Moving Forward As One

Ataturk Adalah Liberal: Sejauh Mana Kebenarannya?

2,336

Baru-baru ini, penulis mendapati terdapat beberapa individu termasuklah seorang figura terkenal yang merupakan exco pergerakan pemuda dari sebuah parti politik Melayu telah menggunakan Mustafa Kemal Ataturk bagi menggambarkan budaya liberal yang kita semua faham sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

Berdasarkan kenyataannya dalam satu program, dia mempersoalkan tindakan seorang ahli parlimen yang dilihatnya sebagai cuba mempromosikan fahaman ‘liberal’ kerana hadir di sebuah majlis yang meraikan para pelajar di Turki dengan gambar berlatar belakang Mustafa Kemal Ataturk.

Niat beliau mungkin baik, tetapi kita perlu ketahui sisi ideologi seorang tokoh sebelum berbicara tentangnya. Ataturk bukan seorang yang berfikiran liberal dalam politik mahupun kehidupan menyeluruh. Dan kenyataan beliau seolah-olah mahu menggambarkan bahawa seluruh rakyat Turki membenci Ataturk sedangkan hal sebenarnya adalah berbeza sama sekali.

Sumber: Facebook

Liberal bermaksud memiliki pandangan yang menyokong dalam suatu perkara, contohnya kebebasan berpolitik. Dan sememangnya ia berasal dari ideologi politik. Liberal adalah keseluruhan idea. Demokrasi liberal adalah bentuk pemerintahan berdasarkan kuasa majoriti terhad. Ia berdasarkan idea yang dipupuk dari tuntutan hak kebebasan dan kesamarataan. Liberalis lazimnya haruslah menyokong pelbagai pandangan bergantung kepada pemahaman mengenai prinsip-prinsip ini:

  • Mempromosikan idea seperti pilihan raya yang bebas dan adil, hak sivil, kebebasan media, kebebasan beragama, dan hak memiliki harta persendirian.
  • Menolak konsep-konsep seperti hak keistimewaan turun temurun, negara berasaskan agama, komunisme, raja monarki mutlak, dan kepercayaan seorang raja memerintah kerana menerima mandat dari Tuhan seperti China kuno.
Sumber: Facebook

Idea liberal menyatakan bahawa setiap manusia mempunyai hak terhadap kehidupan, kebebasan dan harta benda. Ia boleh dikelaskan kepada yang berikut:

  • Liberalisme Klasik: Ini adalah falsafah politik atau sosial yang menganjurkan kebebasan individu, sistem kerajaan berparlimen yang betul, dan tidak ada pengubahsuaian dalam reformasi politik, sosial, atau ekonomi dan bagi memastikan usaha pembangunan yang lengkap dalam segala aspek kemanusiaan. Ia menjamin hak individu dan kebebasan umum.
  • Liberalisme Konservatif: Ini merupakan salah satu pilihan liberalisme di mana nilai dan dasar liberal digabungkan dengan adat, budaya dan tradisi.
  • Liberalisme Ekonomi: Satu kepercayaan ideologi yang berperanan dalam membantu dalam mengatur garis ekonomi.

Negara sekular adalah satu konsep di mana sebuah negara mempromosikan idea yang secara rasminya berkecuali dalam hal ehwal keagamaan, pada dasarnya sekularis adalah golongan yang tidak menyokong mahu pun membantah kepercayaan agama atau penolakan terhadap agama. Tetapi bagi diri seorang sekularis sendiri haruslah memilih untuk bebas dari pengaruh agama. Jadi sepatutnya sekularis juga adalah salah satu cabang ideologi liberal kan? Namun apa yang membezakannya?

Dalam sebuah negara sekular, setiap warganegara sepatutnya diperlakukan sama rata tanpa mengira pegangan agama mereka dan mengelakkan tindakan prejudis yang berat sebelah terhadap warganegara yang mempunyai pegangan agama tertentu. Namun, disebabkan majoriti masyarakat dunia masih beragama dan rata-ratanya berbeza kepercayaan, sekular berubah menjadi sebuah sistem yang sangat mengawal hak dan kebebasan rakyat.

