Assobiyah Menurut Ibn Khaldun

0
925
views

Ramai benar yang merasa geli bila mendengar perkataan asabiyah. Dan jika melihat definisinya dalam Bahasa Inggeris menurut Kamus Oxford, ia dikaitkan dengan unsur perkauman. Definisinya jika ikut kefahaman ini ialah sesiapa yang mempercayai sesebuah bangsa itu lebih hebat dan lebih unggul berbanding bangsa-bangsa lain di dunia. Kita faham konotasi sebegini kerana sejarah hitam Eropah yang dibelenggu oleh fahaman Nazisme dan fasisme yang dibawa Adolf Hitler dan Benito Mussolini. Namun menurut pakar sosiologi Islam, Ibnu Khaldun asabiyah sebenarnya lebih daripada itu dan seharusnya dilihat juga dari sudut pandang positif.

Asabiyah yang bersifat ekstremis dan keterlaluan terhadap sesebuah suku atau kaum sehinggakan sanggup berbuat zalim kepada orang lain merupakan salah satu ciri asabiyah jahiliah. Asabiyah sebegini yang ditentang Nabi Muhammad s.a.w berdasarkan beberapa hadis. Antaranya dalam satu hadis yang diriwayatkan Imam Abu Daud baginda bersabda, “Bukan dalam kalangan umatku bagi sesiapa yang menyeru ke arah asabiyah.” Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan Imam Abu Daud, Wathilah bin al-Asqa r.a bertanya kepada Rasulullah, “Ya Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan asabiyah?” Baginda menjawab, “Tidak, sebaliknya asabiyah itu ialah apabila kamu menolong kamumu melakukan kezaliman.” Asabiyah sebenar yang digalakkan Nabi s.a.w ialah asabiyah yang berasaskan Islam iaitu semangat kebangsaan yang berasaskan Islam.

Dalam kitabnya yang paling dikenali iaitu Muqaddimah, Ibnu Khaldun melihat asabiyah ini berkait dengan perkembangan masyarakat dan negara. Menurut beliau, tujuan asabiyah ini membabitkan kekuasaan negara demi kebaikan rakyat keseluruhannya. Ini bermakna asabiyah sebenar tidak boleh bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata. Sebaliknya, ia juga memerlukan komponen agama dan moral kerana dari situ, asabiyah dapat diperkukuhkan. Dan ini menjadi kunci bagaimana bangsa Arab yang dianggap bangsa gasar dan tidak bertamadun oleh bangsa Rom dan Parsi bisa menjadi pembina peradaban yang lebih besar. Asabiyah yang bertunjangkan agama boleh membawa kepada integriti kekuatan politik tetapi jika tidak, kekuatan tersebut akan lenyap dan sesebuah kerajaan atau tamadun bakal berhadapan dengan kehancuran.

Dalam konteks politik moden hari ini, semangat kebangsaan dilihat menjadi pemangkin kepada perjuangan rakyat dalam mendapatkan semula hak mereka. Namun jika ada yang berpandangan kebangsaan langsung tiada kaitan dengan asabiyah, anda salah. Menurut Ibnu Khaldun, semangat nasionalisme ini sebenarnya bentuk lain asabiyah di mana ia boleh saja menjadi positif atau negatif. Asabiyah yang bersifat positif ialah wujudnya semangat perpaduan dan permuafakatan dalam struktur sosial masyarakat sehingga mewujudkan elemen saling menolong dan kerjasama antara satu sama lain.

Firman Allah s.w.t dalam ayat 2, Surah Al-Maidah mafhumnya, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaan-Nya (dengan mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidil Haram itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” Dan dalam masyarakat Melayu itu sendiri terlalu banyak peribahasa yang memberi gambaran positif berkenaan asabiyah ini. Antara peribahasa yang kita biasa dengar ialah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Namun asabiyah bersifat negatif ini akan mula timbul apabila ia dipengaruhi nilai keangkuhan, bersikap tidak rasional dan menolak prinsip keadilan dan kebenaran semata-mata atas dasar kelompok dan sentimen tertentu. Asabiyah sebegini bukan hanya memadamkan prinsip kebangsaan yang diangkat Ibnu Khaldun malah berpotensi sebagai benih kemusnahan sesebuah kerajaan atau tamadun itu sendiri.

