlaku tika era Yunani Mycenae), kisah Minoan tamat begitu sahaja dan hilang sebagaimana lenyapnya tamadun Yunani Mycenae, telah berlaku Zaman Kegelapan yang pertama di kebanyakan tamadun dunia di Asia Barat, Mediterranean serta kawasan lain … memungkinkan rekod kewujudan Minoan dan hikayat mereka hilang dari peradaban Yunani seterusnya.

Maka tidak hairanlah, lebih 1000 tahun kemudian, dengan Solon dan diikuti Plato yang merupakan keturunan Yunani Dorian yang kini melalui zaman era Yunani Klasikal hanya menemui kisah sejarah sebuah empayar maritim yang luas yang dimusnahkan bencana alam yang hanya dituturkan rahib kuil Mesir yang mempunyai akses kepada rekod lampau 1000 tahun terdahulu.

Maka mitos Atlantis pun lahir dan menjadi enigma misteri sehingga kini.

RUJUKAN: 

1) Lost City Atlantis by Plato’s Timaeus & Critias.

2) Atlantis: The Making of Myth, Phyllis Young Forsyth

3) Thera, Hatshepsut, and the Keftiu, Alexander MacGillivray

4) Keftiu and Materializations of ‘Minoans’, Uros Matic: http://www.mikroarkeologi.se/publications/encounteringimagery/13.Uros.pdf

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.