Kerajaan yang sekular biasanya akan menyatakan prinsip mereka adalah berperanan memberi kebebasan beragama kepada rakyatnya, tetapi pada masa yang sama, mereka sendiri cuba ‘membebaskan’ rakyat dari segala peraturan dan ajaran keagamaan secara halus kerana dalam situasi mereka, kerajaan tidak boleh mengharamkan sepenuhnya amalan keagamaan di kalangan rakyat kerana dasar prinsip sekularis moden adalah ‘agama itu hak individu yang tidak boleh dipraktikkan di tempat awam’.

Bagi sekularisme, agama adalah punca perpecahan masyarakat dan penindasan kerajaan terhadap rakyat. Jika rakyat sendiri dikawal sebegitu rupa dalam konteks beragama, apatah lagi di dalam struktur sebuah kerajaan sekular itu sendiri, seperti Republik Turki, sistem pentadbiran mereka tidak boleh dipengaruhi oleh agama, tetapi ia perlu melibatkan agama semasa membuat suatu keputusan untuk negara memandangkan majoriti rakyat masih beragama.

Dalam pemahaman yang lebih ringkas, tidak pernah wujud konsep penubuhan sebuah negara berdasarkan pengaruh agama dalam pemahaman sebuah negara sekular. Tetapi, kurangnya pengaruh agama di sebuah negara tidak semestinya akan menjadikannya sekular. Negara sekular menjadi sekular dengan penubuhan negara-bangsa seperti Amerika Syarikat atau India atau setelah melalui proses sekularisasi melalui konflik seperti Turki dan Perancis.

Jika kita hendak mengatakan bahawa sekular dan liberal itu adalah sama, cuba perhatikan apa yang berlaku di negara-negara yang disebutkan di atas. Adakah mereka menawarkan kebebasan beragama? Ya. Tetapi, adakah mereka memberi kebebasan dalam mengamalkan kepercayaan beragama? Tidak. Memandangkan akar kepada isu ini adalah Mustafa Kemal Ataturk, jadi penulis hanya akan memberikan fokus kepada Turki.

Mustafa Kemal Ataturk

Di Turki, semenjak Ataturk mengambil alih tampuk pemerintahan dan menubuhkan Republik Turki, apa yang kita faham sebagai liberal dan sekular di sana adalah dua perkara yang amat jauh berbeza walaupun pada dasarnya kedua-duanya adalah ideologi yang memupuk kepada kebebasan, tetapi kebebasan menurut fahaman sekular adalah amat berbeza. Manakala fahaman liberal lebih sesuai dengan maksud yang terdapat pada namanya sendiri iaitu ‘kebebasan’ secara menyeluruh dari segala aspek.

Sistem sekular gaya Ataturk di Turki tidak menawarkan kebebasan, bahkan larangan dan kawalan terhadap rakyat terutamanya kaum minoriti jauh lebih diutamakan berbanding hak kesamarataan. Mustafa Kemal Ataturk telah memisahkan sebarang pengaruh agama dari pentadbiran negara sebagai asas kepada mendirikan sebuah negara Turki sekular. Pada titik ini, dia mungkin telah ‘membebaskan’ kerajaan dari pengaruh keagamaan. Tetapi itu tidak bermakna dia meraikan kebebasan yang berpaksikan fahaman liberal, sistem sekular ini lebih kompleks dan tegas.

Contohnya, pada tahun 1934, Ataturk mengasaskan Undang-undang Nama Keluarga Turki dalam perlembagaan negara (Soyadı Kanunu) yang bertentangan dengan prinsip liberal kerana secara khusus ia telah melarang penggunaan nama keluarga tertentu yang mengandungi bunyi dan ejaan konotasi mengikut budaya, bangsa, suku, dan agama asing. Seorang warganegara Turki wajib berorientasikan budaya Turki sahaja sama ada melalui pemberian nama, budaya, mahu pun bahasa, walaupun seseorang rakyat Turki itu adalah berbangsa Yahudi, Yunani, ataupun Arab. Penulis pernah menerbitkan artikel yang boleh dibaca pada pautan ini: Proses Turkinisasi Rakyat Uthmaniyah

Ataturk juga melarang sebarang fesyen pemakaian yang memiliki ciri-ciri berbudaya yang mencerminkan rakyat Turki semasa era pemerintahan Empayar Uthmaniyah seperti pemakaian Tarbus atau Fez. Jadi di mana logiknya dia dilabel sebagai liberal? Semua ini termasuk sebagai sebahagian daripada agenda Reformasi Ataturk yang dilaksanakan oleh Ataturk sendiri dan penyokong politik Kemalis selepas dia meninggal dunia.

Fez Turki

Reformasi Ataturk adalah siri perubahan dasar-dasar politik, undang-undang, agama, budaya, sosial, dan ekonomi, yang dirancang untuk mengubah Republik Turki yang baru menjadi negara bangsa yang sekular dan moden, yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Mustafa  Kemal Ataturk sesuai dengan ideologi Kemalis. Dan walaupun Ataturk amat memusuhi bangsa asing termasuklah orang Inggeris kerana cuba menja.jah Turki selepas Per.ang Dunia Pertama, namun dia menganggap punca kepada kekalahan Uthmaniyah adalah kerana Uthmaniyah ketinggalan jauh di belakang British dalam aspek pembangunan teknologi dan ilmu sains.

Maka, intipati reformasi ini adalah kepercayaan bahawa masyarakat Turki harus “mencontohi barat”. Modenisasi yang dimaksudkan itu dicapai dengan menerapkan budaya Barat dalam bidang-bidang tertentu dan ianya boleh dikelaskan seperti berikut:

  • Reformasi politik
  • Reformasi ekonomi
  • Reformasi sosial
  • Reformasi undang-undang
  • Reformasi pendidikan
  • Lain-lain

Ia termasuklah berbagai-bagai lagi bentuk reformasi yang lain, kesemua yang disebutkan di atas ini dilaksanakan dari segi politik dan budaya untuk mencapai kemajuan. Reformasi ini melibatkan sejumlah perubahan asas-asas beberapa institusi yang akan menghapuskan pelbagai kepercayaan dan tradisi, dan diikuti dengan pelbagai jenis program yang direka dengan teliti untuk membongkar sistem yang dianggap kompleks yang telah berkembang selama berabad-abad sebelumnya.

Reformasi Ataturk dimulakan dengan modenisasi perlembagaan, termasuklah menggubal Perlembagaan baharu tahun 1924 untuk menggantikan Perlembagaan 1921, dan beradaptasi dengan sistem undang-undang dan keadilan gaya Eropah mengikut keperluan Republik Turki yang baru ditubuhkan. Ia diikuti oleh sekularisasi dan modenisasi pentadbiran secara menyeluruh, dengan fokus khusus yang menumpukan hampir sepenuhnya kepada sistem pendidikan.

Dari segi sejarah, Reformasi Ataturk agak dipengaruhi oleh reformasi zaman Tanzimat zaman Empayar Uthmaniyah, yang bermula pada tahun 1839 dan berakhir dengan Era Perlembagaan Pertama pada tahun 1876, serta pelbagai usaha sekularisasi, demokratisasi, dan modenisasi Empayar Uthmaniyah di sepanjang Era Perlembagaan Kedua bermula dari tahun 1908 hingga 1913.

Umat Islam era Uthmaniyah

Dari segi politik, jika anda mahu mengatakan bahawa Ataturk adalah seorang yang liberal, ketahuilah bahawa dia memerintah sebagai seorang diktator, sepanjang zaman pemerintahannya, walaupun sistem multi-parti yang demokratik telah diluluskan dalam perlembagaan, tetapi dia telah bertindak mengharamkan dan menindas begitu banyak parti-parti politik terutamanya yang didominasi oleh kaum minoriti dan serpihan parti dari pergerakan Turki Muda. Sistem multi-parti yang lebih demokratik hanya berfungsi secara efektif pada tahun 1945, dan pada tahun 1950, Parti Demokratik Turki muncul sebagai parti pembangkang yang pertama memenangi pilihanraya di Turki.

Dari segi kebebasan awam, kebanyakan hak kebebasan yang mencerminkan prinsip-prinsip liberalisme hanya diberikan kepada kaum wanita. Dalam konteks keagamaan, wanita Islam perlu menutup aurat dengan sempurna, dan Ataturk tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan tentang tatacara berpakaian mengikut kehendak sekularnya terhadap kaum wanita, dia memberi kebebasan kepada wanita untuk memilih cara berpakaian sendiri.

Kecuali pada tahun 1980-an, wanita dilarang dari memakai hijab di fasiliti dan bangunan-bangunan kerajaan seperti mahkamah dan sekolah atas sebab-sebab keselamatan. Sebaliknya, kaum lelaki sejak awal lagi dilarang keras dari memakai atau beramal dengan budaya-budaya yang mewakili agama Islam di tempat awam dan mewakili tradisi Uthmaniyah secara keseluruhan. Seorang warganegara Turki tidak dibenarkan mengamalkan kepercayaan agamanya di tempat awam.

Sebilangan institusi sosial mempunyai peraturan yang ketat berkaitan agama, dan memiliki pengaruh yang besar terhadap kehidupan masyarakat. Reformasi sosial juga merangkumi perubahan struktur sosial keagamaan yang telah berabad-abad lamanya berakar umbi dalam masyarakat sama ada ianya adalah Islam, Yahudi, mahu pun Kristian. Kebanyakan reformasi ini dikenakan terhadap institusi-institusi keagamaan yang telah wujud sejak era pemerintahan Empayar Uthmaniyah, antaranya adalah institusi tareqat kesufian dan darwish. Namun, Reformasi Ataturk membawa perubahan sosial yang efektif terhadap hak memilih bagi kaum wanita.

Tareqat Sufi antara yang terkesan dalam Reformasi Ataturk

Reformasi Ataturk menggambarkan laicité (pada tahun 1935) telah mempengaruhi ke dalam ruang pemerintahan dan keagamaan. Agama kaum minoriti, seperti Ortodoks Armenia atau Yunani diberi jaminan perlindungan oleh perlembagaan sebagai hak kepercayaan secara individu (hanya boleh diamalkan di ruang peribadi), tetapi jaminan ini tidak memberikan hak kepada mana-mana komuniti agama di ruang sosial. Perbezaan ini turut dilaksanakan terhadap Islam dan umat Islam.

Bermula pada tahun 1935, Ataturk menganggap ruang sosial sebagai hak sekular. Perjanjian Lausanne, perjanjian penubuhan Republik yang mengikat kuasa-kuasa besar selepas Ataturk berjaya membebaskan Turki dari penja.jahan, tidak menentukan sebarang kewarganegaraan atau mana-mana etnik. Perjanjian Lausanne hanya menyebut orang bukan Turki sebagai orang bukan Islam secara umum, secara teknikalnya, ia menyediakan kerangka undang-undang yang memberikan hak beragama yang tertentu kepada kaum Yahudi, Yunani, dan Armenia tanpa menamakannya.

Golongan Kemalis melancarkan pe.ra.ng terhadap kepercayaan Islam dengan menyekat peranan ulama dan mempromosikan budaya moden yang menurut Ataturk, ia dicontohi dari gaya barat dalam bidang-bidang seperti guaman, pendidikan, dan kesihatan. Larangan terhadap kewujudan sosial para ulama kebanyakannya muncul dalam bentuk kod pemakaian. Tujuannya yang strategik adalah untuk menghapuskan pengaruh besar para ulama terhadap politik dengan menyingkirkan mereka dari arena sosial. Namun, ia menimbulkan bahaya kerana Ataturk akan dianggap sebagai seorang yang anti agama.

Pelarian pera.ng Balkan di Edirne dengan pakaian tradisional

Kemalis mempertahankan pandangan mereka berdasarkan dalil bahawa “Islam mencerminkan segala bentuk kepercayaan tahyul (tidak saintifik) tidak beragama”. Pengaruh dan kuasa ulama bermula semasa era Empayar Uthmaniyah dengan konsep yang dipraktikkan adalah segala institusi sekular adalah subjek kepada agama, para ulama adalah lambang ketakwaan agama, dan dengan itu, ia menjadikan mereka memiliki pengaruh dan kuasa kedua yang terbesar selepas Sultan dalam hal ehwal urusan negara. Maka, golongan Kemalis berpegang kepada prinsip “negara ini akan diperintah oleh positivisme bukan kepercayaan tahyul.”

Walaupun ketamadunan Islam terutamanya di Turki adalah tamadun yang boleh dikatakan menyumbang kepada kemajuan dalam bidang perubatan di seluruh dunia, termasuklah dalam penemuan vaksin yang pertama semasa era Uthmaniyah, namun, pada pertengahan abad ke-19, orang Islam mula menolak budaya perubatan moden yang sebenarnya berasal dari budaya Islam sendiri. Maka, mungkin salah satu contoh yang baik dalam Reformasi Ataturk adalah berkaitan dengan ‘mengembalikan’ era kegemilangan Islam dalam bidang perubatan moden.

Penyokong Kemalis menyingkirkan kepercayaan karut yang bersifat pseudo-tradisi merangkumi perubatan herba, ramuan, dan terapi yang hanya menerima bentuk keagamaan untuk penyakit mental, di mana, semuanya dilakukan oleh agamawan. Kemalis menolak budaya pengambilan jamu, herba, dan balsem. Apa yang tidak baik tentang reformasi ini adalah, mereka mengenakan hukuman yang berat terhadap orang-orang beragama yang mendakwa mereka memiliki pendapat tertentu dalam bidang kesihatan dan perubatan, ini tidak selari langsung dengan idea-idea kebebasan.

Bermula pada tahun 1923, beberapa undang-undang secara progresif telah meletakkan had terhadap pemakaian pakaian tradisional secara terpilih. Mustafa Kemal Atarurk terlebih dahulu menjadikan topi moden sebagai kod pemakaian wajib bagi penjawat awam. Garis panduan tatacara kod berpakaian yang betul bagi pelajar dan pegawai negeri (tempat awam dikawal oleh kerajaan) telah diagihkan ke seluruh wilayah dan provinsi semasa zaman pemerintahannya. Selepas sebilangan besar penjawat awam yang berpendidikan tinggi mula beradaptasi dengan pemakaian topi moden yang dipakai Ataturk sendiri, Ataturk secara beransur-ansur bergerak lebih jauh.

Kebebasan lebih banyak diberikan kepada kaum wanita di Turki

Pada 25 November 1925, parlimen meluluskan Undang-undang Topi yang memperkenalkan penggunaan topi gaya Barat dan melarang pemakaian topi berbentuk tarbus / fez serta serban. Namun undang-undang tidak melarang pemakaian kerudung atau hijab tetapi sebaliknya hanya melarang pemakaian fez dan serban untuk lelaki. Undang-undang ini juga mempengaruhi buku teks sekolah. Setelah Undang-Undang Topi dikeluarkan, gambar-gambar di dalam buku teks sekolah yang menunjukkan lelaki memakai tarbus, ditukarkan dengan gambar yang menunjukkan lelaki memakai topi.

Lain-lain bentuk kawalan di bawah kod berpakaian itu ditambah dan diluluskan pada tahun 1934 dengan undang-undang yang berkaitan dengan pemakaian ‘Pakaian Terlarang’. Ia melarang keras pakaian yang berdasarkan ciri-ciri seseorang yang beragama, seperti niqab, telekung dan serban di luar rumah dan tempat-tempat beribadat, dan memberikan kerajaan tempatan kuasa untuk membenarkan hanya satu orang bagi setiap agama atau mazhab untuk memakai pakaian keagamaan di luar tempat ibadat atau tempat awam.

