Astrologi Dan Hulagu Khan – Bala Yang Membantai Baghdad

0
3003
views

“Hasrat Hulagu Khan untuk menawan kota Baghdad hampir terpadam disebabkan ilmu astrologi ?”.

1257 M.

Ketika Hulagu Khan menyatakan hasratnya untuk menyerang ibukota Bani Abbasiyah, Baghdad, maka penasihat beliau, Husim ad-Din menolak keinginannya dengan beralasan kukuh bahawasanya penaklukan ini tidak akan berjaya kerana alam semesta tidak akan berpihak kepadanya.

Hulagu Khan ingin mengetahui apakah yang akan berlaku jikalau beliau ingin menyerang kota Baghdad pada tahun 1258 M tersebut. Maka, Husim ad-Din berkata, enam bencana yang besar akan menimpa pasukan Hulagu, jikalau beliau tetap berkeras ingin menyerang kota Baghdad pada ketika itu, diantaranya adalah:

1. Semua kuda pasukannya akan mati dan pasukan tenteranya akan jatuh sakit.

2. Matahari tidak akan terbit.

3. Hujan tidak akan turun mencurah ke Bumi.

4. Ribut akan menerpa dan bumi akan hancur.

5. Rumput tidak akan tumbuh lagi.

Waqaf Saham

6. Hulagu Khan akan mati pada tahun itu juga.

Setelah dinyatakan tilikan mengikut ilmu astrologinya, maka Hulagu Khan berasa resah dengan jawapan Husim ad-Din.

Tidak mahu menunggu lama dirinya terus diselubungi pelbagai misteri dan teka-teki, maka Hulagu Khan terus memanggil salah seorang bekas anggota elit organisasi Nizar Ismailiyah, Hashasin, yang pernah berkhidmat di benteng Alamut pada suatu ketika dahulu iaitu Nasir ad-Din al-Tusi.

Nasir ad-Din yang sememangnya pakar dalam ilmu matematik, falak dan astrologi menyangkal terus tentang ramalan yang disampaikan oleh Husim ad-Din kepada Hulagu Khan. Setelah mengambil kira kesemua pendapat para penasihat Hulagu di atas ramalam Husim ad-Din, maka Nasir ad-Din hanya memberikan jawapan yang ringkas sahaja di hadapan mereka semua:

“Tidak akan terjadi sebarang bencana jika tuan Hulagu menyerang kota Baghdad pada tahun itu”.

Setelah menemui jawapan dalam memecahkan permasalahannya, tanpa melengahkan masa Hulagu Khan terus mengeluarkan arahannya dalam mempersiapkan pasukan Mongol yang besar untuk menjatuhkan pusat peradaban Islam, iaitu kota Baghdad.

Tanggal berikutnya pada 15 November 1257 M, pasukan Mongol pimpinannya telah memasuki wilayah empayar Bani Abbasiyah lalu terus mengepung kota Baghdad setelah meluluhlantakkan kota-kota serta segala perkampungan yang berada di sekitar Baghdad. Dengan terbukanya pintu yang luas untuk melancarkan serangan terakhir impiannya, akhirnya kota yang kukuh berdiri selama enam abad ini tersungkur di bawah tapak kaki Hulagu pada tanggal 4 Februari 1258 M sekaligus menamatkan pemerintahan Bani Abbasiyah buat selama-lamanya.

Kesimpulan: Untuk umat Islam, ilmu astrologi itu haram dipelajari. Jadi, jangan percaya dengan ramalan Horoskop lalu jangan sesekali dengan bangga menyatakan dirinya sebagai Taurus, Gemini, Cancer dan sebagainya. Kalau anda mempunyai impian dan cita-cita yang besar, maka turutilah dan beranilah melakukannya tanpa bergantung hidup dengan tilikan syirik yang sia-sia.

Sumber Rujukan:

1. The History of Mathematics: A Brief Course oleh Roger L. Cooke.

2. A History of Mathematics oleh Carl B. Boyer dan Uta C. Merzbach.

3. Ismailis in Medieval Muslim Societies oleh Farhad Daftary.

– TAMAT –