Atari: Bangun Dan Jatuhnya Sebuah Empayar

83

Padang pasir di Alamagordo, New Mexico menjadi saksi. Saksi kepada kejatuhan sebuah eempayar. Disitulah dikatakan tertimbusnya legasi kegagalan Atari. Tidak, ia bukan bersifat simbolik, secara harfiahnya, di padang pasir itu, dikhabarkan tertimbus berjuta-juta katrij permainan video milik Atari yang tidak terjual disebabkan oleh kejatuhan industi permainan video pada tahun 1983.

Jika saya menyebut Atari, mesti tidak ramai di antara kita yang mengenalinya. Ia satu nama yang asing bagi rakyat Malaysia lebih-lebih lagi bagi mereka yang lahir di penghujung 80-an. Tapi tahukah anda,lebih kurang 40 tahun dahulu, Atari merupakan syarikat gergasi permainan video di dunia?

Konsol keluaran Atari bukan sahaja popular malah menguasai sehingga 80% ruang pasaran konsol. Satu pencapaian yang tak mampu ditiru oleh Sony Playsation mahupun Xbox sehingga sekarang. Tapi ke mana perginya Atari? Bagaimana sebuah syarikat gergasi yang menguasai industri permainan video kini sepi tanpa sebarang bunyi? Marilah kita menelusuri kisah bangun dan jatuhnya sebuah empayar: Atari.

Pelopor Permainan Arked

Nolan Bushnell, salah seorang pengasas Atari menghabiskan usia remajanya bekerja di taman tema dan juga sarkis. Dia mendapat ilham untuk membina mesin arked (yang beroperasi melalui duit syiling) selepas melihat beberapa permainan dengan konsep yang sama di taman tema. Pada masa yang sama, beliau juga yang merupakan seorang pelajar kejuruteraan di Universiti of Utah diberi kesempatan untuk bermain permainan video Spacewar! (antara permainan video pertama di dunia). Kedua peristiwa di atas memberi impak kepada Nolan lantas dia bertekad untuk membina arked permainan video sendiri dan mengkomersilkannya.

Beberapa tahun selepas itu, Nolan berkerjasama dengan Ted Dabney dan menghasilkan arked pertama mereka yang dipanggil Computer Space. Walaupun Computer Space kurang mendapat sambutan, ia memberi pengajaran berharga kepada Nolan dan Ted untuk memastikan yang permainan mereka lebih ringkas dan mesra pelanggan.

Selepas itu, Nolan dan Ted merekrut Al Alcorn sebagai pereka sistem dan berkat hasil kerjasama mereka, maka terhasillah Pong. Pong adalah sebuah permainan arked yang mudah,yang memaparkan dua batang di skrin menolak dan menangkis bola seperti permainan Ping-Pong. Disebabkan permainan itu ringkas dan mesra pengguna, Pong mendapat sambutan yang memberangsangkan. Dari situlah tertubuhnya Atari.

Nolan melihat sambutan hebat ke atas Pong sebagai satu peluang yang baik untuk mengembangkan lagi bisnes mereka. Pada tahun 1975, Atari sudah menerbitkan 4 permainan arked. Nolan memulakan usaha untuk menghasilkan satu konsol yang boleh memainkan kesemua permainan arked yang Atari terbitkan dan membawanya ke rumah.

Konsep yang Atari idamkan itulah perintis kepada sistem permainan konsol yang kita nikmati sekarang. Setahun selepas itu, Atari melancarkan Atari 2600. Ia disanjung sebagai konsol kedua terbaik dalam sejarah. Atari 2600 telah terjual lebih dari 10 juta unit ke seluruh dunia dan diiktiraf sebagai konsol yang bertanggungjawab merintis kebangkitan industri permainan video. Nolan seterusnya menjual syarikatnya kepada Warner Communication dan meninggalkannya pada tahun 1979.

Zaman Kegemilangan

Di bawah Warner, Atari terus membangun. Ia diiktiraf sebagai syarikat yang paling pantas berkembang di Amerika Syarikat pada ketika itu. Atari pada ketika itu, tidak duduk diam dan menghasilkan komputer peribadi mereka sendiri untuk melawan dominasi Apple.

Maka terhasillah Atari 800 dan Atari 400. Atari seterusnya dibahagikan kepada 3 divisyen, 1) Komputer Peribadi 2) Konsol/Permainan Video dan yang terakhir 3) Arked. Kesemua divisyen tersebut menjana keuntungan berlipat kali ganda melalui penjualan hasil produk mereka. Konsol dan komputer peribadi mereka terjual sehingga berjuta-juta unit menjadikan Atari sebagai sumber keuntungan utama bagi Warner.

Krisis Dalaman

Walaupun nampak indah dan hebat dari pandangan umum, Atari sebenanya mengalami krisis dalaman yang teruk. Setiap divisyen dalam Atari beroperasi sendiri dan jarang bekerjasama. Malah mereka lebih bersifat kompetitif antara satu sama lain. Sebuah syarikat yang besar seperti Atari, sepatutnya bekerjasama ke arah satu objektif yang sama, sebaliknya setiap divisyen di dalam Atari mempunyai visi masing-masing dan mengendahkan visi syarikat.

Menurut kebanyakan pemerhati, suasana di dalam Atari seperti dalam medan perang. Pengurus menjerit dan bertengkar antara satu sama lain, dan ia mewujudkan suasana yang tidak sesuai untuk perkembangan syarikat. Jurutera, pengaturcara dan para pekerja tidak dihargai dan dilupakan apabila nama mereka tidak dipaparkan dalam ruangan kredit permainan video yang mereka hasilkan.

Pemerhati mendapati disebabkan suasana yang toksik, ramai jurutera dan pengaturcara hebat keluar dari Atari dan menubuhkan syarikat mereka sendiri. Antara yang paling dikenali adalah Activision yang menghasilkan francais popular Call of Duty dan bakal menjadi seteru kuat Atari.

Ambang Kejatuhan

Kehadiran syarikat-syarikat pembangun permainan video seperti Activision, Mattel dan Coleco mengancam Atari. Disebabkan tiada seliaan dan kawalan dari Atari, kebanyakan syarikat tersebut mampu mengaturcara dan menghasilkan kartrij Atari 2600 mereka sendiri tanpa perlu membayar kepada Atari. Ini menyebabkan kerugian besar kepada Atari dan menamatkan dominasi pasaran mereka dari 80% kepada hanya 40%.

Pada masa yang sama Atari juga terburu-buru dalam mengadaptasi permainan arked kepada permainan video. Atari mendapat perlesenan untuk mengadaptasi permainan arked popular dari Namco, Pac-Man untuk konsol Atari 2600. Atari dengan yakinnya menerbitkan 12 juta kartrij, walaupun pada masa tersebut, hanya 10 juta konsol Atari 2600 terjual di seluruh Amerika Syarikat. Strategi Atari tidak menjadi, di mana Atari hanya berjaya menjual sebanyak 7 juta kartrij dan kebanyakan pelanggan memulangkan kartrij mereka disebabkan buruknya kualiti adaptasi dari Atari.

Lagi punca kejatuhan Atari adalah permainan video E.T.  E.T (Extra-Terrestrial), sebuah filem popular Steven Spielberg yang ditayangkan pada Jun 1982 menarik perhatian Steve Ross, CEO Warner untuk mengadaptasi filem itu kepada permainan video. Pada ketika itu E.T mencatatat rekod sebagai filem box-office dengan kutipan tertinggi dalam sejarah (sehingga menjangkau $ 700 juta). Rekod E.T bertahan selama 11 tahun sebelum dipecahkan oleh Jurassic Park (juga arahan Spielberg).

Disebabkan populari E.T itulah Steve Ross dengan bersemangat mengadakan rundingan dengan Steven Spielberg bagi mendapatkan hak untuk mengadaptasikan filem itu ke permainan video. Spielberg bersetuju untuk memberikan hak kepada Warner dan Atari dengan bayaran sebanyak $ 25 juta. Steve Ross lantas menghubungi pengaturcara utama mereka, Howard Scott Warshaw untuk mengaturcara dan membangunkan permainan video E.T.

Tetapi Steve Ross hanya memberi masa selama 5 minggu kepada Howard, suatu tempoh masa yang terlalu pendek. Ini semua kerana keinginan dan ketamakan Steve Ross yang ingin memasarkan permainan video itu sebelum tiba musim Krismas. Tempoh masa yang biasa untuk pembagunan dan pengaturcaraan permainan video adalah dalam 5-6 bulan. Masa 5 minggu adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pengaturcara sebelum ini, lebih-lebih lagi untuk satu projek sebesar E.T.

Pada bulan Disember 1982, E.T (The Video Game) dilancarkan. Pada mulanya ia menjadi antara permainan video yang paling laris dari Atari (terjual sehingga 1.5 juta unit) disebabkan oleh promosi yang hebat dan juga populariti filem tersebut. Tetapi, peminat mendapati yang E.T hanyalah indah khabar dari rupa.

Ia terlalu susah dan tidak mempunyai plot yang menarik perhatian. Kebanyakan pemain mendapati yang permainan video itu tidak boleh dimainkan kerana terlalu susah, dan juga rekaanya tidak mesra pengguna. Ini menyebabkan jualan E.T merudum menyebabkan 3 juta kartrij tidak terjual. E.T dipanggil oleh ramai pemerhati dan pengkritik dalam industri sebagai permainan video terburuk dalam sejarah. Ia juga dikritik sebagai pemangkin kejatuhan industri permainan video pada tahun 1983. Disebabkan oleh kegagalan E.T, Atari menerima kebinasaan. Pada tahun 1983, Atari mengalami kerugian sehingga $ 500 juta disebabkan kegagalan beberapa permainan video mereka dan juga kehilangan dominasi mereka dalam pasaran.

Tanah Perkuburan Atari

Pada September 1983, sebuah akhbar Alamagordo, New Mexico melaporkan yang Atari menghantar sehingga 20 buah treler berisi kartrij mereka yang tidak terjual dan membuangnya di tapak perlupusan sampah di Alamagordo, New Mexico. Kartrij-kartrij tersebut bukan sahaja dibuang, malah dikambus dan ditanam bagaikan sebuah tapak pengebumian.

Lapisan konkrit juga ditabur untuk meliputi tapak pengebumian tersebut untuk mengelakkan orang dari menggali kartrij permainan video tersebut dari tapak perlupusan sampah Sesetengah sumber mengatakan yang Atari menanam berjuta-juta kartrij mereka yang tidak terjual antaranya berjuta kartrij E.T (The Video Game) dan selebihnya adalah kartrij permainan lain seperti Pac-Man dan Centipede.

Disebabkan oleh tiadanya rekod rasmi dari pihak Atari, dan juga sumber yang bercanggah, kisah tersebut dianggap sebagai mitos dan “urban legend” oleh komuniti permainan video dan juga orang awam. Pada tahun 2014, satu usahasama diantara Fuel Industries (sebuah syarikat hiburan Canada) dan juga Mircrosoft dibentuk untuk mendokumenkan dan menyiasat tentang kesahihan mitos Tanah Perkuburan Atari.

Ia sebahagian dari rancangan dokumentari “Atari: Game Over” yang bakal diterbitkan. Hasil kerjasama mereka dan juga kebenaran daripada Majlis Perbandaran Alamagordo, usaha menggali berjaya dilakukan. Hasil galian mereka membuktikan yang kisah Tanah Perkuburan Atari bukanlah satu mitos. Ia adalah kisah benar dan saksi kepada kejatuhan empayar Atari. Tapi kisah tersebut dilebih-lebihkan.

Hanya 728,000 sahaja kartrij tertanam di tapak perlupusan tersebut berbanding dengan dakwaan sumber yang mengatakan jumlahnya mencapai jutaan. Beribu kartrij E.T (The Video Game) yang diperolehi melalui hasil penggalian dijual dan dilelong kepada orang ramai. Sebahagiannya diambil oleh pihak muzium antaranya Smithsonian Muzium bagi memperingati legasi yang ditinggalkan Atari. Walaupun dikritik sebagai permainan video yang terburuk dalam sejarah, ia tetap simbolik sebagai satu peringatan kepada kejatuhan sebuah empayar.

Impak dan Legasi

Kejatuhan Atari membawa kepada kejatuhan industri permainan video pada tahun 1983. Pasaran permainan video dibanjiri oleh kartrij-kartrij permainan dari pelbagai pengeluar menyebabkan harga permainan video jatuh merudum. Bayangkanlah sehingga anda boleh memiliki sebuah permainan video hanya dengan membeli sekotak Cornflakes ataupun Coco-Crunch. Begitulah teruknya keadaan industri permainan video pada tahun 1983. Ramai penganalisa berpendapat yang industri permainan video akan terus berkubur bersama Atari.

Namun begitu, pada tahun 1985, Nintendo melancarkan konsol pertama mereka, Nintendo Entertainment System (NES). Nintendo yang belajar dari kesilapan Atari, mengambil langkah untuk mengawal selia pembangun dan pengaturcara permainan video dan memastikan setiap permainan video yang dikeluarkan untuk NES dikawal selia oleh Nintendo. Langkah Nintendo membawa perubahan kepada industri lantas membuka era baru untuk permainan video.

Notakaki: Dokumentati “Atari: Game Over” telahpun diterbitkan dan boleh ditonton melalui Netflix.

Rujukan:
1. Cohen, Scott (1984). Zap: The Rise and Fall of Atari. McGraw-Hill
2. Shea,Cam (2008). Al Arcorn Interview. IGN.com
http://www.ign.com/articles/2008/03/11/al-alcorn-interview
3. Anderson, John J. (March 1984). “Atari”. Creative Computing Volume 10 Number 03.
https://archive.org/stream/creativecomputing-1984-03/Creative_Computing_v10_n03_1984_Mar#page/n51/mode/2up
4. McQuiddy, Marian (September 27, 1983). “City to Atari: ‘E.T.’ trash go home”. Alamogordo Daily News.
5. McQuiddy, Marian (September 28, 1983). “City cementing ban on dumping: Landfill won’t house anymore ‘Atari rejects'”
6. Townsend, Emru (October 23, 2006). “The 10 Worst Games of All Time”. PCWorld.
https://www.pcworld.com/article/127579/article.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.