Selain daripada azan yang dilarang dari dilaungkan dalam bahasa Arab seperti biasa, Ataturk turut mengarahkan kitab-kitab al-Quran dicetak dalam bahasa Turki, tindakan itu pernah mencetuskan kontroversi pada tahun 1924, namun Ataturk menyatakan dia bertindak sedemikian rupa kerana merasakan orang Turki telah diajar tentang Islam dalam bahasa yang tidak difahami oleh orang Turki selama berabad lamanya. Selain itu, Ataturk membenarkan kaum lelaki mengamalkan poligami, namun hanya dalam situasi-situasi tertentu yang dibenarkan kerajaan. Ini bermakna, sekular gaya Turki turut mengawal aspek kehidupan peribadi rakyatnya sendiri.

Tidak dinafikan walaupun sekularisme pada asasnya berperanan sebagai pelengkap kepada idea liberal, tetapi apa yang dilaksanakan Ataturk itu tiada kaitan langsung dengan liberal. Sekular yang berpaksikan Liberal adalah fahaman yang hanya mahu membebaskan pemerintahan daripada agama. Tetapi kebangkitan Ataturk telah mencipta fahaman sekular Turki yang dipisahkan daripada liberal akibat pengaruh sistem sekular laicite. Malahan Ataturk lebih bersifat kuku besi, tiada kebebasan berpolitik, tiada kebebasan beragama, tiada kebebasan sosial dan budaya, tiada kesamarataan sama ada dari segi kelas masyarakat mahupun jantina.

Ataturk dengan topi gaya Barat

Dalam konteks sistem yang liberal, suatu kaum beragama sekurang-kurangnya patut diberi hak untuk menguruskan kehidupan peribadi mereka sendiri atau diberi kebebasan untuk memilih cara berpakaian mengikut tradisi masing-masing. Di negara Turki pada zaman Ataturk, semua ini tidak diberikan kepada rakyatnya, semua orang yang beragama dan semua orang yang berbudaya selain daripada Turki melalui berdekad-dekad zaman penindasan dan pembu.nuhan identiti asli mereka. Orang Armenia, Yunani, Arab, dan Slavik yang merupakan warganegara Turki dipaksa menggunakan nama dan bertutur hanya menggunakan bahasa Turki. Jadi, di manakah logiknya hendak melabel Ataturk sebagai liberal?

Walau bagaimanapun, penulis adalah seorang yang memiliki pemikiran konservatif yang realistik dan memandang budaya liberalisme yang semakin tersasar dan sekularisme yang menyisihkan agama adalah tidak sesuai dengan kita sebagai Muslim, melainkan jika berlaku pengubahsuaian dalam strukturnya.

Tetapi, walaupun Ataturk menghapuskan tradisi, tetapi kita perlu terima hakikat bahawa dia adalah manusia yang telah membebaskan Turki dari cengkaman penja.jahan asing. Jika Ataturk tidak memulakan kebangkitan nasionalis Turki, mungkin hari ini negara Turki hanyalah sebuah negara yang ukurannya lebih kurang sama besar sahaja dengan mana-mana negeri di dalam Semenanjung Malaysia ini berikutan pemecahan sempadan oleh pihak Sekutu melalui Perjanjian Sevres 1920 selepas memenangi Pera.n.g Dunia Pertama.

Uthmaniyah merupakan sebuah pemerintahan khalifah Islam yang maju dalam pelbagai bidang terutamanya sains dan perubatan hingga menjadi salah satu kuasa besar dunia yang mengatasi kuasa-kuasa Eropah, namun mula menghadapi kemerosotan selepas gagal dikalahkan dalam Pertem.puran Vienna pada tahun 1683 yang menandakan Uthmaniyah tidak lagi menjadi kuasa besar yang harus digeruni. Semenjak itu, Uthmaniyah tertinggal jauh di belakang Eropah.

RUJUKAN:

Kazancigil, Ali and Ergun Özbudun. Ataturk: Founder of a Modern State (1982).

Cinar, Alev (2006). Modernity, Islam, and Secularism in Turkey: Bodies, Places, and Time. University of Minnesota Press.

Ruangan komen telah ditutup.