Waqaf Saham

Asabiyah itu boleh saja menjadi alat perjuangan, alat menyerang atau perisai pertahanan. Semasa sesebuah kerajaan atau tamadun hendak naik, asabiyah menjadi teras untuk mencapai objektif sedemikian. Namun selepas perjuangan itu selesai, maka asabiyah sebegini harus segera digantikan dengan asabiyah yang bersifat menyeluruh iaitu semangat nasionalisme. Dan ia boleh dicapai menerusi penerapan semangat rela berjuang dan sanggup berkorban kerana ia salah satu tanda ketaatan kepada negara. Namun semangat ini boleh saja luntur apabila rakyat sesebuah negara itu bersikap bermalas-malasan dan bermewah-mewahan. Apabila itu berlaku, asabiyah berbentuk kebangsaan ini lama-kelamaan akan mati.

Asabiyah menurut Ibnu Khaldun tidak boleh lari dari konsep kekuasaan. Ini kerana berdasarkan catatan sejarah, bukan sekali dua kerajaan atau empayar besar tumbang selepas dikalahkan golongan Badwi atau orang tak bertamadun (Barbarian mengikut definisi orang Rom). Di Eropah, mereka merupakan kelompok Barbarian dari pelbagai puak yang menakluk pelbagai kerajaan dan menubuhkan kerajaan mereka sendiri. Kelompok ini kemudian mengadaptasi kekuasaan dan budaya masyarakat yang ditakluki sehinggalah masyarakat yang dijajah itu hilang, sang penakluk kehilangan elemen Badwi dan asabiyahnya dan bertukar menjadi kelompok Hadhari yang diancam oleh kelompok Badwi seterusnya. Pendek kata, ia sebenarnya menceritakan proses pembentukan, kegemilangan dan kemerosotan sesebuah negara dan ia satu kitaran yang sentiasa bersilih ganti. Konflik luar dalam masyarakat ini akan menimbulkan kitaran dan perubahan struktur kekuasaan, satu proses yang dipanggil Ibnu Khaldun sebagai proses daur sejarah yang berlaku tanpa mengira masa atau generasi. Teori sebegini dilihat lebih unggul berbanding pelbagai teori yang dibawa penyokong fahaman tertentu seperti Marxisme dan kapitalisme kerana mereka gagal menjelaskan apa yang berlaku sesudah semua fahaman ini mati.

Sesebuah kerajaan atau negara akan mengalami tiga fasa iaitu permulaan, kegemilangan dan kemerosotan. Era permulaan ialah generasi kelompok primitif yang masih mengamalkan kehidupan biasa dan tinggal di kawasan perkampungan. Selepas mereka mencapai kekuasaan dan membentuk sebuah negara, akan berlaku peralihan taraf hidup dari primitif kepada kehidupan kota yang mewah dan selesa. Namun fasa ketiga inilah yang patut dibimbangi iaitu fasa kemerosotan. Pada fasa tersebut, sesebuah negara atau kerajaan hancur apabila masyarakat ketika itu terlalu asyik dengan kemewahan, bersikap penakut dan sudah tidak mengamalkan lagi nilai kehormatan dan keberanian. Makanya di sinilah peranan asabiyah yang perlu diperkasakan bukan saja dari segi semangat persaudaraan tetapi juga dari aspek moral dan keagamaan. Ini kerana asabiyah yang kuat akan menjadikan sesebuah negara atau kerajaan aman dan makmur. Namun apabila ia membiarkan elemen ini dipengaruhi sifat-sifat negatif yang dikecam Nabi s.a.w dalam beberapa perenggan sebelumnya, negara akan terbatas dari segi kemampuannya dan secara tidak langsung, ia sebenarnya menulis obituari kematiannya sendiri.

SUMBE

  1. Abd Majid, Mohd Shauki. (2014). Utusan Malaysia. Asabiyah melulu bakar jambatan ukhuwah. http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140207/re_07/Asabiyah-melulu-bakar-jambatan-ukhuwah
  2. Abd Majid, Mohd Shauki. (2015). Utusan Malaysia. Memahami makna asabiah. http://www.utusan.com.my/rencana/memahami-makna-asabiah-1.150262
  3. Kamaruddin, K. (2016). Universitas Islam Negeri (UIN) Raden Fatah, Palembang. Pemikiran Politik Ibnu Khaldun dan Pembentukan Teori Sosiologi Politik. https://media.neliti.com/media/publications/99229-ID-pemikiran-politik-ibnu-khaldun-dan-pembe.pdf

 

 

 

 

Previous articleKhalifah Al Mahdi: Bapa Pendidikan Abbasiyyah
Next articleDatuk Seri Anwar Ibrahim: Ikon Demokrasi Malaysia
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE